Sunday, December 12, 2010
Pihak yang putar belit boleh ke mahkamah
PENDANG, 13 Dis. : Dakwaan pihak tertentu konon Kerajaan Negeri dan Permodalan Kedah Berhad (PKB) enggan berunding dengan 13 keluarga yang menduduki tanah PKB secara haram di Kampung Kilang Ketapan, Gurun, disangkal Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Azizan berkata, pihaknya bagaimanapun telah menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan nasib 13 keluarga terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Menurutnya, pihak berkenaan tidak wajar memutar belit fakta dengan cuba melabelkan Kerajaan Negeri seolah-olah tidak bertanggungjawab dan bertindak kejam terhadap mereka.
“Sebelum ini, saya pernah keluarkan kenyataan mengarahkan PKB membayar pampasan kepada penduduk terbabit yang menduduki tanah itu sebelum diambil alih semula oleh PKB. Dari sudut mana penduduk tuduh Kerajaan Negeri abaikan mereka?
“Saya sekali lagi ingin mengingatkan penduduk supaya menerima kenyataan bahawa mereka menduduki tanah PKB secara tidak sah dan memandangkan perkara ini sudah dibawa ke mahkamah, biar mahkamah sahaja yang putuskan,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian pada Program Mesra Rakyat Peringkat Negeri Kedah di Kubur Panjang di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan wakil penduduk, Mansur Yahya yang mendakwa Kerajaan Negeri dan PKB gagal menunaikan janji untuk menemui mereka dan berbincang mencari penyelesaian terbaik berhubung isu arahan pengosongan tanah oleh PKB di Kampung Kilang Ketapan sebelum ini.
Azizan turut menafikan dakwaan penduduk menduduki tanah itu sejak 30 tahun lalu dan berkata pencerobohan ke atas tanah kampung itu hanya bermula pada 2006 melibatkan 13 keluarga sehingga kini.
“Memang betul ada penduduk yang tinggal sejak 30 tahun lalu di Kampung Kilang Ketapan tetapi bukan di atas tanah PKB.
“Mereka tidak terbabit dengan notis pengosongan tanah oleh PKB,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment