Sunday, December 19, 2010

Selepas ini Umno anti warna jingga pula

Selesai konvensyen, ‘Buku Jingga’ jadi azimat pilihan raya

KEPALA BATAS, 19 Dis. : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewaktu sesi penggulungan Konvensyen Pakatan yang baru sahaja selesai, menyifatkan konvensyen kali ini sebagai satu kejayaan yang besar.

Ini kerana, menurut Anwar, kebulatan sikap serta persefahaman yang ditunjukkan parti-parti yang menghadiri konvensyen kali ini walaupun masing-masing mempunyai sentimen politik yang berlainan, adalah bukti bahawa perpaduan di kalangan parti Pakatan tetap utuh dan kejap.
Pada majlis yang sama juga Anwar mengumumkan tiga perkara sisi yang disepakati pimpinan Pakatan pada hari ini.

Pertama, Pakatan Rakyat akan meletakkan PAS bertanding di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang.

“Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk bertanding di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang. PAS akan mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya tersebut dan ketiga-tiga parti telah memberikan komitmen mereka untuk bersama-sama memenangkan PAS dalam pilihan raya tersebut,” umum Anwar.

Satu lagi persidangan Menteri Besar serta Ketua Menteri Pakatan akan dilangsungkan hujung bulan Februari 2011 ekoran kejayaan persidangan yang lalu.

Pada bulan Mac pula, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat akan menghadiri satu Kongres Ekonomi Pakatan Rakyat bagi membincangkan usaha bersama menggembleng sumber serta kekuatan ekonomi di antara negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Acara paling signifikan dalam konvensyen ini adalah pengenalan ‘Buku Jingga’ yang menggariskan Dasar Bersama Pakatan.

Dasar Bersama ini menggariskan iltizam Pakatan untuk mengalih hala negara dan bangsa ke arah landasan yang betul setelah dihantui salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman di bawah kerajaan BN.

Dasar Bersama ini adalah berlandaskan empat kerangka asas iaitu demokrasi yang telus dan tulen, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan, keadilan sosial bagi pembangunan insan yang menyeluruh, serta hubungan luar persekutuan-luar negeri yang adil dan setara.
Menurut Anwar lagi, ‘Buku Jingga’ ini adalah dokumen penting kerana ia menyambung beberapa kerangka dasar Pakatan yang diluluskan tahun lalu.

“Buku ini juga diperkenalkan lebih awal agar setiap peringkat parti dapat meneliti serta menghadami intipati yang ingin disampaikan dalam buku ini dan menjadikannya panduan dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” kata Anwar.

No comments:

Post a Comment