Parti Kita tidak dapat 'hidup'
KUALA TERENGGANU, 17 Dis. : Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang baru diterajui Datuk Mohd Zaid Ibrahim dilihat tidak dapat ‘hidup’ dan tidak akan kemana-mana.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, PAS kini sedang menunggu perkembangan parti itu tetapi tidak nampak parti itu akan kemana-mana memandangkan tiada kegiatan pada mulanya.
Menurutnya, Zaid yang masuk dan mengambil alih parti tersebut yang dikenal sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) sebelum ini juga sebenarnya tidak mampu membawa penyokongnya dalam PKR untuk bersama-sama dalam parti tersebut.
“Jadi, untuk mencari ahli baru, itu memakan masa. Dia akan hidup dengan parti dialah, sama ada selesa atau tidak. Tapi kita harapkan parti itu maju walaupun kita tidak nampak lagi bagaimana dia dapat memajukan parti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Unda-ngan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Menurut Harun lagi, walaupun parti itu sudah lama ditubuhkan sebelum ini, tetapi ia tiada perkembangan malah kepimpinan asal juga tidak mampu untuk mengembangkannya.
“Macam Zaid mengambil alih sebuah syarikat yang tidak maju. Pergolakan dalam parti itu yang mana pemimpin mereka yang tidak sebulu, kalau tidak kena cara, Zaid akan kembali menjadi seperti dia dalam PKR,” katanya.
Ketika ditanya kemungkinan untuk Kita masuk dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR), Harun berkata, perkara itu masih belum dibincangkan lagi memandangkan tiada permohonan daripada Kita.
Ketika ditanya kesediaan PAS menerima Kita dalam PR, Harun menegaskan ia boleh dibincangkan, sama ada bersedia atau tidak, itu bukan persoalannya.SH
No comments:
Post a Comment