Sunday, March 7, 2010

Kulaan nyambat ikam letak jawatan


BAGAN SERAI, 7 Mac : Satu lagi himpunan pengundi-pengundi P058 mendesak YB Hj Mohsin MP Bagan Serai supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Lebih 200 orang pengundi hadir pada petang tadi di perkarangan rumah sdr Abd Karim di Kg Sungai Bogak. Siri Himpunan seperti ini mungkin akan diteruskan di beberapa tempat lain disamping majlis bacaan yassin dan solat hajat selama 7 hari 7 malam yang telah disusun.

YB Haji Husin Din menyampaikan ucapan kepada hadirin

YB Hj Ramli Hj Tusin turut hadir dan memberikan sokongan moral kepada hadirin


YB Yunus Jamhari Adun Kuala Kurau turut hadir (gambar Ihsan dari albanjari)



Muslimat PAS dan wanita Keadilan yang menyertai demonstrasi mendesak YB Mohsin meletak jawatan




anak muda yang bertungkuslumus memenangkan anda dalam pru12 meminta anda meletak jawatan


Luahan hati pengundi P058 kepada YB Mohsin

Seluruh pengundi P058 sudah tidak mempercayai anda lagi. N12 Selinsing


Mufti atau Mufta?

Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.

Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan. Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya.

Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,

“Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

“Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,”

Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau datang ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku.

Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?

Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS!

Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Umno pening hendak lagakan tiga parti dalam PR

SHAH ALAM, 7 Mac : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika perlu beliau sanggup melepaskan jawatan ketua pembangkang kepada DAP yang kini mendominasi jumlah kerusi Pakatan Rakyat di parlimen.

“Oleh kerana jumlah kerusi PKR sekarang kurang, saya pelawa (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang yang lebih banyak pengalaman. Saya tidak akan pertahankan.

“(Bergurau) Saya lebih pengalaman sebagai menteri. Tetapi Lim awal-awal lagi berkata, perkara itu bukan isu,” katanya.

Setelah empat ahli parlimen PKR bertindak keluar parti dan menjadi wakil bebas baru-baru ini, parti itu kini hanya memiliki 27 kerusi berbanding DAP sebanyak 28. PAS pula mempunya 23 wakil dalam Dewan Rakyat.

Pada kebiasaannya, pembangkang yang terkuat dalam parlimen yang akan melantik seorang wakil mereka sebagai ketua pembangkang.

Ketika menyampaikan ucapan perdana sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di Shah Alam hari ini, Anwar juga berkata, usaha Umno yang mahu mengambil kesempatan atas keadaan tersebut tidak akan berjaya.

“Umno pening macam mana hendak lagakan ketiga-tiga parti ini. Mereka tidak tidur. (Kalau tidur dan) mimpi pun, (mimpi) macam mana hendak gaduhkan kita,” katanya disambut gelak-ketawa para perserta.

Sementara itu, Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur yang berucap sebelum itu turut menyatakan pendirian yang sama.

“DAP komited pada satu matlamat, (iaitu) menuju ke Putrajaya. Anwar akan terus menjadi ketua pembangkang sehinggalah beliau menjadi perdana menteri (pada suatu hari nanti),” katanya.

PKR, DAP dan PAS Selangor hari ini menganjurkan konvensyen pertama mereka dekat bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri bagi mengukuhkan persefahaman antara mereka.

Konvensyen bertemakan “Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat” itu berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta daripada ketiga-tiga anggota parti masing-masing di seluruh Selangor.

Berdasarkan ucapan-ucapan pemimpimnya, konvensyen tersebut dilihat cuba mentententeramkan penyokong Pakatan Rakyat supaya tidak bimbang dan panik dengan fenomena keluar parti seorang demi seorang yang melanda wakil rakyat mereka.Malaysiakini

Umno beli ' kuda patah kaki'










KUALA LUMPUR, 7 Mac : Tindakan Umno membeli tiga Ahli Parlimen KEADILAN disifatkan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa sebagai mengguna kuda sakit atau patah kaki untuk berperang.

"Sekarang Umno dan Barisan Nasional sudah beli wakil rakyat KEADILAN dan tukar jadi wakil rakyat bebas. Dulu masa mengundi mereka menang atas tiket Pakatan Rakyat tetapi selepas ambil wang dari Umno mereka jadi bebas.

"Malangnya Umno sudah beli kuda sakit atau patah kaki. Mana ada orang pakai kuda sakit atau patah kaki untuk pergi perang," kata Husam dalam ucapan ringkas beliau pada jamuan makan malam anjuran DAP Kepong di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kepong selaku tuan rumah Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke.

Husam berkata jika Pakatan Rakyat dan rakyat bersatu sudah tentu Umno dan BN dapat ditumbangkan pada pilihan raya umum akan datang.

Menyentuh mengenai isu royalti minyak yang dinafikan kerajaan pusat kepada rakyat Kelantan, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu berkata mahkamah di Malaysia boleh dianggap sebagai mahkamah "kangaroo".

"Satu-satunya binantang dalam dunia yang ada poket ialah kangaroo. Umno sudah letak mahkamah dalam poketnya. Ia akan lompat ikut ke mana Najib arahkan.

"Itulah akibatnya jika tidak mengikut undang-undang. Dalam kes royalti minyak Kelantan apabila mahkamah sudah jadi mahkamah "kangaroo" mereka tidak mahu bayar royalti. Kerajaan akan jatuh, tamadun akan hancur dan musnah kalau undang-undang tidak mahu diikut. Oleh itu seluruh rakyat mesti bersatu padu dan komited untuk menumbangkan Umno-BN dan menubuhkan kerajaan pusat yang baru," katanya lagi. -SK

Umno jangan mimpi PR retak

BAYAN BARU, 7 Mac: Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya jangan mengimpikan keretakan akan berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) jika hanya segelintir daripada wakil rakyat yang ada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi wakil rakyat Bebas kebelakangan ini.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semasa berucap dalam Majlis Sambutan 2 Tahun Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah di Pulau Pinang yang diadakan di tapak pesta, Sungai Nibong semalam.

Menurut Mustafa lagi, Umno dan BN jangan cuba hendak melaga-lagakan kepimpinan PR dengan memperbesarkan isu Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Suka saya tegaskan di sini bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat yang didokong oleh PAS, PKR dan DAP telah bersepakat dan bersetuju sebulat suara bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap menjadi Ketua Pembangkang walaupun tidak menguasai kerusi sepenuhnya dalam Parlimen.

“Bukan Umno atau BN yang menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Kami daripada Ahli Parlimen PR yang berhak menentukannya,” katanya.

Oleh kerana itu, katanya Umno dan BN jangan mengharapkan berlakunya perpecahan dalam PR semata-mata dengan isu sekecil itu.

Beliau mengingatkan pemimpin Umno dan BN supaya memperbetulkan masalah dalaman yang berlaku kepada komponen mereka seperti MCA dengan dua presidennya, PPP dengan masalah yang sama antara Kayveas dan Murugiah, Umno dengan masalah dalaman mereka, MIC yang sudah hilang keyakinan majoriti masyarakat keturunan India dan Gerakan yang sudah hilang keyakinan masyarakat kepada mereka.

"Isu keluar parti ini telah lama wujud sejak zaman Umno lagi. Begitu juga yang pernah berlaku semasa Datuk Asri Muda keluar dari PAS bersama 13 orang sahaja yang mengikut beliau tetapi PAS tetap bertahan sehingga sekarang.

“DAP juga pernah mengalami nasib yang sama suatu ketika dulu. Namun ia tetap bertahan sehingga sekarang. PKR yang sedang mengalami isu yang sama juga tetap akan kukuh apabila membersihkan apa yang mengeruhkan parti tersebut," katanya lagi.

Sementara itu, pelbagai kain rentang menghiasi jalan masuk ke tapak pesta yang merupakan salah satu kawasan yang diwakili oleh Datuk Seri Zahrain Hashim yang mendesaknya melepaskan jawatan sebagai ahli parlimen dengan segera.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman dan kepimpinan PR seluruh negeri.hrkh

Ratib palsu


KOTA BARU, 7 Mac : Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil-wakil rakyat yang keluar parti sekadar meratib palsu bagi menghalalkan tindakan mereka.

Katanya, bermacam-macam alasan diberi mereka untuk meninggalkan parti kononnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Namun ia hanyalah ratib palsu. Langsung tidak logik alasan mereka demi menjaga kepentingan agama dan bangsa tiba-tiba menyerahkan diri kepada Umno.

“Sedangkan Umno sebuah parti yang tidak pernah menjaga agama dan bangsa,” katanya pada kenyataan media di sini semalam.

Baru-baru ini tiga anggota parlimen (MP) Parti Keadilan Rakyat iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim (Bayam Baru), Tan Tee Beng (Nibung Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti.

Manakala anggota parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dipecat kerana melanggar disiplin parti.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, wakil-wakil rakyat terbabit enggan meletak jawatan untuk bertanding semula dengan dengan kekuatan peribadi sendiri.

“Jika persoalan bertanding semula menjadi isu, ini bermakna pemimpin terbabit hanya memikirkan kepentingan diri dan bukannya kepentingan rakyat.

“Bimbang sangat jika tidak dapat bertanding. Jelas dan terang mereka hanya menjaga kepentingan diri. Syak saya dan juga orang lain semakin kuat, apatah lagi jika benar didorong oleh imbuhan berjuta-juta,” katanya.

Beliau juga berharap PKR tidak mudah berputus asa dengan perkembangan yang berlaku sekarang memandangkan parti itu masih lagi muda dalam gelanggang politik negara.

Menurutnya, PAS sewaktu zaman mudanya dulu juga diancam amalan lompat parti.

Beliau berkata, di Terengganu pernah PAS tersungkur kerana ada yang melompat parti.

“Di zaman Allahyarham Daud Samad dan Allahyarham Datuk Asri Muda, berlaku juga kes lompat parti. Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat seperti dahulu.

“Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dengan dua undi. Alhamdulillah, tidak ada yang melompat,” katanya.hrkh

Isu tuntutan royalti, GST bakal dibawa ke Parlimen


BACHOK , 7 Mac : Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Rakyat Ke-12 pada 15 Mac hingga 15 April depan dijangka akan membincangkan beberapa isu yang sedang hangat melanda negara termasuk berkaitan tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri.

Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa berkata, isu tuntutan royalti tersebut merupakan antara isu yang dijangka menjadi perbincangan selain usul berkaitan kepentingan rakyat.

“Terdapat beberapa isu yang mungkin akan dibincangkan nanti dan antara lainnya ialah tentang royalti yang sedang diperkatakan kini.

“Selain itu, antara yang yang bakal dirungkaikan juga mengenai Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kerana apa yang dilihat kini rakyat didahulukan dalam menerima bebanan," katanya ketika diminta mengulas mengenai usul yang akan dibawa ke Mesyuarat Pertama Penggal :Ketiga Dewan Rakyat Ke-12 nanti.

Nasharuddin ditemui ketika menghadiri Program Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bachok yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bachok di sini, semalam.

Menurutnya, selain itu, isu Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dicadangkan Kerajaan Barisan Nasional dan dijangka dilaksana pertengahan 2011 bagi menggantikan cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada turut menjadi perkara pokok dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.SH

Anwar tetap Ketua Pembangkang

BACHOK , 7 Mac : Pakatan Rakyat (PR) tetap mempertahankan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang walaupun parti itu tidak lagi mendominasi pakatan tersebut.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, ketiga-tiga pemimpin pakatan bersetuju dengan kepimpinan Anwar dan tidak timbul soal pengganti yang harus menerajui pakatan itu.

“Pakatan yang terdiri dari PAS, DAP, dan PKR telah bersetuju, walau apa pun Anwar tetap menjadi Ketua Pembangkang.

“UMNO jangan dok nak sibuk nak campur urusan ini. Ikut kami la nak lantik sebagai ketua pembangkang, yang UMNO nak susah-susah itu kenapa?” katanya ketika berceramah di Kampung Kandis dekat sini, malam semalam.

Sebelum ini, jawatan Ketua Pembangkang yang disan-dang Anwar sejurus Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu mula menjadi isu apabila tiga Ahli Parlimen PKR keluar parti.

Ekoran itu, PKR hanya mempunyai 28 anggota di Dewan Rakyat termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Micheal Jeyakumar Devaraj dari Parti Sosialis Malaysia yang bertanding atas tiket PKR, DAP mempunyai 28 wakil dan PAS 3.

Dalam pada itu, Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat Ahli Parlimen PKR yang keluar parti.

“Kita harap SPRM mengambil tindakan sewajarnya atas keraguan itu. Badan itu sepatutnya menyegerakan siasatan sebagaimana siasatan terhadap PR jika timbul keraguan,” katanya.

Nasharuddin, bagaima-napun menyifatkan tindakan tiga Ahli Parlimen PKR itu sebagai proses pembersihan bagi memantapkan parti.SH