Friday, April 30, 2010

Keadilan untuk Ong Mo Aik mangsa pukul


IPOH, 30 April : Pihak polis diminta bertindak segera bagi membuat siasatan terhadap pihak yang memukul pelajar tingkatan peralihan Sekolah Menengah Matang, Ong Mo Aik , dan menghadapkan pihak terbabit ke mahkamah secepat.

Langkah itu perlu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pihak polis sekaligus mengangkat imej polis dalam membenteras jenayah di negara ini.

Demikian dinyatakan Pengerusi Pakatan Rakyat Negeri Perak yang juga Ahli Parlimen Bukit Ganrang, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Janaludin kepada pemberita selepas melawat Ong Mo Aik di Hospital Pakar Ipoh di sini hari ini.

Turut sama dalam rombongan melawat pelajar berkenaan, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein, Setiausaha PAS Perak, Misbahul Munir Masduki, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr. Lee Bon Chai dan wakil dari Dewan MUslimat PAS Perak.

Beliau berharap kes berkenaan akan diberikan perhatian serius oleh pihak polis kerana tindakan segera yang akan dibuat oleh pihak polis dengan sendirinya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap polis.

Sempena lawatan itu juga beliau mewakili Pakatan Rakyat memberikan sumbangan RM3,000 kepada keluarga Ong bagi menampung kos pembiayaan rawatan tersebut.

Ong Mo Aik sebelum ini dibawa ke Hospital Taiping pada 22 April lalu. Pelajar berumur 13 tahun itu dipukul sewaktu menunggu bas sekolah di pondok menunggu di luar kawasan SMK Matang, Jalan Kuala Sapetang dalam Parlimen Bukit Gantang.

Pelajar tersebut dikatakan mangsa pukul silap orang. Rakan Ong Mo Aik yang melakukan kesalahan di kawasan kantin sekolah, tetapi beliau pula menjadi mangsa pukulan atau hentakan topi kaledar oleh empat lelaki.

Ong Mo Aik kini dirawat di Hospital Pakar Ipoh (KPJ). Ong baru dibedah kali kedua untuk membuang darah beku di kepalanya.johari jaafar



Bekas vokalis Wings, Mel beraksi di Malam Kesenian Rakyat

PARIT BUNTAR, 30 April : Bekas vokalis Kumpulan Rock terkenal tanahair Wings, Ismail Zainuddin atau lebih dikenali dengan 'Mel' akan beraksi dalam Malam Kesenian Rakyat di Dataran Pakatan Rakyat, Tanjung Piandang pada 1 Mei ini jam 9.15 malam.

Beliau yang mengambil alih tempat Awie suatu ketika dulu terkenal dengan lagu 'Lena diulit mimpi' dan 'Semalam yang hangat' kini bergerak solo setelah keluar dari Kumpulan Sautul Alam yang mendendangkan lagu-lagu versi dakwah dan ketuhanan.

Program sempena Karnival Penerangan Pakatan Rakyat ini dianjurkan oleh Sekretriat Pakatan Rakyat Parit Buntar diadakan secara percuma.

Pengarah program yang juga Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata tujuan utama menjemput Mel ialah untuk memberikan kesedaran bahawa hiburan yang baik boleh dihayati kerana senikatanya menyentuh kebajikan, rohani, masyarakat, ketuhanan dan alam semesta

Cara ini kata beliau, merupakan dakwah yang tidak sedar boleh menarik hati remaja Islam yang kini telah tersasar jauh daripada landasan Islam sebenar melekoran terdedahnya hiburan yang tidak harmoni di mana-mana.

"Untuk menyelamatkan kemelut yang melanda remaja masa kini, kami menjemput Mel untuk bersama-sama membantu meningkatkan kesedaran kembali.

“ Mudah-mudahan melalui hiburan ada yang terbuka hati kembali ke pangkal jalan, " terangnya

Menurut Fakhrurrazi , alternatif hiburan kepada anak muda wajar di cari bagi mencernakan pemikiran remaja negara agar menerima konsep hiburan Pakatan Rakyat

“ Pakatan akan melaksanakan berbagai program mendekati rakyat termasuk hiburan yang dibenarkan dalam Islam kerana pemuda-pemudi masa kini tidak terlepas dengan tautan yang berkaitan hiburan.

Tambahnya, selain persembahan Mel pengunjung juga akan menyaksikan persembahan Kumpulan Nusantara yang baru meningkat naik.

“ Pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan rebana, puisi dan nasyid oleh anak muda tempatan.

"Justeru itu, marilah beramai-ramai menyaksikan malam kesenian rakyat sebagai hiburan yang harmoni dan segar mata memandang " katanya

RM 4 Juta: Husam Jawab Kickdefella?
















KOTA BHARU, 30 April : Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM 4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah.

Apa sebab mahal dan apa pula sebab murah?

PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.

Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.

Seorang petugas tegar UMNO seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.

Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu.

Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.

Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.

Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.

Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?

UMNO Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan UMNO Kelantan. Empat juta.

Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja UMNO belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan UMNO satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.

Rupanya tak susah sangat nak tewaskan UMNO Kelantan dan kalau dengan empat juta UMNO satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki UMNO seluruh Malaysia. Rasanya UMNO akan kecut.

Dunia blogger ada indahnya.

Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja.

Setahu saya, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita.

Saya pun tak tahu sangat apa beza gerak saraf perang saraf dan operasi berkaitan saraf.

Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan UMNO tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang UMNO yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta! Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...

Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat.

Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kanan Kerajaan Kelantan
.

Pembelaan generasi kedua Felda - Semak semula Akta GSA 1960

TEMERLOH, 29 April: Kerajaan negeri diminta menyemak semula terma-terma yang terkandung dalam Akta GSA 1960 bagi membolehkan tanah-tanah yang diberikan kepada Felda Plantations diambil kembali dan diisi bagi penempatan generasi kedua Felda.

Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman (gambar) dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Mazlan, jika tanah-tanah yang diberikan kepada Felda Plantations seluas 384 ribu hektar seluruh negara ditempatkan peneroka, maka seramai 84 ribu anak peneroka akan dapat memperoleh penempatan dan pekerjaan di skim-skim Felda yang ditempatkan itu.

“Anak akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan-kerajaan negeri agar menyemak semula terma-terma yang terdapat dalam Akta GSA 1960 termasuk usaha mengambil balik tanah yang diberikan kepada Felda Plantations untuk diisi oleh anak peneroka.

“Kami mahu asas penubuhan Felda sebagaimana yang dihasratkan Tun Abdul Razak untuk menempatkan rakyat yang tidak bertanah untuk membolehkan mereka hidup selesa di tanah rancangan Felda dilaksanakan,” katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut Setiausaha Perhubungan dan Ketua Penerangan PAS negeri, Roslan Al Ahmadi dan Hasanuddin Salim

Amanah Raya Berhad, PERKESO, Arak & Judi. Mana Mufti, Perkasa, Umno ?

KUALA LUMPUR,29 April 10: Para mufti khasnya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria diminta memberikan fatwa tentang maklumat kononnya Amanah Raya Berhad (ARB) mempunyai saham dalam syarikat perjudian, Magnum Corporation Berhad. Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdullah Karim dalam facebook menulis, Harussani adalah Penasihat Shariah ARB.

Menurutnya, ARB yang dimilki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia bukan sahaja mempunyai saham dalam syarikat arak, Carlsberg tetapi juga dalam Magnum. "Rujuk Laporan Tahunan Magnum Corporation 2006. ARB miliki lebih 11 juta unit saham dalam syarikat judi Magnum Corporation Berhad," tulis Abdullah dalam facebooknya.

Abdullah adalah Naib Ketua Pemuda PAS Pahang. Beliau yang merupakan seorang peguam kini sedang bercuti panjang di London (gambar di atas). Selain meminta para mufti bersuara dalam hal ini, beliau juga mempersoalkan kenapa Perkasa yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali yang sentiasa mendakwa sebagai pejuang Islam dan Melayu mendiamkan diri.

Menurut Abdullah, laporan tahunan 2009 Carlsberg Brewery, Perkeso yang terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia mempunyai saham dalam syarikat itu iaitu sebanyak 2,155,700 unit. Amanah Raya Berhad pula mempunyai saham sebanyak 585,300 unit saham dalam Carlesberg.

"Perkeso duduk di bawah Kementerian Sumber Manusia. ARB pula GLC di bawah Kementerian Kewangan dan menguruskan hal ehwal pesaka orang Islam. Kenapa Umno tak bising?" soal beliau. (2MA)

Telaga minyak Malaysia tergadai: Kesilapan siapa?

















KOTA BHARU, 30 April : TUN dalam posting terbarunya mempersoalkan terlepasnya dua medan Minyak Blok L dan M milik Malaysia kepada Brunei.

Ia mungkin sebahagian dari persetujuan yang ditandatangani oleh Pak Lah dengan Sultan Brunei pada 16 Mac 2009 - Letters of Exchange (LoE) - 19 hari sebelum Najib mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Apa yang dipersetujui Pak Lah diteruskan oleh Najib. Surat Petronas untuk menamatkan perjanjian perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil Corp telah dikeluarkan pada 7 April baru lalu. Di Bawah CEO baru Petronas dalam era Najib. Lagipun, Najib masa itu adalah TPM.

Murphy Oil mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan penamatan perjanjian oleh Petronas itu dan seorang Menteri Brunei pula mengesahkan kedua-dua blok minyak yang dulunya menjadi milik Malaysia telah secara rasmi menjadi milik Brunei.

Acara penandatanganan itu ikut dihadhiri oleh kedua-dua Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, serta Menteri Luar waktu itu, Rais Yatim dan Menteri Kabinet, Hishammuddin Tun Hussien - seperti laporan Bernama bertarikh 16 Mac 2009.

Rais dan Hishamuddin masih menjadi anggota Kabinet sekarang dan tentulah mereka boleh memberikan penjelasan atas pelepasan khazanah berharga kita semudah itu. Bahkan seluruh kabinet Najib harus bertanggungjawab dan memberikan penjelasan.

Tun M mengganggarkan paling kurang USD 100 B atau RM 320 B khazanah kekayaan negara kita terlepas kepada Brunei.

Bayangkan! Untuk membayar royalti yang terhak kepada Kelantan yang bernilai hanya beberapa billion, mereka menggunakan berbagai alasan untuk menafikannya. Pada masa yang sama, mereka sanggup melepaskan khazanah yang beribu kali lebih tinggi nilainya dengan sebegitu mudah.

Janganlah Tun M hanya nampak kelemahan Pak Lah tanpa berani bertanya Najib kenapa surat penamatan rasmi dikeluarkan oleh Petronas dan secara terang menyebut pemilikan Malaysia ke atas Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia.

Isu sebesar ini hanya layak dijawab oleh PM.

Pilihanraya Sibu memberi peluang rakyat Sarawak memberikan pandangan awal mereka tentang sebahagian kekayaan negeri mereka juga telah tergadai. (Dicabut dari Weblog Datuk Husam Musa)

“Saya semakin sihat dan semakin muda,”Dato’ Ustaz Harun Taib

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita25/IMG_5172.JPG
















KEMAMAN
– Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib bersama-sama Anggota Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Terengganu mengadakan lawatan kerja ke Dewan Undangan (DUN) Kijal, disini, hari ini 29 April.
Lawatan tersebut merupakan program mingguan pemimpin tertinggi PAS Terengganu ‘turun ke bawah’ bersama masyarakat.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah bertemu dengan masyarakat setempat dengan minum pagi dan minum petang di kawasan-kawasan terpilih.

Selain itu, lawatankerja tersebut juga akan meninjau perkembangan politik setempat dengan berdailog bersama pemimpin masyarakat dan memberikan maklumat terkini dalam ceramah yang diadakan disebelah malam.

Ustaz Harun yang juga Ketuia Dewan Ualamak PAS yang ditemui ketika minum pagi di Kampung Bukit disini kelihatan ceria dan begitu bersemangat.

Apabila ditanya, bagaimana keadaannya sekarang, beliau menjawab,”saya semakin sihat dan semakin muda,”

Pada 9 Januari lalu, Ustaz Harun telah diminta berehat di Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) selepas diserang angina ahmar ringan.

Selepas keluar dari HSNZ, pihak hospital menasihatkan supaya beliau berehat dan menjalani rawatan lanjut.Buletin Online