Tuesday, December 7, 2010

Tuduhan Najib sesuai untuk Muhyiddin bukan PR

Zuraida is the MP for Ampang













KUALA LUMPUR, 8 Dis.: Datuk Seri Najib Razak seharusnya menasihati timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar dapat bermuhasabah diri atau melakukan introspeksi terhadap kelemahan diri, seperti yang disarankan dalam ucapannya di Konvensyen Barisan Nasional, Ahad lepas.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan sewajarnya harus dikenakan terhadap Muhyiddin yang jelas seorang anti nasional kerana sering kali membuat kenyataan berunsur rasis dan menimbulkan amarah dan kebencian rakyat.

Justeru, katanya dakwaan Najib yang sewenangnya menyelar pemimpin Pakatan Rakyat sebagai “sangat merbahaya dan anti nasional” sewaktu konvensyen itu adalah suatu tindakan yang biadap dan tidak mencerminkan ketokohannya sebagai seorang Perdana Menteri.

Menurutnya, hasutan dan fitnah yang dilemparkan sama sekali tidak berasas kerana telah dibuktikan dalam Deklarasi Pakatan Rakyat bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat akan sentiasa mendukung prinsip kenegaraan dan patriotisma sebagai elemen utama perjuangan.

“Sebagai pentadbir nombor 1 negara, PM seharusnya lebih memfokuskan kepada kerjanya, namun sebaliknya, Najib asyik bermain retorik dan fitnah dengan harapan agar rakyat akan lupa pada segala perlakuan sumbang dan penindasan Umno BN selama ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, siri fitnah PM itu adalah suatu strategi desperado PM bagi mengalih tumpuan dari kemarahan rakyat akibat ‘pakej kenaikan harga 4 dalam 1 PM Najib Razak” (Air, Gula, Ron 97, Ron 95) dan isu dalamannya sendiri, seperti konspirasi penangguhan pemilihan Umno dan rombakan Kabinet yang akan berlaku tidak lama lagi.

Tambahnya, penghinaan kepada kapasiti rakyat sebagai pendukung kerajaan apabila PM sendiri tidak menghormati kehendak dan pandangan rakyat, sebaliknya hanya membuat keputusan dengan mementingkan dan menjaga keuntungan kelompok kronisme semata-mata.

Baginya, ingatan Najib kepada empat "penyakit" yang sering melanda parti yang sudah lama berkuasa, iaitu khayalan, kelupaan, kejumudan dan keangkuhan adalah suatu pendedahan dan pengakuan kepada kebobrokan dan kepincangan Umno BN selama ini.

“Andai benar ini petanda awal kepada tarikh Pilihanraya Umum Ke-13, pemimpin Pakatan Rakyat akan bersedia untuk menghadapinya, kerana nampaknya Najib sendiri sudah sedar bahawa rakyat semakin membenci Umno-BN dan keyakinan pada pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat terus meningkat.

“Lebih lama Umno BN di Putrajaya, lebih banyak rasuah, kronisme dan salah guna akan berlaku,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments:

Post a Comment