Sunday, August 29, 2010

Umno beruk telan mercun























PERMATANG PAUH, 30 Ogos: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menyifatkan, Umno kini tidak ubah seperti seekor beruk yang tertelan mercun sehingga mulutnya terpaksa dijahit akibat letupan ketika bermain bersama tuannya.

Apa tidaknya, tambah beliau, semua bahan dakyah yang direka khas untuk memecahbelahkan PAS dan Pakatan Rakyat mahupun memperlihatkan kepada dunia bahawa PAS tidak patriotik terhadap negara akhirnya memakan diri Umno.

Katanya, kenyataan demi kenyataan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin hari kian berkumandang di dada akhbar atau media elektronik menghentam PAS dan Pakatan Rakyat.

"Umno tidak ubah seperti beruk yang menelan mercun sehingga mulutnya terpaksa dijahit kerana bahan itu meletup. Bila tuan beruk membakar mercun, dia baling ke atas, maka beruk ingatkan benda apa, lalu melompat dan terus memasukan ke dalam mulutnya.

“Apa lagi, pecah mulut binatang tersebut," ujarnya sinis ketika berucap pada program Ihya Ramadhan Perdana di Tapak Ekspo Seberang Jaya, malam tadi.

Turut berceramah ialah Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Halim Husain

Berucap dalam majlis anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri itu, beliau berkata, rakyat kini sudah matang berpolitik dan tidak menunjukkan reaksi terhadap isu yang ditimbulkan Umno itu.

Katanya, Umno BN begitu cemburu apabila melihat PAS bersama DAP duduk sepentas bercakap soal kebajikan rakyat, penyelewengan, penipuan pemimpin Umno dan banyak lagi.

"Fenomena itu yang membimbangkan Umno dan BN. Mereka kecut bila berhadapan dengan pembangkang seperti PAS yang tahu di mana kelemahan parti asobiah itu," jelas beliau.

Menurutnya, ketakutan Umno kepada PAS bertambah teruk apabila PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang kini berperanan sebagai sebuah sayap terbaru parti untuk berhadapan dengan BN pada masa depan.hrkh

Merdeka: Bebas bangsa dari penjajahan minda




















SHAH ALAM, 30 Ogos: Kemerdekaan sebenar adalah membebaskan bangsa dari belenggu penjajahan minda yang terikat dengan ketidakadilan yang diperjuangkan di dalam membela nasib sesuatu bangsa, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, itulah antara amalan jahiliah yang masih diteruskan oleh Umno selama ini sedangkan kedatangan Islam telah menunjukkan jalan terbaik kepada umat Islam bagaimana bentuk perjuangan politik mereka.

Di dalam hal ini, ujarnya, bangsa Melayu wajar mengambil ajaran Islam sebagai tonggak perjuangan kehidupan mereka dalam usaha memastikan pemerkasaan bangsa berjaya ditegakkan dan keadaan sebaliknya terus berlaku jika mereka enggan.

Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan demikian ketika menyampaikan tazkirah sempena Ramadhan sebelum majlis berbuka puasa di Markas PAS Seksyen 18 dekat sini petang semalam. Turut hadir adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selaku Yang Dipertua dan AJK PAS kawasan.

Tambahnya, penurunan Al-Quran sendiri secara berperingkat selama 23 tahun adalah untuk menjawab semua persoalan semasa yang timbul di dalam mana-mana masyarakat sebelum, semasa dan selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w.

“Akibat dari meninggalkan ajaran dan hukum Al-Quran kini terbukti semua agama selain Islam, isme, ideologi dan kepercayaan telah tidak relevan sekarang ini dan ternyata gagal untuk menangani segala isu semasa dan konflik masyarakat.

“Justeru, inilah masa terbaik untuk umat Islam bermuhasabah diri dan kembali mengambil jalan Islam apatah lagi di dalam bulan Ramadhan ini yang penghujung natijahnya, semua umat Islam mengharapkan mendapat anugerah takwa,” ujarnya.

Sementara itu di dalam satu lagi majlis selepas itu, Tuan Guru menyatakan, hanya dengan Islam sahaja bangsa Melayu akan mendapat kekuatan baharu yang kehilangan sejak sekian lama akibat tersalah memilih wadah perjuangan siasah.

Menurutnya, ketika zaman Nabi Muhammad, semua kaum dan bangsa dapat berhimpun di bawah payung Islam di Madinah dalam keadaan semua bangsa lain boleh hidup dalam keadaan aman damai sedangkan Islam berkuasa di situ.

“Inilah keadilan yang Islam perjuang dan berjaya tunjukkan serta memberikan hak kepada semua yang berhak termasuk tidak mengganggu gugat kehidupan bukan Islam ketika itu, inilah juga iktibar yang mesti dilihat oleh umat Islam masa kini,” tambahnya.

Ketika mengungkapkan kisah kenapa Nabi berhutang dengan Yahudi, tidak dengan ramai sahabat yang kaya, Tuan Guru Presiden menyebutkan bagaimana hasil bergaul baik dengan mereka yang bukan Islam menyebabkan mereka menganut Islam kerana terpikat dengan akhlak Islam.

Begitu juga ketika Peristiwa Pembukaan Kota Makkah, Nabi memerdekakan semua mereka yang tewas dengan pengampunan dan pembebasan sekaligus menolak dakwaan Islam ganas sedangkan di dalam revolusi selain Islam, meragut jutaan nyawa termasuk mereka yang tidak berdosa.

Dengan sikap terbuka dan rahmatnya mendahului tindakan yang ditunjukkan oleh Nabi itu, Islam telah berjaya menarik sokongan banyak pihak dari bangsa yang berbagai seperti Salman AlFarisi, Suhaib Ar-Rumi dan Bila AlHabsyi termasuk bukan Islam yang hidup aman sejahtera.hrkh

Zainudin Maidin diberi tempoh tiga hari





























KUALA LUMPUR, 30 Ogos:
PAS memberi kata dua kepada bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin sama ada mahu memohon maaf dan menarik balik cerita fitnah terbarunya terhadap PAS atau berdepan saman.

Ianya ekoran kenyataan Zainuddin yang mendakwa semasa Tragedi 13 Mei 1969, PAS minta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ‘merampas’ harta-harta orang Cina, manakala ketika Konfrantasi Malaysia-Indonesia, PAS menyebelahi Indonesia supaya ‘mengambil’ Malaysia.

Beliau membuat kenyataan tersebut dalam temuramah bertajuk "Zam Dedah Hasutan Jahat Pas" bersama umno-online.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad ketika mengulas perkara itu berkata adalah satu fitnah yang besar dan cuba memberikan gambaran buruk berkenaan PAS kepada orang-orang Cina dan rakyat keseluruhannya.

"Kenyataan beliau itu jelas sengaja dicipta bagi mencemarkan imej dan nama baik PAS sebagai sebuah parti yang mendokong kedaulatan negara dan perpaduan rakyat," katanya.

Menurutnya, Umno sudah sinonim dikaitkan dengan penciptaan kisah-kisah fitnah dan propaganda jahat demi survival politik mereka yang kini tertekan dengan penolakan bukan Melayu di negara ini.

Tuduhan bahawa PAS menyokong Indonesia semasa konfrontasi juga kata Idris, sengaja direka bagi menunjukan bahawa PAS ini tidak patriotik sedangkan begitu ramai tokoh-tokoh politik dalam PAS telah berjuang memartabatkan kedaulatan negara dan menjaga kepentingan rakyat.

"PAS yakin beliau dan Umno kini terdesak untuk memburukan PAS dan sanggup mencipta fitnah di bulan Ramadhan ini bagi menarik sokongan bukan Melayu untuk kepentingan politik mereka.

"PAS menuntut Zainuddin menarik balik fitnah yang diciptanya itu dan memohon maaf dalam masa 3 hari. Sekiranya beliau enggan menarik balik fitnah itu PAS akan mengarahkan semua organisasi PAS negeri dan dewan-dewan untuk membuat laporan Polis dan seterusnya akan mengemukakan saman kepada beliau," katanya.hrkh

100 pegawai masjid dirai

IMG_2168.jpg picture by paspb


PARIT BUNTAR , 30 Ogos : Majlis sumbangan kepada pegawai-pegawai masjid seluruh Parit Buntar yang berlangsung di Masjid Mahyuddin, Pekan Batu Lima dihadiri lebih 100 orang pegawai dari 26 buah masjid yang terdiri daripada imam, bilal serta siak masjid.


Program yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Parit Buntar, Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong ini merupakan kali yang kedua diadakan.


Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar dalam ucapannya untuk meraikan pegawai-pagawai masjid seluruh Parlimen Parit Buntar sempena sambutan Ramadhan dan Eidulfitri.


"Jangan kita perkecilkan sumbangan pegawai-pegawai masjid, merekalah yang sebenarnya memakmurkan rumah Allah. Tugas ikhlas mereka menjadikan masjid terus hidup dan imarah kerana merekalah setiap hari datang dan menunaikan tanggungjawab beribadah pada Allah SWT." demikian kata Dr Mujahid Yusof Rawa,


Menurut Dr. Mujahid lagi, kalau tanpa bilal siapa yang akan azan menyeru masyarakat untuk solat, kalau tanpa siak siapa akan memasang kipas, lampu serta membersihkan masjid. Sesungguhnya, tugas mereka begitu mulia disisi Allah SWT.


Majlis ini juga turut dihadiri Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Haji Harun Hashim, ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah, ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari serta pimpinan PAS Kawasan Parit Buntar.

Pilih kasih isu



ALOR SETAR , 30 Ogos : Satu notis yang jelas berhubung adab memasuki masjid atau surau perlu dikeluarkan sebagai rujukan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama, Pelajaran dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, notis berkenaan penting bagi mengelakkan isu kesucian masjid dan surau dinodai, berulang lagi.

“Kerajaan Pusat atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mengeluarkan satu notis, yang memaklumkan kepada individu yang ingin memasuki masjid atau surau di negara ini, diwajibkan menutup aurat.

“Dengan itu, barulah masyarakat bukan Islam akan mengetahui adab-adab sebelum menjejakkan kaki ke masjid atau surau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan wakil rakyat DAP, Teo Nie Ching yang didakwa ‘bertazkirah’ di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Menurutnya, kewajipan menutup aurat hanya kepada orang Islam dan Nie Ching memasuki surau berkenaan sebagai memenuhi jemputan daripada jawatankuasa surau terbabit.

“Saya nampak wujud unsur pilih kasih dalam isu ini kerana ada kalangan isteri menteri yang beragama Islam memakai tudung tetapi tidak menutup aurat sewaktu menghadiri majlis di masjid, sedangkan tuntutan menutup aurat tidak diwajibkan ke atas orang bukan Islam.

“Justeru, satu notis atau garis panduan perlu dikeluarkan agar semua individu, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, diwajibkan menutup aurat sebelum melangkah ke masjid dan surau, bukan hanya memakai tudung yang masih memperlihatkan rambut masing-masing,” katanya.SH

Usaha murni Teo Nie Ching dipuji


SUNGAI BAKAP , 30 Ogos :
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memohon isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki ruang solat di Surau Al-Huda, Kajang Sentral usah dipolitikkan.


Guan Eng berkata, usaha murni yang ditonjolkan oleh Nie Ching yang segera memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah seharusnya dipuji kerana beliau menunjukkan inisiatif yang baik tanpa disuruh oleh sesiapa.

“Ini menunjukkan beliau dan DAP menghormati institusi raja Melayu apabila mendapat tahu raja berasa kurang senang hati dengan tindakannya.

“Kita biarlah perkara ini diselesaikan oleh ulama dan kita tidak mahu masuk campur kerana sebagai seorang bukan Islam, kita juga tidak mahu cakap boleh atau tidak terhadap tindakan beliau. Biarlah ulama yang menjawab akan persoalan ini,” katanya.

Menurutnya, Ahli Parlimen Serdang itu tidak berniat jahat tetapi hanya mahu mengeratkan silaturahim antara kariah tetapi malangnya ia dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya melihat beliau tidaklah berpakaian menyolok mata. Mengapa isteri-isteri pemimpin Barisan Nasional yang kadang-kadang berpakaian lebih menonjol lagi, tidak menjadi isu besar sungguhpun mereka ini adalah orang Islam?

“Adalah jelas perkara ini telah dipolitikkan dan saya berharap ia tidak dipanjangkan dan seharusnya kita lebih menumpukan perhatian terhadap isu yang sebenarnya seperti skandal rasuah yang melibatkan kehilangan saham bumi orang Melayu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Pengurusan Jenazah atau Kematian dan Sumbangan Wang Penghargaan Warga Emas dekat sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 57 waris yang kematian keluarga dan warga emas di seluruh Seberang Perai Selatan menerima sumbangan masing-masing RM1,000 dan RM100.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Makhtar Shapee, ADUN Jawi, Tan Beng Huat dan ADUN Bukit Tambun, Law Choo Kiang.SH

Kelantan saman petronas

KUALA LUMPUR, 30 Ogos : Kerajaan negeri Kelantan, dengan ketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, telah memfailkan saman terhadap syarikat minyak negara, Petronas, untuk menuntut royalti minyak yang tidak dibayar sejak 2004.

Saman terhadap Petronas itu meliputi dakwaan melanggar perjanjian kontrak dan juga turut membabitkan isu perlembagaan.

Nik Aziz yang diiringi oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob dan exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan, menyaksikan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Dagang Kuala Lumpur pagi ini. Turut hadir ialah bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramlli.

Peguam kanan Tommy Thomas mewakili kerajaan Kelantan.

Notis sepanjang 47 halaman itu antara lainnya menuntut:
1. Pelaksanaan spesifik perjanjian petroleum Kelantan.

2. Siasatan dijalankan ke atas Petronas untuk membuat pendedahan penuh berhubung fakta berkaitan bayaran tunai yang perlu dibayar kepada Kelantan.
3. Perintah supaya semua tunggakan bayaran tunai dilunaskan dalam tempoh sebulan daripada perintah mahkamah.

4. Gantirugi beserta kos dan faedah ke atas jumlah yang diperintahkan dibayar.

5. Relief lain dan juga kebebasan untuk memohon.

Anggota polis bertindak mengawal keadaan di kawasan komplek mahkamah sejak awal pagi ini.

Pertikaian berlarutan

Isu royalti minyak yang berlanjutan selama ini, timbul semula sewaktu kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai tahun lalu.

Ini diikuti dengan tindakan kerajaan pusat pula menyiarkan beberapa dalam akhbar berbahasa Melayu, menyatakan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti minyak kerana ia telah menerima "wang ehsan" sebanyak RM20 juta.
Hujah berkenaan bagaimanapun disangkal oleh bekas naib presiden Umno dan juga bekas pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkannya sebagai "menghina kebijaksanaan" rakyat Kelantan.

Saman pemula hari ini merupakan rentetan daripada tindakan kerajaan pimpinan PAS Kelantan pada Mac lalu melantik Tengku Razaleigh sebagai wakil perunding negeri itu untuk menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat.

Kelantan didakwa berhak menerima bayaran royalti minyak antara RM850 juta hingga RM1bilion untuk pengeluaran di pelantar minyak yang terletak sejauh 170 kilometer dari perairan Kelantan.
Husam sebelum ini berkata bayaran tersebut perlu dibuat mengikut Akta Petroleum 1974 yang membolehkan negeri menerima royalti minyak sebanyak lima peratus daripada hasil perolehan petroleum.

Umno sengaja perbesar isu















SHAH ALAM , 30 Ogos :
Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki surau sengaja diperbesarkan UMNO yang dianggap gemar mengambil kesempatan berbuat demikian sekiranya isu membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).


Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhd Nur Manuty berkata, PKR berpendapat dalam isu sebegini tiada masalah untuk orang bukan Islam untuk berbuat sedemikian kerana terdapat empat mazhab dalam Islam yang membenarkannya.

“Bagaikan menahan lukah di pergentingan, UMNO dan para konconya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka.

“Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, UMNO sentiasa mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam masa sama, PKR katanya, menyambut baik saranan beberapa pemimpin agama termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki surau yang mengatakan bukan Islam boleh berbuat demikian.

Dr Muhd Nur Manuty turut menerangkan bahawa terdapat beberapa mazhab yang membenarkan bukan Islam memasuki Masjid dan Surau iaitu Mazhab Hanafi dan Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah.

“Manakala, Mazhab Hambali yang membenarkan untuk memasuki Masjidilharam dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah.

“Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian pandangan menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini.SH

Bekas Yang Dipertua PAS Parit Buntar meninggal dunia




PARIT BUNTAR , 30 Ogos : PAS Kawasan Parit Buntar kehilangan seorang tokoh pejuang yang banyak berjasa di Perak khususnya di Parit Buntar. Beliau ialah Ust. Zulkarnain bin Haji Ahmad yang pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.

Ust. Zulkarnain meninggal dunia pada jam7.30 malam semalam kerana sakit uzur. Solat jenazah akan diadakan pada jam 11 pagi di Masjid Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang

Ust. Zulkarnain pernah memegang jawatan YDP PAS Parit Buntar pada tahun 1990 mengantikan Tuan Haji Jaafar bin Ali dan pernah menjadi calon PAS bagi kerusi DUN Simpang Lima semasa pilihanraya tahun 1969.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh pejuang Islam ini. Al- Fatihah