Wednesday, August 4, 2010

Ceramah Lim Guan Eng jadi tarikan


PARIT BUNTAR, 4 Ogos :
Ceramah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Parit Buntar pada 7 Ogos ini dijangka menarik kehadiran orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.


Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, ceramah anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar berkenaan akan diadakan di Dataran Purnama, Kampung Kedah.

“ Segala persiapan sudah dibuat dan orang ramai diharap dapat datang awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

“ Orang ramai diminta meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran Taman Kerian Permai . Unit Amal Parit Buntar akan mengawal lalulintas dan parkir” katanya

Fakhrurrazi berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan menjelaskan isu-isu yang dimainkan oleh pemimpin Barisan Nasional bertujuan memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

“ Perkara sebenar yang berlaku di kampung Jalan Pokok Asam dan isu pegawai persekutuan Nik Ali Mat Yunus tidak menghormati kerajaan negeri akan diketahui pada malam tersebut.

“ Orang ramai di Parit Buntar dan kawasan sekitar pasti tidak akan melepaskan peluang mendengar penjelasan dari mulut Ketua Menteri sendiri”katanya

Menurutnya lagi, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang baru pulang dari Sabah turut berucap bersama Ketua Menteri Pulau Pinang.

“ Beliau tentunya akan menceritakan pengalaman mengadakan dialog bersama paderi-paderi kristian di beberapa gereja di Sabah” katanya

Tambahnya, PAS Parit Buntar akan membuka kaunter daftar pemilih dan daftar ahli PAS pada malam tersebut.

Noh Omar tak perlu buang masa


























SHAH ALA
M, 4 Ogos : Ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, timbalan pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar (Gambar) tidak perlu buang masa melontarkan cabaran agar ditutup pusat hiburan dan rumah urut di Selangor sepanjang Ramadhan

"kerana pusat maksiat ini sememangnya tidak wajar dikunjungi oleh umat Islam sepanjang masa."

"Yang anehnya tiada pula usaha yang sama dibuat semasa BN diterajui Umno memerintah negeri Selangor sebelum ini," bidas Roslan.

"Sesungguhnya apa yang penting adalah seluruh umat Islam di negeri ini dididik dan faham bahawa sebagai seorang Muslim mereka wajib menjauhkan diri dari sebarang aktiviti dan kerja-kerja mungkar.

"PAS melalui kerajaan negeri akan memastikan yang aktiviti penguatkuasaan terus dilaksanakan sehingga maksiat dapat dibendung di negeri ini," katanya lagi.

Beliau menjawab cabaran Noh Omar supaya PAS Selangor mendesak kerajaan Pakatan memastikan pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu ditutup sepanjang Ramadan.

Laporan media menyebut, Noh Omar menyatakan tindakan itu perlu dilaksanakan oleh PAS yang diterajui Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, sekiranya parti berkenaan betul-betul ikhlas dalam perjuangan Islamnya.

Katanya, tindakan itu juka dapat membuktikan PAS tidak berada bawah telunjuk parti komponen lain, khususnya DAP.

Namun, Roslan berkata kerja-kerja "amar makruf nahi mungkar" yang diusahakan oleh PAS melalui Pakatan terbukti lebih membawa makna berbanding dengan pentadbiran yang terdahulu.

Dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, sudah ada pihak berkuasa tempatan (PBT) tertentu di Selangor yang mengharamkan pemilik premis hiburan daripada mengambil pekerja beragama Islam.

"Malahan dalam tempoh singkat pemerintahan kerajaan Pakatan ini telah ada PBT di Selangor yang mengharamkan pemilik-pemilik lesen premis seumpama ini dari menggaji atau mengambil sebagai pekerja dari kalangan penganut bergama Islam, “ kata Roslan dalam satu kenyataan.

PAS Selangor lebih peka dan sentiasa memantau serta memberi perhatian agar penguatkuasaan agensi negeri, termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditingkatkan sebagai usaha "amar makruf nahi mungkar" (menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran).

Siasat pembelian EMU 6 gerabak

KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) mendapati isu pembelian 38 unit tren elektrik (EMU) enam gerabak secara runding terus oleh kerajaan, mempunyai asas dan wajar disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) pada sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, hari ini.

"Setelah meneliti laporan tersebut, PAC mendapati ianya wajar disiasat oleh SPRM kerana kerajaan akan mengalami bayaran perolehan lebih tinggi dari harga asal lebih kurang RM500 juta," katanya yang mendapat makluman mengenai perkara itu daripada PAC.

Turut serta pada sidang media tersebut, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo’ Ghazali, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Nor Mohamad.

Beliau sebelum ini mendedahkan kemungkinan kerugian ditanggung kerajaan ekoran pembelian itu akhir Jun lalu di parlimen.

Menurutnya, kerajaan didakwa akan kerugian RM500 juta jika membeli 38 unit EMU 6 gerabak secara runding terus dari sebuah syarikat China dengan harga RM1.824 bilion lebih mahal daripada tender asal.

Apa yang mencurigakan beliau adalah apabila syarikat Zhu Zhou Electric Locomotive yang mendapat tender asal pada 2008 untuk membekal 8 unit EMU 3 gerabak, hanya menawarkan harga RM13.725 juta seunit.

Namun selepas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menetap keperluan baru tahun ini kepada set EMU 6 gerabak, rundingan terus dengan syarikat sama menyaksikan harga meningkat kepada RM48 juta seunit, lebih tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga asal.

Harga itu, menurutnya tidak munasabah biarpun setelah mengambil kira pelbagai kos lain yang mempengaruhi seperti inflasi, kadar pertukaran wang asing, peningkatan bahan mentah dan sebagainya.

Lebih pelik katanya, mengikut Penyata Keperluan KTMB, konfigurasi set EMU 6 gerabak tersebut sebenarnya adalah gabungan dua unit set EMU 3 gerabak.

Maka sewajarnya harga tersebut hanya dua kali ganda atau lebih sedikit berbanding set EMU 3 gerabak tersebut.

Lebih malang katanya, harga yang perlu dibayar tersebut tidak termasuk kos selenggaraan, perbaikan dan overhaul (MRO) pakej.

Kerajaan juga bakal mengulangi kesilapan sama seperti kes pembelian General Electric (GE) Blue Tiger lokomotif, yang yang juga tidak disertakan dengan pakej MRO.

Rombak sistem lantikan Peguam Negara, Hakim


KUALA LUMPUR 4 Ogos : Bekas Pengerusi Transparency International (TI) Malaysia, Senator Tunku Abdul Aziz mencadangkan agar kerajaan mempertimbang dan mengkaji untuk membuat pindaan berkaitan pelantikan Peguam Negara.

Menurut beliau kaedah pelantikan Peguam Negara yang diamalkan masa kini mewujudkan prasangka diminda rakyat bahawa dibuat bermotifkan politik dan pilihan calon menurut kehendak siapa yang berkuasa dan bukannya berdasarkan kelayakan serta keyakinan orang ramai.

"Fungsi Peguam Negara adalah untuk memberikan nasihat kepada kerajaan berkenaan isu-isu Perlembagaan. Urusan pendakwaan pula patut dijalankan oleh Pejabat Pendakwa Raya Am yang diketuai oleh seorang Pengarah.

"Jadi tidak timbul perkara seperti mana sekarang ini di mana kes dibuang dan gagal di bawa ke mahkamah atas arahan Peguam Negara," kata Tunku Abdul Aziz selepas sesi perbahasan untuk meluluskan Rang Undang-undang Anti Pemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di lobi Parlimen semalam.

Beliau memberikan contoh pemisahan peranan seperti ini dilaksanakan di Britain di mana fungsi Peguam Negara adalah berbeza dengan Pejabat Pendakwa Raya Am yang dibentuk oleh satu pasukan atau panel profesional untuk memerhati dan memantau setiap kes dan perjalanan perundangan.

"Bermakna kuasa Pengarah Pendakwa Raya Am ini tidak mutlak. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya membuang kes dengan alasan kekurangan bukti atau saksi, kerana ada satu pasukan yang turut bersamanya," jelas beliau lagi yang merupakan Naib Presiden DAP.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia supaya berani melakukan perubahan dan reformasi, terutamanya membabitkan institusi penting seperti sistem perundangan dan kehakiman.

Ini berikutan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa yang semakin memberikan kesan terhadap imej negara.

Tunku Abdul Aziz berkata salah satu perubahan penting yang perlu dilakukan ialah berhubung sistem pelantikan para Hakim.

Prosedur sekarang menurut Tunku Abdul Aziz didakwa bersifat kontroversi apabila semua pemilihan dan lantikan hakim dibuat secara langsung oleh badan eksekutif.

"Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana memperkenalkan bil yang dijangka akan menjadi undang-undang bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Pindaan ini merupakan halatuju yang betul kerana sebelum ini, apabila orang bercerita tentang pelantikan Hakim, ia menjadi cerita-cerita jenaka yang sinikal," kata beliau

Tunku Abdul Aziz berkata langkah tersebut sekurang-kurangnya mampu memberikan kesan positif terutamanya kepada sektor perniagaan untuk kembali yakin dan melabur di Malaysia.

Beliau menjelaskan apa yang diinginkan oleh rakyat Malaysia ialah sebuah sistem kehakiman yang meyakinkan dan berfungsi untuk melindungi kepentingan setiap warganegaranya.

Ini kerana pelantikan hakim yang adil, profesioanal dan bebas diperlukan untuk memartabatkan kedaulatan undang-undang di negara ini.

2 anggota Unit Amal masih ditahan



































LENGGONG, 4 Ogos :
Dua lagi anggota Unit Amal yang ditangkap polis pada program Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Changkat Lada, Ahad lepas masih ditahan reman.


Harakahdaily difahamkan, mereka yang merupakan anggota Unit Amal Pasir Salak ditahan sehingga esok.


Sementara itu, seorang anggota Unit Amal dari Lenggong yang ditahan reman bersama mereka dibebaskan malam tadi.


Dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat perjuang, beliau yang sudah beberapa hari tidak mandi disambut dalam majlis usrah di rumah Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria di Kampung Luat dekat sini, kira-kira jam 8.40 malam tadi.


Masing-masing anggota usrah menyambut beliau dengan bersalaman erat, malah ada yang memeluknya sebagai tanda kasih sayang sesama pejuang untuk menegakkan agama Allah di bumi Malaysia tercinta ini.


Beliau dihantar dari balai polis tempat dikenakan tahanan oleh dua anggota Unit Amal Pasir Salak yang kemudiannya bersama seorang lagi anggota Kuala Kangsar.


Beliau dibebaskan setelah ditahan bersama 15 yang lain di Balai Polis Kampung Gajah selepas operasi tangkapan di sekitar kawasan tapak program himpunan tersebut.


Sementara itu, Razman ketika berucap dalam majlis usrah itu, berkata itulah kelebihan yang ada dalam jamaah yang memperjuangkan Islam, di mana apabila anggota jamaah berada dalam kesulitan, ada anggota lain yang rela berkorban menyelesaikan masalah saudaranya.


Katanya, ini terbukti dengan kerjasama ahli jamaah dari Pasir Salak dan Kuala Kangsar, mangsa tahanan yang dibebaskan, yang dalam keadaan tidak ada saudara mara untuk mengambilnya, malah dalam keadaan poket kosong, dibantu oleh ahli jamaah setempat sehingga mangsa selamat sampai di rumahnya.


Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan masalah itu dan mendoakan semoga semuanya mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah.

Loji rawatan air wajar dibina di Selangor


SHAH ALAM, 4 Ogos : Kerajaan Selangor mengalu-alukan tawaran Kerajaan Pahang supaya loji rawatan air dibina di negeri itu seperti yang dikatakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kerajaan negeri tetap dengan pendirian bahawa projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang dianggarkan berharga lebih RM8 bilion ini tidak perlu dibina secara terburu-buru kerana yakin bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019.


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Projek penyaluran air mentah antara dua negeri ini juga sepatutnya boleh ditangguhkan buat sementara waktu sehingga proses penstrukturan semula industri air di Selangor selesai dilaksanakan.


"Kerajaan Selangor sangat yakin penangguhan sementara pelaksanaan projek ini tidak akan menjejaskan bekalan air kerana kajian yang dilakukan mendapati bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019.


"Kerajaan Selangor juga sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk mencari sumber alternatif lain yang tidak memerlukan kos tinggi seperti memproses air hujan, sumber air bawah tanah dan paling utama mengadakan langkah-langkah untuk menurunkan lagi kadar air tidak berhasil (NRW).


"Kerajaan Pakatan Rakyat kesal dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang sengaja menggunakan isu krisis bekalan air sebagai tekanan kepada Selangor supaya menerima pelan penstrukturan semula industri air yang dicadangkan Persekutuan," katanya.


Khalid berkata, kerajaan Selangor percaya pendekatan Kerajaan Persekutuan yang sengaja melengah-lengahkan rundingan ini hanyalah bertujuan melindungi syarikat kroni bukan melindungi kepentingan rakyat.


Katanya, rundingan untuk mengambil alih industri air ini akan terus dilakukan walaupun banyak halangan dikenakan kerana Kerajaan Selangor berpegang kepada prinsip bahawa air adalah hak rakyat dan perlu dikembalikan kepada rakyat.

Beri kuasa pendakwaan kepada SPRM

4c79491dfb3315ebee55b77b1163d8fd



























PETALING JAYA, 4 Ogos :
Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendesak menteri mengisytiharkan harta tidak membawa perubahan yang besar dalam agenda memerangi rasuah jika kuasa pendakwaan hanya terbatas kepada Peguam Negara.

Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi Malaysia (Gerak) Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, ini kerana SPRM terpaksa menunggu kebenaran atau penurunan kuasa oleh Peguam Negara sebelum mana-mana kes rasuah didakwa.

"Namun yang ingin kita bahaskan adalah apakah kekebasan pendakwaan itu ada pada SPRM? Ini kerana menurut Akta SPRM 2009, Seksyen 58 jelas menunjukkan bahawa kuasa pendakwaan terletak di bawah tanggungjawab Peguam Negara dan bukannya dibawah bidang kuasa SPRM.

"Saya mengesyorkan supaya kerajaan melalui Parlimen meminda Seksyen 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Peguam Negara sahaja yang boleh mengemukakan sebarang prosiding jenayah dalam mahkamah.

"Saya cukup optimis untuk melihat ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang boleh bersetuju untuk meminda Perlembagaan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kasim Mohamed baru-baru ini yang menyarankan agar menteri mengisytiharkan harta masing-masing.

Pinda Perlembagaan


Justeru itu, kata Mohd Nazree, untuk sidang Parlimen yang akan datang, usul perlu dikemukakan untuk meminda Perlembagaan dengan memberikan kuasa kepada SPRM bagi mendakwa pesalah jenayah rasuah.

Menurutnya, mekanisme pengisytiharan harta juga perlu melibatkan ahli keluarga menteri supaya langkah pengisytiharan harta dilihat lebih menyeluruh.

"SPRM perlu mendakwa mana-mana menteri yang terlibat rasuah walaupun sedang memegang jawatan. Tumpuan juga harus diberikan terhadap siasatan kes berprofil tinggi dan seterusnya didakwa di mahkamah.

"Mungkin selepas ini juga, ahli-ahli politik berjawatan tinggi dan berkuasa dalam kerajaan pusat/negeri juga wajar mengisytiharkan harta mereka. Ini mungkin langkah seterusnya yang wajar disemak oleh SPRM.

"Tanpa pendakwaan yang serius terhadap kes-kes berprofil tinggi, maka kredibiliti SPRM agak sukar untuk dipulihkan," katanya.

Umno, Perkasa gagalkan 1Malaysia Najib

KUALA LUMPUR, 4 Ogos: PAS mendakwa Umno adalah musuh utama gagasan 1Malaysia yang mahu dijayakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden parti itu.

Malah, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa 1Malaysia gagal membentuk perpaduan kaum, jelas menunjukkan bahawa Najib hanya berseorangan dengan gagasannya itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam hal itu gabungan Muhyidin dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali sudah cukup untuk menjatuhkan Najib.

"Musuh terbesar Najib adalah Umno. Ada pepatah mengatakan dengan kawan-kawan seperti ini, anda tidak perlu memerlukan musuh.

"Dengan ultra Melayu Perkasa, ditambah sokongan Timbalan Perdana Menteri, jatuhlah Najib. Najib kini ada hanya Khairy seorang sahaja," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali pula mempersoal tindakan Muhyiddin yang dilihat hanya berani membuka mulut apabila Najib ke luar negara.

"Kenapa kata ia gagal apabila PM bercuti di luar negara? Adakah timbalan PM hanya berani apabila PM tidak ada dalam negara?” soalnya.

Bagi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula, konsep satu Malaysia adalah sesuatu yang sememangnya dimahukan rakyat namun Umno bukan wadah terbaik memperjuangkannya.
Malah katanya, Pakatan Rakyat sudah lama memperjuangkan perkara itu sejak dulu lagi berasaskan perinsip keadilan untuk semua kaum.

Mengulas pandangan itu, Dzulkefly menambah, 1Malaysia dislogankan Najib, diamal dan dihayati oleh Pakatan sejak dulu.

Mereka berkata demikian pada satu sidang media bersama di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini pagi ini.

Turut serta pada sidang media itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Nor Mohamad.
Pandangan sama sebelum ini pernah dilontarkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu Najib melaungkan slogan tersebut ketika awal dilantik menjadi perdana menteri.

Menurut Nik Aziz, 1Malaysia Najib adalah sia-sia kerana orang pertama yang menentang konsep itu adalah Umno sendiri yang sudah sebati dengan doktrin dan perjuangan perkauman sejak dahulu lagi.

Debat Rakyat : Siapa berani, siapa pembohong?



IPOH, 4 Ogos:
Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak bersedia mengadakan debat secara terbuka dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagaimana yang diucapkan pada persidangan Dun, semalam.

“Saya kira ucapan tersebut didengari oleh semua yang berada di dalam dewan dan tercatat dalam hansard sidang yang dipengerusikan oleh seorang yang mengaku sebagai speaker iaitu Ganesan.

“Sebagai Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak dan Ketua Penerangan PAS Perak, saya dengan ini menegaskan kesedian untuk menyahut cabaran Zambry untuk berdebat dengan mana-mana pimpinan Pakatan Rakyat,” ujar Drs Khalil Idham Lim dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Adun Titi Serong boleh mengatur satu debat yang dimaksudkan sebagai medan untuk memberi peluang kepada Zambry menjawab kononnya fitnah dan pembohongan yang dilakukan oleh pimpinan Pakatan Rakyat di dalam ceramah mereka.

“Yakinnya Zambry dengan tohmahan itu dengan katanya kami kena bertanggung jawab di hadapan Tuhan. Sekiranya itulah dakwaan Zambry, saya mengulangi cabaran Datuk Seri Nizar di dalam dewan semalam, sekiranya dia (Zambry) ‘anak jantan’ sila sahut cabaran ini dan nyatakan di manakah pembohongan Pakatan Rakyat dalam debat itu,” ujarnya.

Katanya, pihak Zambry juga boleh mengatur di mana dan tempat pilihannya sendiri dan pemimpin Pakatan akan datang untuk berdebat.

Baginya, Stadium Perak cukup luas untuk menampung kehadiran semua rakyat Perak dalam debat tersebut, dan bolehlah disiarkan secara langsung dalam media massa BN.

Namun begitu, beliau ingin tegaskan sikap bacul dan penakut BN sebenarnya terserlah dan perlu diketahui oleh rakyat Perak, bermula dengan merampas kuasa dan menafikan demokrasi sehinggalah pada sidang semalam di mana walaupun Zambry berkata suka berdebat namun dia telah menghadkan dewan bersidang sehari sahaja.

Tambahnya, tindakan menghadkan ketua pembangkang untuk bercakap dalam tempoh yang panjang sebagai mana amalan biasa dalam sidang Dun sebelum ini, atau di mana-mana sidang Parlimen dan Dun negeri di Malaysia, adalah menifestasi dari ketakutan BN untuk mendengar segala hujah dan fakta daripada Adun Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kata ia menggambarkan juga Adun BN tidak mempunyai modal untuk berbahas melainkan memuji dan memuja langkah menambah bajet sebanyak RM80 juta.

“Semuanya Adun BN yang berbahas kelmarin nampaknya dalam nada yang sama dan tidak punya modal,” ujarnya lagi.

Bliau menambah, dakwaan Zambry dan Adun BN bahawa Nizar berceramah dalam dewan adalah disangkal.

Andaian tersebut, baginya hanya keluar dari mulut orang yang terdesak dan takut untuk mendengarnya.

Sehubungan itu, beliau menunggu jawapan Zambry dan bersedia untuk berbincang lebih lanjut mengenainya dengan sesiapa sahaja yang mewakilinya bagi menjayakan debat yang dinamakan ‘Debat Rakyat, Siapa Pembohong?’.

Konvensyen tumpu tingkat sokongan PAS

IPOH, 4 Ogos: Fokus utama perbahasan Konvensyen PAS Perak kali ini lebih kepada bagaimana meningkatkan sokongan pengundi kepada PAS dan pembinaan pengaruh parti dalam masyarakat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Mohd Misbahul Munir Maduki berkata, konvensyen kali ke-15 dan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden diadakan pada 6 dan 7 Ogos ini di Dewan Kutien, Ayer Tawar bagi membuat persediaan seluruh ahli menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Katanya, majlis perasmian pada 6 Ogos yang bermula jam 8.00 malam akan disempurnakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“Sudah tentu perkara yang akan dipertegaskan oleh Salahuddin adalah berkaitan isu perpaduan Umno-PAS yang menjadi isu kini,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, tema 'Islam Adil Untuk Semua' menjadi pilihan PAS Perak bagi memastikan gerak kerja parti di semua peringkat menumpukan tawaran tersebut bagi mendekati pengundi-pengundi manakala ucaptama pesuruhjaya, Ustaz Abu Bakar Hussien akan merungkai agenda PAS Perak melalui tema bersama itu.

Tambahnya, banyak perkara yang akan disentuh oleh para peserta terutama kerjasama Pakatan Rakyat (PR) di Perak, kekuatan jentera pilihan raya PAS, kemelut Perak yang masih tidak selesai dan sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Katanya, seluruh pimpinan peringkat parti yang terdiri daripada Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat termasuk daripada 24 PAS kawasan seluruh Perak.

Katanya lagi, kehadiran peserta konvensyen kali ini dijangka lebih seribu orang berbanding tahun lepas kerana ketua-ketua cawangan PAS seluruh akan turut menyertai sebagai perwakilan PAS kawasan-kawasan.

PAS Perak, ujarnya memberi peluang kepada seluruh ketua PAS cawangan mengikuti konvensyen dari awal hingga akhir yang akan mendengar sendiri ucapan-ucapan penting daripada Naib Presiden PAS, Pesuruhjaya PAS Perak, pembentangan dua kertas kerja dan perbahasan dari para perwakilan.

Katanya, konvensyen akan berakhir dengan resolusi yang berupa tindakan kerja yang mesti dibuat oleh jentera PAS di semua peringkat dan akan turut diikrarkan di penghujung program konvensyen.

“Bagi pihak PAS Perak, saya mengharapkan semua yang terlibat akan menyumbang kebangkitan PAS dan Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU ke-13 nanti,” ujarnya yang juga pengarah program.hrkh