Tuesday, December 7, 2010

Saku rakyat akan kering angkara BN















KUALA LUMPUR, 8 Dis. : Harga barangan dan perkhidmatan dijangka mengalami kenaikan mulai 2011 hingga 2015 ekoran langkah pentadbiran Najib memutuskan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat dan merapatkan jurang defisit bajet, demikian menurut laporan The Economist di sebalik spekulasi pilihan raya umum akan berlangsung awal tahun depan.

The Economist sendiri menolak cakap-cakap bahawa pilihan raya umum awal meskipun ia meramalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kemungkinan akan kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke-13 ekoran kemerosotan sokongan orang Melayu muda dan moderat lapor portal The Malaysian Insider.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mac 2013.

"Usaha kerajaan untuk merasionalkan skim subsidi negara yang dikatakan terlalu besar akan menyebabkan pengaruh kenaikan dalam harga sepanjang tempoh ramalan (2011 hingga 2015)," kata laporan Intelligence Unit majalah itu mengenai Malaysia dalam edisi terbaru Disember.

Harga bahan api dan gula mengalami kenaikan mulai 4 Disember lalu - kali kedua selepas Julai lalu ekoran dasar pelarasan subsidi oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara berperingkat-peringkat mesipun sebelum ini seorang menteri Kabinet mengatakan bahawa tidak akan ada kenaikan harga sehingga hujung tahun ini.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kilogram (kg) bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen satu kg bagi gula.

Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Langkah pertama program rasionalisasi subsidi dilaksanakan pada 16 Julai lalu apabila subsidi bagi petrol RON95 petrol dan diesel dikurangkan sebanyak lima sen seliter, 10 sen bagi satu kg untuk LPG dan 25 sen bagi satu kg gula.

Putrajaya berkata rasionalisasi subsidi perlu dilakukan kerana kerajaan mendapati ia perlu terus mengurus kedudukan fiskalnya dengan cara meningkatkan jumlah kutipan hasil dan, pada waktu yang sama, mengurangkan perbelanjaan.

Program Transformasi Ekonomi (PTE) bertujuan meningkatkan per kapita pendapatan kepada AS$15,000 (RM46,500) menjelang 2020, kata Putrajaya.

Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa kenaikan harga bahan asas ini pasti akan membawa padah terutama kepada kaum pekerja yang berpendapatan rendah. "Apabila harga barang keperluan asas ini naik, ia bermakna gaji kaum pekerja menurun.

"Kuasa beli yang dimiliki melalui upah gaji pada hakikatnya semakin merosot. Dua puluh sen harga gula naik ertinya dua puluh sen pula duit gaji kita semua turun," katanya.

MTUC juga berkata, harus disedari bahawa walaupun yang dinaikkan hanya harga hanya gula dan bahan bakar petroleum tetapi yakinlah barangan lain juga akan turut sama naik.

Laporan itu juga menjangkakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam beberapa tahun lalu dan meramalkan inflasi tahunan sebanyak 3.4 peratus antara 2011 hingga 2015.

"Risiko inflasi juga akan diakibatkan oleh GST, di mana kerajaan akan berusaha untuk memperkenalkan di bahagian awal tempoh itu," kata laporan tersebut.

"Tetapi pengaruh-pengaruh bukan inflasi juga akan kuat," kata laporan itu dengan merujuk kepada pemansuhan halangan-halangan perdagangan dan integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh.

Malah laporan itu juga meramalkan pertumbuhan lima peratus bagi Malaysia dari 2011 hingga 2015, yang seiring dengan jangkaan Bank Pembangunan Asia sebanyak lima peratus bagi tahun depan.

Bagaimanapun matlamat Najib mahu menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 memerlukan pertumbuhan enam peratus.

Penganalisis-penganalisis mendakwa Model Baru Ekonomi, yang bahagian kedua diumumkan Jumaat lalu kurang memperlihatkan pendekatan-pendekatan khusus untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Laporan itu juga menambah, suku ketiga tahun ini menyaksikan pertumbuhan perlahan, yang dijangka akan berterusan pada suku keempat.

Ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini selepas suku kedua yang lebih kukuh ekoran permintaan luaran yang lembab dan pengurangan perbelanajaan kerajaan.

Ekonomi bertumbuh 10.1 peratus pada suku pertama dan 8.9 peratus pada suku kedua.

Laporan itu meramalkan pertumbuhan 6.8 peratus bagi Malaysia tahun ini iaitu kadar enam hingga tujuh peratus yang dianggarkan oleh kerajaan.

Ia juga menekankan pelaburan dan penggunaan swasta akan menjadi penggerak utama pertumbuhan dalam lima tahun akan datang.

Malah laporan itu juga meramalkan ringgit akan mengalami peningkatan nilai hampir 10 peratus pada kadar purata tahun 2010.

"Perbezaan kadar faedah positif dengan Amerika Syarikat akan wujud di peringkat awal tempoh kajian (2011-2015), yang mana secara berterusan akan menyediakan sokongan kepada ringgit.

"Oleh itu, kami menjangkakan kadar pertukaran akan kekal sama, mencecah purata tahunan RM2.95:AS$1 pada 2015," kata laporan itu.

Di samping itu laporan tersebut juga menekankan bahawa Bank Negara Malaysia dijangka membenarkan ringgit didagangkan di luar pesisir pada tempoh terkemudian sepanjang 2011 dan 2015, ekoran perkembangan susulan ke arah integrasi ekonomi serantau

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments:

Post a Comment