IPOH, 9 Dis. : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat gelagat Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir semasa menafikan kesilapannya di dalam menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program
Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu sebagai satu bentuk helah yang cuba membina persepsi lain terhadap istilah ancak yang digunakan sebagai tidak tepat dengan majlis yang telah dilangsungkan.
DPPN Pk secara jujur tidak pernah mereka istilah 'ancak' ini untuk dilemparkan tuduhan terhadap Datuk Seri Zambry tetapi hanya memberi komen dan nasihat berdasarkan laporan berita yang dipetik dari portal
Barisan Nasional (BN) sendiri. Namun DPPN Pk tetap konsisten mempertahankan bahawa Datuk Seri Zambry telah menjalankan satu upacara amalan khurafat yang berunsur syirik berdasarkan laporan dan video tersebut.
Secara dasarnya Datuk Seri Zambry telah jelas melakukan satu majlis yang tidak syar'i yang bertentangan dengan ajaran aqidah Islam yang amat tegas dalam melarang unsur-unsur syirik walaupun ianya tidak melibatkan sebarang penyelembelihan atau persembahan.
DPPN Pk amat kecewa dengan sikap angkuh Datuk Seri Zambry untuk tidak mahu mengaku salah dan bertaubat, sedangkan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin telah menjelaskan kedudukannya berkaitan memegang lilin tahun lepas.
DPPN Pk masih menganggap kenyataan Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria Mufti Kerajaan Negeri Perak berkaitan ancak tiang seri adalah sebagai amalan khurafat.
Sepanjang 4 (empat) hari Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tempohari, Datuk Seri Zambry tidak langsung menginsafi dan mengambil peluang untuk membetulkan kesilapannya dengan mengatakan ‘jika saya bersalah, saya akan bertaubat’, tetapi lebih suka untuk mengambil mudah dalam persoalan aqidah ini dengan hanya mengatakan ‘kalau Mufti kata salah, salah le saya mudah aje’.
Bagi DPPN Pk, Datuk Seri Zambry adalah seorang angkuh yang pandai bermain kata-kata. Datuk Seri Zambry akan terus lari daripada mengaku salah di atas perbuatannya yang akan terus dipersoalkan oleh umat Islam.
Jika masyarakat Melayu / Islam bertindak untuk meneruskan perkara yang sama, maka Datuk Seri Zambry sebagai EXCO Agama Islam adalah contoh ikutan terbaik mereka.
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment