Tuesday, August 3, 2010

Umno/BN bunuh demokrasi di Perak

IPOH, 3 Ogos: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) hari ini menyifatkan kerajaan negeri yang diterajui Umno BN telah membunuh demokrasi apabila pelbagai tindakan bertentangan dengan peraturan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) dilakukan mereka.

Ianya termasuklah tempoh persidangan yang hanya sehari bagi meluluskan Enakmen Perbekalan Tambahan RM80 juta dengan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat membahaskannya selama 15 minit.

Menurut Nizar yang juga Adun Pasir Panjang, keadaan itu sangat berbeza dengan amalan Pakatan Pakyat sewaktu memerintah negeri, malah juga turut berbeza sewaktu zaman Tan Sri Tajol Rosli menjadi Menteri Besar.

"Semasa Datuk Ngeh (Adun Sitiawan) menjadi ketua pembangkang, dia diberikan waktu tiga jam tanpa diganggu oleh menteri besar masa itu, Tajol Rosli," katanya seperti dilapor Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

Nizar berkata demikian pada sidang media Pakatan Rakyat selepas beliau dihalau keluar dan digantung dari menghadiri persidangan hari ini.

Selain itu katanya, tindakan Speaker BN, Datuk Ganesan menggantungnya tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan juga adalah bertentangan dengan amalan biasa.

"Kami mengambil keputusan hari ini untuk bersidang, tetapi bila melihat tindakan Ganesan menyalahgunakan kuasanya untuk gantung seorang Adun tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, itu sudah salah guna kuasa.

"Ganesan cuma boleh arah saya keluar dewan, dan ini kuasa dia, tetapi bukan gantung saya," Nizar dipetik sebagai berkata.

Selain tidak diberi peluang dan masa yang cukup untuk berbahas, Pakatan Rakyat juga hari ini dihilangkan suara oleh BN apabila mikrofon mereka ditutup apabila mahu mengemukakan peraturan mesyuarat.

Beberapa Adun Pakatan Rakyat bangun bagi membantah beberapa tindakan Ganesan, namun bantahan mereka tidak didengar kerana ada pihak menutup mikrofon mereka.

"Kami hilang suara hari ini kerana pembesar suara ditutup. Tindakan kami adalah untuk menyelamatkandemokrasi di Perak.

"Kita mengatakanoleh kerana mereka buat kerja haram, maka dewan tidak berfungsi lagi," katanya.

Terdahulu persidangan Dun Perak hari ini sekali lagi kecoh apabila Nizar yang juga Menteri Besar Pakatan Rakyat, dihalau keluar oleh Ganesan dan digantung satu hari.

Tindakan itu, ekoran Nizar enggan duduk dari memberi ucapan mewakili Pakatan Rakyat setelah diarah oleh Ganesan.

Pemuda PAS Parit Buntar bantah saman ekor





















PARIT BUNTAR, 3 Ogos :
Dewan Pemuda PAS Parit Buntar menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan yang mengajak seluruh rakyat menurunkan tandatangan sebagai tanda protes terhadap saman ekor yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, saman ekor ini merupakan satu tindakan tidak wajar kerana mereka yang menerima notis saman terpaksa membayar saman tanpa diketahui kerana tiada tandatangan pemilik kereta pada surat saman tersebut.

" Pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan meletakkan nombor plat palsu bagi mengelakkan kenderaan mereka disaman melalui saman ekor ini" katanya

Beliau yang juga Setiausaha kepada Ahli Parlimen Parit Buntar menyatakan sudah ada beberapa orang datang ke Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar mengadu berkenaan saman yang mereka terima

" Mereka memprotes di atas saman ekor yang dikenakan terhadap mereka kerana ada yang menerima lima saman sekaligus, malah dikumpulkan sejak 2007. Saman yang terkumpul berjumlah lebih RM 1,000.00" katanya

Hairul Nizam berkata, rakyat sekarang menjadi takut terpaksa menghabiskan wang sebanyak itu menjelaskan saman kerana memikirkan mereka akan disekat untuk memperbaharui cukai jalan.

" Apa yang menghairankan mengapakah saman ekor pada tahun 2007 tidak diketahui maklumatnya oleh pemilik kenderaan tetapi dikumpulkan sehingga tahun 2010 baru diserahkan semuanya.

" Sekiranya dari tahun 2007 sudah ada saman tersebut, sudah tentulah di dalam sistem komputer sudah ada maklumat yang menyekat memperbaharui cukai jalan pada tahun (2008) berikutnya. Ini satu tindakan tidak efisien yang membebankan rakyat" katanya

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS Parit Buntar akan menyediakan satu kain rentang khas untuk ditandatangani oleh segenap lapisan masyarakat bagi membantah saman ekor ini.

"Tandatangan ini akan diserahkan kepada Pemuda PAS Pusat untuk dihantar bersama memorandum kepada Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pengangkutan" katanya.

Polis rancang tindakan biadap


SHAH ALAM , 3 Ogos : Angkatan Muda KEADILAN Malaysia mengecam keras tindakan polis yang melakukan intimidasi melampau ke atas beberapa program yang melibatkan penyertaan pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat serta aktivis anti Akta Keselamatan Dalam Negeri pada hari Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau menyifatkan tindakan terbaru polis itu sebagai biadap dan telah dirancang rapi oleh polis ketika percutian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke luar negara.

"AMK melihat, di sebalik percutian 10 hari Perdana Menteri, beberapa perkembangan yang berlaku, termasuklah penahanan Tun Dr Ling Liong Sik terdahulu dan pengharaman akhbar rasmi KEADILANdan DAP, kesemuanya merupakan sesuatu yang telah dirancang rapi, ditambah dengan intimidasi polis ke atas program anjuran KEADILAN dan Pakatan Rakyat secara keras dan konsisten mutakhir ini," ujar beliau dalam satu kenyataan media semalam.
Menurutnya, Umno-Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib kini dilihat begitu lemah lalu terpaksa menggunakan polis dan instrumen kerajaan bagi mengekang kemaraan Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun.

Beliau mengulas tindakan polis terhadap program anjuran Keadilan di Batu Pahat, Johor dan Sungai Rambai pada 31 Jun lalu yang dicemari insiden keganasan polis yang secara biadap membawa trak FRU dan gerombolan anggotanya menujah masuk ke dalam program berkenaan.

Manakala pada 1 Ogos lalu, polis sekali bertindak ganas dengan menahan sekurangnya 36 aktivis anti ISA di seluruh negara kerana mengadakan perhimpunan aman membantah akta zalim ISA bersempena 50 tahun ia dikuatkuasakan oleh kerajaan Umno-BN.

Kesemua mereka di tahan di Petaling Jaya, Selangor, Ipoh, Pulau Pinang dan Kelantan.

Antara yang ditahan ialah Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin, setiausaha GMI Nalini Elomalai dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan ketika mengadakan perhimpunan di Dataran Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya.

Shamsul berkata, tindakan polis itu bukan sahaja dilakukan secara biadap dan tidak profesional, malah melanggar peraturan penguatkuasaan dengan membuat tangkapan secara melulu.

"Ini berikutan program di Johor dan Melaka dianjurkan di dalam premis persendirian dan tidak melibatkan tempat awam, malah tempat program di Melaka juga telah dicadangkan oleh polis sendiri.

"Demikian juga di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, meskipun dengan kehadiran peguam dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut hadir memantau penahanan aktivis, kehadiran mereka ini tidak dipedulikan langsung oleh polis, sekaligus menunjukkan kebiadapan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh polis selaku penguatkuasa undang-undang," kata Shamsul lagi.

Tambah beliau, siri intimidasi ini juga jelas membuktikan KEADILAN dan Pakatan Rakyat merupakan satu ancaman terbesar bagi Umno-BN yang mahu tradisi membodohkan rakyat diteruskan bagi menafikan hak rakyat mendapat maklumat alternatif, berhimpun dan bersuara.

Justeru katanya, AMK menggesa agar pihak polis membersihkan institusi PDRM daripada kawalan politik Umno-BN dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi itu.

"Jangan pasung mentaliti rakyat daripada menerima maklumat alternatif yang mendedahkan salahlaku dan penyelewengan yang sekianlama dilakukan oleh Umno-BN. AMK menyatakan komitmen untuk membawa perkara ini kepada Suhakam agar siri-siri intimidasi ini boleh dihentikan. Rakyat perlu bersatu untuk hentikan tradisi membodohkan rakyat yang sedang digerakkan oleh Umno-BN," tegas beliau.

Umno, Utusan pakar putar belit cerita



































SHAH ALAM, 3 Ogos :
Setiausaha Publisiti DAP dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menganggap kenyataannya berhubung penarikan balik diskaun sebanyak tujuh peratus ke atas pembelian hartanah mewah dan komersial oleh golongan bumiputera telah diputarbelitkan oleh Umno dan lidah rasminya, Utusan Malaysia.

Dalam satu kenyataan media, Tony berkata beliau tidak berniat meniupkan sentimen perkauman dengan membangkitkan hak keistimewaan kaum bumiputera seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.

Sebaliknya kata beliau, cadangannya perlu dilihat dari perspektif pengagihan ekonomi yang lebih adil dan bukan berasaskan dasar yang hanya memberi keistimewaan kepada golongan kaya.

"Minggu lepas, saya telah dicerca Utusan Malaysia dan pemimpin Umno kerana menyarankan salah satu langkah untuk memperbaharui keyakinan pelabur dalam polisi ekonomi negara iaitu melupuskan diskaun bumiputera ke atas pembelian hartanah mewah dan komersial.

"Dalam cadangan saya, saya tidak mempunyai niat meniup sentimen perkauman atau mengambil hak-hak bumiputera seperti dijelaskan dalam perlembagaan. Saya lihat dasar ini dengan tegas dari perspektif keadilan pengagihan ekonomi,"katanya.

Beliau memberi gambaran bahawa seseorang yang membeli hartanah bernilai RM2 juta di bawah dasar yang lama akan mendapat keuntungan RM140,000 sekiranya diskaun 7 peratus dikekalkan. Berbanding golongan berpendapatan lebih rendah yang membeli hartanah bernilai RM100,000 umpamanya, hanya menerima kelebihan diskaun sebanyak RM7,000.

Katanya, keadaan itu hanya memberi lebih manfaat kepada golongan kaya dan bukan rakyat terbanyak atau majoriti kaum melayu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mengingatkan beliau supaya tidak “bermain dengan api” berhubung isu itu. Ahmad Maslan dakwanya cuba menggunakan Perlembagaan Persekutuan dan “kontrak sosial” bagi mengekalkan dasar diskaun pemilikan hartanah berdasarkan kaum.

Tony membidas sikap pemimpin Umno dan Utusan malaysia yang cuba mempolitikkan isu itu dengan memberi gambaran yang salah berhubung kenyataan beliau.

Katanya, perkara itu jelas bertentangan dengan ucapan perdana menteri pada 30 Mac lalu yang menjamin bahawa pengagihan ekonomi melalui Model Ekonomi Baru berasaskan merit dan 'mesra pasaran' tanpa mengutamakan dasar sasaran kaum atau sistem berasaskan kuota.

"Umno, melalui lidah rasminya Utusan Malaysia dan Datuk Seri Najib memilih bersikap perkauman dan mempolitikkan isu ini, membangkitkan kemarahan sentimen perkauman untuk mencapai tujuan politik dan ekonomi jangka pendek.

Menurutnya lagi, keadaan itu menyebabkan pelabur asing dan tempatan dikelirukan dengan dasar-dasar yang tidak selari dengan pelaksanaan kerajaan seperti yang diperkenalkan dalam MEB dan Rancangan Malaysia Ke-10.

Menurutnya sekiranya kerajaan tidak mampu melakukan pembaharuan dasar dalam MEB, perdana Menteri dan pemimpin Umno perlu berhenti bersikap berpura-pura dengan melaksanakan satu model ekonomi kononnya berteraskan "mesra pasaran dan berdasarkan merit”.

"Ia hanya akan membuktikan kepada pelabur-pelabur yang kerajaan hanya bercakap tetapi tiada tindakan dan bahawa Barisan Nasional sama sekali tidak mampu membawa perubahan dan kurang transformasi yang dikehendaki untuk membawa kita ke status negara maju sebelum 2020," kata beliau lagi .

Kedah cadang asing hasil arak, judi

ALOR SETAR, 3 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah bercadang untuk mengasingkan punca hasil dari sumber judi dan arak daripada punca-punca hasil yang sah tidak lama lagi.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, sehingga ini kerajaan negeri belum bersedia mengasingkan hasil dan perolehan daripada hasil judi dan hasil sumber yang sah bagi maksud perbelanjaan dan pembangunan negeri ini.

Namun begitu, katanya kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk mengasingkan punca hasil tersebut pada masa yang akan datang.

Katanya, mengikut unjuran bagi tahun 2010 anggaran jumlah perolehan dan hasil bagi kerajaan negeri ialah sebanyak RM496,085,253 termasuk hasil cukai sebanyak RM281,314,403.

Tambahnya, bagi hasil bukan cukai pula ialah sebanyak RM60,951,470 sementara penerimaan untuk bukan hasil pula ialah RM153,819,380.

"Bagi tahun 2011 pula, anggaran perolehan hasil adalah sebanyak RM520,966,869.65 yang mana ia termasuk juga jumlah hasil cukai sebanyak RM295,380,123.15.Manakala bagi hasil bukan cukai ialah RM63,999,043.50.

"Sementara itu bagi hasil bukan cukai pula ialah RM161,587,703," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim semasa sidang Dewan Undangan Negeri, semalam.

Tahan aktivis ISA : Imej Malaysia semakin teruk




















SHAH ALAM, 3 Ogos :
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengutuk tindakan polis menahan 38 aktivis yang menyertai perhimpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersempena 50 tahun akta zalim itu dikuatkuasakan di negara ini.


Pegawai Publisiti CIJ, Chuah Siew Eng berkata, penahanan dan tindakan polis tersebut telah menyebabkan imej Malaysia bertambah buruk, apatah lagi negara ini merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

"Penangkapan warganegara yang berhimpun secara aman membantah satu undang-undang yang melanggar hak asasi iaitu penahanan tanpa bicara (ISA) telah menjejaskan imej Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bersatu.

"Respon sedemikian juga mendatangkan nama buruk kepada Perdana Menteri Najib Razak, yang mencanangkan konsep 1Malaysia yang menggesa antara lain, menghormati kepelbagaian pendapat,"ujar beliau.

Dalam kejadian 1 Ogos lalu, polis bertindak ganas di lapan tempat perhimpunan iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dengan menahan kira-kira 36 peserta perhimpunan tersebut. Antara yang ditahan termasuk wanita dan dua wartawan dari Harakah yang sedang menjalankan tugas.

Menurut Siew Eng, tindakan biadap polis menyuraikan perhimpunan anjuran Gabungan Mansuhkan ISA dan Suara Rakyat Malaysia itu adalah tidak wajar memandangkan pihak penganjur telah mengambil pendekatan dan langkah berjaga-jaga berhubung soal keselamatan peserta dan orang ramai.

Menurutnya lagi, adalah tidak munasabah perhimpunan program nyalaan lilin itu diperlihatkan sebagai satu bentuk ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan negara.

"Di Selangor dan Pulau Pinang, polis rusuhan menganggu perhimpunan sebelum acara dimulakan. Tempat kejadian menjadi kelam kabut apabila polis rusuhan mengejar peserta sehingga ke pusat membeli belah, memukul beberapa peserta sepertimana yang dilihat saksi kejadian. Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan peserta cedera tetapi yang melihat acara itu turut cedera,"ujarnya.

Tegasnya, CIJ mengulangi bahawa kebebasan bersuara dan berhimpun seperti mangadakan acara memasang lilin secara aman adalah merupakan hak asasi yang diakui Perlembagaan Persekutuan untuk semua rakyat di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Sosialis Malaysia mengulangi pendirian nya mendesak kerajaan memansuhkan ISA dan semua undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Setiusaha Agung PSM, S. Arutchelvan berkata, ISA telah digunakan terhadap pelbagai pihak termasuk ahli politik, ahli akademik, pelajar, aktivis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ramai lagi.

Beliau juga menyifatkan ISA sebagai akta paling drakonian di negara ini yang telah digunakan bagi menyeksa, memalukan dan menafikan hak ribuan individu yang ditahan tanpa bicara.

"Kesemua bekas Perdana Menteri telah menggunakan ISA untuk kekal berkuasa, sebagai satu 'senjata' untuk mencantas apa-apa ancaman dan boleh digunakan ke atas sesiapapun pada bila-bila masa.


"ISA merupakan satu ancaman terhadap demokrasi dan hak asasi dan selagi adanya ISA, saya anggap negara ini masih di dalam perintah 'berkurung'," tegas Arutchelvan.

Katanya ISA dikuatkuasakan kerajaan pada 1 Ogos 1960, iaitu sehari selepas perintah darurat berakhir yang meletakkan negara kini dalam satu keadaan yang menyerupai zaman ketika itu.

"Keadaan cemas sejak 50 tahun lalu ini perlu dihentikan sekarang juga dan tidak patut diteruskan melalui penggunaan kaedah lain," kata beliau lagi.

Tuan Guru Nik Aziz ikon Bapa Perpaduan






























JERANTUT, 3 Ogos:
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mahu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadikan ikon Bapa Perpaduan Malaysia atas keupayaannya memerintah secara adil di negeri Kelantan.

Di samping itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan memainkan peranan yang penting dalam usaha menyatukan kepelbagaian kaum dalam Pakatan Rakyat, kata Timbalan Pengerusi DHPP Pusat, N Balasubramaniam (gambar).

Ketika berucap dalam program yang diadakan di Temin, kelmarin, beliau berkata keupayaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menerapkan nilai-nilai adil kepada semua kaum dalam pemerintahan di Kelantan.

Justeru, kata beliau sepatutnya Nik Aziz dijadikan contoh atas keupayaan menyatukan kaum sehingga dikagumi oleh rakyat bukan sahaja di Kelantan malahan seluruh negara.

"Tok Guru sebenarnya adalah bapa perpaduan di Malaysia. Dia memerintah Kelantan dengan adilnya kepada semua kaum. Orang bukan Islam telah terima dasar Islam yang adil. Sekarang ini orang bukan Islam semakin yakin dengan PAS.

"PAS diterima oleh orang bukan Islam sejak 50 tahun lalu tetapi atas beberapa sebab kerana mereka tak sokong Umno BN, mereka tak mahu Umno menang. Selepas pilihan raya umum lalu, orang bukan Islam semakin yakin dengan dasar Islam yang dibawa PAS," katanya.SH

Defisit Perak tertinggi


IPOH , 3 Ogos : Rang Undang-Undang Perbekalan sejumlah RM80 juta antara isu hangat yang akan dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri penggal ke tiga hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, jika rang undang-undang ini diluluskan, Perak akan menjadi negeri defisit tertinggi dengan jumlahnya RM104 juta.


Menurutnya, defisit berlaku apabila kerajaan membelanjakan wang dengan sewenang-wenangnya.

“Merayu rang undang-undang ini diberi masa seluas-luasnya untuk bertanya dan membahaskan tambahan RM80 juta itu. Kami merasakan ia adalah satu perkara tidak sepatutnya berlaku. Pada pembentangan belanjawan tahun lalu masih ada defisit sejumlah RM24 juta.

“Contoh perbelanjaan yang tidak sepatutnya seperti pembayaran dan faedah kepada tiga penasihat bertaraf Exco tanpa tugas. Selain itu, perbelanjaan luar negara dan pemberian RM50,000 untuk 24 Bahagian parti MCA,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma DAP di sini, semalam.

Mohammad Nizar berkata, pembaziran itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan wang rakyat.

“Ini tugas pembangkang. Kalau gunakan wang sewenang-wenangnya dengan wujud jawatan, tapi tiada kerja yang dijalankan ini adalah pembaziran dan kesalahan kerana tidak wujud jawatan berkenaan. Ini melibatkan wang rakyat.

“Ketika pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) tiada permohonan pertambahan, tetapi mendapat lebihan sejumlah RM103 juta. Pentadbiran PR mendapat wang lebihan tanpa kenaikan cukai,” katanya.SH

Demo aman tanpa polis


SUNGAI PETANI , 3 Ogos : Penduduk bandar ini mungkin tertanya-tanya mengenai kehadiran anggota polis bersama kenderaan pihak berkuasa berkenaan membanjiri Dataran Zero Kilometer seawal jam 6 petang dan berakhir lebih kurang jam 10 malam kelmarin dengan anggaran seramai 200 anggota yang terlibat.

Anggota polis yang membanjiri dataran tersebut adalah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap Demonstrasi Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang dirancang pada jam 8 malam, namun walaupun kawalan ketat diadakan, demonstrasi tetap diteruskan di lokasi berlainan.


Ketua Pasukan Keadilan Kedah Tengah, Simon Ooi berkata, oleh kerana anggota polis mengambil langkah mengadakan kawalan ketat dan tidak membenarkan peserta demonstrasi mendekati Dataran Zero Kilometer, mereka terpaksa mengubah lokasi di hadapan Kompleks SP Plaza.

“Walaupun kita lihat anggota polis mengambil langkah awal dengan mengadakan kawalan ketat di lokasi asal, namun demonstrasi ini harus dilaksanakan juga secara aman di hadapan Kompleks SP Plaza.

“Pada awalnya peserta demonstrasi lebih ramai, namun melihat kepada situasi ini, hanya tinggal 50 peserta sahaja menjalankan Demonstrasi GMI sempena ulang tahun penubuhan akta tersebut hari ini (1 Ogos),” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Turut hadir menyertai demonstrasi terbabit ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria; Exco Kerajaan Negeri Kedah, Tan Chow Kang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Nasir Mustafa.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasir berkata, beliau mewakili Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah untuk menyertai demonstrasi terbabit bagi menyatakan pendirian untuk pemansuhan ISA kerana bercanggah dengan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang, kepercayaan agama dan budaya tamadun.

“Kami berharap kerajaan menunaikan janji melihat semula akta yang ada dalam negara untuk dimansuhkan dan percaya bukan sahaja parti politik yang minta Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini dimansuhkan, namun rakyat secara keseluruhannya juga mengharapkan pemansuhan ini,” katanya.

Sementara itu, Simon berkata, demonstrasi GMI yang diadakan di sini adalah sempena 50 tahun ISA ditubuhkan dan rakyat seluruh negara berhimpun pada masa sama kelmarin untuk menyatakan bahawa akta berkenaan dan segala undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara harus dimansuhkan dengan segera dan bukannya dipinda.

Perhimpunan terbabit yang dirancang jam 8 malam diadakan pada jam 8.40 malam dan berakhir lebih kurang 9 malam dalam keadaan aman tanpa ada tangkapan dilakukan polis.SH

BN tidak konsisten, SPR diperlekeh

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) kesal dengan sikap tidak konsisten pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan isu pendaftaran pemilih.

Semalam, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Timbalan Menteri Pelajaran mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan pendaftaran pengundi dan pemilih secara automatik dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara di mana, setiap warga negara berumur 21 tahun ke atas secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

Idris berkata, Pakatan Rakyat sudah lama mencadangkan perkara itu dan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini sudah membawa cadangan itu tetapi ditolak melalui jawapan Parlimen oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa negara ini mengamalkan freedom of association, freedom of expression and freedom to make decision dan rakyat tidak boleh dipaksa untuk mendaftar dan keluar mengundi.

Katanya, jawapan berkenaan jelas memberikan masalah kepada SPR yang masih gagal mendaftarkan pengundi-pengundi yang telah layak kerana kekurangan kakitangan dan sumber.

Akibat penolakan itu, katanya SPR mewujudkan cadangan baru iaitu menaikkan bayaran untuk penolong pendaftar yang berjaya mendaftarkan setiap pemilih baru daripada RM1 kepada RM3.

Tetapi cadangan itu pula ditolak oleh Puad atas alasan membazirkan wang rakyat dan kembali semula mengutarakan cadangan yang pernah disebut oleh Pakatan dan SPR iaitu membuat pendaftaran secara automatik.

“Jelaslah, bahawa kerajaan BN sendiri tidak konsisten dan tidak mempunyai persefahaman yang jelas terhadap keputusan yang mereka ambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR, katanya menjadi seperti bola yang bukan sahaja ditendang ke sana ke mari, cadangan mereka diperlecehkan dan BN jelas takut untuk membuat penyelesaian terhadap isu pendaftaran pemilih kerana jumlah pengundi baru yang ramai adalah satu ancaman kepada mereka.

“PAS tegas mahu pendaftaran pemilih secara automatik dibuat dan kita bersedia membantu SPR untuk meningkatkan jumlah pengundi baru,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya PAS berharap agar SPR bersikap lebih terbuka dan menerima dengan positif bantuan yang ditawarkan oleh PAS.

“Kita menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada SPR bagi mendaftarkan pemilih-pemilih baru dengan syarat pendaftar pemilih dari parti ini dan parti-parti Pakatan lainnya tidak didiskriminasi oleh SPR,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya lagi layanan yang adil hendaklah diberikan dan jawapan segera diberikan bagi setiap senarai pendaftaran yang telah diserahkan sebelum ini.

PAS, jelasnya berjanji bahawa pendaftaran pemilih secara automatik akan dilaksanakan jika Pakatan menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti sekaligus dapat menjimatkan wang rakyat dan memudahkan kerja-kerja SPR.