SHAH ALAM 22 Dis. : Usaha kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi negara tidak seharusnya meletakkan risiko besar kepada negara dan rakyat jika projek mega itu berhadapan kegagalan.
Ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan kerajaan meluluskan projek aliran transit massa (MRT) berjumlah RM36 bilion, bakal membelit negara dengan hutang apabila syarikat swasta yang bertanggungjawab gagal untuk menguruskannya.
" Pertamanya kerajaan sekarang ini memang dalam fasa menggembar-gemburkan pembangunan dan program-program seperti sembilan projek dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) setiap hari. Menjadi mainan media untuk menyuntik 'feel good factor'
" Tetapi orang bertanya apa sumber pembiayaan, apa cara mereka membiayai projek-projek mega besar ini?,"ujar Dr Dzul ketika dihubungi Tv Selangor.
Sejarah membuktikan projek mega berbilion ringgit yang diberikan kepada syarikat kroni akhirnya memaksa kerajaan menggalas tanggungjawab menjamin keluar projek berkenaan.
Keadaan ini sekaligus menambah bon yang masih belum terlunas terhadap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
" Sebab itu kami cukup khuatir tentang apa yang akan berlaku sekali lagi dalam projek-projek besar kerajaan yang akan berakhir dengan kerajaan sendiri yang akan kembali membiayai dan memiliki yang sepatutnya dimiliki oleh syarikat swasta ini," tambah Dr Dzul lagi.
Terdahulu ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua Kiam Wee berkata, syarikat Prasarana Negara Bhd yang berada di belakang projek ini adalah syarikat sama yang masih belum menutup kos pembinaan pengangkutan kereta api ringan (LRT), walaupun projek berkenaan telah selesai sedekat yang lalu.
Projek MRT ini turut dikaitkan dengan syarikat Gamuda-MMC.
Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2011 antara lain mengumumkan projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Lembah Klang ini akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.
Projek berkenaan dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.
Difahamkan projek ini merupakan projek infrastruktur terbesar di Malaysia dan ia dilakukan secara rundingan terus.
Membidas tindakan kerajaan yang terus-terusan menganugerahkan projek-projek mega negara kepada syarikat milik kroni, Dr Dzul berkata, ia tidak ubah seperti
Zaman pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengayakan kroninya sahaja.
" Pendekatan siapa datang dahulu, dia dapat dahulu. Mana boleh. Itu zaman Tun Dr Mahathir boleh lah begitu," tambah Dr Dzul lagi.
No comments:
Post a Comment