KEMAMAN, 4 Dis.: Jika kerajaan Umno- Barisan Nasional(BN) enggan peduli nasib peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan(FELDA), peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan dan mangsa perampasan tanah di Sabah dan Sarawak, bersiap-sedia untuk berdemonstrasi secara besar-besaran.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK), Mazlan Aliman berkata kerajaan diberi peluang menyelesaikan isu penipuan di tanah rancangan pertanian, dan kebiadapan kroni pemerintah merampas tanah milik rakyat Sabah dan Sarawak.
Jika masih tidak dipedulikan, perarakan 100,000 rakyat melibatkan mangsa dan rakyat prihatin akan menggegarkan ibu negara, untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong, memohon keadilan dan perlindungan.
Mazlan berkata perarakan ini adalah sebagai langkah terakhir. Tegas beliau isu-isu yang berbangkit harus diselesaikan sebelum Parlimen dibubarkan.
"Sampai satu tahap apabila segala proses perbincangan dan rundingan gagal melunakkan hati pemimpin-pemimpin kerajaan, kita terpaksa menggunakan pendekatan ini. Ini tidak dapat dielakkan. Saya telah sebut dengan pimpinan PAS Pusat, kita bersedia mengerahkan masyarakat marhaen ini," katanya ditemui Tv Selangor di Kemaman.
Mazlan menjelaskan beliau aktif bergerak di Sabah dan Sarawak sepanjang dua tahun ini, selepas terpanggil dengan keluhan yang dialami rakyat di sana.
Beliau menambah beliau menerima laporan dan aduan bahawa pihak tertentu dipercayai kroni pemerintah menceroboh, merosakkan tanaman, membakar pondok yang ada, dan merampas tanah-tanah tani milik rakyat Sabah dan Sarawak di kawasan pedalaman.
"Isu yang paling serius terutamanya di Sabah dan Sarawak. Tanah-tanah mereka sesuka hati dirampas oleh syarikat-syarikat besar yang datang melalui kabel kerajaan negeri. Terbaru, mereka keluar notis merampas tanah milik rakyat di Keningau, yang mereka telah diami 70-80 tahun.
"Tiada tempat untuk mereka mengadu. Saya dan mereka berhimpun dalam satu pertemuan di Sandakan membabitkan 3,000 rakyat Sabah, melahirkan keluhan mereka kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat lainnya," terangnya.
Mazlan berkata pihaknya mahu menghimpunkan kekuatan parti-parti Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan dalam kempen ini.
Perancangan ini dijangka memakan masa tiga hingga empat bulan, dan pihaknya berharap sasaran 100,000 rakyat dapat tercapai, dan menyampaikan rintihan mereka kepada Raja-Raja Melayu.
"Sebenarnya sudah lebih dua tahun saya berulang-alik Sabah dan Sarawak. Terakhir saya himpunkan lebih kurang 3,000 orang dari pedalaman di Sandakan. Dan mereka sangat mengharapkan bantuan kita kerana mereka tiada tempat untuk mengadu. Saya terkejut mereka sanggup kembara 7-8 jam untuk menemui Ketua Pembangkang Datu Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggambarkan masalah mereka.
"Selepas itu, mereka hubungi saya dan memberitahu bahawa jentolak telah sampai ke tanah mereka. Tanaman dirobohkan, rumah mereka juga dibakar. Berminggu-minggu tanaman dimusnahkan. Kita tidak boleh biarkan suasana ini berlaku," jelasnya lanjut.
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment