Wednesday, December 15, 2010

Speaker ikut arahan menteri

Pakatan tetap bantah Speaker gantung 4 MP








KUALA LUMPUR,16 Dis.: Pakatan Rakyat hari ini sekali lagi membantah keras keputusan Speaker meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi ahli Parlimen daripada menghadiri persidangan selama enam bulan.

Usul itu diluluskan tanpa bahas selepas berlaku kekecohan.

Anwar berkata, bantahan itu ekoran sikap berat sebelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dipengerusikan sendiri oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak memberi peluang kepada beliau untuk membela diri.

Tiga lagi ahli Parlimen yang digantung termasuk Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).

"Kita saksikan tadi cara Speaker mengendalikan sidang. Usul Bukit Gelugor agar speaker berundur kerana percanggahan kedudukan beliau dalam beberapa contoh termasuk pencelaan kepada Bukit Gelugor kerana dibuat secara langsung pertelagahan dalam mesyuarat di antara Bukit Gelugor dan Speaker.

"Tidak wajar Speaker yang buat laporan,dia yang siasat dan dia yang hukum.Dia enggan ambil keputusan yang tegas dalam hal ini maka kita juga enggan teruskan. Bagaimanapun dalam sidang tadi saya bangun untuk meneruskan ucapan tapi dia kata tak ada orang nak berucap.

"Jadi sebenarnya saya nampak dia begitu bias. Jadi kita ambil pendirian keluar membantah proses ini kerana tidak ada keadilan dan cara Umno BN yang begitu ganas dan rakus menjalankan kuasa,memperolokkan proses dan menghina Parlimen," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata, Pakatan Rakyat akan membincangkan langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara itu.

"Ini pendirian kita setakat ini dan kita dalam Pakatan akan bincang langkah seterusnya," katanya.

Karpal Singh pula bertegas akan membawa perkara itu ke mahkamah dengan merujuk Pandikar sendiri.

"Kita tidak mahu beliau terlepas dari perkara ini untuk masa depan. Counter productive to BN," katanya yang juga Pengerusi DAP.

Speaker terima arahan menteri

Sementara itu, Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok), berkata, Pandikar harus berundur dari mempengerusikan dewan kerana sudah hilang kelayakan.

Ini tegasnya jelas terbukti apabila Pandikar menerima arahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk membuat keputusan.

"Jelas sebelum kita keluar tadi kita melihat bagaimana speaker menerima arahan daripada menteri.Kita lihat pertukaran nota berlaku dari meja menteri kepada speaker dan di sini jelas menunjukkan speaker kita bukanlah seorang individu yang bebas membuat keputusan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh mana-mana undang-undang ataupun peraturan mesyuarat.

"Di sini mengiyakan lagi bahawa apa yang berlaku hari ini ialah speaker gagal untuk melaksanakan tugasnya daripada awal minggu hingga hujung minggu ini kerana arahan yang diterima daripada Barisan Nasional," katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Sehubungan itu tegasnya, integriti Pandikar sebagai Speaker sudah hilang dan beliau harus berundur.

"Beliau sebenarnya tidak layak lagi mempengerusikan mesyuarat dalam Parlimen kerana hilang kayakan dari segi integriti, kebebasan beliau sebagai Speaker," katanya.

Ujarnya juga, Parlimen juga telah menjadi seperti institusi-institusi lain yang dipersoalkan integritinya.

"Sudahlah institusi yang lain menjadi isu,satu lagi institusi yang menjadi tunggak demokrasi dalam negara kita sekali lagi dicengkam oleh pihak pemerintah.Ini menunjukkan negara kita menjunam dari segi amalan demokrasi," katanya.

Sebelum itu, dewan kecoh apabila berlaku pertikaman lidah di antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan Pandikar yang enggan berganjak daripada keputusannya tidak membenarkan Anwar membela diri.

Kekecohan hampir sejam itu menyebabkan ahli Parlimen Pakatan bertindak keluar dewan beramai-ramai sebagai tanda protes.

Sivarasa dan Azmin digantung kerana didakwa membuat kenyataan di luar dewan berhubung prosiding jawatankuasa berkenaan.

No comments:

Post a Comment