Wednesday, August 11, 2010
'Roadshow' Umno Selangor tidak dapat sambutan
SHAH ALAM , 12 Ogos : Fasa pertama “roadshow” UMNO Selangor dengan tema “Selamatkan Selangor Darul Ehsan” didakwa gagal dan tidak mendapat sambutan rakyat jelata di negeri ini.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, beliau yakin rakyat Selangor sudah serik dengan tindak-tanduk dan gelagat kepimpinan UMNO yang ternyata sangat mengecewakan mereka sehingga memungkinkan rakyat bangkit menolak UMNO/Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun 2008 yang lalu.
Menurutnya, ini ternyata UMNO sudah hilang sokongan rakyat apabila “roadshow” mereka sekadar menarik minat saki-baki ahli tegar UMNO serta kanak-kanak yang diupah mengibarkan bendera dan sepanduk.
“Sejak kehilangan kuasa di Selangor, UMNO sudah tidak mampu lagi menarik minat rakyat untuk keluar beramai-ramai meraikan program mereka dan ini terbukti dengan kehadiran kecil rakyat sepanjang “roadshow” mereka itu.
“PAS Selangor mendapati rakyat di negeri ini kini berpuas-hati dan selesa dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang jujur mengurus dan mentadbir negeri ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Roslan berkata, program kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor iaitu Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) berjaya menawan hati rakyat.
Katanya, ini termasuklah bekas penyokong UMNO khususnya apabila melihat juga merasai sendiri betapa nasib dan kebajikan mereka selama 52 tahun lalu terabai di bawah UMNO/ BN kini dibela dan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.
“Di Selangor, UMNO kelihatan kehilangan sokongan rakan mereka, MCA dan MIC yang langsung tidak terlibat dalam “roadshow” ini sekali gus membuktikan betapa BN Selangor sudah tidak mampu bangkit lagi setelah ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu.
Sehubungan itu, PAS Selangor mengajak rakyat di negeri ini agar terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada PR Selangor dan bersama menyelamatkan negeri ini dari jatuh kembali ke tangan pimpinan pincang yang selama 52 tahun telah mencabul amanah rakyat Selangor.SH
Papan tanda lambang PAS wujud
BATU 9 , 12 Ogos : PAS cawangan Batu 9 Kampung Tengah mengadakan gotong-royong memasang papan tanda PAS Cawangan di tepi jalan raya Klang-Sabak Bernam berhampiran Lorong Menanti 1, Batu 9, Kampung Sungai Tengi Kiri.
Setiausahanya, Mohd Faizal Mohd Barja berkata, tujuan menaikkan semula papan tanda PAS Cawangan yang baru tersebut adalah untuk menunjukkan lambang kewujudan PAS cawangan di kampung tersebut.
Menurutnya, selain itu ia boleh dilihat orang ramai yang melalui jalan tersebut terutamanya yang akan pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya.
“Papan tanda tersebut dipasang secara gotong-royong oleh ahli PAS cawangan Batu 9 Kampong Tengah.
“Sebelum ini PAS Cawangan pernah memasang papan tanda berhampiran tempat sama, bagaimanapun terpaksa dibuka pada tahun 2005 kerana terlibat dengan kerja pembinaan jalan raya ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, PAS cawangan ini ditubuhkan pada tahun 1999 dan diluluskan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2000 dengan keahlian PAS Cawangan ketika itu berjumlah seramai 25 orang sahaja.
“Kini, setelah 10 tahun, ia semakin kukuh dan mendapat sokongan daripada penduduk Kampong Sungai Tengi Kiri dengan keahlian seramai hampir 100 orang, yang terdiri dari kalangan pelbagai golongan termasuk pemuda dan Muslimat.
“Cawangan ini merangkumi tiga lorong iaitu Lorong Menanti 1, Lorong Menanti 2 dan Lorong Menanti 3 selain terdapat beberapa taman perumahan yang terletak di Lorong Menanti 1 seperti Taman Masria, Taman Wawasan dan Taman Tanjong Karang,” katanya.
Mohd Faizal yang juga merangkap Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berkata, ahli PAS cawangan juga aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutamanya Muslimat PAS cawangan seperti kelas pengajian agama, kelas fardu ain dan pelbagai aktiviti lain.
Dalam pada itu, antara yang membantu memasang papan tanda tersebut Ketua PAS Cawangan, Mohd Sahri Jabbar, Naib Ketua PAS cawangan, Tasuki @Mukri Akat, Ketua Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan (JPC), Muhd Sobirin Omar, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Cawangan, Mohd Sofian Mohd Kalil dan Ahli PAS Cawangan, Ithnain Salleh.SH
Tok Guru minta rakyat jaga kebersihan
KOTA BHARU, 12 Ogos : Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat rasa kecewa dengan sikap sesetengah penduduk di negeri ini yang tidak mengamalkan kebersihan sehingga berlakunya peningkatan wabak denggi di negeri ini.
Menurutnya, budaya membuang sampah di merata-rata tempat selain tidak peka dengan kebersihan antara faktor yang menyebabkan berlakunya kewujudan air bertakung sekali gus membenarkan nyamuk membiak.
“Saya tidak berpuas hati dengan sikap orang Kelantan yang kurang menjaga kebersihan, penyakit ini berpunca dari kekotoran, ada dari kita yang membuang sampah seperti plastik di merata-rata tempat sehingga menjadi tempat takungan, apa yang penting jaga kebersihan,” katanya selepas ditemui di Majlis Pelancaran Ihyat Ramadan di sini, semalam.
Dalam majlis tersebut, Nik Aziz turut memberi kuliah zuhur serta menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan mencakupi pelbagai kaum dan agama.
Semalam akhbar melaporkan kes demam denggi di negeri ini mencatatkan peningkatan ketara apabila sebanyak 1,399 kes direkodkan sepanjang enam bulan lalu berbanding 807 kes tempoh yang sama tahun lalu, meningkat sebanyak 592 kes atau 73.4 peratus.
Dalam tempoh itu, sebanyak enam kematian dicatatkan berbanding hanya satu kematian dicatatkan berbanding hanya satu kematian dalam tempoh sama tahun lalu.
Nik Aziz menasihatkan masyarakat agar lebih mengutamakan kebersihan selain mendengar arahan-arahan yang dikeluarkan oleh mereka yang berkenaan terutamanya jabatan kesihatan bagi mengurangkan jangkitan tersebut.
Dalam pada itu, Nik Aziz menasihatkan agar masyarakat lebih berjimat cermat menggunakan air bagi mengelakkan pembaziran berlaku.
“Contohnya semasa ambil air sembahyang, ramai di kalangan kita yang banyak membazir sedangkan untuk mengambil air sembahyang kita tidak perlu menggunakan terlampau banyak air, tradisi lama ini patut diubah,” katanya.SH
PAS tetap aktif politik di bulan Ramadhan
KOTA BHARU, 12 Ogos : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS tidak akan mengurangkan aktiviti politik di bulan Ramadan walaupun ia kurang disenangi oleh pihak-pihak tertentu.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berpolitik bila-bila masa sahaja, malah politik dan agama dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.
“Politik dalam Islam ni sedaging (bercantum), geraknya Islam kerana politik dan politik pula menuruti Islam, tidak payah pakai istilah demokrasi, guna Istilah Islam,”katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Ihyat Ramadan di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan daripada beberapa pihak termasuk dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya aktiviti berparti dikurangkan bagi menghormati bulan Ramadan.
Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata, terpulang kepada pemimpin PAS untuk menggunakan pendekatan berbeza dalam menjalankan aktiviti tersebut di bulan Ramadan ini.
“Dalam ceramah saya jarang sebut soal kepartian kecuali ia majlis parti, saya banyak sebut mengenai Islam seperti ekonomi Islam dan akidah, tetapi jika hendak berpolitik tidak salah kerana PAS parti berdaftar,”katanya.
Dalam pada itu, mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mengatakan kerjasama PAS dan DAP tidak ikhlas, Nik Abdul Aziz mempersoalkan adakah kerjasama yang dibuat antara UMNO dan MCA sebelum ini benar-benar ikhlas.
“Saya nak tanya, adakah UMNO dan MCA itu ikhlas, bila berbaik dengan UMNO, parti itu telan PAS, usahkan nak buat benda-benda lain,”katanya.SH
Usaha protes berjaya tapi sementara
PARIT BUNTAR, 12 Ogos : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar bersyukur kerajaan menarik balik senarai hitam untuk kenderaan yang dikenakan saman ekor. Bagaimanapun , Dewan Pemuda kesal kerana penarikan ini hanya untuk tempoh sementara sahaja.
Ketuanya Khairulzami Muhammad berkata, usaha Dewan Pemuda PAS Pusat mengumpul tandatangan protes terhadap saman ekor memberi kesan kepada kerajaan
" Penduduk di Parit Buntar menunjukkan sokongan yang tinggi terhadap usaha ini kerana membebankan mereka sebagai pengguna kenderaan.
“ Orang ramai berpusu-pusu datang menurunkan tandatangan pada kain rentang yang disediakan sebagai tanda memprotes saman ekor" katanya
Khairulzami berkata, Dewan Pemuda PAS Parit Buntar menyokong enam tuntutan Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dikemukakan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan).
Ucapan salam Ramadhan dari Ahli Parlimen Parit Buntar
PARIT BUNTAR, 11 Ogos : Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam di kawasan Parit Buntar dan di seluruh negara.
"Sempena menyambut bulan yang penuh barakah ini marilah sama-sama kita memperbanyakkan ibadah kepada Allah dengan berpuasa, bertarawih, bertadarus, berqiyamullail, bersedekah dan banyak lagi amalan-amalan yang boleh memperoleh pahala yang besar di bulan Ramadhan."
Letak pegawai SPRM di pejabat KKSB
SHAH ALAM, 11 Ogos: Kerajaan Selangor menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menempatkan pegawai di pejabat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB). Tawaran ini dibuat selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap konsep pentadbiran yang telus serta bertujuan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap operasi KSSB berikutan kritikan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat milik penuh Kerajaan Selangor ini. Demikian dinyatakan dalam satu kenyataan yang di keluarkan oleh Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini. Kakitangan SPRM ini boleh memantau operasi dan pentadbiran KSSB secara lebih dekat bagi memastikan salah guna kuasa atau rasuah tidak berlaku, kata kenyataan itu. Bagi melengkapkan lagi prinsip pentadbiran telus dan terbuka, katanya, KSSB akan mengiklankan jawatan kosong di media bagi mengisi dua jawatan Pengarah yang bebas dari pengaruh politik tetapi berpengalaman dalam industri perlombongan pasir. Mereka ini akan menjadi wakil Kerajaan Negeri untuk bersama-sama mentadbir dan menguruskan KSSB dalam menjalankan perlombongan pasir. Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan KSSB melantik juruaudit bebas bagi mengaudit setiap sen yang dibelanjakan supaya makumat kewangan KSSB dapat diketahui orang awam. "Kerajaan Selangor percaya masih belum ada syarikat yang menguruskan pasir di negeri-negeri lain yang telah mengambil langkah-langkah seperti yang dilakukan KSSB. Selangor yakin KSSB menjadi syarikat pasir pertama yang mengamalkan pentadbiran yang telus dan terbuka," katanya. Sehubungan, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mencabar negeri-negeri di bawah BN supaya mengambil langkah yang sama terutama di Johor yang mana operasi perlombongan pasir amat diragui tetapi tidak diberi liputan oleh media arus perdana. Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengumumkan perlantikan Wan Ab. Halim Wan Ismail, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KSSB berkuatkuasa 26 Julai lalu. Wan Ab. Halim, 62, berkelulusan bidang Kejuruteraan Perlombongan dari London University, United Kingdom mempunyai pengalaman luas bidang perlombongan sumber galian termasuk pasir, batuan, timah, besi dan emas. |
Tarik balik senarai hitam hanya sementara
PUTRAJAYA, 11 Ogos: Kerajaan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan pesalah-pesalah trafik akibat saman ekor buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini berikutan keputusan memberi kelonggaran semasa musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.
Langkah ini adalah kemenangan besar bagi perjuangan menentang saman ekor yang dibuat oleh rakyat negara ini khasnya dari PAS sendiri.
Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (gambar) bersama rakan-rakannya telah menubuhkan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dan bergerak ke seluruh negara bagi menentangnya.
Pada 5 Ogos lepas, beliau bersama rakan-rakannya ke pejabat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.
Namun, hanya setiausaha akhbar menteri berkenaan bertemu dengan mereka.
Jawatankuasa berkenaan juga telah mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara sama.
"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya.
"Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.
"Kase juga akan tetapkan satu tarikh untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin untuk berbincang isu saman ekor ini kerana pihak polis pun memainkan peranan dalam mengenakan saman ekor ini," kata Mahfuz pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat PAS di sini 2 Ogos lepas.
Mahasiswa dibonsai Umno
KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai larangan mahasiswa berpolitik membuktikan bagaimana Umno BN secara terancang mahu membonsaikan minda mahasiswa yang satu ketika dahulu menjadi jurubicara masyarakat.
Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) tidak terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu mengenai larangan mahasiswa melibatkan diri di dalam politik kepartian dikekalkan.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Muhyiddin memberikan justifikasi bahawa larangan tersebut kekal kerana mahasiswa masih terikat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
“Apakah bezanya dengan kalangan guru yang kini dibenarkan berpolitik, jika hendak diberikan hak yang sama kepada mahasiswa dan juga para pensyarah universiti?” soalnya dalam satu kenyataan.
Katanya, AMK yakin dan percaya, puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana sekiranya hak yang sama diberikan kepada mahasiswa, maka sudah pasti isu-isu rakyat yang kritis akan didepani oleh mahasiswa dengan begitu aktif sehingga melemaskan Umno BN.
Sehubungan itu, ujarnya AMK mencabar Umno BN melalui Muhyiddin untuk mengharamkan atau menamatkan operasi Kelab Umno mahupun Kelab Aspirasi yang ditaja Umno di IPTA dan IPTS S seluruh negara dan luar negara yang secara jelas membuktikan keterlibatan Umno ke dalam kampus.
Demikian juga, katanya dicabar mengheret Puteri Umno ke mahkamah kerana secara terbuka beraktiviti di dalam kampus, yang terbaru di UiTM Shah Alam melibatkan pelancaran Skuad Vogue Puteri Umno Malaysia.
Beliau menambah, AMK juga mencabar Ketua Pemuda Umno dan MCA, Khairy Jamaluddin dan Wee Ka Siong yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak mahasiswa berpolitik untuk tampil menyatakan pendirian secara terbuka tanpa sebarang dolak dalih di sebalik alasan 'akur dan taat kepada kepimpinan parti'.
“Realitinya, mahasiswa merupakan ejen perubahan massa. Mewujudkan budaya ketakutan ke atas mahasiswa di Malaysia, hanya mengesahkan apa yang dinukilkan oleh penyair Indonesia lewat puisinya Takut '66 Takut '98, "Presiden (Perdana Menteri) Takut Pada Mahasiswa!,” ujarnya.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook pula mengutuk keputusan Kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.
“DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan Kabinet pada hari ini yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik,” ujarnya.
Ini, katanya merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar-pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).
“Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.
Tambahnya, keputusan Kabinet pada hari ini menunjukkan bahawa Barisan Nasional langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan.
Keputusan itu juga, ujarnya membuktikan bahawa sayap Pemuda Barisan Nasional khasnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.
“Malahan, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan ini juga tidak diendahkan oleh menterinya sendiri,” katanya lagi
Tegasnya, DAPSY akan terus mendesak supaya Auku dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.
DAPSY, ujarnya yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan.
“Keputusan Kabinet hari ini akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik dan Barisan Nasional akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda pada pilihanraya umum yang ke-13 kelak,” katanya lagi.