Wednesday, October 13, 2010

Chegu Bard umum bertanding Ketua AMK

DSC_0589






















KUALA LUMPUR, 13 Okt. : Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin hari ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat sekaligus mencabar penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin dan calon Mohd Rafizi Ramli.

Perkara itu diumumkan beliau secara rasminya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) di sini.

Sehubungan itu, beliau turut menampilkan bergunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Chang Lih Kang bagi merebut jawatan Timbalan AMK.

Manakala bagi jawatan Naib Ketua AMK pula beliau mempertaruhkan Ketua AMK Perak yang juga Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari dan Ketua Cabang Keningau Dr Nicholas Guntobon .

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard merupakan individu kedua yang mengumumkan hasrat bertanding bagi Ketua AMK selepas Rafizi, manakala FMT difahamkan Shamsul pula dijangka akan mengumumkan keputusan sama ada untuk mempertahankan jawatannya itu Jumaat ini.

"Saya bersyukur dapat sokongan kebanyakan golongan anak muda daripada seluruh negeri malah mendapat restu daripada pemimpin tertinggi PKR," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kira-kira 100 penyokong, Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub, serta beberapa pemimpin PKR lain turut hadir bagi menyatakan sokongan terhadap Chegu Bard.

Manifesto utama


DSC_0594Dengan menampilkan manifesto utama iaitu mahu merancakkan semula gerakan anak muda untuk mengubah negara dan memulangkan semula hak rakyat Perak kepada pemerintahan Pakatan Rakyat, beliau yakin mendapat sokongan golongan muda parti dan ahli selain AMK.

Ditanya mengenai peluangnya bersaing dengan pencabar lain seperti Rafizi, Shamsul, dan Hasmi Hashim, beliau meyifatkan mereka sebagai calon Ketua AMK yang "saling melengkapi".

"Masing-masing mempunyai kelebihan. Kepada mereka yang mempunyai rekod dan idea yang baik, sudah tentu dapat sokongan daripada ahli.

"Tapi dalam pertandingan perlu pilih yang terbaik. Kalah menang adat pertandingan dan kepada yang kalah, perlu bersedia menerimanya dengan hati terbuka," katanya.

Beliau juga difahamkam akan mula menggerakkan jenteranya dan berkempen ke seluruh negeri pada 17 Oktober depan bermula di Kedah.

Chegu Bard turut mengumumkan untuk mengambil sikap berkecuali dan menyokong semua calon naib presiden yang mahu bertanding.

"Kami menyokong Azmin (Ali), begitu juga Zaid (Ibrahim), (Tan Sri) Khalid (Ibrahim) dan Mustaffa (Kamil Ayub).

"Bagi kami ini adalah satu proses biasa untuk memilih satu pasukan kepimpinan untuk memperkukuhkan parti," katanya.

Sementara itu, Lih Kang berkata keputusannya untuk bertanding jawatan tertinggi adalah kerana mahu memperkukuhkan agenda parti.

"Setelah berbincang dengan rakan-rakan lain, saya menawarkan diri bertanding sebagai timbalan," katanya yang sebelum ini berpendirian hanya berminat bertanding di peringkat exco pusat.

PR mahu isu balak di Sungai Rejang dibahas


WHL3


















KUALA LUMPUR 13 Okt : Ahli Parlimen Sibu, Wong Ho Leng telah mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membincangkan isu himpunan sampah sarap berupa batang dan sisa-sisa kayu terhanyut di Sungai Rejang yang berlaku sejak 7 Oktober lalu.

Dalam surat beliau kepada Speaker, Ho Leng berkata usul tersebut di buat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) bagi membincangkan isu tersebut yang disifatkan sebagai berkenaan kepentingan orang ramai.


Usul tersebut berbunyi:


“Bahawa Dewan ini mengizinkan YB Wong Ho Leng, Ahli Parlimen Sibu, untuk menangguhkan Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendaki disegerakan, iaitu krisis himpunan sampah sarap berupa batang dan sisa-sisa kayu terhanyut (logjam) di Sungai Rejang


“Selama dua hari pada 7hb dan 8hb Oktober 2010, lebih kurang 300,000 metrik ton sampah sarap berupa batang dan sisa-sisa kayu hanyut telah terapung dan mengalir dari hulu Sungai Rejang ke Sibu, menggendalakan sistem pengangkutan air serta menyebabkan kerosakan alam sekitar yang serius sepanjang sungai berkenaan.


“Batang-batang kayu menyekat perjalanan air sepanjang Sungai Rejang, khasnya di pekan Kapit.
rejang

“Sampai hari ini, kerajaan belum memberitahu rakyat apakah yang mencetuskan krisis ini.


“Kesesakan berikutan dengan hanyutan kayu-kayu batang dan sisa-sisanya ini telah memgakibatkan kerosakan alam sekitar serta malapetaka ekologi yang belum pernah berlaku di besen Rajang.


“Kerajaan negeri membiarkan batang-batang dan sisa-sisa kayu berkenaan mengalir ke Laut Cina Selatan tanpa mengambil sebarang tindakan.

“Banyak dari batang-batang kayu dan sisa-sisa ini terselerak sepanjang tebing Sungai Rejang dan Sungai Igan. Paras air yang menaik menghanyutkan mereka ke dalam sungai, mengakibatkan lebih banyak masalah sumpat dan laluan sungai tergendala.

“Sisa-sisa kayu yang menyumbat aliran sungai telah membunuh banyak ikan dan kehidupan air dalam sungai.


“Pembalakan haram dan berlebihan adalah masalah yang serius di Sarawak. Para menteri dan kuncu-kuncu mereka bersubahat dalam kegiatan berkenaan. Malah dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun 2008, masalah pembalakan tanpa kawalan ini telah dibangkitkan, tetapi kerajaan negeri enggan mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan kegiatan haram ini.


“Ini merupakan malapetaka alam sekitar yang amat serius. Mengapakah kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pesalah yang terlibat serta menyelamatkan alam sekitar kita? Adakah perkara ini akan berulang di masa depan?


“Dewan yang mulia ini harus membahas perkara-perkara tersebut.”


Usul tersebut dijangka akan dibahaskan di dalam Parlimen esok sekiranya Pandikar Amin meluluskannya.

Dedah semua syarikat pembalak dapat konsesi


IPOH, 13 Okt. : Dewan Pemuda PAS Negeri mencabar Kerajaan Negeri mendedahkan senarai syarikat pembalakan semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) dengan melakukan perkara sama semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu dan kini.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, pihaknya tidak gentar berkenaan surat layang yang mendakwa mempunyai senarai syarikat pembalakan itu.

“Kita sedia menyahut kesediaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang bersetuju mendedahkan senarai syarikat sekiranya diminta oleh rakyat.

“Dewan Pemuda yakin Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar dakwaan BN terhadap PR,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zawawi berkata, Dewan Pemuda juga sedia mengadakan pentas debat antara Zambry dan Nizar untuk mendedahkan penyelewengan yang dibangkitkan itu.

“Ini bagi membuktikan siapa sebenarnya telus dalam mengurus kewangan negeri untuk rakyat.

“Dr Zambry juga perlu berani mendedahkan syarikat yang dikuasai BN dalam mendapatkan konsesi balak,” katanya.

Terdahulu, Zambry mengakui berkenaan surat layang yang dipercayai tersebar luas dalam kalangan pemimpin DAP berhubung rasuah membabitkan konsesi balak sebanyak RM21.5 juta.

Dalam pada itu, Setiausaha Dewan Pemuda, Dr Raja Ahmad Al- Hiss kecewa sikap tidak profesional pihak SPRM menjadikan laporan media sebagai asas untuk menyiasat pemerintahan PR selama 11 bulan.

“SPRM sepatutnya tidak berpihak dalam memastikan pandangan rakyat terhadap keadilan dan ketelusan sebenar mereka,” katanya.

Katanya, SPRM perlu menyiasat perkara sama semasa pemerintahan BN dulu dan kini.SH

PAS terap perpaduan kaum sudah lama


BATU GAJAH , 1 Okt. : Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu Gajah, Ammar Rosdy berkata, PAS sudah lama mengamalkan perpaduan kaum mengikut Islam dan telah membawa perubahan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Menurutnya, konsep Perpaduan Malaysia adalah berasal dari Islam dan sudah lama diamalkan PAS.


“Konsep ini sudah lama kita praktik dan perjuangkan di kalangan umat Islam dahulu dan kedua, perpaduan di kalangan umat manusia seperti mana yang dianjurkan al-Quran.


“Kita tidak boleh menafikan hakikat ada pelbagai kaum dan bangsa kerana mereka adalah ciptaan Tuhan dan yang paling penting mewujudkan perpaduan kerana tidak ada erti kita kemukakan slogan namun perpaduan sebenarnya tidak berlaku,” katanya kepada Sinar Harian di sini.


Menurutnya, PAS melalui agenda Pas For All dilihat sesetengahnya mampu menyatukan rakyat secara keseluruhannya dan ia adalah misi serta usaha bagi mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu di bawah ajaran al-Quran.


“Usaha mengajak masyarakat supaya menghayati ajaran Islam adalah amanah Allah dalam perjuangan ini dan perkara paling asas dalam perjuangan Islam adalah mengajak rakyat termasuk yang bukan Islam untuk menghayati ajaran Islam.


“Mempelbagaikan cara dalam usaha dakwah adalah hikmah yang sangat bernilai kerana manusia mempunyai pelbagai tahap pemikiran dan keilmuan yang berhajat kepada kepelbagaian cara itu sendiri,” katanya.


Mengulas mengenai politik semasa, Ammar berkata, apabila Barisan Nasional (BN) dilihat mematikan demokrasi di Perak yang mana ia menjadi bualan dunia luar memastikan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini terutamanya.
SH

Jangan percaya tiada projek segera


KOTA BHARU, 13 Okt : PAS Kelantan tidak percaya dengan janji Kerajaan Pusat tidak akan berbelanja banyak untuk projek mi segera dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas kali ini.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS negeri, Abdul Fatah Haron berkata, mungkin Barisan Nasional sudah serik kerana banyak projek segera yang dicanang-canangkan selama ini tidak berkesan untuk memenangi hati rakyat.


“Saya tidak percaya kenyataan itu kerana yang untungnya ahli-ahli UMNO itu sendiri dan bukannya rakyat setiap kali wujudnya projek-projek segera.

“Ahli-ahli UMNO akan sentiasa menunggu untuk mendapatkan keuntungan hasil daripada projek-projek segera yang bakal dilaksanakan Kerajaan Pusat setiap kali pilihan raya berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahli Dewan Undangan Bukit Tuku itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai Kerajaan Pusat tidak akan menjanjikan projek segera dalam kempen di Galas berikutan ia tidak memberi kesan kepada rakyat.

Menurutnya, pihaknya berpendapat projek-projek segera yang selama ini dijanjikan UMNO tidak berkesan untuk menawan hati rakyat berikutan tiada perancangan teliti dibuat.

Katanya, rakyat tidak mendapat manfaat daripadanya berbanding ahli UMNO sendiri sehingga mereka sudah jemu dengan janji-janji pelbagai jenis projek segera setiap kali ada pilihan raya.

Isnin lalu, Mustapa dilaporkan berkata, empat projek yang dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai tahun lalu dilaksanakan cuma ada yang terlewat berikutan masalah teknikal.

Antara projek itu yang sedang dilaksanakan termasuk pembaikan rumah rakyat miskin membabitkan kos RM1.5 juta, pembinaan jambatan Manek Urai (RM8 juta), Gelanggang Sukan di Kampung Manjor (RM300,000) dan Masjid Temalir RM600,000.SH

Sokong bonus dan gaji minimum


PARIT BUNTAR, 13 Okt. : PAS Kawasan Parit Buntar menyokong cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang memohon dua bulan bonus kepada kakitangan awam di dalam bajet 2011 kerajaan yang akan dibentangkan Oktober ini.

Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, kakitangan awam patut diberikan bonus dua bulan memandangkan sudah hampir dua tahun tidak mendapat bonus .

“ Pemberian bonus itu adalah wajar untuk meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan produktif.

Perkembangan ekonomi dan pelbagai projek mega yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah signal bahawa pemberian bonus tidak akan menjadi halangan bagi tahun ini” katanya yang dihubungi semalam.

Adnan berkata, kerajaan harus mempertimbangkan permohonan ini berdasarkan produktiviti dan prestasi kerja kakitangan awam yang baik.

“ Tindakan Cuepacs yang meminta bonus dua bulan membabitkan kakitangan dan pesara perkhidmatan awam adalah mewakili seluruh kakitangan awam di Malaysia.

“ Kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah amat memerlukan pemberian bonus ini sebagai persiapan menghadapi musim persekolahan tahun 2011” katanya

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khlaid pula menyokong tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang meminta kerajaan membuat penetapan gaji minimum RM900 sebulan dalam semua bidang pekerjaan semasa membentangkan bajet 2011.

“ Selain pemberian bonus kepada kakitangan awam, penetapan gaji minimum ini itu akan memberi kesan besar kepada kebajikan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.

Masih ada pekerja memperoleh kadar upah tidak munasabah serendah RM300 atau RM400 sebulan, termasuk dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan” katanya yang dihubungi semalam.

Fakhrurrazi melihat rasional tuntutan gaji minimum oleh MTUC ini berdasarkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan menyukarkan pekerja menyara keluarga dengan gaji di bawah paras kemiskinan.

“Pekerja berpendapatan rendah ini menghadapi kesulitan untuk memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di kawasan bandar. Penetapan gaji minimum sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan permasalahan ini.

“Pembentangan Bajet 2011 diharap tidak membebankan atau memberi implikasi negatif kepada rakyat yang banyak menyumbang kepada kerajaan pada waktu susah dan senang” katanya.

PAS tidak boleh bersangka baik dengan SPR



KOTA BHARU, 13 Okt. : PAS Kelantan mnyangkal jaminan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai senarai 11,553 daftar pemilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas adalah bersih dan isu ‘pengundi hantu’ tidak berbangkit.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS negeri, Abdul Fatah Haron berkata, selagi adanya Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil, selagi itu isu ‘pengundi hantu’ tidak boleh dielakkan.


“Saya tidak percaya jaminan SPR kerana suruhanjaya itu sendiri tidak pernah pantau isu ini yang sentiasa berbangkit setiap kali pilihan raya berlaku. Saya cabar SPR buktikan jaminan ini di Galas nanti.

“PAS dengan SPR boleh diibaratkan ‘tidak boleh tidur lena dalam perut’ dan tidak boleh bersangka baik kerana isu ‘pengundi hantu’ tetap akan wujud berdasarkan pengalaman di pilihan raya kecil sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, berikutan ketidakyakinan terhadap peranan yang dimainkan SPR selama ini, PAS menubuhkan jawatankuasa sendiri setiap kali pilihan raya berlangsung dalam usaha memantau ketelusan perjalanan pilihan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku itu berkata, pemantauan yang dibuat untuk mengesan ketidaktelusan pengundi sepanjang pilihan raya berlangsung dibuat setakat yang mampu dengan kaedah tersendiri.

“PAS tidak mengharapkan SPR kerana suruhanjaya itu sendiri tidak pernah memantau dengan berkesan isu ‘pengundi hantu’ ini.

“Isu ini akan terus berbangkit kerana PAS mahukan keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya dan mahukan hanya daftar pemilih yang sah dibenarkan membuang undi,” katanya.

Kelmarin, Pengarah SPR Kelantan memberi jaminan senarai pemilih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, yang berjumlah 11,553 bersih dan sudah dikemas kini dari semasa ke semasa.

Isu pengundi hantu tidak sepatutnya berbangkit dan pihaknya mengeluarkan senarai pendaftaran yang dikemas kini dan boleh dibeli di pejabat SPR negeri bermula kelmarin.

SPR juga memperuntukkan RM1.3 juta untuk mengurus pilihan raya kecil kali ini di Galas.SH

Istana Kelantan lucut ‘Datuk’ Ibrahim, Wan Hashim

KOTA BHARU, 13 Okt: Istana Kelantan menarik balik gelaran Datuk terhadap Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Wan Hashim Wan Daud.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dalam sidang media di pejabatnya, Kota Darulnaim, pagi ini.

Menurutnya, Sultan Muhammad Ke V, hari ini telah mengampuni perkenaan untuk menarik pingat yang membawa gelaran Datuk daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, bekas setiausaha kerajaan negeri, Wan Hashim Wan Daud, Tengku Mohamed Shafei Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.
Kesemua darjah kebesaran itu ditarik gelarannya berkuat kuasa serta merta bermula hari ini, 13 Oktober.
Aiseri berkata, antara darjah kebesaran yang telah ditarik balik daripada Wan Hashim, pelantikan Ahli Darjah Kebesaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.) (Al-Ibrahimi 1).
“Perlantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.P.M.K) (Al-Muhammadi 11),” ujarnya.
Katanya, selain itu turut ditarik Perlantikan Ahli Yang Ketiga (Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (P.S.K) (Al-Ibrahimi 111), Pelantikan Ahli Yang Keempat (Bentara) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (B.S.K) Al-Ibrahimi V).
Sementara itu, menurut Aiesri lagi, Sultan Kelantan telah menarik balik tauliah daripada Ibrahim, pelantikan Darjah Kebesaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili ll).
Pada masa yang sama, katanya Sultan Kelantan turut menarik balik tauliah Penganugerahan Bintang Seri Mahkota Kelantan (S.M.K) yang telah dikurniakan kepada Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim.
“Selain itu juga Penganugerahan Pingat Bakti (PB) dan Pelantikan Jaksa Pendamai (JP) yang telah dikurniakan kepada Tengku Abu Bakar Tengku Mansor juga telah ditarik balik berkuat kuasa pada 30 September lalu,” ujarnya.
Aiseri seterusnya memberitahu, penarikan balik pingat dan darjah kebesaran itu menjadi hak Sultan Kelantan yang dijalankan mengikut hemah dan budi bicara baginda.hrkh

PKR, DAP komited menangkan calon PAS di Galas











KUALA LUMPUR, 13 Okt: PKR dan DAP akan memberi sokongan penuh kepada PAS dalam usaha mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 November ini.

Komitmen itu dinyatakan secara rasmi pada sidang media selepas masyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Berikutan itu, mereka akan membantu calon PAS sepanjang kempen PRK tersebut itu nanti.

"Kita bersetuju PAS meletakkan calon dan DAP, keADILan akan berikan seliruh kekuatan dan sokongan bagi mengekalkan calon PAS atas nama Pakatan Rakyat di Galas," ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai sidang media petang tadi.

Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan barisan kepimpinan utama ketiga-tiga parti yang lain.

Pada masa sama, Anwar dan Kit Siang juga turut mengesahkan kehadiran pada majlis pengumuman calon PAS di Galas yang dijadual 22 Oktober ini

Menyentuh persedian PRK Batu Sapi pula, sidang media tersebut turut memaklumkan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah akan bermesyuarat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya bagi Parlimen berkenaan.

Laporan mesyuarat tersebut kata Anwar akan dihantar kepada Pakatan Rakyat Pusat selewat lewatnya Isnin depan.

Dalam pada itu, media turut dimaklumkan bahawa Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-2 akan diadakan di Pulau Pinang pada 19 Disember akan datang.

Ianya akan berlangsung di Dewan Millenium Kepala Batas.

Konvensyen tersebut antara lain akan menyentuh isu Felda dan Felcra, tanah Kampung Baru, isu pendidikan, pekerja wanita serta skandal BN dalam beberapa projek besar negara.

Sebelum konvensyen tersebut, satu Sidang Kemuncak Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November ini di Shah Alam.hrkh

Mahasiswa bantah konsert Lambert

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan meluluskan konsert artis luar negara, Adam Lambert yang dijadual malam esok.

Bantahan itu disuarakan dalam satu memorandum kepada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) siang tadi.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Puspal di bawah bahagian perlesenan dan penguatkuasaan, Ramlah Amir di pejabatnya di bangunan Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Malaysia, dekat sini.

Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, penganjuran konsert yang akan berlangsung di stadium Putra Bukit Jalil itu akan menambahkan barah gejala sosial terutamanya di kalangan anak muda di negara ini.

Ini kerana ujarnya, Adam Lambert memang sudah diketahui umum bahawa seorang remaja yang membawa ikon 'gay' di Amerika.

"Gamis menyatakan kekesalan kami di atas kelulusan konsert ini yang ternyata bakal membawa kesan negatif kepada anak muda.

"Dalam pada Datin Seri Rosmah (Mansor) dikatakan sibuk mencari formula untuk mengatasi gejala sosial, dalam masa yang sama satu konsert artis tidak bermoral diluluskan," kata Syazwan kepada pemberita sebelum penyerahan tersebut.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan memberi kelulusan kepada pihak penganjur mengundang artis itu.

"Apa sebab yang mendesak kerajaan untuk meluluskan kehadiran Adam Lambert sedangkan ramai lagi artis luar negara yang lain yang boleh dipanggil," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ridhuan Othman berkata, SMM mendesak kerajaan khususnya kementerian terbabit mengkaji balik garis panduan konsert melibatkan artis luar negara serta membatalkan konsert tersebut.

"Kerajaan ada masa lebih kurang sehari lagi untuk membatalkan konsert Adam Lambert.

"Kalau konsert ini diteruskan, kami akan mengerahkan mahasiswa untuk turun beramai-ramai ke stadium esok untuk membuat bantahan dengan mengedarkan risalah dan sebagainya," katanya.

Kira-kira 20 aktivis mahasiswa berhimpun di hadapan bangunan kementerian itu sambil memegang kain rentang bantahan dan dikawal oleh pihak polis.

Sementara itu, dalam pertemuan kira-kira 20 minit dengan Ramlah di pejabatnya, mereka meminta Puspal menjelaskan sebab konsert berkenaan diluluskan di samping menyuarakan kembimbangan terhadap gejala hedonisme yang semakin membarah di kalangan anak muda.

Ramlah bagaimanapun berkata, Puspal tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan kerana ia melibatkan kementerian lain juga.

Namun beliau mengucapkan terima kasih kepada Gamis di atas inisiatif mereka mengadakan pertemuan dengan pihaknya.hrkh