Wednesday, December 8, 2010

Yusuf Islam di UIA


GOMBAK 9 DIS 10: Para pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, dekat sini dan orang ramai tetap tidak akan melupakan pesanan baik yang diberikan oleh Cat Steven atau kini lebih dikenali dengan nama Yusof Islam, sempena kunjungan penyanyi itu ke masjid pusat pengajian itu untuk menyampaikan tazkirah ringkasnya, Jumaat, 26 November lalu.

Seorang pelajar pusat pengajian itu, Mohd Shamsul Shamsuddin ketika ditemui hari ini berkata, beliau dan rakan-rakannya berasa amat bertuah kerana penyanyi dan pendakwah terkenal itu sudi hadir ke UIA untuk menyampaikan tazkirahnya yang walaupun ringkas, tetapi penuh dengan mesej-mesej yang berguna.

Ketika menyampaikan tazkirahnya, Cat Steven antara lain mengingatkan setiap umat Islam agar faham dengan perjalanan hidup kita yang berbeza sama sekali dengan kehidupan orang bukan Islam, dengan selalu bermuhasabah bagi membolehkan kita menjadi semakin baik dari sehari ke sehari.

Oleh itu, setiap umat Islam perlu memperlengkapkan dirinya dengan ilmu bagi membolehkan kehidupan yang dilalui bukan sahaja sempurna pada pandangan manusia, tetapi lebih penting lagi menepati kehendak Islam, bagi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Tazkirah ringkas sekitar setengah jam itu disampaikan oleh Cat Steven selepas solat Jumaat. Kehadiran beliau menjadikan Masjid UIA pada hari itu diwarnai suasana yang amat berbeza berbanding hari-hari sebelumnya, apabila bukan sahaja dipenuhi para pelajar sedia ada di pusat pengajian itu, tetapi juga orang ramai yang turut mengambil kesempatan untuk melihat wajah beliau secara dekat dan mendirikan solat Jumaat bersama-sama dengannya.

Perubahan Cat Steven daripada bukan Islam kepada Islam, lebih-lebih lagi kini turut menjadi pendakwah terkenal, sememangnya membanggakan setiap umat Islam.

Dengan perubahan itu, tidak hairanlah jika khatib yang bertugas pada hari itu turut memuji perubahan baik yang berlaku dalam kehidupan beliau ketika membacakan khutbah Jumaat sebelum itu, bagi dijadikan titik renungan oleh setiap umat Islam, terutama golongan remaja agar menjalani kehidupan yang lebih baik menepati tuntutan Islam dari semasa ke semasa.

Sebelum takzirah ringkasnya itu pula, pengerusi majlis ketika mengalu-alukan kedatangan beliau ke masjid itu turut menjelaskan, kesudian Cat Steven datang ke Malaysia hari itu merupakan satu anugerah yang amat berharga dari Allah kepada seluruh umat Islam di tanah air. Manakala kesudiannya datang ke masjid itu pula merupakan tuah yang tersendiri kepada seluruh warga pusat pengajian itu.

Dengan itu, tidak hairanlah jika sebelum itu, beliau turut diberikan sambutan negara dengan diraikan dan diterima mengadap oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dalam pertemuan yang berlangsung sekitar sejam dan menggembirakan kedua-dua pihak itu, Yusof tidak ketinggalan menceritakan sebahagian kisah hidupnya kepada Tuanku Mizan yang penuh liku termasuk melibatkan aspek pendidikan dan muzik.

Ketika menyampaikan tazkirahnya, beliau turut menyuarakan rasa terharu dan menyanjung tinggi penghormatan yang diberikan kepadanya itu. Beliau turut menyuarakan kesyukurannya kepada Allah kerana mengurniakan hidayah kepadanya sehingga beliau memeluk Islam, di samping mengajak orang ramai agak bersama-sama menjaga keimanan dengan sebaik mungkin bagi kepentingan hidup di dunia dan akhirat.

Seorang lagi pelajar pusat pengajian itu yang ditemui, Rohana Abdul Kadir berkata, di dalam tazkirahnya itu, Cat Steven turut mengingatkan orang ramai, terutama golongan muda dan para pelajar agar sentiasa menitikberatkan soal akhlak Islam dalam hidup, di samping mendidik nafsu dengan baik agar tidak terjerumus ke lembah maksiat.

"Walaupun pesanan seperti itu sudah sering kali didengar oleh saya sama ada daripada ibu bapa saya sendiri dan pendakwah-pendakwah lain sebelum itu, tetapi pesanan dari Cat Steven memberikan kesan yang tersendiri kepada saya," katanya.

Manakala seorang penduduk di kawasan itu yang turut mendirikan solat Jumaat bersama Cat Steven pada hari itu, Junaidi Abdul Rahim, 48, berkata, tazkirah ringkas pendakwah itu walaupun lebih banyak memperkatakan tentang perjalanan hidupnya dan nasihat kepada golongan remaja, tetapi turut meninggalkan kesan baik kepada golongan dewasa sepertinya.

"Malah, perubahan penyanyi Cat Steven itu sendiri daripada bukan Islam kepada Islam dan kini menjadi pendakwah yang disegani ramai itu pun dah boleh menjadi titik renungan penting kepada orang yang berakal.

"Kenapa beliau memeluk Islam dan kini sanggup menjadi pendakwah dengan meninggalkan sepenuhnya imejnya yang lalu, sedangkan beliau sudah berada di mercu kejayaan dalam bidangnya dan mempunyai jutaan peminat? Itu pun sudah cukup untuk menjawab bahawa jika menolak Islam, tanpa keimanan dan ketakwaan, seseorang itu tidak akan ke mana, tidak sempurna dan tidak akan bahagia dalam erti kata yang sebenarnya dalam kehidupan di dunia ini, apatah lagi di akhirat.

"Jadi untuk hidup sempurna, tenteram, bahagia dalam erti kata yang sebenarnya di dunia dan akhirat, manusia perlu berubah daripada kafir kepada Islam, daripada kufur dan fasik kepada ahli ibadat. Dengan itu, barulah kelihatan hasilnya seperti yang berlaku dalam kehidupan Cat Steven itu sendiri sehingga menjadi manusia yang dihormati orang ramai, ekoran kehidupannya yang diberkati Allah," tegasnya.

Sebaik selesai menyampaikan tazkirahnya, Cat Steven terus dikerumuni orang ramai terutama para pelajar di pusat pengajian itu yang melibatkan semua bangsa untuk bersalaman dengannya.

Namun, atas faktor keselamatan dan jadual lain yang perlu dipenuhinya, orang ramai hanya berpeluang bersamanya sekitar 15 minit sahaja kerana beliau tidak dibiarkan berada lebih lama bersama orang ramai di masjid itu oleh pihak pentadbiran UIA yang terus membawanya keluar menuju ke destinasi yang telah dikhaskan, termasuk menjamu selera bersama kepimpinan pusat pengajian itu. (Harakahdaily)




MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


No comments:

Post a Comment