SHAH ALAM 23 Dis.: Tabung dana awam berjumlah lebih RM36 bilion akan diguna untuk membiayai pembinaan projek prasarana Transit Aliran Massa atau MRT Kuala Lumpur Raya.
Ini dikhuatiri akan menyebabkan aliran keluar wang dan caruman hasil titik peluh rakyat secara besar-besaran.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail mengesyaki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) atau agensi seperti Felda akan diarah untuk membeli bon-bon khas yang dikeluarkan Kerajaan Pusat untuk membiaya projek MRT.
Wang rakyat yang tersimpan di tabung dana awam seperti KWSP mungkin menjadi sasaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ekoran ketidakyakinan pelabur asing dan domestik melabur dalam projek itu.
"Dia mengharapkan pelaburan langsung tempatan, tetapi itu tidak berlaku. Kalau pelabur asing juga tidak menyakini kerajaan Malaysia, apakan lagi domestik, jadi kerajaan menjadi terdesak.
'Akhirnya bila bon-bon ini dikeluarkan, kerajaan akan memaksa KWSP, Socso, atau barangkali Tabung Haji dan mungkin juga Felda dan
agensi-agensi kerajaan untuk membeli bon seolah-olah macam kerajaan meminjam duit dari agensi-agensi ini," katanya kepada Tv Selangor.
Suruhanjaya Pengangkutan Darat atau SPAD hari ini mengumumkan pembiayaan untuk projek ini akan diuruskan oleh syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh Pemerbadanan Kementerian Kewangan, berkemungkinan melalui pengeluaran bon-bon khas.
SPAD juga mengumumkan kos pembinaan projek ini adalah RM36 bilion, tidak termasuk kos-kos berkaitan dan perolehan tanah.
Azan Ismail percaya kos keseluruhan projek ini bakal mencecah RM50 bilion - berita buruk untuk rakyat Malaysia sekiranya wang simpanan dan caruman mereka disalurkan ke syarikat MCC-Gamuda JV Sdn Bhd yang dilantik sebagai rakan penyampaian projek SPAD.
"Kalau harga projek itu RM36.6 bilion, apa pulangannya dalam masa 5 atau 10 tahun pertama?
"Saya bimbang rakyat mengalami projek dua kali lebih besar," katanya.
Mengulas lebih lanjut, Azan berkata Perdana Menteri Najib telah melanggar ketetapan dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 dan Model Baru Ekonomi bahawa penyertaan kerajaan terhad kepada 10 peratus sahaja.
"Keseluruhan pembiayaan Kuala Lumpur Raya, kerajaan hanya menanggung 10 peratus sahaja, 90 peratus mengharapkan pelaburan swasta. Perubahan polisi berlaku dalam masa tidak sampai tiga bulan," katanya.
Thursday, December 23, 2010
Wang rakyat akan menjadi mangsa projek untuk kroni
Dana Awam Bina MRT?
No comments:
Post a Comment