Sunday, December 19, 2010

PR akan lindungi rakyat

Melindungi Hak Rakyat Intipati Ekonomi PR













KEPALA BATAS, 19 Dis. : Pakatan Rakyat memperkenalkan pelan tindakan ekonomi yang menjurus kepada pembanterasan pembaziran dan perbelanjaan boros serta memansuhkan amalan memberi keistimewaan kepada kroni.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata pelan tindakan ini menyentuh dua perkara iaitu melindungi kepentingan rakyat melalui pengagihan kekayaan yang adil, serta meningkatkan daya ekonomi rakyat.

Bagi perkara pertama, Pakatan Rakyat menawarkan beberapa langkah seperti menukar paradigma ekonomi dari persoalan pemilikan ekuiti kepada persoalan berasaskan pendapatan isi rumah.

"Cara ini akan memastikan pengagihan kekayaan negara yang lebih adil dan saksama," kata Anthony dalam pembentangannya di Konvensyen Pakatan Rakyat ke-II hari ini.

Menginsafi bahawa kronisma yang sinonim dengan pentadbiran Umno-BN antara faktor yang menghakis daya ekonomi negara, Pakatan Rakyat mahu merombak sistem subsidi negara supaya ia lebih terarah kepada golongan masyarakat yang benar-benar memerlukan.

"Kita bercadang untuk mengkaji semula subsidi gas yang diberikan kepada penjana tenaga bebas, yang menguntungkan syarikat-syarikat terpilih dan membebankan Petronas," kata Anthony.

"Pakatan Rakyat akan mempertahankan hak rakyat yang lebih berhak untuk mendapat bantuan kerajaan seperti subsidi minyak dan subsidi barangan keperluan asas," tambahnya lagi.

Pakatan Rakyat akan melancarkan perang besar-besaran terhadap rasuah dan pembaziran di setiap lapisan kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diperkasakan dengan meletakkan ia dibawah Parlimen, manakala sistem tender terbuka akan menjadi amalan standard di setiap susun-lapis kerajaan.

"Pakatan Rakyat akan bertindak keatas kes-kes membabitkan kepentingan rakyat seperti penyelewengan saham bumiputera bernilai RM52 juta ringgit," kata Anthony.

Manakala bagi perkara kedua, pendapatan rakyat akan dipertingkatkan melalui penstrukturan semula empat bidang prasarana iaitu air, elektrik, lebuhraya dan jaringan internet jalurlebar.

"Antara yang dicadangkan adalah menghapuskan tol lebuhraya, memperkenalkan wi-fi percuma di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar di seluruh negara, dan menjamin tidak akan ada penswastaan sektor kesihatan," kata Anthony.

Sementara itu, Pakatan Rakyat bercadang mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara untuk menyelaras dan mengurus-tadir skim perumahan nasional yang membolehkan rakyat Malaysia menduduki rumah selesa dengan mudah.

"Selain itu, Pakatan Rakyat bercadang meningkatkan lagi skim mikrokredit untuk golongan termiskin, bagi melonjakkan kedudukan ekonomi mereka," kata Anthony.

"Program ini telah dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Bayangkan sekiranya kita mentadbir Putrajaya, lebih banyak wang ringgit dapat digunakan untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia," tambahnya.

No comments:

Post a Comment