Monday, June 28, 2010

Isu Judi : Vincent Tan berang, salahkan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Jun : Tan Sri Vincent Tan hari ini mendakwa bookie haram membiayai kempen untuk menggagalkan rancangan Kumpulan Berjaya daripada memperoleh lesen pertaruhan sukan, dan kini menunggu masa yang sesuai untuk menghidupkan usaha itu, demikian menurut beberapa penganalisis judi sukan.

Pengerusi Kumpulan Berjaya ini juga mendakwa Pakatan Rakyat (PR) wajar dipersalahkan atas keputusan pentadbrian Najib menarik balik keputusan mengeluarkan lesen minggu lalu.

Tan (gambar) mendakwa bookie haram telah membelanjakan antara RM100 juta hingga RM300 juta untuk menjejaskan usaha memperkenalkan perjudian sukan di negara ini.

Aktiviti pertaruhan haram di Malaysia dianggarkan boleh menjana pulangan bernilai RM20 bilion setahun.Tan mengatakan perkara ini ketika majlis makan tengah hari bersama kira-kira 40 penganalisis pertaruhan di ibu negara.

Pada majlis itu beliau juga menunjukkan surat Kementerian Kewangan bertarikh 13 Januari 2010 yang memberikannya kelulusan bersyarat mendapatkan lesen sukan judi.

Bagaimanapun sumber-sumber yang melihat surat itu berkata tidak menyebut kerajaan perlu mendapatkan sokongan publik terlebih dahulu sebelum mengeluarkan lesen penuh.

Satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Kumpulan Berjaya menyebut syarikat itu sangat kecewa dengan keputusan kerajaan tidak mengeluarkan lesen yang telah diberikan secara dasarnya.

Sebelum ini Kumpulan Berjaya menyatakan bahawa kerajaan telah mengeluarkan semula lesen bagi membolehkan syarikat Ascot Sports Sdn Bhd milik Tan selepas lesen asal telah dibatalkan oleh kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jumaat lalu, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang jelas menunjukkan bahawa sebahagian besarnya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

Najib yang juga Presiden Umno berkata keputusan itu dipersetujui dengan sebulat suara oleh anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu.

“Sejak keputusan kelulusan pada dasarnya telah dibuat dan tinjauan telah dibuat, walaupun ada pihak yang menyokong dan ada pihak tidak menyokong atau menentang, maka setelah mengambil kira semua pandangan ini, jelas kepada kerajaan bahawa sebilangan besar masyarakat tidak bersetuju lesen tersebut diberikan kepada Ascot Sports.

“Oleh itu, dengan ini saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” katanya.

Najib berkata lesen berkenaan telah bermula pada 1989 tetapi syarikat tersebut telah menyerahkan semula kepada kerajaan pada 1990 kerana mengalami kerugian besar.

Sejak tarikh itu syarikat berkenaan telah mencuba beberapa kali untuk memperbaharui lesen dan baru-baru ini kerajaan telah memberikan kelulusan secara dasarnya berasaskan kepada syarat-syarat tertentu untuk dipenuhi, katanya.

Najib berkata adalah menjadi hasrat kerajaan selama ini untuk mengawal pertaruhan sukan haram yang dikatakan melebihi RM10 bilion di samping menyumbang kepada kegiatan jenayah yang lain dan ancaman sosial dalam negara.

Dedah perjanjian konsesi air



KUALA LUMPUR, 28 Jun : Kerajaan persekutuan mempunyai tujuh hari untuk mendedahkan kandungan laporan audit dan perjanjian konsesi air antara kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan dokumen tersebut - yang diklasifikasikan kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) - diumumkan kepada awam.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail, yang memutuskan bahawa keengganan kerajaan mendedahkan laporan tersebut, tidak mempertimbangkan harapan anggota masyarakat yang terjejas dengan keputusan tersebut.

Menurutnya, keputusan responden membenarkan penswastaan perkhidmatan air dan peningkatan kadar sewenang-wenangnya, dan pada masa yang sama menggunakan OSA, adalah tidak selari dengan tujuan akta tersebut.

"Ia juga bertentangan dengan prinsip urus tadbir yang baik, akauntabiliti, ketelutsan dan kepentingan rakyat harus didahulukan," katanya dalam hatinya.

Hadhariah memutuskan bahawa oleh kerana kerajaan telah gagal memenuhi prinsip-prinsip tersebut, maka mahkamah terpaksa memerintahkannya untuk berbuat demikian.

Hadhariah membuat keputusan tersebut dalam kes semakan kehakiman yang dikemukakan oleh presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud dan 13 orang lagi, terhadap kementerian Tenaga, Air, dan Telekomunikasi, dan kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan.

Menurut peguam para Plaintif, Ang Heng Leng, ini adalah keputusan penting yang membolehkan dokumen yang diklasifikasikan di bawah OSA, boleh dicabar demi kepentingan awam dan masyarakat mempunyai hak untuk melihat dokumen tersebut.

Umno tipu











SHAH ALAM, 28 Jun: Empat ulama muda nafi menyertai Umno Jumaat lepas seperti dihebohkan media arus perdana sebaliknya mereka dijemput hadir kerana dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

Salah seorang daripada mereka, Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, (gambar) dari Sungai Buloh berkata demikian ketika berucap menafikan perkara itu di majlis Pentas Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini malam tadi.

“Kami dibawa masuk melalui bangunan sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.

“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap pada majlis itu.

Hosni menamatkan pengajiannya di Markaz Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Selangor di Jugra pada 2003 dengan mendapat diploma dalam bidang itu.

Bermula 2004, beliau belajar di Universiti Al-Albayt, Mafraq, Jordan dan 2009 mendapat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul di Kuliah Syariah dan kini bersedia menyambung pengajian Master di sebuah universiti tempatan.

Anak ketiga daripada empat beradik ini sangat kesal dengan kejadian menipu oleh Umno kerana masyarakat telah memandang serong dengan paparan media yang secara langsung menjatuhkan reputasinya sebagai pewaris ilmu.

“Saya dan tiga lagi sahabat lepasan Jordan, Mohd Fakhruzzaman, 37, dari Shah Alam, Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani) menafikan kami berbuat demikian sebaliknya Umno yang menipu,” tegasnya.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Ketua DAPSY, Anthony Look dan Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.

Mengulas kejadian itu, Idris berkata, jika ulama pun Umno tipu, apatah lagi rakyat biasa sambil menegaskan PAS tidak gentar dengan penyertaan seberapa ramai ulama kerana rakyat lebih tahu sama ada PAS baik atau Umno sudah gelisah.hrkh

Kerajaan cuba sembunyi isu JI
















KUALA LUMPUR, 28 Jun: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik isu Jemaah Islamiah (JI) yang ditimbulkan baru-baru ini apabila meminta pihak polis merahsiakan segala maklumat mengenai isu itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Speaker Dewan Rakyat menolak di dalam kamar usulnya mengenai JI yang dihantar minggu lalu atas alasan ianya telah dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) minggu lalu.

Katanya, kedua-dua kementerian itu tidak menjawab isu sebenar mengenai dakwaan wujudnya anggota JI di negara ini.

"Saya merasakan jawapan itu tidak langsung menjawab isu pokok yang sebenarnya yang mana kenyataan terkini menteri dalam negeri iaitu meminta polis merahsiakan maklumat mengenai JI ini. Apa yang nak dirahsiakan? Kalau dia merahsiakan ini apa muslihatnya?" katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini juga berkata, tindakan kerajaan menyembunyikan isu itu dan mendakwa beberapa tokoh ulama di negara ini terlibat dengan JI semakin menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat.

Dakwaan itu juga, katanya akan menjejaskan iklim pelaburan negara dan mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kerajaan perlu mendedahkan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa apakah benar negara ini menghadapi ancaman JI. Dalam taklimat sebelum ini Ketua Polis Negara mengaitkan fahaman Wahabi, Salafi, dengan JI dengan keganasan yang tidak ada asas langsung.

“Kemudian mengaitkan pula beberapa tokoh ulama seperti Dr Asri dan Ahli Parlimen Marang. Ini akan terus menjadikan isu ini sebagai polemik yang sangat berbahaya kepada keselamatan negara dan juga kepada iklim pelaburan dalam negara kita," katanya.

Justeru, beliau sangat kecewa dengan penolakan usul itu kerana berpandangan Parlimen merupakan tempat terbaik untuk membincangkan isu itu.

"Sebab itu saya minta usul ini dibahaskan supaya ia dapat dijelaskan dalam tempat yang paling berautoriti dan sekaligus dapat menjawab persoalan yang menjadi keraguan dan kebimbangan rakyat sama ada Malaysia atau peringkat antarabangsa dan iklim pelaburan antarabangsa sangat bergantung kepada kestabilan politik negara kita. Oleh itu, mesti diperjelaskan,” ujarnya.

Beliau juga mencabar kerajaan membawa isu itu ke mahkamah jika benar dakwaan mereka itu.

"Kalau ada bukti mengenai JI ini bawalah ke mahkamah untuk diambil tindakan. PAS tidak akan sesekali berkompromi dengan keganasan termasuk saya sendiri," katanya.hrkh

Kaji semula skim pencen awal tentera



PARIT BUNTAR, 28 Jun : Kerajaan digesa mengkaji semula skim pencen awal untuk anggota tentera yang kebanyakannya berada di paras kemiskinan dengan pencen hanya berjumlah RM750 sebulan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad berkata, nasib ribuan anggota tentera yang bermatian mempertahankan kedaulatan negara perlu diberi perhatian melalui penyelarasan semula skim pencen.

“Masalah pencen tentera ini bukan isu yang baru tetapi telah lama. Mereka yang bersara ini masih muda dan dibiarkan begitu sahaja untuk menyara hidup.

“ Masalah bertambah runcing apabila kebanyakan pesara anggota tentera ini mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman dengan ceti haram” katanya yang juga bekas tentera

Hamdan berkata Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar menerima beberapa aduan dari pesara tentera yang tidak mampu menanggung perbelanjaan keluarga kerana pencen yang diterima terlalu kecil.

“ Apabila bebanan kewangan bertambah sedangkan pencen diterima tidak mencukupi, ada pesara tentera yang terpaksa meminjam dari along.

“ Keadaan bertambah buruk apabila mereka tidak dapat melangsaikan hutang pinjaman dengan along tersebut dalam masa yang ditetapkan” katanya

Menurutnya, kerajaan ternyata lebih mengutamakan pembelian senjata tetapi mengabaikan kebajikan tentera.

“ Setakat ini kerajaan tidak dapat memberi satu kaedah penyelesaian untuk membantu pesara tentera.

“ Kerajaan lebih banyak membelanjakan wang untuk membeli senjata tetapi tidak menekan kebajikan anggota tentera dan pesara tentera "katanya

40 orang Ulam-mak



KUALA LUMPUR, 28 Jun : Ahli Majlis Tertinggi Umno, Shahidan Kasim agaknya tersilap kerana menggunakan angka 40 untuk menggambarkan jumlah ulamak muda yang kononnya menyertai Umno. Ia menjadi bahan gelak ketawa satu Malaysia kerana bunyinya hampir sama dengan ‘Kisah Ali Baba dan 40 Orang Penyamun’.

Sukar untuk dipercayai bagaimana 40 orang ulamak berkelulusan PhD dan Master di bidang agama boleh tersesat haluan untuk menyertai parti sekular berteraskan asobiyah, sedangkan Rasulullah SAW mengisytiharkan bahawa orang yang berjuang atas dasar asobiyah “Bukan dari golonganku.”

Bagaimanapun sebagai rakyat yang cerdik setelah berpuluh tahun dipermainkan oleh media-media talibarut BN, kita janganlah begitu mudah mempercayai propaganda yang dilakukan mereka. Ternyata dalam isu 40 ulamak muda sertai Umno ini, ia tidak lebih dari sebuah lagi babak pembohongan untuk terus memperbodohkan rakyat.

Sebenarnya ‘kumpulan’ yang menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang diadakan minggu lalu hanya terdiri dari 16 orang.

Antara yang ada profail dalam kumpulan itu ialah ketuanya, Dr. Fadlan Mohd Othman serta dua anak bekas Mufti Perlis. Itu sahaja.

Selain dari itu (di kalangan 16 orang) mereka adalah terdiri dari ahli Persatuan Al-Islah Perlis yang pergi untuk berjumpa Najib bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu terkini iaitu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.

Salah seorang dari mereka yang mukanya terpampang dalam semua media kononnya menyertai Umno ialah Ustaz Wahab Abdullah. Dia adalah orang PAS tulen yang mengajar di sekolah PAS di Jejawi.

Dia sama sekali bukan pergi untuk serah borang Umno, tapi untuk membersihkan nama persatuannya dari dilabel sebagai pengganas. Begitulah nasib semua rakan-rakannya yang lain yang menyertai rombongan bertemu Najib itu.

Saya tidak tahu untuk mencari apa istilah untuk menggambarkan betapa busuknya permainan Umno dan media tali barut mereka.

Taktik inilah yang digunakan sejak berpuluh tahun. Jika seorang ahli PAS sertai Umno, maka media mereka akan melaporkan berpuluh-puluh orang. Jika dua orang masuk Umno, maka angka itu akan berganda menjadi beratus-ratus.

Siapakah Fadlan ketua kumpulan ulamak muda Umno itu? Media talibarut BN melaporkan kononnya dia pensyarah UKM. Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad telah menghubungi rakannya pensyarah senior UKM, untuk bertanya siapakah Fadlan?

Malangnya rakannya yang sudah lama bertugas tidak kenal ‘rakan sefakulti’nya itu. Tidak mustahil jika dia sebenarnya baru diberi jawatan pensyarah kerana menjadi pak sanggup mengepalai ulamak muda mengisytiharkan diri menyertai Umno.

Seorang dua ulamak menyertai Umno bukanlah pelik sangat. Umno sentiasa ada stok ulamak, walaupun segelintir. Alim atau berilmu adalah satu sifat manusia. Namun lurus bendul, takut, jahat, hubbudunya (gila dunia) adalah satu sifat yang lain. Maka alim dan campuran mana-mana salah satu watak kedua boleh terangkum dalam satu personaliti ulamak. Sebab itulah lahirnya ulamak ussuk, sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah SAW, iaitu ulamak yang sanggup menjual kebenaran demi untuk habuan dunia. Apabila Rasulullah SAW mengakui akan kewujudan golongan tersebut, maka yang hendak dihairankan.

Di peringkat permulaan isu ini dimainkan, kononnya bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin akan turut serta bersama rakan-rakan yang sealiran dengannya. Maka tercetuslah andaian bahawa mereka mahu ‘menyelamatkan diri’ selepas dicop pengganas oleh pihak keselamatan.

Tidak semena-mena tiba-tiba aliran yang sepandangan dengan Wahabi dianggap pengganas. Dalam satu taklimat tertutup anjuran Kementerian Dalam Negeri beberapa individu dan kumpulan dicop sebagai pengganas.

Antaranya kumpulan (yang dinamakan) Wahabi yang dikaitkan dengan Dr. Mohd Asri. Dicop pengganas bukan sesuatu yang menakutkan. Tapi yang ditakuti oleh kebanyakan rakyat Malaysia apabila dicop pengganas ialah Akta Mat Isa yang mengizinkan seseorang dipenjara tanpa bicara.

Jika kumpulan ini adalah antara yang menyertai Umno, maka mereka bertindak bukan kerana benarnya perjuangan Umno tetapi kerana muslihat tertentu. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut tersenarai sebagai pengganas JI, tetapi tuduhan itu tidak menjadi kudis kerana beliau mempunyai organisasi yang besar dan kuat untuk mematahkan segala fitnah jahat yang dilemparkan oleh kerajaan Najib.

Malang bagi kumpulan yang sealiran dengan Dr. Mohd Asri yang turut dicop pengganas kerana mereka tiada kekuatan seperti PAS untuk menangkis serangan. Pergi menyondol Umno mungkin strategi yang difikirkan baik bagi mereka. Namun tidak semua yang menyondol itu terus menjadi penganut perjuangan Umno.

Sewaktu pertubuhan Al-Arqam diharamkan, para pemimpin dan ahli-ahlinya diburu,orang kanan Ustaz Ashaari Muhammad iaitu Abdul Halim Abbas mengisytiharkan diri menyertai Umno. Dia mendapat perlindungan politik dalam Umno, sekalipun dia tidak pernah mempercayai aqidah perjuangan Umno.

Apa hal sekalipun, selepas ini Umno akan terus menjaja ke seantero dunia bahawa kononnya parti asobiyah sekular tua itu mendapat sokongan dari alim ulamak.

Cuma kesukaran yang akan dihadapi oleh Umno ialah membawa golongan ulamak ini berkempen di atas pentas politik Umno dalam pilihanraya. Masa itu baru mereka menerima hakikat bahawa tiada orang alim sejati yang mahu ikhlas bersama Umno.

Bagi Shahidan Kassim yang mempelopori cerita 40 ulamak sertai Umno, hanyalah tindakan politik yang beragenda di saat beliau sudah tidak diterima lagi dalam arus perdana Umno.

Seronok juga kalau P. Ramlee ada. Dia boleh bikin satu filem baru kisah ‘Shahidan Baba Dan 40 Orang Ulamak’.

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

PAS Batak Rabit anjur karnival sukan rakyat



TELUK INTAN, 27 Jun : Sebagai menyahut seruan memasyarakat PAS dan mengamalkan gaya hidup sihat maka PAS Cawangan Batak Rabit sekali lagi menganjurkan Karnival Sukan Rakyat bagi tahun 2010.

Ini merupakan kali keempat karnival tersebut diadakan. Karnival sukan ini adalah anjuran PAS Cawangan Batak Rabit, JK Pemuda PAS Batak Rabit dan NGO.

Menurut Ketua Cawangannya Sdr. Baha, Karnival Sukan Rakyat pada tahun ini diadakan pada setiap hari Ahad dalam bulan Julai.

Menurutnya lagi, oleh kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan penduduk Kg. Batak Rabit terhadap program ini pada tahun lepas, maka acara yang dijalan dan dipertandngkan telah ditambah.

Ia melibatkan acara-acara padang dan dalaman seperti futsal, congkak, memancing udang, mewarna, pingpong, tarik tali, dart dan mengayam ketupat yang melibatkan pelbagai peringkat umur masyarakat.

Para peserta diberikan taklimat larian.


Peserta veteran...


Peserta menyerbu ke bahagian pendaftaran.


Adik remaja perempuan turut datang ...

Pagi tadi, acara pertama karnival telah berlangsung iaitu acara merentas desa. Acara tersebut telah bermula pada pukul 8.30 pagi di mana para peserta kanak-kanak, remaja, dewasa, wanita dan veteran telah dilepaskan oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan.


Bersemangat peserta veteran ini menamatkan lariannya...tahniah!


Antara peserta awal yang berjaya menamatkan lariannya merentas desa.


Peserta wanita bersedia untuk berlepas...


Ini pula peserta kanak-kanak.


Penat nampaknya adik-adik ini selepas berjaya menamatkan larian mereka.

Apa yang menariknya, acara merentas desa ini telah berjaya menarik penduduk kampung untuk turut menyertai yang bukan hanya di kalangan peserta Melayu malah turut disertai peserta kaum Cina dan India.

Di dalam ucapan ringkas sebelum melepaskan para peserta, Timbalan YDP kawasan telah menyatakan akan kepentingan menjaga kesihatan dan perlunya mengamalkan budaya hidup sihat. Beliau juga enekankan aspek bersukan untuk beribadah.

Majlis penutup karnival sukan rakyat dijangka diadakan pada 18 Julai yang dirasmikan oleh ADUN Changkat Jong YB Hj. Mohd. Anuar Sudin.Intanhijau

Nafi pelantikan dapat tentangan


Sel 1














KLANG, 28 Jun :
Bukan mudah buat Faekah Husin mengadaptasikan kerjayanya sebagai seorang peguam kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerana tugas tersebut nyata menjadi cabaran berliku buat beliau.

Namun tiada kata berputus asa buat anak jati Klang ini, malah bersedia menjadi tulang belakang kepada Menteri Besar dalam melestarikan agenda utama iaitu ‘membantu dan mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor’.

Segala-galanya tidak mustahil bagi Faekah, 45, yang turut berkecimpung dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Ketua Wanita Bahagian Kuala Langat pada tahun 1999 sehingga kini.

Memahami perjuangan parti serta kehendak Menteri Besar, membuatkan Faeqah dianggap calon sesuai menggantikan tempat Nik Nazmi Nik Ahmad yang bakal mengisi jawatan sebagai Ketua Komunikasi PKR kelak.

"Saya diberi tender dua tahun oleh Menteri Besar iaitu masa paling kritikal bagi PKR dan Pakatan Rakyat (PR) untuk mempertahankan Selangor.

"Sudah tiba masa bagi saya membantu Tan Sri. Agenda beliau (Khalid) adalah agenda saya, dengan memberitahu kepada rakyat bahawa pentadbiran yang baik memerlukan ‘efficiency’," katanya yang ditemuramah Free Malaysia Today di kediaman beliau di sini hari ini.

Menurut beliau, sokongan setiap Exco dan pegawai-pegawai sokongan cukup penting dalam merealisasikan dasar yang bakal dilaksanakan.

"Tanpa mereka (pegawai-pegawai) ini dasar yang mahu dilaksanakan oleh Tan Sri tidak akan berjaya, maka mereka cukup penting dalam menjayakan dasar-dasar tersebut," katanya yang membuka firma guaman Faekah & Choung sejak 16 tahun lalu.

Malah Faekah sedar bahawa agenda yang dibawa Khalid sebelum ini menemui jalan sukar.

"Saya tahu kedudukan beliau (Khalid) sukar kerana agenda beliau tidak dibawa oleh media perdana. Maka kita pergi ke akar terangkan, bertindak dengan membantu rakyat agar mereka terus menyokong kita.

"Rakyat dekat kampung susah, barang, minyak naik. Bagaimana kita nak sampaikan? Kita akan cuba…cuba dan cuba melakukan yang terbaik agar rakyat memahami keadaan dan kesungguhan kita mengatasinya," kata wanita berjiwa cekal ini.

Hari ini menjadi upacara bersejarah buat Faekah yang mula mengangkat sumpah jawatan sebagai Setpol.

Ketika ditanya mengenai langkah pertamanya selepas dilantik, beliau berkata "saya perlu dapatkan portfolio bertulis mengenai skop kerja, kerana kerja ini luas skopnya…".

Fasa Reformis kepada Fasa Pelaksanaan

Anak ke-10 daripada 12 beradik ini mengenali politik melalui didikan arwah ayahnya Husin Abdul Mokhti, 76, yang meninggal ketika beliau berusia 26 tahun lagi.

Arwah ayahnya merupakan penyokong seumur hidup parti PAS yang banyak membuka minda beliau kepada dunia politik.

Jiwa politik yang diterapkan itu, membawa beliau kepada penglibatannya sebagai aktivis reformis Keadilan bermula tahun 1999.

Maka sepanjang 12 tahun perjuangan sebagai aktivis reformasi ini akan di transformasikan melalui agenda bersama Menteri Besar iaitu mengekalkan Selangor sebagai negeri Pakatan Rakyat.

"Refomis mungkin salah satu agenda saya dalam jawatan ini. Ia memperlihatkan bagaimana untuk menggembelingkan semula reformis.

"Malah sekarang saya lihat kerajaan negeri sedang berusaha memberi yayasan kepada para pejuang reformis dan ini selari dengan agenda saya.

"Bila Tan Sri minta saya menjadi Setpol beliau maka saya lihat fasa kedua kini bermula. Ini bermakna segala apa yang kita perjuangkan selama ini kita transformasikan di dalam agenda dan pelaksanaan yang bakal dan sedang kita buat," katanya yang pernah dilantik sebagai Setiausaha Keadilan Selangor pada 2005 di bawah kepimpinan Khalid ketika itu.

Pakatan Bawa Dimensi Baru Politik

Bagi Faekah menjadi Setpol wanita pertama di Malaysia bukanlah isu penting, namun misiSel 2 yang perlu dilaksanakan tercapai.

Beliau turut menyatakan kekagumannya dengan pentadbiran Pakatan yang disifatkan sebagai menjangkau lapisan politik.

"Menjadi Setpol wanita pertama di Malaysia bukan isu, jika orang melihat ia sebagai sesuatu yang positif maka positiflah ia. Namun yang penting politik baru yang kita bawa.

"Golongan muda tertarik dengan politik Pakatan yang dilihat melangkaui kaum, jantina, agama mahupun kepercayaan. Ini yang membuatkan saya kagum dengan Pakatan.

Malah menurutnya ia diadaptasikan melalui pentadbiran Khalid ketika melantik pegawai kerajaan yang terlibat.

"Tiada persoalan anda seorang ahli Umno, PAS, DAP mahupun PKR dalam menerima sebarang bantuan atau perlantikan. Ini yang diterapkan dalam pentadbiran Menteri Besar.

‘Saya pernah bergurau dengan beliau (Khalid) nak lantik pegawai pendaftar dalam UNISEL anak Selangor perlu ada kriteria? Khalid jawab, perkara itu jadi no 10," kata Faekah pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah UNISEL pada 2008 yang dipengerusikan oleh Khalid.

Nafi Pelantikan Dapat Tentangan

Ketika mengulas mengenai spekulasi pelantikan beliau yang kononnya mendapat tentangan, beliau menafikan perkara tersebut.

"Saya tidak nampak perlantikan ini mendapat tentangan malam itu di mana 15 ahli parlimen kononnya menentang pelantikan beliau tetapi mereka berjanji memberi sokongan penuh dan sedia memberi tunjuk ajar.

"Malah orang pertama yang saya beritahu mengenai pelantikan ini adalah Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, diikuti Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali dan seterusnya Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani.

"YB saya perlu tahu, PKR bahagian semua saya beritahu. Bila kata wujud penentangan mungkin strategi politik untuk PKR kekal bebasbersuara," katanya.

Dalam pada itu, Faekah melahirkan rasa syukur dengan sokongan diterima terutama ahli keluarga terdekat.

Malah beliau cukup terharu ekoran pelbagai pihak mula menerima kehadirannya termasukklah bekas rakan kongsi, ahli-ahli politik Pakatan serta aktivis reformasi yang menyatakan sokongan terhadap perjuangan yang bakal dihadapinya kelak.

Tambah 1,000 PASTI










KEPALA BATAS, 28 Jun: Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani mahu Pasti dikembangkan menjadi 1,000 buah lagi pada masa depan berbanding hari ini yang mencecah 1,000 buah di seluruh negara termasuk Sabah.

Justeru itu, beliau berharap semua jentera Pasti negeri serta guru-guru supaya memastikan pusat asuhan itu terus matang dan cemerlang pada tahun-tahun akan datang.

Beliau juga berkata, Sukan Pasti Malaysia yang diadakan setiap tahun mulai tahun 2005 berjaya membuka mata masyarakat.

Ini, katanya kerana melalui sukan itu masyarakat tahu bahawa Pasti bukan sahaja mengajar Al-Quran dan pembelajaran awalan Islam lain tetapi mengambil berat soal kemahiran permainan sukan seperti bola sepak dan bola jaring sejak kecil lagi.

Kehadiran Pasti, tambahnya, di tengah masyarakat kini kian menyerlah bukan kepada masyarakat Islam sahaja bahkan di kalangan masyarakat bukan Islam.

"Inilah nilai Pasti sejak ditubuhkan 20 tahun lalu di mana kemunculannya di tengah masyarakat berjaya mengubah senario politik dan anggapan Pasti semata-mata mengajar Islam dengan membelakangkan sebarang bentuk kesukanan terutamanya bola sepak yang menjadi sukan kegemaran rakyat negara ini," jelasnya ketika merasmikan Majlis Penutup Pesta Sukan Pasti Malaysia 2010 di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini petang semalam.

Hadir sama menyaksikan pesta sukan kali keenam itu ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, Pengarah Pasti negeri, Mohd Asri Harun, Ketua Majlis Guru Pasti Malaysia, Puan Saadiah Abu Bakar serta kepimpinan Pasti yang turut memberikan sokongan padu kepada pasukan yang bertanding.

Terengganu bakal menjadi tuan rumah pesta sukan itu pada tahun depan.

Sementara itu, pasukan bola sepak Selangor sekali lagi menunjukkan taring apabila berjaya mengekalkan kejuaraan apabilan mengalahkan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir.

Pasukan merah kuning itu nyata gah di padang kerana sekaligus memenangi ketogari penjaring terbanyak, Adik Lokman Hakim dan pemain terbaik, Mohd Fakrulrazi Ahmad Shamsuri.

Piala kemenangan disampaikan oleh Ketua Pengarah Pasti Malaysia, Azrin Abdul Majid kepada semua pemain, juru latih dan ketua kontinjen Selangor.

Pasukan Perak menduduki tempat ketiga mengalahkan Terengganu dengan lambungan syiling apabila kedua-dua pasukan berkesudahan seri 7-7.

Dalam acara bola jaring pula, pasukan Terengganu menang besar mengalahkan Kedah dengan jaringan 10-1 bagi memastikan pasukan mereka paling hebat berbanding kontinjen lain.

Tempat ketiga Selangor yang mengalahkan pasukan tuan rumah juga dengan jaringan besar 12-1.

Bagi ketogari bola jaring, Adik Siti Ainun Majah Zulkifli berjaya menjadi penjaring terbanyak dengan 25 gol manakala Adik Adlin Aqilah Kamarulhisyam mendapat anugerah pemain terbaik.

Sebanyak 13 buah negeri mengambil bahagian iaitu Melaka, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah.hrkh

15 MP PKR bantah MB Selangor, berita tidak benar














SHAH ALAM, 28 Jun :
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan wujud kumpulan lima belas Ahli Parlimen KEADILAN yang akan mengadakan protes terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan dengan perlantikan Setiausaha Politik beliau yang baru, Faekah Husin.

Spekulasi dalam media timbul setelah beliau menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Rabu lalu.

"Saya jelaskan di sini bahawa berita yang disiarkan di dalam 'The Star Online' adalah tidak benar, kenyataan tersebut hanyalah spekulasi pihak tertentu yang dikaitkan dengan perletakkan jawatan saya dalam PKNS.

"Apa yang pasti maklumat ini adalah baru dan saya akan berjumpa dengan kesemua rakan-rakan saya untuk mendapat maklumat yang penuh terhadap dakwaan tersebut, kita akan meneliti setiap alasan yang diberikan kalau betul timbul rasatidak puas hati mungkin saya boleh menjadi wakil kepada rakan-rakan di dalam KEADILAN untuk meluahkan pendapat tersebut kepada Menteri Besar.

"Apa yang pasti saya tidak terlibat dalam spekulasi itu dan jangan buat andaian yang tidak betul," jelas Azmin ketika ditemui di lobi parlimen semalam.

Azmin juga ditanya media pendapat beliau berhubung perlantikan Faekah.

"Keputusan perlantikan tersebut sudah tentu terletak kepada budi bicara Menteri Besar, bagi saya perlantikan Faekah adalah satu penghormatan yang diberikan kepada seorang wanita dan ini menunjukkan dalam politik Pakatan Rakyat kita tidak meminggirkan peranan wanita untuk menyumbang kepada parti," kata beliau.

Tambah Azmin, beliau tahu isu tersebut akan diperbesarkan oleh Umno dan juga media arus perdana tetapi baginya isu itu tidak menjadi perhatian serius kepada pimpinan KEADILAN.

"Kita tahu kesempatan akan digunakan untuk membesarkan isu tersebut dan bagi saya itu bukan perkara yang perlu kita fikirkan, Umno akan menggunakan isu itu sebagai senjata mereka menyerang KEADILAN.

"Dari sudut politik kita melihat ini sebagai satu langkah positif dan keterbukaan kita membuat sebarang kritikan kepada pemimpin jika berlaku sesuatu yang kita rasa perlu ditegur.

"Jangan jadi seperti Umno ataupun parti komponen Barisan Nasional yang lain, orang bawahan tidak boleh menegur kesilapan pemimpin atasan. Politik mereka jelas mengamalkan sikap kuku besi jika ada yang menegur maka tindakan akan diambil samada dipecat atau dipinggikan terus," tegas Azmin lagi.

Azmin juga mahu Abdul Khalid mengambil serius spekulasi liar yang disebarkan sesetengah media dan berharap tindakan segera diambil agar ia tidak terus menjadi isu besar.

Beliau yakin dengan kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir Selangor dan usahanya untuk menjadikan Selangor sebagai negeri contoh di negara ini.