Ketuanan Melayu: Konsep pendidikan Islam tidak tercapai
SHAH ALAM, 26 Dis: Wajib berlaku reformasi dalam semua hal kehidupan bagi menjayakan transformasi dalam sistem pendidikan demi agama dan negara, tegas Pengerusi Sekretariat Majlis Ulama Asia Tenggara (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin.
Menurutnya, isu pendidikan Islam menjadi lebih baik, diakui dan dipertingkatkan pelaksanaannya jika semua ahli politik negara ini cuba dan boleh memahami konsep pendidikan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam wacana bertajuk Transformasi Pendidikan: Realiti, Globalisasi dan Harapan bersama Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat, Dr Mohd Nor Manuty, Timbalan Naib Cancelor HEP Unisel, Prof Madya Dr Zainal Abidin Kidam.
Wacana ini dijalankan sebagai acara pertama dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat, di sini bermula semalam hingga petang nanti.
"Bagaimana mungkin konsep pendidikan Islam ini dapat digapai matlamatnya jika kedapatan ramai pemimpin negara yang hanya mengagungkan ketuanan Melayu sahaja.
"Kerana itu, pendidikan Islam hanya akan berjaya bila adanya kepimpinan negara memahami Islam, perundangan dan media Islami yang menaikkan imej tokoh-tokoh yang berkecimpung dalam perjuangan pendidikan Islam.
"Lebih dari itu, transformasi pendidikan Islam hanya akan bermula dan berjaya dengan berlakunya reformasi dalam semua hal terutama politik, perundangan dan kepolisan," tegasnya.
Dalam hal ini, Ustaz Abdul Ghani menarik perhatian hadirin dengan menukilkan sepotong ayat Al-Quran bererti Tidak akan berjaya orang yang mengambil air laut dengan jari tangan terbuka untuk menggapainya ke muka kerana usaha dan impian tidak sama.
Justeru, jelasnya, kesatuan fikir mesti diseimbangkan terlebih dahulu dalam kalangan semua pihak kerana tanpanya, hasrat reformasi pendidikan Islam tidak akan berjaya apatah lagi jika ada yang hanya perjuangkan ketuanan tertentu.
Reformasi umat dan transformasi rakyat terutama dalam bidang politik, tambahnya, bakal menghasilkan kesan positif kepada sistem pendidikan negara.
No comments:
Post a Comment