Thursday, August 12, 2010

Laksana amanah rakyat bukan dengki Umno

http://buletinonline.net/images/stories/berita30/Dr.SyedDUN.JPG



















KUALA TERENGGANU
, 13 Ogos : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata tidak timbul soal dengki terhadap mana-mana pihak dalam membangunkan negeri ini.

“Persoalan yang kita (PAS) timbul sekarang ini bukan soal dengki ke...PAS ke…Umno ke... tidak timbul persoalan ini. Kita (kerajaan) perlu rasional di Dewan Undangan Negeri (dun) ini.

“Saya bertanyakan tentang e-books rasionalitinya. Apa keperluan yang ada kepada pelajar-pelajarnya. Apakah kita (kerajaan) telah buat kajian-kajian yang mendalam dari segi perlaksanaannya.

“Tidak timbul dari segi kita (PAS) dengki. Kita orang Terengganu, kita rakyat Terengganu. Kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melihat kejayaan negeri Terengganu,” jelasnya ketika meminta penjelasan dipenggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tohmahan pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang menuduh PAS tidak bersikap rasional terhadap cadangan perbelanjaan besar kerajaan negeri.

Dr Syed Azman yang juga Ahli Jawtankuasa PAS Pusat, bertanyakan mengenai isu peningkatan jumlah penagihan dadah serta kemiskinan yang ketara di negeri ini.

“Bila saya timbulkan mengenai penagihan dadah di negeri Terengganu. Apa persiapan kita (kerajaan), bila Terengganu menjadi negeri yang paling tinggi penglibatan dengan dadah.

“Satu lagi dari segi kemiskinan di Terengganu. Kenapakah keperluan pada setiap tahun bagi dana kemiskinan, dana hari raya kepada lebih dari 500 ribu orang dan terpaksa beratur di seluruh negeri Terengganu ini.

“Bermakna, mereka (rakyat) orang miskin, rakyat miskin dan pemimpin kerajaan menggunakan dana kekayaan negeri Terengganu ini untuk menjadikan rakyat sentiasa bergantung kepada subsidi. Mentaliti subsidi seperti ini amat memalukan,” tegasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dengan angkuh mempertahankan setiap tindakan politiknya mahukan pulangan.

Katanya, setiap pelaburan (pemberian) kepada rakyat mahukan pulangan (pembalasan) melalui undi rakyat.

“Inilah politik, setiap pelaburan (pemberian kepada rakyat) ada pulangan (balasan). Hulur (beri) saja tidak pangkah (undi BN) ‘dok rok’ (tidak boleh jadi) juga kita (Umno).

“PAS pun begitu juga semasa dia (PAS) memerintah dulu ada dia (PAS) beri kepada orang Umno.

“JKKK dia (PAS) mampus! (batal) Dia (PAS) tutup, dia (PAS) bubuh JSR (Jawatankuasa Syura Rakyat). Bagi tanah puak-puak dia (PAS) belaka, ada dia (PAS) bagi ke Umno.

“Itulah politik, sifir politik dia (PAS) nok main-main pula, pada hal dia (PAS) tahu belaka. Dia (PAS) pun ‘kilas’ (buat) begitu juga,” ujarnya.

Menurutnya, apabila Umno mempunyai kuasa politik boleh melakukan apa sahaja demi kepentingan kerajaan BN.

Utusan bakal disaman lagi


KUALA LUMPUR, 13 Ogos : Lim Guan Eng memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kumpulan Utusan kerana mendakwa menyiarkan berita fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu mahu mengharamkan Bazar Ramadan di Komtar. Sehubungan itu, Lim telah meminta peguam Karpal Singh mempertimbangkan tindakan saman ke atas Utusan Malaysia.

“Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah miminta peguamnya, Karpal Singh mempertimbangkan sama ada tindakan saman boleh diambil ke atas Utusan Malaysia kerana menyiarkan berita fitnah ke atas Ketua Menteri (kononnya) telah mengharamkan Bazaar Ramadan di Komtar.

“Peguam beliau akan mengkaji laporan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia mulai 7 hingga 11 Ogos 2010, yang menyiarkan berita palsu menyemarakkan sentimen perkauman dengan menyatakan Ketua Menteri menindas peniaga Melayu dengan menghalang bazar ramadan,” kata Setiausaha Akhbar Lim, Cheong Yin Fan dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Bazar Ramadan di Komtar terus dibenarkan, katanya.

“Hanya pengelola, Naib Pengerusi Persatuan Perniagaan Komtar (KMA) Mohamad Ghani Abdul Jiman dilarang masukkan gerai kerana tidak bayar sewa kepada Penang Development Corporation (PDC), pengurus Komtar. Mana boleh masukkan gerai tanpa membayar wang sewa?

“Yang lebih teruk lagi ialah pengelola telah pun kutip wang daripada peniaga tetapi tidak serahkan kepada PDC sehingga hari ini,” katanya.

Setiausaha akhbar itu berkata, demi menutup kegagalan KMA bayar wang sewa yang telah pun dikutip daripada peniaga kepada PDC, satu isu perkauman telah dicetuskan bahawa Bazar Ramadan dihalang dan peniaga Melayu ditindas.

“Sehingga sekarang tidak ada satu sen pun dibayar kepada PDC.

Kata beliau, ini bukan kali pertama akhbar berkenaan menyiarkan berita “bohong bulat-bulat bahawa Ketua Menteri menindas orang Melayu.”

“Pada mulanya Ketua Menteri tidak ingin membuat saman kerana rasa ini adalah politik benci dan ganas oleh mereka yang anti-Pakatan Rakyat.

“Akan tetapi kerana ia diulang-ulangi, maka langkah ini terpaksa diambil untuk mendedahkan kepada orang ramai tipu muslihat dan niat jahat Utusan Malaysia,” katanya.

Kata beliau, Ketua Menteri sedia menerima cabaran Ghani dengan tabah hati dan keyakinan serta anggapnya sebagai suatu ujian daripada Tuhan untuk melawan kemungkaran dan fitnah.
“Ini adalah kerana kerajaan negeri yakin rakyat dapat bezakan di antara benar dan salah, hak dan batil, antara maaruf dan mungkar,” katanya lagi.

Kelmarin, Ghani mencabar Lim untuk membuat laporan polis terhadapnya atas kesalahan pelanggaran kepercayaan — dan pertaruhkan jawatan masing-masing.

Ghani berkata beliau mahu polis melakukan siasatan menyeluruh terhadapnya sambil menawarkan diri untuk melepaskan jawatan sebagai naib pengerusik KMA jika terbukti bersalah atas tuduhan itu.

“Tapi jika saya tidak bersalah, saya mahu Lim Guan Eng letak jawatan,” kata Ghani.

PAS kaya raya ?



















ALOR SETAR, 13 Ogos: Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Md Taib (gambar) secara sinis menyifatkan PAS adalah sebuah parti yang kaya raya sehingga mampu membiayai pelajar di luar negara dengan perbelanjaan puluhan juta ringgit.

Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan Umno yang menyifatkan PAS membiayai jutaan ringgit bagi pelajar Malaysia yang berada di luar negara termasuk Mesir bagi melahirkan pemimpin pembangkang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Biro Umno Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini yang mendakwa PAS sanggup untuk menghabiskan puluhan juta ringgit bagi memastikan kehadiran pemimpin pembangkang di luar negara.

Menurutnya lagi, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat jahat yang bertujuan untuk membangkitkan sentimen kepartian di kalangan pelajar luar negara.

"Tuduhan ini seolah-olah membuktikan pemimpin Umno tidak matang kerana menjadikan pelajar sebagai bahan politik mereka. Sekiranya benar dakwaan tersebut, ia bererti PAS adalah sebuah parti yang kaya raya,” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Baginya, adalah tidak menghairankan kerana di mana saja ada pengajian Islam, maka Umno akan membuat tuduhan yang serupa.

Kemungkinan besar, ujarnya itu adalah kerana Umno sendiri tidak ada hubungan dengan Islam.

“Oleh kerana itu apabila adanya program berunsur Islam yang mendapat sambutan, maka ia akan terus dikaitkan dengan PAS," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah turut menyelar kepimpinan Umno yang disifatkan tidak menyanjungi Islam apabila sanggup membuat kenyataan tidak rasional berkaitan Islam dengan tuduhan liar.

Tambahnya lagi, kenyataan sedemikan juga boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat apabila persepsi negatif terhadap pelajar luar negara terutamanya di Mesir dijadikan sentimen dan isu politik.

Dengan tuduhan tersebut, katanya ia mempamerkan wajah sebenar Umno apabila pemimpin mereka tidak mengagungkan Islam dan sanggup untuk memperkecilkan agama.hrkh

Tanah kampung tersusun disapu kroni Zambry












IPOH, 12 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang sekali lagi membuat laporan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pemimpin Umno peringkat bahagian.

Lih Kang mendedahkan bahawa sebidang tanah yang sedang diusahakan oleh para penternak ikan hiasan dan petani telah diluluskan kepada sebuah syarikat milik seorang pemimpin Umno berkenaan.

Menurut beliau, jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri telah mengatakan bahawa sebidang tanah seluas 50 ekar yang terletak di Kampung Sungai Itek, Gopeng, telah diberikan kepada sebuah syarikat yang bernama Safura House of Diamond Sdn Bhd.

Tujuan kelulusan tanah tersebut adalah untuk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).

“Setelah meneliti laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kami dapati satu fakta yang amat mengejutkan, iaitu salah seorang pemegang saham merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Gopeng,” ujarnya.

Katanya, pengusaha-pengusaha di tanah tersebut telah membuat banyak kali cubaan untuk memohon tanah, namun semua permohonan mereka ditolak tanpa diberi sebab.

Kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Zambry Abd Kadir, ujarnya tidak memberikan tanah kepada para petani tetapi memberi kepada pemaju adalah suatu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Apatah lagi, kerajaan negeri memberikan tanah tersebut kepada kroninya. Ini adalah satu kes rasuah (salahguna kuasa) yang jelas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Pengerusi Majlis Pimpanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri mengecam sekeras-kerasnya kerakusan kerajaan itu.

Beliau berkata, sekiranya perbuatan itu tidak dihentikan, ramai lagi rakyat akan menderita kerana mereka akan diusir keluar dari tanah yang sedang mereka usahakan sekarang.

Lih Kang juga menyeru SPRM agar mengambil tindakan yang tegas terhadap orang yang bertanggungjawab atas kes itu.

“Ini adalah kes salah kuasa yang kedua selepas berlakunya skandal penyelewengan tanah di Kampung Sungai Itek juga, di mana Ketua Umno Bahagian Umno Gopeng telah diberikan kuota 10 lot tanah kampung tersusun,” katanya lagi.

Ini, ujarnya menunjukkan bahawa Umno Barisan Nasional telah mereput hingga ke terasnya, sehingga pimpinan-pimpinan peringkat bahagian pun sudah rakus dan rasuah.

Untuk mencegah kejadian itu daripada berlaku lagi, beliau menggesa agar Zambry dibekukan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Tanah sepanjang siasatan kes itu dijalankan di samping membatalkan kelulusan Safura House dan memberikan tanah kepada para petani.

Di samping itu, katanya wakil rakyat Pakatan Rakyat dibenarkan untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa tanah supaya satu sistem check and balance akan wujud.

Selain itu, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang merupakan satu-satunya Exco bukan Umno perlu menjelaskan kenapa beliau tidak menghalang kes itu daripada berlaku.hrkh

Pakatan bersiap tawan Perak

IPOH, 13 Ogos : Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi dan setiap kali pilihan raya rakyat berhaksepenuhnya menentukan parti mana yang akan diamanahkan membentuk kerajaan. Oleh itu, Pakatan Rakyat, khususnya di Perak tidak mustahil, malah mempunuyai peluang cerah untuk berkuasa kembali selepas PRU Ke-13 kali ini.

Kerajaan BN Perak yang ada sekarang, bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, tetapi hasil ‘rampasan kuasanya’ yang paling kotor terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah dipilih secara demokrasi dalam PRU Ke-12 lalu.

Sejak tercetusnya ‘Gelora Perak’ ini, pelbagai pihak menuntut Kerajaan BN supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan mengadakan pilihan raya baru Dun, namun dengan segala ketakutan kerajaan pimpinan Zambry itu menolak kerana mereka tahu bahawa pilihan raya semula di Perak akan mengakhiri riwayat kerajaannya di negeri itu.

Namun masa tidak memihak kepada ‘kerajaan Zambry’ justeru Pilihan Raya Umum Ke-13 itu akan tiba juga akhirnya, boleh jadi 24 bulan lagi, atau lebih cepat dari itu. Ini sudah pasti semakin menakutkan kerajaan Perak yang ada sekarang.

Oleh itu semakin dekat pertarungan itu semakin menakutkan mereka, bahkan kerajaan BN Pusat sendiri menghadapi tempoh itu dalam dalam keadaan semakin cemas.

Ini berikutan beberapa isu yang sama sekali tidak menolong BN untuk menghadapi PRU Ke-13 itu. Pertama harga barangan yang terus meningkat – yang tidak mampu ditampung oleh rakyat, menyebabkan keadaan inflasi meningkat.

Kedua, pelaburan luar negeri yang semakin merosot dengan tidak ada pelaburan baru menyebabkan kedudukan ekonomi negara sangat tidak menentu.

Ketiga, kegiatan rasuah – besar dan kecil – sangat berleluasa, seperti tidak terkawal, di samping projek membazir dan ketirisan serta berlakunya salahguna kuasa oleh pelbagai pihak.

Keempat, isu perkauman yang ditiupkan oleh golongan dan tokoh politik tertentu serta disemarakkan lagi oleh media tradisional milik Umno/BN telah gagal memancing sentimen rakyat untuk menyokong Umno/BN. Malah penduduk luar bandar sendiri, termasuk di kawasan Felda, sudah memperlihatkan tanda-tanda perubahan pemikiran mereka di mana mereka mula sedar dengan cengkaman harga barang naik, semakin sukarnya menampung keperluan hidup. Pada ketika yang sama mereka melihat pemimpin negara hidup bermewah-mewah dengan banglo-banglo mewah, pelbagai kerata besar, hidup berlagak dan pembaziran berlaku di sana sini.

Semua ini membina kebencian rakyat kepada Umno/BN dan ini akan diterjemahkan melalui peti undi dalam PRU Ke-13 nanti.

Mengetahui ini semua, pemimpin Umno/BN seluruh negara, khususnya di Perak sangat cemas dengan keadaan ini, menjadikan saat menghadapi ilihan raya ini menjadi hari-hari yang sangat menakutkan mereka.

Bulan lalu saya berada di Perak, meninjau sebanyak sedikit suasana di sana dan menyaksikan kerja keras PAS Perak di bawah pimpinan Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Husain dan orang kanannya, Ir. Nizar Jamaludin serta pimpinan negeri yang lain. Mereka berazam untuk menawan semula negeri Perak dalam PRU Ke-13. Harapan ini nampaknya cerah.

Baru-baru ini PAS negeri itu telah mengadakan Konvensyen Ke-15 di Dewan Kutien, Ayer Tawar yang berakhir dengan semangat baru PAS Perak bagi menawan semula negeri itu dari Umno/BN. Konvensyen dirasmikan oleh Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.

Ucapannya banyak menyentuh dalaman parti yang perlukan kekuatan baru dengan penglibatan semua unsur yang boleh membantu PAS dalam menerajui kembali kepimpinan politik Perak dan negara.

Ucap utama Pesuruhjaya PAS Perak disampaikan oleh Datuk Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak disebabkan Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Husein tidak dapat hadir konvensyen kerana keuzuran isteri beliau yang sedang dirawat di Hospital Besar Ipoh. Ucap Utama yang bertemakan ‘Islam Adil Untuk Semua – Perspektif PAS Perak’ menggariskan beberapa perkara yang menjadi hala tuju PAS Perak untuk menawan kembali negeri itu.

Beberapa aspek pembinaan tarbiyyah dan penyebaran dakwah ditekankannya sebagai aspek dalaman yang sangat penting. PAS Perak juga disaran melebarkan jaringan dakwah dengan lebih meluas bagi memahamkan rakyat bukan Islam mengenai keadilan Islam.

Persiapan menghadapi Pilihanraya Ke-13 juga menjadi fokus utama PAS Perak bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat menawan semula dalam PRU Ke-13 itu.

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden pula disampaikan oleh Datuk Dr. Mahfuz Mohamd, AJK PAS Pusat yang juga Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Munaqasyah menggariskan beberapa langkah yang perlu dibuat oleh semua peringkat parti bagi merealiasikan Ucapan Dasar Presiden.

Konvensyen bertambah menarik dengan penglibatan perwakilan dalam membahaskan Ucap Utama Pesuruhjaya. Banyak isu disentuh oleh perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Konvensyen juga turut didedahkan oleh pengkaji sains politik dari Ilham Centre iaitu hasil dari dapatan kajiannya mengenai kecenderungan rakyat dan pengundi terhadap PAS dan juga PR di Perak selepas PRU ke 12.

Dapatan kajian tersebut sangat memberi makna kepada PAS Perak dalam meneruskan langkah perjuangan ke arah kemenangan besar dalam PRU akan datang.

Kemuncak konvensyen ialah pengisytiharan tujuh resolusi yang dijadikan ikrar semua peserta konvensyen bagi memastikan ia dilaksanakan di lokasi masing-masing.

Demikianlah persiapan PAS Perak yang sangat menjanjikan.hrkh

Bekas Ketua Cawangan Umno dipenjara sehari


KOTA BHARU , 13 Ogos : Mahkamah Sesyen di sini semalam menyaksikan seorang bekas ketua cawangan UMNO dijatuhi hukuman penjara satu hari dan didenda RM10,000 atas kesalahan memberi keterangan berbeza kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Harun, 51 selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi.


Berdasarkan pertuduhan, Mohamad didakwa memberi keterangan berbeza semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen 2 dekat sini pada 16 Mac lalu kira-kira jam 2.45 petang iaitu “Anuwari datang bayar wang saya sebanyak RM400. Dia berhutang dengan saya”.

Keterangannya itu didakwa tidak selaras dengan keterangannya kepada pegawai penyiasat SPRM, Syamsul Arifin Othman pada 4 Ogos 2008 iaitu “ Encik Anuwari Muhamad telah datang ke rumah saya. Beliau telah menyerahkan wang sebanyak RM400 kepada saya. Saya tidak tahu dari mana dia mendapat wang tersebut. Tujuan wang tersebut diserahkan adalah untuk diagihkan kepada Ketua-Ketua UMNO cawangan”.

Atas kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohamad yang diwakili peguam Zahari Kechik kemudiannya memohon kepada mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya itu.

Zahari berkata, tertuduh sekarang berusia 51 tahun, telah berkahwin dan mempunyai 10 anak.

“Daripada 10 anaknya itu, tujuh masih lagi bersekolah. Tertuduh (Mohamad) sekarang mengusahakan kedai runcit di rumahnya dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

“Buat masa sekarang, tertuduh boleh dikatakan aktif dalam politik kerana pernah memegang jawatan sebagai ketua cawangan dalam sebuah parti politik,” katanya.

Selain itu, Zahari berkata, pengakuan salah yang dibuat tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah untuk meneruskan perbicaraan kes-kes lain.

“Tertuduh juga telah sedar akan kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan seperti itu lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Siti Zakiah Che Man pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.

“Dalam kes ini, tertuduh telah membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi dan tertuduh tahu implikasi atau risiko yang akan diterima atas pengakuan tersebut.

“Saya mohon hukuman sewajarnya dikenakan kerana sikap sesetengah pihak yang beginilah menyebabkan pihak SPRM menghadapi masalah di mahkamah sekali gus menjejaskan kes-kes SPRM,” katanya.

Menurutnya, kesan dan akibat daripada tindakan tertuduh memberi keterangan di mahkamah yang tidak selaras dengan kenyataannya kepada pihak SPRM mengakibatkan persepsi masyarakat mengatakan pihak SPRM hanya menjalankan kes-kes terpilih sahaja.

“Walaupun pada hakikatnya, SPRM sebenarnya menghadapi masalah dengan saksi-saksi sebegini,” katanya. SH


Rofiah semasa membacakan keputusan penghakimannya berkata, setelah mahkamah mempertimbangkan semua rayuan peguam bela tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah jatuhkan hukuman penjara satu hari berkuat kuasa semalam dan denda RM10,000 ke atas tertuduh.

“Jika denda tersebut tidak dibayar, tertuduh akan dipenjara selama dua tahun,” katanya.

Mansuh saman ekor secara total


SHAH ALAM , 13 Ogos : Jawatankuasa bertindak Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menggesa kerajaan memansuhkan secara total saman ekor oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas tarikh penangguhan saman itu pada 28 Februari tahun hadapan.

Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya menerima baik penangguhan itu dan menganggap ia memberi manfaat kepada rakyat walaupun hanya bersifat sementara.


“Penangguhan ini boleh memberi kelegaan kepada rakyat khususnya pengguna jalan raya kerana mereka berpeluang untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sehingga Februari depan,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata, Kase tetap meneruskan perjuangan walaupun saman ekor ditangguh.

“Selepas Februari nanti, mereka kata akan cuba meneruskan kembali sistem saman ekor itu menunjukkan sifat kerajaan cuba melebihi perlembagaan dan Kase akan sedia memantau selepas tarikh berkenaan.

“Kita akan memastikan usaha ‘memerangi’ semula keputusan perlembagaan oleh pihak kerajaan selepas tarikh penangguhan itu tidak membuahkan hasil supaya kedudukan rakyat terbela dan kerajaan mematuhi undang-undang serta peraturan diputuskan oleh perlembagaan,” katanya.SH

Kerajaan membazir : Penduduk buat jalan sendiri


PARIT BUNTAR, 12 Ogos : Penduduk di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau bersepakat untuk mengutip derma dan membeli simen konkrit serta batu untuk membaiki sendiri jalan rosak apabila pihak berwajib tidak mengendahkan aduan mereka.

Bekas Ketua Kampung Parit Abas, Ishak Yunus berkata, program gotong-royong pada 10 Ogos lalu bermula jam 9 pagi sehingga jam 1 petang melibatkan kira-kira 50 penduduk kampung.


Menurutnya, kos melibatkan hampir RM2000 bagi membeli dua lori simen konkrit yang dibiayai daripada sumbangan penduduk kampung di sini.

“Penduduk bergotong-royong membaiki jalan yang rosak dan menampal jalan yang berlubang sebagai persediaan menyambut Ramadhan dan kepulangan saudara mara menjelang Syawal nanti.

“Jalan Parit Abas adalah laluan yang sibuk dan jalan utama penduduk ke Pekan Kuala Kurau oleh penduduk Kampung Parit Abas, Parit Tok Hin, Parit Telok Pial dan kampung-kampung berhampiran,’ katanya ketika ditemui di lokasi gotong-royong, di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Yunus Jamhari dan pembantunya Adenan Said bagi memberi sokongan moral kepada penduduk.

Ishak berkata, jalan ini turut digunakan oleh pelajar dan guru untuk berulang-alik setiap hari di mana terdapat dua sekolah terletak di kampung tersebut.

“Kerosakan jalan sangat serius bermula dari Sekolah Menengah Agama Al-Hidayah menuju ke pekan Kuala Kurau dan membahayakan penduduk di samping merosakkan kenderaan.

“Masalah ini berlarutan sejak sekian lama,” katanya.

Katanya, penduduk telah mengadukan masalah itu kepada Ketua Kampung, Penghulu Mukim, Pejabat Daerah termasuk pernah menyiarkan di dalam akhbar Sinar Harian keluaran 26 September 2009 yang lalu tetapi masih juga tiada tindakan diambil.

“Setiap kali diajukan masalah ini kepada pihak bertanggungjawab, mereka memberi alasan tiada peruntukan diterima dari kerajaan negeri dan persekutuan.

“Penduduk melihat kerajaan sewenangnya membazirkan ratusan ringgit bagi membeli kapal selam, jet pejuang, istana negara dan sebagainya tetapi sangat berkira-kira apabila ingin membantu rakyat,” katanya.

Katanya, penduduk mengambil tindakan proaktif membaiki sendiri jalan di kampung mereka setelah melihat pihak bertanggungjawab seolah-olah lumpuh dan tidak berfungsi bagi membantu mereka.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan dan penduduk yang bergotong-royong membaiki jalan.SH

Kelantan lancar matawang syariah dinar, dirham


















K
OTA BHARU, 12 Ogos: Selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, hari ini di di bawah kepemimpinan ulama sekali lagi dicetus sejarah apabila melancar pula matawang syariah, Dinar dan Dirham Kelantan.

Majlis bersejarah itu disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre (KTC).

Program sempena Ramadan tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd.

(Gambar: Tuan Guru menyampaikan logo dinar kepada peniaga yang menerima mata wang dinar dirham untuk jual beli.)

Pada majlis perasmian terbabit Menteri Besar melakukan gimik pelancaran dengan menyimpan dinar dan dirham ke dalam sebuah mesin untuk simpanan Tabung Haji.

Matawang Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan untuk pembayaran gaji, zakat, mas kahwin dan perniagaan.

Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25.

Selain itu separuh dinar bersaiz 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21 mm (0.5 gm) bernilai RM99.38.

Kini nilaian dinar tersebut sudah meningkat berbanding ketika dilancarkan. Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.

Pada majlis pelancaran itu, sejumlah RM100,000 telah dibeli orang ramai.hrkh

Pemuda Umno, MCA tak ada taring



KUALA LUMPUR, 12 Ogos : Keputusan kabinet melarang mahasiswa menyertai politik menunjukkan BN langsung tidak mendengar pandangan rakyat, khususnya golongan muda yang mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di universiti tempatan, kata ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Anthony Loke.

Keputusan ini juga, tegasnya, membuktikan sayap Pemuda BN, khususnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenar menyertai parti politik, langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Malahan, kata Loke yang juga ahli parlimen Rasah, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan tersebut, juga tidak diendahkan oleh menterinya sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, DAPSY mengutuk keputusan kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

"DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan kabinet yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

"Ini merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda, khususnya pelajar Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

"Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia," tambahnya.

Namun begitu, katanya, DAPSY akan terus mendesak supaya Akta Kolej dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.

"DAPSY yakin, sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan," tambahnya.

Malah, kata Loke, keputusan kabinet itu akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik.

"Dan BN akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda dalam pilihanraya umum yang ke-13 kelak," tegasnya.

Muhyiddin akan terus jadi batu api

































SHAH ALAM, 12 Ogos:
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) menjangkakan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tetap menjadi batu api dengan memanipulasi kenyataannya serta kenyataan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain kelak.

Menurut beliau, dengan menjadi bati api membolehkan Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri berusaha mengelirukan orang-orang Melayu supaya Umno BN tidak tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

"Dulu dia (Muhyiddin) laga-lagakan Presiden PASdengan Tony Phua, sekarang dia laga-lagakan saya dengan Ustaz Hadi.

"Selepas ini, tentu dia akan tetap laga-lagakan yang lain sebab dia ini batu api, batu api memang begitu untuk selamatkan Umno pada PRU13 nanti," ujarnya pagi tadi ketika menghubungi Harakahdaily.

Baginya, tindakan Muhyiddin itu sebenarnya bermotif apabila asyik menggembar-gemburkan wacana awam berhubung polisi Melayu Bumiputera mendapat diskaun 7 hingga 10 peratus pada pembelian rumah dan bangunan komersial yang masing-masing bernilai minimum RM500 ribu dan RM2 juta.

"Dia memang suka lebih banyak Melayu miskin yang ramai sebab dengan demikian itu orang-orang kaya termasuk pemimpin-pemimpin Umno yang sedia kaya boleh terus dapat lebih banyak subsidi.

"Mereka ini memang suka batu api ini, mereka suka Melayu miskin yang ramai kerana kalau Melayu miskin dah tak ada, mereka ini tak dapat subsidi lagi," tegasnya.

Ekoran itu, beliau turut mempersoal rasionalisme pada pendirian Muhyiddin pula.

"Bagaimana nak selesainya kemiskinan orang-orang Melayu kalau Muhyiddin mempertahankan dasar memberi subsidi dan diskaun-diskaun ini hanya pada orang-orang kaya," soalnya.

Sebagai contoh, beliau berkata, Bumiputera yang sedia kaya raya sahaja akan terus menikmati subsidi RM35 ribu atau diskaun 7 peratus dalam pembelian rumah mewah bernilai RM500 ribu umpamanya, kerana orang-orang Melayu miskin mustahil boleh memberi rumah-rumah mewah ini.

"Inilah yang segelintir ahli-ahli Umno yang tinggal di rumah kos rendah, PPRT (projek perumahan rakyat termiskin) tidak nampak.

"Mereka sokong perjuangkan batu api ini tetapi orang lain yang dapat subsidi-subsidi ini," ujarnya sambil mencabar Muhyiddin memperjuangkan diskaun atau subsidi yang lebih besar pada penjualan hartanah kos rendah dan sederhana untuk orang Melayu termiskin.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak timbul isu percanggahan pendapat antara kenyataannya dengan Abdul Hadi itu.

"Pendirian saya dan Abdul Hadi sebenar tidak berbeza, iaitu kita nak bantu orang Melayu, kita nak bantu orang miskin, bukannya membantu Melayu dan Bumiputera yang sedia kaya.

"Tak ada percanggahan antara saya dan Abdul Hadi sebenarnya, ini kerja batu api namanya," tegasnya lagi sambil menyuarakan rasa yakin bahawa orang-orang Melayu dan bukan Melayu tidak terpengaruh dengan budaya batu api itu.

Selasa lalu, Muhyiddin, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional merangkap Timbalan Presiden Umno mencabar Khalid menyokong pendirian Abdul Hadi kononnya atas dasar perjuangan Melayu.

Cabaran itu ekoran Khalid mengambil 'jalan tengah' dengan mengadunkan cadangan dinamik Abdul Hadi dan Tony itu supaya tetap menguntungkan orang-orang Melayu bawahan, bukannya mereka yang kaya raya.

Khalid pada perkembangan yang sama turut dilaporkan mendakwa perjuangan Muhyiddin bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dipopularkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri walaupun Muhyiddin sendiri berkali-kali menafikan hakikat tersebut.

Ini kerana, beliau berkata, Muhyiddin masih dilihat sebagai ekstrem Melayu, sedangkan Najib cuba memujuk orang-orang bukan Melayu supaya kembali menyokong Umno BN melalui slogan tersebut pada pilihan raya akan datang.hrkh