Monday, September 13, 2010

Tuanku Faris Petra, Raja yang dekat di hati rakyat

KOTA BHARU, 13 Sept. : Sultan Kelantan yang baru dimasyhurkan, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat dan dekat di hati rakyat Kelantan.

Sebut sahaja kawasan pedalaman mana yang tidak pernah dilawati baginda bagi menyelami suka duka rakyat termasuk ke kampung-kampung penempatan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.

Sering mengenakan jubah atau berbaju "gumbang" (baju Melayu) serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat jelata menyebabkan tiada siapa yang menyangka lelaki segak itu merupakan pewaris Kesultanan Kelantan yang baru.

Pernah satu ketika di Pantai Damat, Bachok, baginda tidak kekok duduk bersila dan mendengar kisah penderitaan seorang ibu tunggal yang uzur dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mata baginda berkaca ketika mendengar kisah keperitan hidup Azizah Abdullah, 41, membesarkan tiga anaknya.

Membahasakan diri baginda dengan perkataan "kita" menyebabkan baginda dan rakyat seperti tidak ada jurang pemisah yang boleh merenggangkan hubungan rakyat dan raja.

Ketika di rumah Azizah, baginda yang turut menghulurkan sumbangan peribadi, juga sempat memberikan perangsang kepada tiga anak wanita itu untuk berjaya dalam pelajaran mereka.

Tuanku Muhammad Faris Petra merupakan putera sulung Sultan Kelantan sebelum ini, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.
Pendidikan awal

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Baharu dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Okt 1969 dan dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985 dan sejak pelantikan itu baginda telah menunjukkan kecenderungan untuk mempelajari dan mendalami selok belok pentadbiran negeri.

Baginda mula menarik perhatian seluruh negara dengan liputan meluas media ketika bertitah merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 2008.

Ketika bertitah pada majlis itu, baginda secara terbuka mengingatkan usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi berikutan kedudukan orang
Melayu dan Islam yang kian tercabar kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara.

Baginda berharap segala perbezaan pendapat dan perbelahan diketepikan melalui jalan yang bijaksana dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara sebagaimana yang diimpikan oleh semua.

Di masa lapangnya, baginda gemar membaca bagi mengikuti perkembangan semasa di dalam dan luar negara di samping meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Selain itu baginda juga menunjukkan minat mendalam terhadap sukan memanah, berkuda, boling serta suka memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Dalam hubungan dengan rakyat, baginda ternyata mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, baginda menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.
Komander Askar Wataniah

Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

Umum juga mengetahui hubungan yang akrab baginda dengan ayahanda baginda dan kegeringan Tuanku Ismail Petra pada 14 Mei tahun lalu membuatkan baginda diselubungi kesedihan dan berasa tertekan.

Baginda pernah mengimamkan solat hajat bersama-sama rakyat jelata sebelum ini bagi memohon kesejahteraan ayahanda baginda.

Pada 24 Mei tahun lalu, Tuanku Muhammad Faris Petra telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan setelah ayahanda baginda mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Pelantikan itu membolehkan baginda menjalankan tugas Sultan Kelantan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang menurut pakar perundangan mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan mengikut Perkara 4 Fasal 1 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan Majlis Perajaan Negeri mengikut peruntukan tersebut.


- Bernama

Umno hanya buat gimik 'anti-PERKASA'



IPOH, 13 Sept. : DAP mendakwa tindakan Umno yang kononnya berbalah dan memisahkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) adalah hanya sekadar gimik politik BN yang bertujuan memancing undi.

Penolong bendahari DAP pusat, Nga Kor Ming dalam kenyataan akhbarnya berkata Umno terlalu taksub dengan PERKASA sehingga membolehkan parti itu memecahkan ikatan hubungan mereka itu.

Nga berhujah ahli PERKASA yang sebahagian besarnya adalah ahli Umno dan penasihat umum NGO Melayu itu yang disandang oleh bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohammad menguatkan lagi dakwaannya.

Tambahnya lagi, PERKASA juga mendapat sokongan dari akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

“Dengan hubungan yang intim ini, adalah sukar untuk mempercayai bahawa Umno sekarang ini bercadang memutuskan hubungan mereka dengan PERKASA,” katanya.

“Saya percaya ini satu lagi gimik pilihan raya BN untuk memerangkap orang bukan Melayu...dan strategi untuk menarik sokongan kumpulan konservatif kanan Melayu yang selama ini dipinggirkan oleh golongan sederhana dan patriotik Melayu yang memegang kuasa,” kata Nga yang juga ahli parlimen Taiping.Awal minggu ini, BN berkata ia akan menjauhkan dirinya daripada PERKASA kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk memenangi semula sokongan bukan Melayu.

Setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang bercakap bagi pihak parti itu berkata, parti Melayu itu tidak akan mengaitkan dirinya dengan PERKASA selepas menerima tekanan daripada parti-parti komponen BN, yang bimbang dengan pendirian pertubuhan itu yang didakwa bersifat rasis.

Bacaan Yaasin perdana sempena peperiksaan

IMG_0633.jpg picture by paspb


PARIT BUNTAR, 13 Sept. : Dewan Muslimat PAS Parit Buntar telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin Perdana sempena peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM yang akan dihadapi oleh pelajar sekolah-sekolah di Parit Buntar. Majlis ini diadakan pada pagi Ahad 31 Ogos di Batu Lima, Parit Buntar.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Parit Buntar Norijan Omar berkata majlis ini bertujuan memohon kepada Allah mempermudahkan pelajar sekolah-sekolah di Parit Buntar menjawab soalan-soalan peperiksaan yang mereka hadapi.

" Walaupun majlis sebegini ini juga diadakan di sekolah, masjid dan surau dalam Parlimen Parit Buntar tetapi sebagai parti yang prihatin kepada semua lapisan masyarakat. Dewan Muslimat telah mengambil inisiatif mengadakan majlis ini" katanya.

Norijan berkata, kehadiran pelajar dan ibu masing-masing amat memberansangkan kerana jangkaan awal hanya 100 orang akan hadir tetapi lebih 200 orang yang hadir. Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa telah dijemput memberikan motivasi ibu dan anak mereka sebelum majlis bacaan Yasin diadakan.

Dr. Mujahid dalam ucapannya, meminta ibu bapa lebih berdiplomasi semasa menegur anak-anak yang melakukan kesalahan.

“ anak-anak pula mesti berbuat baik sentiasa taat kepada ibu bapa kecuali di suruh melakukan perkara-perkara syirik.

“ Kita mesti ingat jasa ibu bapa tidak terbalas, jadi anak-anak yang hendak berjaya mesti kasih kepada ibu bapa. Ibu bapa sebenarnya mahu anak mereka berjaya dunia dan akhirat” katanya

Beliau berharap ibu bapa jangan terlalu menyempitkan tanggapan kejayaan terhadap anak-anak mereka sehingga boleh menimbulkan perasaan rendah diri pada anak mereka.

“ Anak-anak yang tidak berjaya semasa kecil tidak bermakna tidak akan berjaya apabila dewasa. Jangan bandingkan kejayaan anak kita dengan anak org lain, kerana kemampuan seseorang itu tidak sama.

" Anak-anak kita sudah berusaha bersungguh-sungguh dan seharusnya disusuli dengan doa ibu bapa untuk kejayaan anak-anak. Amalan membaca yasin dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada anak-anak untuk menghadapi peperiksaan" katanya

Dr. Mujahid berharap pencapaian pelajar sekolah-sekolah di Parit Buntar pada tahun ini akan terus meningkat dalam semua jenis peperiksaan yang mereka hadapi.

Rumah Terbuka Selangor dihadiri puluhan ribu rakyat





















SHAH ALAM, 12 Sept. :
Puluhan ribu pengunjung hadir ke rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Negeri Selangor 2010 kelmarin yang berlangsung dalam keadaan amat meriah dengan berbagai juadah makanan disediakan.

Penuh sesak ruang luas di I-City, Seksyen 7, tempat berlangsungnya majlis yang mempertemu dan merayakan hari kebesaran Agama Islam itu yang turut dirai dan dihargai oleh semua pihak meskipun mereka penganut fahaman agama berbeza.

Pengunjung dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, budaya dan tahap pendidikan mereka sama-sama ceria dan bergembira menyambut hari lebaran mulia selepas sebulan umat Islam melakukan ibadat puasa.

Sebagai tuan rumah utama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sentiasa tersenyum, mudah didampingi, bersalaman mesra dan menunaikan hasrat mereka yang ingin bergambar kenangan bersama pimpinan negeri kesayangan semua.

Begitu juga dengan penglibatan semua Exco Kerajaan Negeri yang menyambut kehadiran pengunjung yang datang sejak awal meski majlis hanya bermula jam 3 petang bagi mengelakkan kesesakan.

Kanak-kanak kecil, Orang Kelainan Upaya (OKU), orang miskin, golongan usia emas dan anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik merupakan kalangan paling bergembira kerana mereka mendapat layanan lebih istimewa dengan hadiah sampul yang berisi wang tunai.

Kelihatan badan berkanun bawah Kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melakukan persiapan rapi dalam banyak hal sehingga menyerlahkan lagi kemeriahan hari terbuka kali ini.

Majlis berjalan dalam suasana santai dan gelak ketawa dengan persembahan artis-artis terkenal seperti Jamal Abdillah dan ramai lagi dengan gandingan dua juruacara personaliti diminati ramai, Salleh Yaakob dan Raja Azura.

Meski jam 7 petang sepatutnya majlis tamat namun orang ramai berpusu-pusu ekoran penyediaan terbaik pihak penganjur dengan kerjasama semua pihak berkaitan.hrkh

PKNK tidak pernah rugi di bawah Kerajaan PR Kedah



ALOR SETAR, 13 Sept. : Kerajaan Negeri tidak pernah menyalahgunakan sumber kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) untuk tujuan politik termasuk bagi perbelanjaan parti PAS, sebaliknya semua peruntukan digunakan selaras dengan agenda asal penubuhan agensi itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pengerusi PKNK menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya perbadanan itu mengalami kerugian sejak diambil alih Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah.

“PKNK tidak pernah rugi sejak kita ambil alih pentadbiran, malah masih merupakan antara penyumbang terbesar kepada Kerajaan Negeri. Dakwaan kononnya PKNK rugi atau disalahgunakan untuk tujuan politik PAS tidak benar sama sekali,” katanya.

Azizan berkata, pada 2008, PKNK memperolehi keuntungan sebanyak RM83.78 juta dengan jumlah aset sebanyak RM1.84 bilion.

“PKNK menyumbang sekitar RM15 juta kepada Kerajaan Negeri tahun lalu. Antara sumbangan tahunan ialah kepada pasukan bola sepak Kedah sebanyak RM3 juta, selain pembinaan kampus induk Insaniah di Kuala Ketil oleh Kumpulan Bina Darulaman Berhad yang merupakan anak syarikat milik PKNK,” katanya.

Menurutnya, sebuah lagi anak syarikat milik PKNK yang memberi sumbangan besar kepada Kerajaan Negeri ialah Seri Temin Development Sdn Bhd yang membangunkan projek perumahan mampu milik ‘Taman Sejahtera’ di Jabi, Pokok Sena.

“Saya percaya pelabur yakin terhadap iklim pelaburan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri. Sebagai bukti, Kulim Hi-Tech Park (KHTP) terus menerima pelaburan tambahan sebanyak RM1.58 bilion antara 2008 hingga 2009, selain pelaburan semula daripada pelabur sedia ada, antaranya First Solar RM1.29 juta, Intel RM230 juta dan Entegris RM36 juta,” katanya.

Azizan berkata, peruntukan untuk Tabung Dana Usahawan PKNK juga menunjukkan peningkatan, iaitu RM3 juta diperuntukkan bagi tabung itu pada tahun ini, berbanding RM2 juta tahun 2009 dan RM500,000 tahun 2008.

“Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sejumlah RM2.15 juta telah disalurkan kepada 105 usahawan dalam pelbagai bidang perniagaan, manakala tahun ini sejumlah RM749,000 disalurkan kepada 29 usahawan,” katanya.

Menurutnya, PKNK juga telah berjaya menaik taraf tiga hotel milik agensi itu, iaitu The Regency Alor Setar, The Regency Jerai Hill Resort di Gunung Jerai dan Sungai Petani Inn.

“Kita juga sedang melaksanakan beberapa projek baru iaitu Dataran Usahawan Alor Setar, Dataran Usahawan Sungai Petani dan Taman Halal Sungai Petani,” katanya.

Azizan berkata, pihaknya sedang meneliti agenda pengurusan PKNK pada masa depan bagi memantapkan lagi sumber kewangannya. Antaranya, bergiat lebih aktif dalam sektor pertanian komersil dan industri asas tani yang memberi pulangan lumayan, seperti perusahaan burung walit dan penanaman pokok gaharu.

“Sektor perladangan memberi sumbangan yang signifikan kepada pendapatan dan keuntungan PKNK. Oleh itu, kita sedang mengenal pasti ladang-ladang baru untuk dibeli terutama ladang kelapa sawit. Kita akan bergiat semula secara aktif dalam projek perumahan dan komersil dengan memajukan sendiri tanah-tanah milik PKNK yang berpotensi, antaranya di Baling, Hosba, Sungai Petani dan Padang Serai,” katanya.

Menurutnya, beberapa pembaharuan diperkenalkan antaranya, melaksanakan Sistem Maklumat Pengurusan (MIS) berkomputer terkini untuk mempercepatkan proses projek-projek PKNK, selain melantik Amanah Saham Kedah (ASK) sebagai pengurus dana untuk mengurus dana dan saham tersenarai milik PKNK secara lebih efisien.

“Kita turut memantapkan struktur organisasi dan pembangunan modal insan yang komprehensif dan holistik. Struktur organisasi yang mantap dibantu oleh warga kerja berkemahiran tinggi akan menjadikan PKNK bersedia menghadapi persaingan dalam ekonomi yang semakin kompetetif di peringkat nasional mahupun global,” katanya.

PKNK pernah menerima anugerah kecemerlangan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti pada 2008 yang bertaraf empat bintang daripada Jabatan Audit Negara. Ia tersenarai antara 20 jabatan/agensi kerajaan terbaik seluruh Malaysia yang menerima anugerah itu.SH

Tengku Faris dimasyhur Sultan Kelantan

KOTA BHARU, 13 Sept: Pemasyhuran Perlantikan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan telah selamat disempurnakan pada pagi ini di Istana Balai Besar di sini.

Pemasyuran perlantikan itu dibacakan Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Kedua.

"Bismilhhari Rahmanir Rahim; maka dengan ini adalah diisytiharkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa pada menjalankan kuasa-kuasa menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Yang Kedua, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang bermesyuarat pada hari ini (4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan 13.9.2010, pukul 9.00 pagi) di Pejabat SUK, Kota Darunaim, Kota Bharu telah membuat keputusan bersetuju memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan waris, menjadi Raja memerintah, menaiki takhta Negeri Kelantan dan Jajahan takluknya bagi menggantikan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berkuatkuasa pada hari ini 4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 13 September 2010.

"Padanya, sekalian hamba rakyat mengaku taat setia dan kasih mesra dan kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa dipohon taufiq dan hidayah ke atasnya, semoga Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim dan seluruh jajahan takluknya memerintah di atas takhta Kerajaan Kelantan, dan memandu negeri dan rakyat sekalian merasa aman sentosa, mewah, makmur, kebajikan serta menaungi.," katanya.

Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, kerabat negeri, kepimpinan dan pegawai negeri.hrkh

Cina Islam kena dakwah Melayu


KOTA BHARU, 13 Sept. : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan masyarakat Cina yang sudah dan akan masuk Islam di negara ini turut menyampai dakwah kepada orang Melayu.

Menurutnya, persepsi masyarakat yang menganggap masyarakat Cina itu semuanya tidak Islam perlu dibuang, malah diperbetulkan kembali agar nilai-nilai Islam dapat dipupuk dengan kaedah yang benar dan betul.

Katanya, masyarakat Cina perlu menerangkan kebaikan Islam lebih-lebih lagi apabila negara China terlebih dahulu menerima agama ini lebih dahulu berbanding masyarakat di negara ini.

“Melayu boleh dakwah kepada orang Cina, apa yang pelik sekiranya orang Cina dakwah kepada orang Melayu, masyarakat Cina di negara China lebih dahulu menerima agama Islam berbanding orang Melayu di negara ini.

”Lagipun orang Cina muda menerima agama Islam bukan secara ikut-ikutan tetapi melalui ilmu dan pembacaan yang mendalam tentang agama,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis Aidilfitri meraikan anak Kelantan di perantauan di sini semalam.

Ditanya sama ada cadangannya boleh mengelirukan masyarakat umum, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia bukan satu perkara yang pelik sekiranya Islam difahami dengan kaedah yang betul.

”Orang yang menganggap ia pelik dan luar biasa menunjukkan mereka ketinggalan dari segi kefahaman agama, masyarakat Cina di negaranya menerima Islam lebih dahulu daripada negara kita, jadi apa peliknya jika mereka berdakwah kepada orang Melayu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz mengulangi pendirian bahawa beliau sedia berkempen untuk membenarkan jawatan Menteri Besar diberikan kepada orang Cina sekiranya individu terbabit mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang memenuhi kehendak Islam.SH

PAS perlu sokongan perantau


KOTA BHARU, 13 Sept. : Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui kekuatan PAS Negeri bergantung pada sokongan kepada penduduk negeri ini yang berada di luar Kelantan.

Menurutnya, bukti jelas menunjukkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, PAS mendapat sokongan yang besar sehingga menyebabkan perantau mula tidak balik membuang undi pada pilihan raya seterusnya.


“Oleh sebab perantau merasa selesa (dan tidak pulang), ini menyebabkan Pilihan Raya Umum 2004, kita merudum,” katanya kepada pemberita selepas meraikan perantau Kelantan di Majlis Aidilfitri di sini malam semalam.

Kira-kira 2,000 rakyat Kelantan memenuhi dewan utama Kelantan Trade Center (KTC) untuk bersama-sama menyambut Aidilfitri.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, perantau Kelantan lebih peka dengan situasi politik semasa yang menyebabkan mereka memberi undi kepada Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, keputusan PRU- ke 12 jelas menujukan Pakatan Rakyat (PR) dapat menguasai Wilayah Persekutuan dengan membenarkan satu kerusi menjadi milik Barisan Nasional (BN).

“Rakyat sedar bahawa apa yang berlaku, pembangunan yang diwujudkan hanya menggunakan wang rakyat BN hanya menumpang, ini yang menyebabkan orang bandar memberi undi kepada PAS,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berterima kasih kepada rakyat Kelantan di luar negeri yang terus memberi kepercayaan kepada PAS selama 20 tahun mentadbir negeri ini.

Menurutnya, prinsip Islam yang digunakan oleh PAS dalam menerajui Kelantan akan terus dipertahankan walaupun mendapat tentangan dari pelbagai pihak khususnya UMNO dan BN.SH