Sunday, May 23, 2010

“Bukan Islam jadi calon”








KUALA LUMPUR , 24 Mei :
PAS bersedia meminda perlembagaannya supaya ahli bukan Islam dalam parti itu diberi hak sama malah mereka boleh dicalonkan pada pilihan raya dan menjadi Senator di Dewan Negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bagaimanapun pencalonan ahli bukan Islam bergantung kepada keperluan dan agihan kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat kerana mereka tidak mahu sebarang pertembungan.

“Kuota untuk ahli bukan Islam belum ditentukan lagi, kerusi untuk Pas pun kita masih tidak tahu, bagaimana saya mahu beritahu.

:“Tetapi yang paling penting adalah PR tidak mahukan sebarang pertembungan, kita lebih suka pertandingan dua penjuru dengan Barisan Nasional (BN) saja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS di sini, semalam.

Hadi berkata, pengiktirafan Kelab Penyokong PAS menjadi status Dewan Himpunan Penyokong itu, sekali gus menjadi sayap penting parti membuktikan Pas bersungguh-sungguh mahu merealisasikan slogan ‘Pas untuk semua’.

Ditanya bila ahli Dewan Himpunan Penyokong akan diberi hak yang sama dengan ahli PAS, Hadi menjelaskan banyak perkara perlu dilakukan seperti pindaan perlembagaan dan PAS bersedia bergerak ke arah itu.

“Apa yang paling penting sekarang adalah mereka diberi peranan yang aktif dalam perjuangan PAS, itu yang lebih penting,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS semalam mengulangi sejarah yang pernah dibuat Nabi Muhammad SAW untuk mewujudkan masyarakat pelbagai kaum di Madinah.

“PAS adalah parti Islam pertama dalam dunia selepas zaman Nabi Muhammad yang membuka keahlian kepada orang bukan Islam, kamu melihat sejarah pada hari ini,” katanya diiringi tepukan gemuruh delegasi yang tiba.

Mengulas mengenai judi bola yang dibenarkan kerajaan, PAS menegaskan mereka tetap dengan pendirian tidak boleh membenarkan sebarang permit perjudian walau apapun alasannya.

“Yang peliknya, UMNO menyokong tetapi parti komponen lain seperti MCA dan Gerakan pula yang menolak judi bola ini, ingin saya tegaskan lesen judi di bawah kuasa Kerajaan Pusat, bukannya kerajaan negeri,” katanya.

Antara pemimpin PR yang hadir pada perasmian tersebut adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu serta kira-kira 1,000 ahli Dewan.

Pilih senator melalui pilihanraya








IPOH, 24 Mei : Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini, mengesyorkan Kerajaan Pusat melaksanakan sistem pilihan raya bagi memilih Ahli-Ahli Dewan Negara.

Timbalan Bendahari Agungnya, Nga Kor Ming berkata, cadangan itu dibuat demi menjaga kedudukan serta integriti dewan berkenaan sebagai badan Senat yang menyemak dan meluluskan undang-undang di negara ini.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, hanya rakyat Malaysia yang berusia 40 tahun ke atas serta berpengalaman luas dan mendapat pengiktirafan tertinggi dalam bidang profesional masing-masing sahaja yang layak bagi jawatan berkenaan di Dewan Negara.

“Pada hari ini amalan masuk melalui pintu belakang semakin berleluasa khususnya melibatkan ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kalah pada pilihan raya dan pernah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah.

“Ini adalah satu bentuk penyalahgunaan budi bicara, khususnya kepada mereka yang tidak layak menjadi calon di Dewan Rakyat.

“Malah, ada juga dalam kalangan mereka ini telah dijatuhi hukuman penjara, namun tetap dilantik sebagai senator walaupun tidak mendapat mandat daripada rakyat.

“Justeru apakah kriteria sebenar yang diperlukan bagi melantik senator? Kerajaan sibuk melaungkan slogan rakyat didahulukan, tetapi kini di manakah suara rakyat,” katanya.

Kor Ming berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Demokrasi anjuran Pakatan Rakyat (PR) di sini, baru-baru ini.

Difahamkan, majlis perasmian berkenaan turut dihadiri lebih 3,000 rakyat daripada pelbagai kaum termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sementara itu, Kor Ming menyarankan agar kerajaan mencontohi beberapa negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Filipina yang menganjurkan pilihan raya umum bagi memilih Ahli Dewan Negara.

Katanya, cara berkenaan dilihat lebih berkesan dan sekali gus dapat memastikan hanya individu-individu yang benar-benar layak menduduki kerusi dewan tersebut.

“Fungsi utama dewan yang mulia tersebut adalah untuk menyemak dan mengkaji segala rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat setelah bacaan ketiga oleh 222 orang Ahli Parlimen.

“Kesimpulannya, kerajaan perlu segera mengembalikan kuasa kepada rakyat bagi memilih Ahli-Ahli Dewan Negara yang benar-benar berkelayakan,” katanya.

MP Kapar tidak lompat



SHAH ALAM, 23 Mei : Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang kebelakangan ini digembar-gembur kononnya bakal keluar parti termasuk dakwaan pengumuman mengadakan sidang media, menceritakan apa yang dilakukannya pada hari semalam kepada TV Selangor.
"Waktu pagi macam biasalah. Saya jumpa dengan masyarakat dan pengundi saya di Pusat Khidmat. Kemudian sekitar jam 11 pagi, saya ke Puncak Alam berjumpa dengan Dr Hamka, bekas setiausaha.

"Selepas itu, saya tertinggal handphone. Saya berbincang-bincang, kemudian balik dan ada banyak miss call. Saya telefon semula. Saya bercakap dengan (Naib Presiden PKR), Azmin Ali, dia tanya, betulkah saya mahu lompat?

"Saya kata, tidak. Pendirian saya jelas. Bukan pasal isu ini sahaja tapi atas apa isu sekalipun saya tetap bersama parti," katanya kepada TV Selangor.
Pendirian ini diulangi Manikavasagam pada ceramah di Ampang malam semalam, sekali gus berdepan ugutan melalui kejadian simbah cat yang dilakukan pihak tertentu.

Untuk sekian kali, Manikavasagam menafikan beliau akan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi ahli parlimen Bebas.

Beliau terpaksa mengulangi kesetiaannya berikutan ada usaha pihak tertentu yang tidak jemu-jemu menyebar fitnah, kononnya mahu keluar parti dengan mengaitkan pendedahannya berhubung isu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

"Saya masih ingat, ramai yang bantu saya ketika pilihan raya lalu. Mereka siang malam bantu saya, berhabis-habisan untuk saya. Saya ingat jasa mereka. Jangan harap boleh beli saya dengan wang. Saya teguh dengan parti," katanya.

Media milik Umno/BN sebar pembohongan





ALOR SETAR, 23 Mei : Ahli Dewan Undangan NegeriKulim, Lim Soo Nee kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab media milik Umno-Barisan Nasional yang sanggup mensensasikan isu lompat parti untuk mengugat keutuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah walaupun ianya tidak benar sama sekali.
Beliau menafikan dakwaan media yang sentiasa mensasarkan tohmahan dan dakwaan terhadap beliau sebagai orang yang akan melompat parti.
Apa yang berlaku adalah mainan politik media Umno-BN yang ingin melemahkan perpaduan antara rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat Kedah.
"Sebagai pengamal media yang bertanggungjawab untuk membina masyarakat progresif adalah amat mustahak melaporkan fakta dan kebenaran dalam sesuatu isu.
Apabila perkara yang sebaliknya berlaku maka sudah pasti kesannya akan menjadi lebih buruk seperti yang dilihat dalam proaganda bubar DUN Kedah," kata Soo Nee semasa memberi penjelasan dalam isu lompat parti di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut semalam.
Menurut Soo Nee beliau berharap apa jua masalah dalam pentadbiran negeri dapat diperbaiki melalui budaya muafakat.
"Saya yakin ramai yang ternanti-nanti untuk mengetahui kebenaran dan penjelasan apakah saya akan mengikut dua rakan yang telah melompat parti dan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat bebas seperti Lunas dan Tikam Batu.
"Dengan ini juga saya menyatakan pendirian tegas tidak akan melepaskan jawatan sebagai ADUN Kulim dan mewakili KEADILAN bersama-sama dengan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, " ikrar beliau.
Beliau yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri amat berharap segala isu yang berkaitan dengan masalah dalam parti tidak diselesaikan melalui media massa yang kadangkalanya akan membawa kesan negatif sekiranya laporan sebenar tidak disiarkan.

Umno/BN sebar dakyah lompat parti

ALOR SETAR, 23 Mei : Ahli Dewan Undangan Negeri Sidam, Tan Show Kang berkata isu lompat parti sengaja digembar-gemburkan oleh Umno-Barisan Nasional untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam Pakatan Rakyat dan juga kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Propaganda Umno-BN menyebarkan khabar angin bahawa beliau antara empat wakil rakyat Pakatan Rakyat yang didakwa akan melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.
Sambil menafikan sekeras-kerasnya tohmahan itu, Show Kang yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah berkata dengan pengumuman terbuka beliau tidak akan menjadi wakil rakyat bebas akan menguatkan lagi Pakatan Rakyat Kedah.
"Saya akan tetap bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dan KEADILAN yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil kepada parti tersebut. Kita diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas membela rakyat dan membawa mesej kerajaan berkebajikan yang diamalkan di negeri Kedah.
"Oleh kerana itu saya dengan ini menyatakan bahawa segala desas-desus dan berita saya akan melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas adalah berita jahat yang sengaja dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
"Dengan ini saya nyatakan akan terus bersama dengan KEADILAN dan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Kedah," tegas katanya.
Tambah beliau, rakyat sepatutnya tidak terpengaruh dan terpedaya dengan dakyah jahat yang sedang dimainkan oleh Umno-BN.
Kata beliau lagi, sebagai parti pembangkang di negeri Kedah sudah pasti Umno-BN akan melakukan apa juga tindakan bagi menumbangkan kerajaan yang sedia ada.
"Maka itu rakyat harus sentiasa berwaspada dengan berita yang seringkali dipaparkan oleh media massa kerana ini juga adalah sebahagian daripada propaganda dan mainan politik pembangkang Umno-BN di Kedah," katanya lagi.

Dekati rakyat dengan kebajikan


PARIT BUNTAR, 23 Mei : MTD Titi Serong dengan kerjasama UPU Kampung Perak pada hari ini telah menganjurkan program Jelajah Pemimpin Prihatin.

Bertemakan kebajikan progam jelajah ini memberi sinar kepada masyarakat setempat untuk bertemu pemimpin yang dipilih oleh mereka.

Majlis didahului dengan ucapan Naib YDP PAS Kawasan Parit Buntar Sdr. Ahmad Azhar Shahrin selaku wakil PAS Kawasan dan seterusnya ucapan dari YB Drs. Khalil Idham Lim.

Dalam ucapan beliau, beliau menyentuh tentang isu kebajikan yang akan diteruskan oleh PAS dan Pakatan Rakyat demi melihat rakyat terus terbela.

Sehubungan dengan itu beliau mengharapkan dengan adanya program-program seperti ini akan lebih mendekat lagi beliau kepada masyarakat setempat.

Majlis dipengerusikan oleh Sdr. Khairulzami selaku ketua dewan pemuda PAS Pt. Buntar. Sepanjang program ini di sediakan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung.

Program diteruskan dengan penyampaian sumbangan barangan dapur kepada mereka yang memerlukan.

Seramai 13 orang yang terpilih dari kalangan penduduk setempat kampung Perak. Majlis yang diadakan di Surau Nur Jihad ini diteruskan dengan sumbangan karpet baru kepada surau tersebut dan diharapkan semoga surau ini akan lebih selesa digunakan demi melihat penduduk dapat menggunakan surau ini dengan lebih selesa.

Selepas menunaikan solat asar secara berjamaah yang dimamkan oleh Ust. Muhammad Yaacob selaku Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Parit Buntar, program diteruskan dengan ziarah penduduk yang uzur atau sakit. Pada petang ini terdapat empat keluarga yang sempat diziarahi oleh pimpinan PAS.

Antaranya ialah Pakcik Saad, 90 tahun yang kini sakit uzur dan terlantar di katil. Begitu juga dengan Pakcik Ros 89 yang juga sudah kurang daya penglihatan.

Bersama-sama ziarah ini, penganjur juga membawa beberapa orng doktor untuk memberi rawatan kepada mereka yang kurang bernasib baik ini. majlis berakhir sekitar jam 6.30 ptg.

Program ini membawa seribu satu kenangan buat penduduk Kampung Perak ini.

gambar sekitar program Jelajah Pemimpin Prihatin

Antara masyarakat setempat yang hadir..

Pemeriksaan kesihatan


Sumbangan karpet untuk surau NurJihad

sumbangan barangan dapur kepada penduduk



Pakcik Saad sedang dirawat, bersama-sama YB Khalil

Pakcik Ros yang uzur sedang dirawat..

Program 'Sabarata'an Maunjun' dapat sambutan


PARIT BUNTAR, 23 Mei : 'Sabarata'an Maunjun' itulah istilah satu program yang amat meriah di kpg. Pt. Hj. Wahab Darat.

Program yang dianjurkan oleh PAS Cawangan Parit Haji Wahab Darat ini mendapat sambutan yang luar jangkaan.

Sekitar 328 orang peserta dan lebih 1000 orang hadir pada pertandingan memancing yang diadakan di tali air kampung tersebut.

Lebih memeriahkan lagi, para peserta terdiri dari pelbagai lapisan usia. Mereka termasuklah kanak-kanak, orang dewasa dan orang lama (wargaemas).

Kehadiran penduduk yang membanjiri bukan sekdar meneyertai malah memberi sokongan kepada keluarga masing-masing. Selain itu kaunter pendaftaran pemilih juga turut dibuka bagi mendaftarkan pemilih baru. Kira-kira 25 orang dapat didaftarkan pada hari tersebut.

Pertandingan bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 ptg ini mendapat tuah kepada Sdr.Mohd Faisal b. M. Kasar yang telah berjaya mendapat ikan keli yang seberat 1.3 kilogram. Kejayaan beliau ini membawa pulang hadiah wang sebanyak RM 200.00 beserta hamper. Selain ikan keli, ikan puyu, ikan haruan malah belut juga berjaya di kail oleh para peserta hari ini.

Menurut YB Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong program ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim dikalanan penduduk setempat dan sesuai dianjurkan oleh mana-mana kampung lagi.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan YDP PAS Kawasan Sdr. Baharin Desa dan Naib YDP Sdr. Azhar Shahrin, pimpinan Kawasan, Pemuda dan Cawangan. Penganjuran pertandingan memacing ikan darat ini turut mendapat kerjasama PAS Kawasan Parit Buntar, Pusat Khidmat ADUN Titi Serong dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar.


Gambar sekitar pertandingan memancing

Antara peserta yang menyertai pertandingan memancing.

Pakcik ini bersama-sama isterinya turut mencuba (pasangan romantik)

Alahai adik...nak pancing keli, belut pula yang dapat

Kaunter pendaftaran pemilih dikendalikan oleh sdr. Aidi dan sdr. Fairus


Hai..abg... ikan haloi kecil) pun nak timbang ker?


Antara pemancing kanak-kanak...


Berjaya dapat keli.. tapi tak besar lah nak menang dik..