ARTIKEL: Setiap sesuatu ada baik buruknya; bergantung pada dari sudut mana isu itu dilihat. Kalangan pemimpin Pakatan Rakyat(PR) sendiri mempertikaikan langkah kerajaan Selangor melarang penggunaan 1Malaysia di tempat awam dan bangunan kerajaan.
Hujah diberi oleh kerajaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah slogan itu adalah mesej politik Barisan Nasional(BN) yang cuba menyembunyikan amalan politik perkauman yang dibawa oleh pemerintah. Namun sesetengah pemimpin PR berpendapat langkah itu hanya memberikan publisiti percuma kepada slogan itu dan BN sendiri. Media arus perdana sudah pun mula "menggasak" PR atas tindakan oleh kerajaan Selangor itu. Ini sudah dijangkakan.
Tidak kira apa pandangan dan dilihat dari sisi mana, ada seperkara yang menarik dalam isu ini. Hakikatnya adalah, BN sendiri telah lama mencantas sebarang program Pakatan Rakyat dalam percaturan politiknya.
Malah, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dan agensi berita lain yang di bawah pengaruhnya dilarang menggunakan ungkapan Pakatan Rakyat sama sekali. Mereka diarah menggunakan ungkapan Pakatan Pembangkang. Anwar Ibrahim pula tidak boleh dirujuk sebagai Mantan Timbalan Perdana Menteri; memadai beliau dipanggil Ketua Pembangkang (selepas beliau digantung, belum diketahui arahan baru yang bakal digunakan).
Begitu juga dengan penubuhan pelbagai agensi persekutuan di negeri-negeri yang ditadbir oleh PR. Peruntukan dari Putrajaya disalur terus kepada agensi ini termasuk JKKP atas alasan PR akan menyelewengkan duit rakyat. Alasan dangkal ini hanya laku dalam sistem demokrasi ala-BN.
Hanya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang diberikan peruntukan berjuta-juta ringgit untuk menjalankan projek di kawasan mereka. Duit rakyat hanya diberikan kepada wakil parti BN, bukan wakil yang dipilih oleh rakyat.
Ini cara Umno-BN berdepan dengan sistem politik dua parti. Strateginya jelas - cantas setiap yang dibuat oleh PR dengan tujuan untuk "menginsafkan" pengundi supaya kembali kepada pemerintah pada Pilihanraya Umum akan datang.
Tidak apa jika institusi awam, media arus perdana dan duit rakyat diperalatkan untuk mencapai tujuan ini kerana bagi BN “matlamat menghalalkan cara”.
Setakat ini belum ada SATU pun program Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan.
Air percuma untuk rakyat di Selangor, program membantu rakyat miskin dan warga emas tegar di Pulau Pinang jelas memanfaatkan rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka. Namun bukan sahaja pemimpin BN dan media arus perdana membidas program-program ini, malah mensabotajnya pada setiap kali mereka berpeluang berbuat demikian.
Faekah Husin, Setiausaha Politik Tan Sri Khalid hanya menyatakan realiti semasa bahawa Pakatan tidak pernah mengharap untuk mendapat sokongan apatah pujian dari BN atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh gagasan itu. Justeru PR di Selangor itu tidak boleh dipersalahkan jika menolak 1Malaysia sebagai mesej politik yang cuba diguna untuk menghalalkan amalan perkauman yang menjadi tunjang Umno dan parti komponen lain.
Berlatar belakangkan inilah, mungkin Kerajaan Negeri Selangor mengambil keputusan untuk "melawan balik" ketidak adilan yang sedang berlaku.
Mungkin secara relatif, tidak banyak akan dikecapi daripada larangan 1 Malaysia itu kerana Umno-BN pasti menggunakan segala jentera kerajaan untuk memastikan agendanya tidak tersasar.
Namun PR Selangor memilih untuk mengambil pendirian berprinsip bahawa ia tidak mahu rakyat negeri ini termakan slogan-slogan manis yang dibawa oleh sebuah parti yang terang-terang mengamalkan politik perkauman atas nama perpaduan.
Saturday, December 25, 2010
Slogan 1Malaysia lindungi perkauman Umno
Slogan 1Malaysia - Hakikat Dan Mitos Politik Negara
No comments:
Post a Comment