TUMPAT , 17 Mac : Dua keluarga miskin di Kampung Bendang Kerian cukup terharu apabila Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, mencemar duli melawat rumah mereka dekat sini.
Kehadiran Tengku Muhammad Faris disambut baik oleh Kamaruddin Omar, 42, dan Hussin Awang,56, kerana sudi meluangkan masa mengunjungi rumah mereka.
Kamaruddin berkata, dia tidak menyangka menerima kunjungan Tengku Mahkota dan meluangkan masa beramah mesra dengan keluarganya.
“Ternyata Tengku seorang yang prihatin dan mesra rakyat apabila sanggup mencemar duli melawat rumah kami yang uzur ini.
“Saya agak terkejut apabila diberitahu Tengku ingin mengunjungi rumah kami dan melihat kesusahan kami sekeluarga,” katanya sempena Program Ziarah Pemangku Raja Kelantan ke Jajahan ini,” katanya yang bakal mendapat rumah baru melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (Maik) bagi menggantikan rumah pusaka berusia 40 tahun itu.
Menurutnya, dengan pendapatan sebagai tukang rumah hanya cukup menampung tujuh anak yang masih belajar dan membeli keperluan dapur yang sekadar cukup makan untuknya sekeluarga.
“Selepas bahagian depan rumah runtuh sejak lima tahun lalu, kami tinggal di bahagian dapur, di situlah kami tidur dan makan.
“Bagi mengelakkan anak-anak kesejukan saya membuat dinding dengan zink, namun bila hujan kami terpaksa berpindah ke rumah saudara berdekatan kerana lantai basah menyebabkan tiada ruang untuk tidur," katanya.
Sementara itu Hussin berkata, beliau terharu dan berterima kasih kepada Tengku Mahkota yang akan mengusahakan rumah baru kepada keluarganya.
Hussin berkata, beliau tidak mampu membina rumah baru atau membaikinya kerana pendapatannya sebagai buruh hanya cukup untuk makan minum.
“Saya sedih melihat anak-anak tidak dapat belajar dengan selesa jika hari hujan kerana keadaan bumbung rumah bocor.
“Pernah anak-anak tidak ke sekolah kerana buku basah. Kadang-kadang kami sekeluarga tidak dapat tidur dengan baik kerana keadaan lantai yang basah,” katanya.
Katanya, beliau berharap rumah baru yang akan diterimanya nanti memberi keselesaan kepada tujuh anaknya untuk belajar dengan lebih baik.
Program ziarah Tengku Mahkota sehari itu turut mengagihkan daging lembu kepada penduduk di Kampung Bendang Kerian serta zakat kepada 100 penduduk miskin di Masjid Assomadi, Geting dan Masjid As-Salam, Kampung Bendang Kerian.:
Tengku Mahkota turut menunaikan solat Asar di Masjid As-Salam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Jajahan Tumpat, Serpudin Mohamad.
SH