Konvensyen Kedua PR menghasilkan kemantapan muafakat menuju PRU-13
Hanya sehari sahaja tempoh bagi Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat diadakan pada 19 Disember lalu di Dewan Millenium Kepala Batas berbekalkan dengan 'buku jingga' yang mengandungi dasar bersama.
Hanya sehari jugalah segala kemelut dan kepincangan yang dicanang media Umno/BN kononnya berlaku dalam Pakatan Rakyat, berjaya diselesaikan dengan kebijaksanaan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.
Dengan tema "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia", keseluruhan perwakilan membangkitkan pelan bertindak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 secara bersama.
Sambil ada sesetengah yang melaungkan ucapan ke arah muhasabah, Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat seperti kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaf Ali banyak membawa pembaharuan dan kelebihan terutama ke arah kemantapan muafakat.
Benar tahaluf siyasi yang disepakati ketiga-tiga parti PAS, DAP dan KeADILan kini berjaya menemui sentuhan ajaib setelah sebelum ini masing-masing menjamah kelainan dasar dengan sedikit ketegangan.
Penggulungan perbahasan yang dilontarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim 'berjaya menjernihkan' ketegangan sebelum ini.
Nada insaf yang dilahirkan Anwar mengakui kesilapan memilih calon mewakili KeADILan dalam pilihan raya umum yang lalu menampakkan keterbukaan, setelah kesilapan itu ditegur Karpal dalam penggulungannya dan sebelum ini oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Lantang Presiden PAS membahaskan penggulungan dengan nada Islami dan disusun dengan ayat-ayat Quran menyokong pandangannya amat disanjung seluruh 2000 perwakilan yang hadir.
Susunan kata yang mantap, dengan ilmunya diakui seluruh perwakilan membuatkan hujah penggulungan Ustaz Hadi menjiwai hasrat ke Putrajaya dengan berbekalkan amilin yang bertaqwa dan mencintai keadilan.
Tawaran negara berkebajikan yang diwar-warkan PAS pada pilihan raya umum lalu menjadi 'buah mulut' perwakilan yang memuji langkah itu sebagai langkah yang sangat bijak.
Kekuatan pemimpin (Ustaz Hadi) yang diakui bersih oleh Setiausaha Agung Keadilan, saifuddin Nasution itu terletak kepada mantik politiknya, dan beliau berjaya membawa sidang bermuhasabah sebelum mempersiapkan jentera menentang penzaliman Umno/BN.
Anak kunci kejayaan yang disandarkan kepada beberapa petua dicernakan dalam ucapannya penuh yakin menampakkan beliau (Ustaz Hadi) 'kepimpinan' yang memimpin.
Sementara sentuhan Karpal yang meletakkan ketegasan menjunjung Perlembagaan Persekutuan, malah mengangkat perjuangan PAS dan sedia menjadikan DAP benteng mempertahankan hak Islam sebagai agama rasmi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.
Ucapan Karpal mendominasi suasana diakhir fasa konvensyen.Sebelum melangkah ke pentas untuk berucap, kehebatan beliau diangkat dalam ucapan aluan moderator, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dengan bekas Speaker Kelantan itu memuji ketegasan Karpal dalam beberapa isu.
Naik sahaja Karpal ke pentas, susunan kata-katanya walaupun 'pelat' dan 'kurang fasih', namun 'screw' nya mampu membenam hasrat media arus perdana untuk memainkan isu Negara Islam sekali lagi.
Tidak kurang juga hujah pembentang kertas kerja antaranya Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang membincangkan soal Federalisme; sementara Saifuddin menjengah permasalahan imej polis dan Ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke yang membincangkan tawaran sempena 100 hari jika Pakatan Rakyat menerajui negara.
Di hujung konvesnyen tercerna satu muafakat yang jelas dan pastinya suntingan semangat dari seluruh pimpinan Pakatan Rakyat akan memberi azimat kepada pendukung gabungan ini bekerja keras dan mengetepikan soal perbezaan untuk mencapai tujuan menjatuhkan kerajaan Umno/BN.WAN NORDIN WAN YAACOB
No comments:
Post a Comment