Wednesday, March 10, 2010

Konvensyen Ulama' Muda PAS Negeri Perak
















IPOH, 11 Mac : Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri Perak, Ustaz Shuaid Din mengingatkan peserta Konvensyen Ulama' Muda khususnya agar berhati hati dengan `zon selesa' kerana jika ianya tidak ditangani dengan baik dkhuatiri nanti zon selesa itu akan menjadi perangkap kepada mereka.

Akibatnya nanti mereka merasakan sudah selesa di zon tersebut dan tidak lagi mahu bersama sama berjuang menengakkan Islam serta tidak mahu lagi bergiat aktif dalam perjuangan Islam.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Konvensyen Ulama' Muda PAS Negeri Perak di Hotel Sri Malaysia 7 Mac lalu.

Menurut beliau, apa yang dimaksudkan dengan zon selesa itu mereka telah mendapat tawaran pekerjaaan yang cukup selesa dan memperolehi gajinya yang dikira setimpal dengan jawatan mereka, oleh kerana sudah merasa cukup selesa dengan jawatan menyebabkan mereka tidak lagi mahu bergerak dalam jemaah Islam khususnya PAS.
"Jawatan kadang kala satu perangkap yang dicipta oleh musuh musuh Islam untuk menghadkan pergerrakan kita untuk tidak terlibat dengan perjuangan, akibatnhya kita tidak bersemangat untuk berjuang," jelasnya.
"Apabila sudah terlibat dengan J Qaf, muslimat pula perlu menghadiri Kursus Dalam Cuti' , mereka mulai sibuk, lalu timbullah satu hujah baru, mereka yang telah sibuk ini jangan disibokkan lagi, itu cuma alasan sahaja," katanya.

Menurutnya, lebih parah lagi bila roh atau semangat perjuangan sudah tidak ada pada diri anak muda kerana sudah merasa keselesaan hidup dan menjadi malas untuk berjuang.
Para lulusan institusi pengajian tinggi dalam bidang Islam mempunyai tugas dan peranan yang boleh membantu PAS, mereka tidak semestinya menampakkan `wajahnya' dalam pentas PAS, tetapi boleh berperanan disebalik tabir dalam perjuangan Islam ini.

"Anda boleh buat satu kumpulan untuk menterjemahkan buku untuk kita gunakan dalam usrah usrah, ini juga satu jihad."
"Jika anda tidak berani tampil ke garisan depan perjuangan, anda boleh berjihad dengan wang ringgit, hulurkan sumbangan wang anda bagi membantu jemaah Islam PAS," jelasnya.
Beliau menarik perhatian peserta konvensyen, baru baru beliau berkesempatan melawat dua sekolah agama di Singapura antaranya Wak Tanjung Islamiah, sekolah tesebut yang didirikan atas tanah seluas satu ekar dan sekolah itu dibina lima tingkat, kos pembinaannya berjumlah RMS17 juta , satu sen pun tidak ada duit dari Kerajaan Singapura, sebaliknya masyarakat Islam Singapura menyumbangkan beberapa ringgit
untuk tabung pembinaan, akhirnya sekolah tersebut yang serba lengkap berjaya didirikan

Beliau berharap dengan berlangsungnya Konvensyen Ulama' Muda kali pertama, ianya akan dapat mengumpulkan seramai mungkin para lulusan IPT di bidang agama untuk membantu perjuangan Islam di negeri ini serta boleh menjadi pertugas petugas PAS sama ada di barisan depan atau barisan belakang, apa yang penting mereka bersama dan berjihad bersama PAS.Dpppk

Siapa yang ditangkap pertahankan aqidah Natrah, pemimpin PAS atau Umno ?
















KUALA LUMPUR, 10 Mac :
W
alaupun mengajak semua pihak bersatu dengan mengambil tragedi Natrah sebagai contoh, pimpinan Umno sebenarnya lepas tangan dalam memperjuangkan akidah gadis Belanda itu.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu sebelum diambil alih Umno, Said Zahari berkata, Umno tidak mengambil peduli isu berkenaan sebaliknya membiarkan tokoh pembangkang lain memainkan peranan.

"Umno sebagai parti tidak terlibat. Kecuali adalah beberapa orang pemimpin kelahiran Singapura antaranya (Tun) Saadon Zubir," katanya kepada TV Selangor hari ini.

Beliau mengakui Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman terlibat dalam perjuangan berkenaan tetapi Presiden Umno kedua itu pada masa berkenaan, belum menyertai Umno.

Said berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya meminta umat Melayu-Islam di negara bersatu dengan mengambil contoh tragedi Natrah.

Sebaliknya Utusan Malaysia dengan memetik kenyataan Muhyiddin cuba memutar belit sejarah kononnya semua parti termasuk Umno mendukung perjuangan terhadap Natrah.

Kenyataan itu dibuat pada pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, kononnya Umno bersama-sama Hizbul Muslimin dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bersatu mempertahankan kesucian Islam Natrah.

Tragedi Natrah atau nama sebenarnya Maria Hertogh di Singapura pada tahun 1950 hingga kini menjadi simbol perjuangan Islam dinegara ini.

Gerakan memperjuangkan akidah Natrah, bukan gerakan bersepadu parti politik sebaliknya didominasi tokoh parti pembangkang termasuk bekas Presiden PAS, Dr Burhanuddin Helmy.


Mengikut buku ‘Tragedi Nadra’, Umno tidak membuat apa-apa sebagai sebuah parti malah mengambil sikap berkecuali berikutan hubungan baiknya dengan penjajah, Inggeris yang ketika itu terikat dengan Perjanjian Inggeris-Belanda.

Malah, Presiden Umno ketika itu, Datuk Onn Jaafar dipetik sebagai berkata beliau 'enggan campur tangan kerana ia bukan isu politik, sosial mahupun keagamaan.'

Sehingga kini, tragedi yang menimpa Natrah dipadamkan dari lipatan sejarah tanah air lantaran ia tidak terkandung dalam skema pembelajaran sejak dulu lagi.

Malah, sebuah lagu berjudul Natrah yang mengisahkan tragedi menyayat hati yang didendang sebuah kumpulan rock sekitaar tahun 80-an, diharamkan penyiarannya. -TVS

Solat hajat terhadap Mohsin Sabtu ini


BAGAN SERAI, 10 Mac : Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang berkata, solat hajat tujuh malam bagi memohon hukuman Allah terhadap ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli yang keluar parti akan dimulakan pada Sabtu ini.

Menurut Ahmad, tindakan itu terpaksa diambil kerana selepas tamat tempoh tujuh hari yang diberikan kepadanya - supaya kembali kepada Pakatan Rakyat atau mengisytiharkan sokongan terbuka kepada gabuangan itu - gagal ditunaikan.

Malah, tambah Ahmad, Mohsin juga sudah seminggu tidak dapat dihubungi melalui talian telefon bimbitnya.

“Saya hari ini pun ada SMS pada beliau. Tetapi tidak berjawab,” katanya menjelaskan tindakan lanjutnya setelah membuat amaran tersebut pada Khamis lalu - sehari selepas Mohsin mengiystiharkan keluar parti dan menjadi wakil bebas.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad bagaimanapun berkata, beliau masih boleh mempertimbangkan membatalkan program tersebut walaupun dihubungi Mohsin di saat-saat akhir.

“Kalau nanti beliau SMS kata setuju (dengan syarat saya), tak perlulah buat, Tetapi macam saya kata dulu, beliau mesti iystiharkan (pendiriannya) pada orang ramai melalui media,” kata Ahmad yang juga bekas naib presiden dan pesuruhjaya PAS negeri.

Ahmad berkata, solat hajat itu akan diadakan di pusat pengajian agama yang diasaskannya di Balai Kuliah Tasawwur Islam di berdekatan Semanggol, Perak.

“Di tempat itulah beliau (Mohsin) mula-mula diperkenalkan kepada pengundi,” katanya.


Setakat ini, Ahmad menjangkakan sekurang-kurangnya 600 muridnya akan turut turut serta dalam solat tersebut.

Penyokong PAS dari kawasan berdekatan Bagan Serai, seperti Kuala Kangsar dan Parit Buntar, juga akan turut menyertainya, tambah beliau.

Sementara itu, usaha Malaysiakini menghubungi Mohsin setakat ini masih belum berhasil.Malaysiakini

Umno 'sesat sesesatnya'









Kota Bharu , 10 Mac :
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menggariskan lima sebab mengapa partinya menolak kerajaan perpaduan dengan Umno, termasuk kerana perjuangan parti utama Barisan Nasional (BN) itu “sebenarnya amat dhalalah atau sesat sesesatnya”.

Nik Aziz berkata, Umno menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama, yang sekali gus menyebabkan banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan-rakan daripada kalangan bukan Islam.

Beliau membangkitkan pendirian membantah syor kerajaan perpaduan sejurus selepas 8 Mac 2008 dan juga ketika Muktamar PAS 2008 di Ipoh.

Kerajaan perpaduan PAS-Umno memfokus negeri Kedah, Perak dan Selangor.

Isu kerajaan perpaduan PAS-Umno di Perak turut dibangkitkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria Khamis lalu, yang kemudiannya dikritik Nik Aziz sambil menyifatkan Mufti Perak itu bertindak macam “ejen” Umno.”

Nik Aziz, antara pemimpin dalam PAS yang menentang keras sebarang usaha ke arah kerajaan perpaduan PAS-Umno turut menyenaraikan satu alasan lama yang beliau sering membangkitkannya.

Selain alasan Umno “sesat”, kata Menteri Besar Kelantan, tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS.

“Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS.

“Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977.

“Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno,” katanya.

Namun menurut beliau, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno dengan PAS telah ditendang keluar.

“Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN,” katanya.

Oleh itu Nik Aziz yang memimpin Kelantan sejak 1999 memberitahu PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Begitu pula sejak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, katanya, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP.

Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti tetapi pemimpin Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.


“Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan Gerakan.

“Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN,” katanya.

Nik Aziz menambah, kini PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat sambil menyifatkannya sebagai satu perkembangan baik memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam.

“Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam.KG

“Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam,” katanya.

Jadikan kebajikan agenda utama

Imej032.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR , 10 Mac : Yang Dipertua PAS Parit Buntar Harun Hashim memuji langkah PAS Sungai Baru Pangkal memberi sumbangan kepada ibu tunggal dan orang tua yang tinggal di Pusat Ilmu dan Kemasyarakatan Sungai Baru Tengah.


“ PAS Sungai Baru Pangkal telah menyambut seruan yang disampaikan oleh Pengerusi Lujnah Kebajikan PAS Perak Mustafa Shaari semasa program Liqa’ PAS Parit Buntar baru-baru ini.


Aktiviti kebajikan seperti ini patut menjadi contoh kepada PAS Cawangan lain. PAS Cawangan perlu menjadikan aktiviti kebajikan sebagai agenda utama perjuangan” katanya


Harun ditemui semasa menyampaikan sumbangan PAS Sungai Baru Pangkal kepada 16 orang ibu tunggal dan orang tua yang tinggal di Pusat Ilmu dan Kemasyarakatan Sungai Baru Tengah.


Sementara itu, Setiausaha PAS Sungai Baru Pangkal Johari Arbain berharap sumbangan PAS Cawangan berkenaan dapat membantu ibu tunggal dan orang tua yang menuntut ilmu di situ.


“ PAS Cawangan telah mengumpul derma dari ahli dan penyokong PAS di Cawangan. Derma ini kami belikan barangan keperluan untuk disampaikan kepada penghuni pusat ini” katanya


Menurut Johari, PAS Sungai Baru Pangkal ingin mencontohi PAS Parit Buntar yang sudah kerap kali mengadakan aktiviti kebajikan kepada ibu tunggal, anak yatim, pesakit kronik dan orang miskin.

Selangor sediakan Tadika Rakyat










SHAH ALAM , 10 Mac :
42 peratus pelajar tahun satu yang memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil tidak tahu membaca dan menulis kerana tidak berpeluang ke tadika sebelum memasuki Tahun Satu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar berkata, Kerajaan Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) komited dan mengambil berat dalam usaha menyediakan keperluan pra-sekolah bagi kemudahan menimba ilmu terutamanya anak-anak masyarakat India sejak dua memerintah negeri ini.

Menurutnya, rekod dan statistik dari Tamil Foundation dan NGO pendidikan, jelas menunjukkan anak-anak masyarakat India jauh ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan awal di peringkat pra-sekolah sebelum mereka memasuki alam persekolahan.

“Masalah ini berlaku bukan sahaja kerana kekurangan kemudahan dan infrastruktur tetapi juga kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh kebanyakan keluarga yang berpendapatan rendah dan tidak mampu menghantar anak ke tadika prasekolah swasta.

“Berdasarkan maklum balas dari pelbagai pihak yang prihatin tentang tahap pendidikan awal anak-anak di kalangan masyarakat India, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan pro aktif untuk menyediakan infrastruktur bangunan bagi tujuan menempatkan tadika pra-sekolah tersebut,” katanya.

Dr Xavier berkata, sejumlah RM4 juta telah disediakan bagi membantu murid di 97 Sekolah Tamil seluruh Negeri Selangor di mana sebahagian dari peruntukan tersebut digunakan untuk membina tadika rakyat ini yang bernilai RM300,000.

Beliau berkata, setakat ini Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa lokaliti yang mempunyai kepadatan penduduk di kalangan masyarakat India yang berpendapat rendah dan kelas pertengahan yang memerlukan pusat-pusat tadika dengan harga yang rendah serta berpatutan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak CHILD, yang sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membantu masyarakat tempatan. NGO ini mempunyai lebih 20 tahun kepakaran dan pengalaman dalam menyediakan tenaga pengajar dan teknik pembelajaran yang dinamik dan progresif bagi bidang pra-sekolah

“Murid-murid prasekolah ini akan dapat menikmati pendidikan “first class” dengan bayaran serendah RM20 sebulan. Bangunan tadika ini mempunyai enam kelas dan mampu menempatkan kira-kira 20 murid setiap kelas, bermakna kira-kira 120 pelajar akan mendapat manfaatnya bagi suatu sesi,” katanya.

Beliau berharap, ibu bapa yang berpendapatan rendah akan menghantar anak-anak mereka ke tadika rakyat ini kelak.

Lompat parti lumrah parti baru








PASIR PUTEH , 10 Mac :
Masalah pemimpin lompat parti seperti yang dialami Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini adalah perkara lumrah dan pernah dilalui PAS.

Perkara itu dinyatakan Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PKR boleh dikatakan parti baru dalam arena politik negara dan ia terpaksa melalui pelbagai masalah sebelum mencapai kematangan.

Menurutnya, PAS ketika ketika mula bertapak dalam arena politik pernah mengalami masalah serupa sebelum menjadi lebih matang.

“PKR umpama budak kecil yang meniarap, merangkak dan kemudiannya belajar berjalan, jadi terjatuh tu adalah perkara biasa sebelum dapat berjalan dengan sempurna.

“Parti baru macam PKR memang begitu, terpaksa melalui cabaran sedemikian apatah lagi kepada parti yang belum pernah memerintah,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Wakaf Lanas, dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR keluar dari parti berkenaan akhir-akhir ini.

Terdahulu, Nik Aziz melancarkan laman web Majlis Tindakan DUN (MTD) Limbongan di kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Zainuddin Awang Hamat yang membolehkan orang ramai mengetahui perkembangan kawasan DUN tersebut dengan melayari www.limbongan.net.

Nik Aziz berkata, pengalaman yang dilalui parti itu cukup berharga kerana ia memberi banyak pengajaran seterusnya membantu memantapkan perjuangan.

“Lazimnya masalah yang dihadapi menyebabkan kita banyak berfikir dan ini mematangkan kita dalam mengharungi cabaran lebih hebat pada masa akan datang,” katanya.SH

Reaksi pengundi Bagan Serai terhadap Mohsin










BAGAN SERAI , 10 Mac :
Tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzly Samsuri meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas mendapat pelbagai reaksi pelbagai masyarakat yang juga tulang belakang kepada kemenangan beliau di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu.

Sepatutnya beliau perlu sedar siapa yang telah mengangkatnya menjadi wakil rakyat. Beliau ini boleh dilabel sebagai mengkhianati amanah rakyat. Sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di Parlimen Bagan Serai ini, seingat saya hanya sekali sahaja dia turun ke kawasan, itu pun hanya dua tiga kampung. selepas itu, hilang entah ke mana. Sikap tidak prihatin beliau juga telah banyak mendatangkan kemarahan dan penyesalan penduduk sekitar yang mengundinya. Selain tidak pernah turun padang, Mohsin juga adalah antara Ahli Parlimen yang tidak bekerja untuk rakyat, bahkan tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya.” - Masri Masran, 58.

Saya mengundi disebabkan oleh perjuangan parti bukan kerana Mohsin. Beliau sepatutnya sedar dan bekerja untuk rakyat, tetapi sebaliknya mendatangkan kemarahan kepada rakyat dengan mencemarkan maruah dirinya sendiri. Kita tidak sepatutnya menyokong lagi kepimpinan beliau yang tidak pernah prihatin akan masalah penduduk terutama masyarakat di Bagan Serai. Jika beliau masih mempunyai maruah dan memikirkan hati rakyat, beliau sepatutnya meletakkan segera jawatannya sebagai Ahli Parlimen.”
- Abdullah Arsyad, 74.

Saya terkilan dengan tindakan Mohsin ini kerana saya adalah salah seorang pengundi yang menyokong beliau. Bagaimanapun, memang tindakan ini sudah dijangka memandangkan banyak aduan dan permasalahan kami di sini langsung tidak diendahkan. Beliau pun makan gaji buta saja, tidak mahu ambil tahu langsung pasal rakyat. Tetapi, tindakan selanjutnya, beliau perlu membayar semula hutangnya kepada pengundi walau bagaimana cara sekalipun.” - Abd Rahman Ismail, 62.

Macam mana rakyat di Parlimen Bagan Serai tidak pernah kenal beliau, apatah lagi mahu melihat wajah beliau turun ke kawasan. Saya nasihatkan Mohsin supaya muhasabah diri dan ambillah keputusan terbaik untuk rakyat bukannya meletakkan kepentingan peribadi semata-mata.”- Kadir Yusof, 70.

Tindakan Mohsin mempermainkan hati rakyat amatlah dikecam sama sekali. Kita minta kerjasama beliau untuk letak segera jawatan sebagai Ahli Parlimen sebelum rakyat di sini hilang kesabaran dan melakukan tindakan di luar jangkaan. Sebelum ini Mohsin ada berjanji akan membayar RM1,000 kepada pengundi jika beliau melompat parti dan sekarang perkara itu telah pun terjadi dan kami sebagai pengundi di Parlimen Bagan Serai menuntut janji tersebut dikotakan atau Mohsin akan termakan dengan kata-katanya sendiri.”
- Muslan Muhd Napiah, 55.

Selama ini kami komuniti Cina bersusah payah bekerja selama 10 hari tanpa gaji untuk memenangkan beliau dalam pilihan raya lalu, semata-mata kerana mahu beliau menang, tetapi jasa dan pengorbanan kami dibalas dengan cara ini. Mohsin sepatutnya sedar tindakannya itu telah mencemarkan maruah termasuk menghilangkan kepercayaan negara kepada status kerakyatan beliau.”
- Lim Ah Teck, 40.

Cukuplah berdrama dengan rakyat. Sepatutnya sebagai wakil rakyat, beliau perlu melihat keadaan rakyat bukannya meninggalkan rakyat terkontang-kanting tanpa sebarang pembelaan. Kalau mahu lompat sangat biarkan dia lompat yang pasti pulangkan jawatan Ahli Parlimen berkenaan kepada rakyat kerana kami yang beri kepadanya. Sikap beliau tidak pernah prihatin kepada banyak golongan miskin di sini selepas beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen.” - Osman Hashim, 40.

Mohsin tidak pernah menonjol sepanjang menjawat jawatan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR). Malah saya yakin beliau tidak akan melaksanakan tugas dengan baik sebagai wakil rakyat Bebas. Sepatutnya dia diambil tindakan pecat sebagai ahli PKR terlebih dahulu sebelum Zulkifli Nordin. Jika dahulu Mohsin disebut-sebut sebagai wakil rakyat yang tidak turun padang sekarang Mohsin disebut pula sebagai pengkhianat parti dalam perjuangan PR.” - Azroul Shahrin Amir Hussin, 38.

Isu lompat parti pemimpin ini perlu dihentikan segera kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam sama sekali yang melarang pemimpin mengkhianati rakyat yang memilih mereka. Sepatutnya sebagai pemimpin mereka perlu berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap rakyat di bawah pengawasan mereka.” - Khairol Salleh Abd Latif, 46.

Lompat parti adalah suatu kerja yang mudah, tetapi pemimpin seumpama ini perlu dihukum kerana mereka ini pada-bila-bila masa sahaja mampu menggugat kestabilan politik di negara ini dengan politik kotor semata-mata untuk keuntungan peribadi dan keluarga.”
- S P Ravinthiran, 31.

Saya cukup kecewa kerana Mohsin boleh bertindak sedemikian setelah amanah yang kami berikan. Dia tidak sepatutnya berada di mana-mana parti pun sebagai pemimpin. Dia memang tidak layak jadi pemimpin.” - Tan Chong Kong,45.

Lebih baik beliau letak jawatan, bagi peluang kepada rakyat untuk memilih semula wakil rakyat yang dapat membantu kami. Saya pun pelik macam mana wakil rakyat yang dipilih rakyat tidak tahu menahu apa masalah yang berlaku pada rakyat. Tambahan pula, sikapnya terlalu sombong dan bongkak menyebabkan rakyat sukar untuk berurusan dengannya.” - Elias Mohamed Sarakawi,37

Apa yang diharapkan langsung tidak menjadi kenyataan. Lebih baik tidak ada pemimpin dari ada pemimpin. Mohsin lebih bersifat peribadi dan lebih mementingkan dirinya sendiri.” - Abdul Halim, 40 SH

Ketua Bahagian Umno Perak angkuh dan sombong










PARIT BUNTAR, 10 Mac :
Masalah dalaman UMNO Perak cukup parah jika mahu dibandingkan dengan krisis Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi bualan hangat pemimpin politik hari ini khususnya dari UMNO.

Ketua UMNO Cawangan Pekan Batu Lima Bahagian Parit Buntar, Sulaiman Mohd Zaini berkata, hanya orang dalam sahaja yang tahu apa sebenarnya berlaku dalam UMNO Perak.

Menurutnya, sikap Ketua Bahagian yang hanya mementingkan diri merumitkan lagi keadaan sehinggakan sanggup menganjurkan pelbagai gerakan berbentuk sabotaj terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Sikap Ketua Bahagian yang angkuh dan sombong serta langsung tidak memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin memburukkan lagi keadaan.

“Mereka ini dilihat hanya mahu mengaut keuntungan atau mengambil kesempatan terhadap Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir demi kepentingan diri sendiri,.

“Ada juga sanggup membuat aduan palsu kepada kepimpinan UMNO Pusat dengan menyatakan Menteri Besar tidak membantu ketua-ketua bahagian di negeri ini,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, Greentown di sini, semalam.

Sulaiman berkata, Ketua Bahagian yang rata-ratanya sudah menjangkaui umur veteran dan sudah tidak relevan lagi untuk memimpin seharusnya sedar diri serta memberi peluang pula kepada golongan muda bekerja dengan rakyat.

Katanya, pemikiran golongan veteran ini terlalu konvensional dan sering kali melihat pembangkang sebagai musuh, walhal dalam kalangan golongan muda, persepsi berkenaan dilenyapkan sebaliknya kita boleh bergaul dengan semua parti, semuanya sebagai sahabat.

“Kita sebagai pemimpin parti jangan meletakkan perbezaan ideologi politik sebagai teras perjuangan sebaliknya letakkan rakyat pada kedudukan utama barulah dinamakan pemimpin.

“Banyak berlaku kesilapan dalam UMNO Perak, seharusnya perlu diubah dari sekarang, terutama golongan pemimpin veteran yang menerajui bahagian masing-masing perlu berundur secara terhormat dan bagi peluang kepada para pelapis untuk menerajuinya pula.

“Golongan veteran ini suka membodek pihak atasan serta mengugut Menteri Besar supaya memberikan projek untuk mereka dan kroni-kroni semata-mata mahu memuaskan kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku (mensabotaj Menteri Besar), pihak berkenaan membuat laporan palsu kepada kepimpinan Pusat dengan tujuan menjatuhkan Dr Zambry.

“Tindakan mereka ini tidak wajar, sepatutnya sebagai Ketua Bahagian, mereka memberi sokongan kepada kepimpinan Dr Zambry bukan mengkhianatinya, sebab itulah saya gesa Menteri Besar mengambil tindakan terhadap mereka bagi menghadapi perubahan kepada UMNO Perak.

“Selagi golongan ini menganggotai dan mengepalai bahagian, UMNO Perak akan menuju kepada kehancuran serta tidak mustahil juga pilihan raya umum akan datang, UMNO bukan lagi pilihan rakyat.

“Sebenarnya musuh sebenar bukan pembangkang tapi dalam kalangan UMNO sendiri yang perlu dihapuskan dan boleh juga dilabel sebagai firaun kecil sebagaimana gambaran kepada PKR,” katanya.SH

Dua muka baru Exco Kedah


Alor Setar, 10 Mac : Dua muka baru menyertai senarai Exco Kerajaan Negeri Kedah, manakala lapan lagi dilantik semula ke jawatan berkenaan untuk tempoh setahun lagi.

Dua muka baru itu ialah ADUN Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad dan adun Sidam, Tan Chow Kang.

Mereka menggantikan dua exco yang digugurkan, iatu Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat negeri, Abdullah Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan negeri, Tan Wei Shu.

Abdullah adalah ADUN Pantai Merdeka manakala Tan pula merupakan ADUN Bakar Arang.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah Pakatan Rakyat yang mengugurkan exco mereka.

Barisan exco baru itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Anak Bukit, Alor Star, pagi ini.

Upacara mengangkat sumpah ini juga dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak (atas, bersongkok).

"Lapan exco yang dilantik semula akan memegang portfolio yang sama dan hanya rombakan kecil sahaja yang akan dibuat," katanya.

Azizan berkata lapan exco yang kekal ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi, Datuk Muhamed Taulan Mat Rasul, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Hamdan Mohamed Khalib, Siti Aishah Ghazali, Dr Ismail Salleh, Manikumar Subramaniam dan Lim Soo Nee.

"Semua exco itu akan diberikan tempoh tiga bulan untuk membentangkan agenda mereka dan saya sendiri yang akan memantau tugas barisan exco itu sebelum pelantikan semula tahun depan," katanya.

Bulan lalu, Azizan dilaporkan berkata beberapa exco kerajaan negeri mungkin digugurkan bagi memberi peluang kepada orang baru untuk menunjukkan potensi mereka.Malaysiakini