Sunday, November 14, 2010

Demi rakyat, bukan demi syarikat kroni Umno

PULAU PINANG, 15 Nov: Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan MMC Gamuda menghentikan serta merta pembinaan landasan keretapi berkembar di negeri ini kerana lebih sayangkan rakyat yang berkemungkinan besar terpaksa mengharungi banjir teruk sepertimana di Kedah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, bagaimana pun arahan itu akan ditarik balik jika syarikat berkenaan memberi jaminan bertulis bahawa mereka akan mengorek laluan air serta membayar pampasan kepada rakyat yang ditenggelami air.

Baginya, kepentingan rakyat perlu diutamakan daripada syarikat kroni Barisan Nasional (BN) yang meneruskan kerja pembinaan tanpa membina sebarang laluan untuk air mengalir dengan baik.

"Biarpun saya dihentam oleh orang yang berkepentingan dalam projek berkenaan biarkanlah sebab bagi saya dan kerajaan ialah menjaga kebajikan rakyat. Buat apa pembangunan yang berlipat kali ganda tapi rakyat merana kerana terpaksa tanggung kesan pembangunan terbabit," jelasnya.

Beliau tidak menafikan terpaksa berhadapan dengan kritikan termasuk pimpinan BN ekoran arahan itu walhal mereka sepatutnya mengambil iktibar kejadian banjir teruk dalam sejarah Kedah baru-baru ini yang berpunca daripada halangan timbunan yang tinggi tanpa ada saluran air keluar.

Pada mulanya beliau hairan kenapa setiap kebajikan yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat demi rakyat ada sahaja kritikan yang menggunung daripada Umno dan BN.

"Kini BN nak kata apa pun katalah kami dah sebati. Kita akan terus memberikan perkhidmatan terbaik pada masa depan," katanya.

Sebagai contoh sambungnya, pada tahun depan kerajaan akan membayar tambang bas percuma pergi balik kepada rakyat yang bekerja di beberapa lokasi khususnya di Bayan Baru semata-mata untuk mengelak daripada kesesakan di jambatan mahupun jalan utama.

"Pekerja di sebelah tanah besar akan meninggalkan kereta mereka di tempat letak kereta, contohnya di Seberang Jaya dan menaiki bas yang disediakan. Cuma mereka bayar caj parkir saja, " tambah beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih.

UMNO buta sejarah, buta perlembagaan dan buta hati


IPOH, 15 Nov. : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, adalah menjadi tugas ahli-ahli DAP Perak mengembalikan semula negeri itu ke tangan Pakatan Rakyat dan menjadikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin sebagai menteri besar yang sah.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mendakwa pemimpin UMNO ‘buta sejarah, buta perlembagaan dan buta hati’ selain menuduh parti itu lebih yang mengutamakan perkauman.


Guan Eng berkata, DAP menolak politik diskriminasi UMNO yang menekankan bangsa Melayu tetapi menjadikan rakyat Malaysia di tempat kedua.

“Apabila UMNO bercakap mengenai Perlembagaan, mereka hanya mengutamakan kedudukan istimewa orang Melayu. Tetapi Perkara 153 turut menyebut kepentingan-kepentingan sah kaum lain. Dalam kata lain, Perlembagaan Persekutuan adalah mengenai (rakyat) Malaysia dahulu, bukan yang kedua.

“Ini menunjukkan UMNO buta sejarah, buta kepada Perlembagaan dan buta hati. Kita mesti lawan UMNO yang bercakap mengenai bangsa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 1,000 perwakilan DAP Perak pada perasmian pembukaan Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-15 tahun 2010 di hotel Tower Regency di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Guan Eng mendakwa, pemimpin UMNO meletakkan kepentingan kaum Melayu melebihi kepentingan negara.

“Pemikiran ini merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, (yang juga Naib Presiden UMNO) baru-baru ini bahawa peratusan rendah penyertaan dalam kalangan bukan Melayu dalam angkatan tentera menunjukkan kurangnya semangat patriotik," katanya.

Beliau juga menyebut mengenai komen seorang pengetua sekolah dan pegawai Biro Tata Negara (BTN) yang didakwa boleh mencetuskan perasaan perkauman.

Guan Eng turut menuduh sebuah akhbar arus perdana kerana cuba menyemarakkan kebencian melalui rencana mengenai 13 Mei.

“Bagaimanapun, tiada tindakan diambil terhadap akhbar terbabit," katanya.

Menurutnya, perjuangan DAP adalah berteraskan Perlembagaan yang menetapkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Islam sebagai agama rasmi, sistem beraja dan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.SH

PAS perlu perkemas pasukan media







































KUALA LUMPUR, 15 Nov: Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru seluruh petugas parti bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) yang dijangka diadakan antara April hingga Jun tahun hadapan.

Bercakap dalam majlis makan malam jentera pilihan raya PAS Wilayah Persekutuan di Taman Cempaka, Pandan Jaya malam tadi, beliau juga tidak menolak kemungkinan PRU 13 diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.


"Pilihan raya sudah hampir dengan kita. Saya menjangkakan pilihan raya berlaku antara bulan April hingga Jun tahun hadapan, itu paling awal. Ini bacaan politik berasaskan situasi politik yang ada di negara ini.


"Saya boleh membuat kesimpulan, kalau pilihan raya Sarawak diadakan pada April tahun hadapan ini menunjukkan kemungkinan pilihan raya itu diadakan sekali dengan pilihan raya umum," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.


Turut serta pada majlis itu seorang lagi naib presiden, Salahudin Ayub.


Kata Mahfuz, PAS perlu menyiapkan jentera medianya sendiri di setiap lajnah bagi melawan manipulasi media Umno yang membuat laporan berat sebelah.


"Amat perlu untuk media kita membuat serangan balas kepada serangan media mereka. Sebab itu dalam situasi sekarang, tidak cukup Harakah dan akhbar alternatif yang lain tetapi dalam lajnah penerangan sendiri perlu ada pasukan media sendiri menggunakan segala teknologi maklumat yang ada," katanya.


Beliau turut memuji langkah PAS Wilayah mengadakan program mengutip dana sedemikian bagi membuat persiapan awal.


Kemenangan Di Galas dan Batu Sapi bukan petanda baik bagi BN


Sementara itu, Salahuddin berkata, kemenangan BN di pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi baru-baru ini bukanlah petanda baik bagi BN untuk mengekalkan kemenangan mereka dalam PRU akan datang.


"Berdasarkan dua pilihan raya kecil yang berlangsung, penganalisis politik berpandangan keputusan itu tidak mencerminkan pandangan umum di peringkat nasional.


"Walaupun BN menang selesa kita melihat cara media melaporkan kemenangan itu juga tidak begitu memberangsangkan mereka, laporan cuma satu hari sahaja,

kata beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, pemimpin Umno BN sendiri tiak begitu ghairah meraikan kemenangan itu, seolah-olah masih berada dalam kebimbangan dengan kemaraan Pakatan Rakyat.


"Kemenangan itu tidak menjadi topik penting bagi Umno untuk dibanggakan dan suhu perbahasan di Parlimen dan bila melihat riak wajah pemimpin Umno mereka tak begitu ghairah untuk meraikan kemenangan yang mungkin berlaku atas beberapa faktor itu," katanya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib juga ujarnya, tidak mengeluarakan satu kenyataan yang tegas bagi mengakui kemenangan mereka dan bersedia menghadapi PRU awal.


Justeru ujarnya, PAS dan Pakatan Rakyat masih mempunyai peluang yang luas untuk menguasai PRU 13.


"PAS sebagai parti yang berpengalaman luas, harus bijak mengambil peluang ini dengan mengadakan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi BN," katanya.

Yayasan Selangor tidak diaudit zaman BN





























SHAH ALAM , 15 Nov. : UMNO tidak layak bercakap cara pengurusan kewangan, kebertanggungjawaban dan pembaziran dalam Yayasan Selangor.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata,Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil alih yayasan dari kerajaan terdahulu yang tidak diaudit sejak 2005.


Menurutnya, masalah tersebut berjaya diselesaikan selepas Abdul Khalid mengarahkan kewangan yayasan tersebut diaudit dan dikemas kini.

Kalau hendak cakap mengenai cara mengurus kewangan, UMNO tidak layak bercakap mengenainya kerana yayasan tidak di audit sejak 2005. Tidak tahu ke mana keluar masuk duit yayasan. Kami dapati belanja lebih banyak dari yang masuk.

“Apabila Tan Sri masuk Selangor, barulah diaudit dan dapat diselesaikan dan tahun ini baru berjaya mengaudit dari tahun 2005 sehingga 2009 tetapi tahun 2010 berakhir lagi untuk diaudit. Kita kena bersihkan segala saki baki UMNO,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang menyifatkan Abdul Khalid tidak tahu mentadbir dan mengurus yayasan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan matlamat sebenar Noh Omar mengatakan Abdul Khalid biadab kerana menggunakan perkataan ‘beliau’ dan ‘dia’ kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kalau beliau berniat hendak memberikan teguran membina, kami menerima teguran itu dengan baik.

Tetapi dalam keadaan sekarang, beliau dilihat seperti menangguk di air keruh, seolah-olah cuba mewujudkan ketegangan di antara Kerajaan Selangor dengan istana,” katanya.

Noh semalam menyifatkan Abdul Khalid sebagai biadab apabila menggunakan ‘beliau’ dan ‘dia’ kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataannya di sebuah televisyen swasta, malam kelmarin.

Menurutnya, sebagai rakyat Selangor, amat menyedihkan dan dukacita apabila seorang berbangsa Melayu malah merupakan menteri besar menggunakan bahasa tersebut kepada Sultan Sharafuddin.

“Bagaimana seorang MB, menggunakan perkataan ‘beliau’ dan ‘dia’ kepada Tuanku? Ini akibat terlampau lama berkawan dengan DAP,”katanya.SH

Sultan Kedah puji Azizan tadbir Kedah



ALOR SETAR, 15 Nov. : Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memuji pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana berjaya menerajui Kedah secara adil, amanah dan proaktif.

Baginda bertitah, rakyat negeri ini diberi layanan yang adil malah hubungan antara kaum semakin erat menerusi pelbagai aktiviti.

“Beta merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar yang berjaya menerajui kerajaan dengan baik. Beta dapati Kerajaan Negeri memberi sepenuh usaha dan kerjasama dengan semua pihak bagi memajukan negeri ini,” titah baginda ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah semalam.

Tuanku Abdul Halim bertitah, atas semangat itu, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh hayat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) 10 tahun lagi.

“Beta sukacita kerana Kerajaan Negeri berjaya menyiapkan Pelan Pembangunan Kedah Sejahtera yang akan menjadi panduan kepada semua program pembangunan ekonomi dan modal insan di negeri ini,” titah baginda.

Perancangan itu diharap menjadi landasan merangka dan mengembeling sumber kewangan dan tenaga daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Sebuah badan pemantau hendaklah ditubuhkan untuk mengukur tahap pelaksanaan projek yang dirancang, selain rakyat diberi ruang menzahirkan aduan, pandangan dan maklumat terkini mengenai tahap kemajuan pembangunan pada masa hadapan,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut menyeru petani melakukan transformasi pertanian kepada program pertanian berskala besar termasuk projek estet padi untuk menjadikan Kedah sebagai Jelapang Makanan Negara.

“Pelaksanaan estet padi berjaya meningkatkan pengeluaran padi 5.8 tan sehektar. Beta juga mahu petani menjalankan ternakan akuakultur dan tanaman kontan berskala besar dengan penglibatan syarikat swasta dan anak syarikat milik kerajaan negeri (GLC),” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, kemasukan pelaburan asing juga memberangsangkan dengan mencatatkan RM1.8 bilion dalam sektor pekilangan bagi tempoh Januari hingga Julai 2010.

Baginda turut bangga dengan peningkatan kutipan hasil tanah RM180 juta bagi tempoh hingga Ogos 2010 berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM155 juta.

“Walaupun masih terdapat tunggakan permohonan tanah kerajaan, namun Kerajaan Negeri akan mempercepatkan proses kelulusannya. Setakat September 2010, 3,403 permohonan tanah kerajaan berkeluasan 2,430.45 hektar diluluskan,” titah baginda.

Pada 2011, Kerajaan Negeri akan memproses kelulusan pengeluaran hak milik kepada 1,508 peneroka tanah rancangan Felda yang masih belum mendapatnya.SH

Mufti tidak berani beri pandangan


IPOH, 15 Nov. : Dewan Pemuda PAS Negeri kesal dengan sikap Mufti, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang masih belum menjawab persoalan berkaitan tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semasa menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober lalu.

Naib Ketua, Salman Salleh berkata, sebelum ini Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid ada mengutus sepucuk surat kepada Dewan Pemuda PAS berkaitan isu tersebut, tetapi lebih berbentuk makluman sahaja tanpa ada jawapan yang jelas.


“Persoalannya, mengapa dengan isu yang sebegitu jelas tiada Mufti yang berani memberikan pandangan?

“Mengapa Tan Sri Harussani masih belum memberikan jawapannya yang rasmi walaupun media arus perdana telah mengeluarkan jawapannya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, perkara ini akan menyebabkan rakyat terus keliru terutamanya masyarakat Melayu Islam yang sudah lama meninggalkan amalan tersebut.

“Tidak bolehkah Mufti di seluruh negara mencadangkan agar perkara ini dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mendapatkan satu kepastian?

“Dewan Pemuda amat sedih sikap membisu seribu bahasa para Mufti, kebimbangan Dewan Pemuda ialah umat Islam di Negara ini akan terus mengamalkan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya.SH

Bajet 'Rakyat Sejahtera' di Kedah



ALOR SETAR, 15 Nov. : Bajet 2011 Kedah terus mengutamakan kepentingan rakyat apabila menggariskan empat matlamat besar iaitu merangsang pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat, meningkatkan kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan dan memperkasakan tadbir urus pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membentang Bajet 2011 itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, petang semalam untuk kali ketiga sejak menerajui pentadbiran kerajaan negeri .

Persidangan bajet ini diadakan selepas negeri itu baru sahaja dilanda bencana banjir yang cukup luar biasa dan yang turut mengundang suara-suara sumbang pihak yang cuba menafikan usaha dan pengorbanan kerajaan negeri dalam menangani permasalahan itu.

Bajet tersebut juga memperuntukkan RM2.65 juta bagi membantu keluarga miskin tegar melalui beberapa program bantuan.

Kerajaan negeri juga akan melaksanakan projek perumahan rakyat di atas tanah milik kerajaan negeri di Bandar Tunku Puteri, Batu 4 Tandop, Kampung Kilat, Kampung Berjaya, Kampung Telok Yan dan Kuala Ketil.

Selain itu projek perumahan untuk keluarga miskin di Yan melibatkan 100 unit rumah yang selesa di atas tanah milik kerajaan turut akan disiapkan.

Sejumlah RM6.5 juta juga diperuntukkan kepada projek-projek kecil di semua kawasan DUN bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Manakala RM2.75 juta disediakan untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah kos rendah.

Untuk membela golongan kurang bernasib baik termasuk bantuan bencana alam, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM14.5 juta.

Elaun sara hidup kepada rakyat miskin yang layak juga , dinaikkan daripada RM75 kepada minimum RM150 sebulan, sementara skim Kafalah diteruskan dengan peruntukkan sebanyak RM3.6 juta.

Antara peruntukan lain yang dibentangkan adalah seperti berikut:

- RM13 juta kepada program pembangunan pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran termasuk tanaman jagung, nanas dan tanaman kontan.

- RM5 juta untuk memajukan industri ternakan dan perlaksanaan inisiatif baru bagi meningkatkan perkhidmatan klinik dan penyediaan ruang penjagaan binatang peliharaan di Jabatan Veterinar Alor Setar.

- RM5.5 juta akan dibelanjakan untuk meningkatkan sistem pengairan kawasan sawah padi di Kurung Hitam, Lembah Bata, Sidam Kanan, Kota Kuala Muda dan Langkawi.

- Peruntukkan RM3.5 juta akan dikhususkan untuk program tebatan banjir di beberapa lokasi yang bakal dipilih.

- RM500 ribu untuk membina pusat pengumpulan dan pemasaran buah-buahan dan produk hasil pertanian di Sik, Bandar Baharu dan Pokok Sena yang akan memberikan faedah secara langsung kepada penjual, pemborong dan pembeli buah-buahan tempatan.

- Memperuntukkan RM4 juta bagi membina ruang niaga di lokasi yang strategik untuk menambah bilangan usahawan bumiputera di dalam bandar.

- Menambahbaik rangkaian jalan raya, melebarkan jambatan dan menaik taraf jalan-jalan negeri dengan peruntukkan sebanyak RM69 juta.

- RM2.9 juta untuk memelihara kualiti air sungai, program pemulihan akibat banjir dan perbelanjaan luar jangka akibat bencana alam.

- RM1.5 juta untuk melaksanakan inisiatif baru bagi menyuburkan perpaduan kaum dan mengeratkan hubungan kaum melalui program secara berjadual.

- Sejumlah RM10 juta disediakan bagi membiayai sebahagian kos tanah dan kerja awalan projek pembinaan kampus tetap KUIN di Kuala Ketil.

- RM9.5 juta bagi membiayai kos operasi KUIN termasuk mewujudkan dua bidang pengajian baru iaitu perubatan dan perhotelan.

- RM30 juta untuk memperkasakan Maktab Mahmud dengan kemudahan prasarana dan pembelajaran.

- Tabung pinjaman pendidikan berjumlah RM2.2 juta kepada anak-anak Kedah yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

- RM14.1 juta diperuntukkan untuk membiayai kos operasi, elaun guru, bahan pembelajaran dan program pembangunan insan di peringkat pendidikan rendah.

- RM3.5 juta untuk menubuhkan sebuah pusat latihan dan aktiviti belia di Sungai Petani.

- Memberikan elaun RM200 sebulan kepada Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) mulai Januari 2011.

- RM4.2 juta untuk mempertingkatkan program pembangunan sukan bagi persediaan atlet ke Sukan Malaysia di Bukit Jalil pada 2011 nanti.

- RM202.8 juta untuk pembayaran emolumen kepada kakitangan kerajaan negeri dan kenaikan gaji tahunan seperti yang ditetapkan.

- Sejumlah RM1.2 juta disediakan untuk program pembangunan insan dan latihan kakitangan bagi memantapkan perkhidmatan.

- RM800 ribu diperuntukkan bagi membiayai bil rawatan kakitangan kerajaan yang ditimpa penyakit kronik dan kritikal.hrkh

Zaid Ibrahim keluar PKR

KUALA LUMPUR, 15 Nov. : Datuk Zaid Ibrahim telah mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR, lapor The Star hari ini.

"Saya sedari hari-hari saya semakin singkat kerana pemimpin parti tidak berhenti-henti membuat serangan peribadi ke atas saya.

"Saya berundur kerana mahu menjauhkan diri saya daripada penipu dan pembohong. Saya tidak lagi mahu menjadi swebahagian daripada kumpulan yang menaburkan fitnah dan sanggup menipu semata-mata untuk tujuan peribadi mereka,” katanya.

Zaid, yang menyertai PKR pada Jun 2009 selepas meninggalkan Umno berkata beliau akan bercuti seketika untuk menjauhkan diri daripada semua tumpuan ketika ini.

"Saya bukan membenci parti tetapi saya meluat dengan pemimpin yang bermasalah di dalam parti,” katanya.

Bekas menteri kabinet itu menarik diri daripada pemilihan jawatan timbalan presiden PKR minggu dengan alasan kepimpinan parti gagal menangani dakwaan manipulasi dan penyelewengan dalam sistem pemilihan berkenaan.

Beliau juga pada sidang akhbarnya itu membidas pemimpin PKR, termasuk ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, beliau juga mencadangkan Anwar supaya berundur kerana berpendapat dia sebagai punca masalah di PKR.

Dalam wawancaranya, dengan beberapa akhbar pro-Umno, semalam adalah hampir pasti bahawa Zaid akan meninggalkan PKR dan menubuhkan partinya sendiri.

Malah, Zaid pernah mengumumkan pada dialognya di Kedah bahawa beliau akan menubuhkan “Keadilan baru” jika dipecat dari PKR.

Tuntut elaun Cola kakitangan awam dinaikkan



PARIT BUNTAR, 15 Nov. : PAS Kawasan Parit Buntar menyokong cadangan Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar supaya kerajaan menaikkan elaun sara hidup (Cola) kepada kakitangan awam.

Naib Yang Dipertua PAS Parit Buntar Ahmad Azhar Sharin berkata, kakitangan awam patut diberikan kenaikan Cola memandangkan sudah hampir dua tahun tidak mendapat bonus .

“ Kenaikan Cola itu adalah wajar untuk meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan produktif.

“ Perkembangan ekonomi dan pelbagai projek mega yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah signal bahawa kenaikkan cola tidak akan menjadi halangan” katanya yang juga Mantan ADUN Titi Serong

Ahmad Azhar berkata, kerajaan harus mempertimbangkan cadangan ini berdasarkan produktiviti dan prestasi kerja kakitangan awam yang baik.

“ PAS Parit Buntar menyokong cadangan agar kerajaan menaikkan bayaran Cola tambahan kepada kakitangan awam.

“ Kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah amat mengharapkan kenaikkan cola ini sebagai persiapan menghadapi musim persekolahan tahun 2011” katanya

Menurutnya, negara tidak akan mengalami implikasi kewangan yang besar jika menaikkan elaun sara hidup (Cola) kepada kakitangan awam.

“ kerajaan sering memberikan alasan sedemikian apabila melibatkan keperluan rakyat namun berbelanja besar untuk kepentingan pemimpin Barisan Nasional.

"Bila Ceupacs minta bonus,alasan yang sama diberikan, akan menelan belanja RM3.1 bilion. Tapi kerajaan tak kisah pun untuk beri peruntukan RM65 juta untuk ubah suai kediaman Perdana Menteri," katanya

Beliau yang juga seorang peguam itu turut menegaskan bahawa elaun Cola mesti dinaikkan untuk meringankan beban kakitangan awam.

"Tidak memadai dengan kerajaan memberikan bayaran penuh sebanyak RM500 yang diumumkan dalam bajet 2011 kononnya untuk bantu persekolahan.

" Cola perlu dinaikkan paling kurang sebanyak RM100. Itu paling kurang kerana beban yang ditanggung kakitangan awam ini dengan kos hidup yang meningkat “ katanya

Sebahagian besar peserta undian web Utusan Malaysia tidak yakin ETP Najib



KUALA LUMPUR, 15 Nov. : Sebahagian besar perserta undian di laman web Utusan Malaysia tidak yakin bahawa Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan meletakkan Malaysia di landasan yang betul ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

Daripada 1,611 peserta yang mengundi, sebanyak 47.6 peratus mengakui tidak yakin dengan porgram yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lebih mengejutkan lagi, sebanyak 19.2 peratus mengaku tidak tahu apa itu ETP.

Berdasarkan semakan pada jam 5.53 petang itu di laman web akhbar milik Umno itu, hanya 33.2 peratus yakin dengan program itu.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan ETP - peranannya yang mirip dengan fungsi Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian (PEMANDU) - bertujuan menyediakan satu jentera penyampaian lebih berkesan antara pihak awam dan swasta dengan rakyat.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata, ia juga merupakan komitmen kerajaan untuk merealisasikan program transformasi iaitu sebahagian daripada elemen penting Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Yayasan Perak diminta adil



















IPOH, 15 Nov. : Dermasiswa pelajaran bagi para mahasiswa yang melanjutkan pelajaran ke menara gading ditawarkan oleh Yayasan Perak. Ini adalah salah satu bentuk sumbangan yang diberikan oleh pihak yayasan tersebut.

Menurut Pengarah Institut Pemikir Muda Malaysia ( IPMM ), Saudara Mohd Hafez Sabri, pihaknya mendapat belbagai rungutan daripada beberapa mahasiswa akan ketelusan didalam pemberian pinjaman atau biasiswa kepada mahasiswa yang berkelayakan.

Beliau menyatakan antara tujuan dermasiswa pendidikan ini adalah untuk membantu mahasiswa untuk membuat persediaan pendaftaran pada kemasukan semester pertama di tahun pertama ke Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA),IPTS terpilih,Kolej Komuniti,Politeknik dan Pusat Pengajian yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Perak di peringkat Sijil,Diploma,Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda.

Isu yang timbul berkenaan dermasiswa ini ialah bilamana Pendapatan bagi ibu bapa dibawah RM 1500 sebulan tidak melayakkan anak mereka untuk memperoleh dermasiswa akan tetapi golongan ibu bapa berpendapatan tinggi yakni melebihi RM 1500 mendapat peruntukkan dermasiswa tersebut.

Perkara ini jelas tidak adil dan menunjukkan sifat tidak professional Yayasan Perak, tegas beliau.

Menurut beliau juga, ramai ibu bapa yang kecewa dengan pihak yayasan tersebut kerana anaknya tidak dapat memperoleh sumbangan dermasiswa berkenaan.

Memetik ucapan beliau “Saya ingin mempersoalkan tentang sistem pengagihan dermasiswa kepada pihak yang layak ini kerana terdapat ibubapa yang mempunyai anak yang ramai tidak dapat untuk menerima dermasiswa itu sedangkan ada ibubapa yang berpendapatan sebulan melebihi rm5000 dapat dermasiswa tersebut.”

Melihat kepada perkara ini, pihak IPMM menggesa kepada pihak Yayasan Perak agar membuat penelitian dan pemerhatian semula bagi menentukan mahasiswa-mahasiswa yang berhak memperoleh dermasiswa tersebut, tegas beliau.

PAS tolak pelawaan Umno






















KUALA LUMPUR, 15 Nov. : PAS menolak pelawaan terbaru Umno agar menyertai Barisan Nasional (BN), perikatan yang ia pernah anggotai empat dekad lalu, atas alasan “tidak akan menaiki kapal yang bocor dan hendak karam.” Sebaliknya, PAS akan berusaha supaya ahli-ahli umno khususnya dan orang Melayu Islam bersama dengan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

“PAS tidak akan bersama dengan BN, sebaliknya (akan) terus dengan Pakatan Rakyat yang sudah teruji dan terbukti.

“Sekarang Umno sudah hilang kompas perjuangan dan ideologi. Perjuangan yang mementingkan ‘perutisme’ sahaja,” kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad menjawab pelawaan rakan sejawatannya dari Umno Datuk Ahmad Maslan kepada parti itu semalam.

Dilihat merujuk kepada peristiwa 1970-an, kata Idris, PAS tidak mahu bersama lagi dengan sebuah parti yang menjadikan perjuangan sebagai “batu loncatan untuk peribadi walaupun merugikan bangsa.”

PAS pernah menerima jemputan BN untuk menyertainya pada awal 1970-an tetapi kerjasama itu berakhir empat tahun kemudian.

PAS menyifatkan ia tidak ditendang keluar oleh BN selepas perikatan itu menjadi kuat menjelang pilihan raya umum 1978.

The Malaysian Insider semalam melaporkan Umno terus mengajak PAS agar bersama parti teras BN itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah menurut Ahmad, yang juga timbalan menteri, kedudukan PAS akan lebih baik jika ia bersama BN daripada terus berganding dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam PR.

“PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.

“PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS,” kata Ahmad semasa dihubungi The Malaysian Insider.

Suara dan pandangan agar Umno-PAS terus kedengaran sejak selepas pilihan raya umum 2008 yang mana PAS bersama DAP dan PKR menafikan kedudukan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan selepas pentadbiran lima negeri jatuh ke tangan PR.

Sehubungan itu, Ahmad juga mengingatkan PAS supaya mengkaji dahulu kedudukan mereka dalam PR dan Parlimen sebelum membuat keputusan untuk menggantikan parti Melayu terbesar itu.

Malah, Ahmad berkata Umno-BN masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara sambil menjelaskan pilihan raya umum ke-13 masih belum diketahui bila akan diadakan.

Ahmad memberikan saranan itu menjawab kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Umno-BN harus berundur secara hormat jika kalah dalam pilihan raya umum.
Menjawab pelawaan Ahmad, Idris juga menegaskan, PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai ideologi jelas dan mempunyai kepimpinan berkualiti dan ahli yang ikhlas akan terus mara bagi membentuk landskap baru dalam politik negara.

Malah katanya, PAS menganggap “cukuplah Umno yang telah diberi mandat untuk mengetuai negara lebih separuh abad.”

Justeru soal beliau, apa yang Umno boleh banggakan untuk tatapan generasi akan datang.
“Rakyat merasakan sudah cukup penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh mereka dengan tekanan hidup akibat salah guna kuasa.

“Walaupun negara ini adalah anugerah Allah dengan hasil mahsul yang banyak, namun masih ramai rakyat yang tidak bertanah, contohnya Sabah, tanah yang terbentang luas, hasil yang melimpah ruah, namun masih ada rakyat yang membina rumah di atas air,” katanya.

Negara baru sahaja menyaksikan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah iaitu awal bulan lalu.

Justeru, kata Idris, PAS tidak akan mengizinkan Umno mengkhianati rakyat untuk separuh abad yang kedua pula.

“(Oleh itu) PAS wajib ganti Umno,” katanya.

Idris mendakwa Umno hanya boleh hidup dengan 3M iaitu wang, jentera kerajaan dan media.
“Umno sudah tidak bermaya untuk hidup dan bermain di atas padang yang sama rata. Jika Umno tidak ada 3M, maka Umno akan berkubur begitu sahaja,” katanya lagi.

Idris juga berkata, PAS akan terus bersama PR, yang dibentuk pada 2008, kerana ia adalah percubaan politik yang terbaik walaupun dalam usia agak muda.

“Umno dengan kekuatan media perdana yang berada di tangan mereka cuba menggelapkan berita kebaikan PAS yang telah disumbangkan melalui PR, kes banjir di Kedah adalah satu contoh,” katanya lagi.

Kulasegaran gagal pertahan jawatan Timbalan Pengerusi DAP Perak


IPOH: Timbalan Pengerusi DAP Perak M. Kulasegaran gagal mempertahankan jawatannya pada pemilihan sempena Konvensyen DAP Perak di sini Ahad.

Hanya seorang penyokongnya iaitu bendahari DAP Perak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jalong Leong Mee Meng yang terpilih dalam senarai 15 anggota jawatankuasa negeri.

Sebanyak 41 calon menawarkan diri pada pemilihan berkenaan.

Kulasegaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat bagaimanapun dilantik sebagai salah seorang Naib Pengerusi DAP Perak.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham mempertahankan jawatannya bersama dengan Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming.

V.Sivakumar, Adun Tronoh yang juga bekas Speaker DUN Perak semasa pakatan pembangkang memerintah sebelum ini terpilih sebagai Timbalan Pengerusi.

Sebanyak 961 perwakilan menyertai pemilihan yang berlangsung di sebuah hotel di sini. Jumlah keseluruhan perwakilan yang sepatutnya mengundi ialah sebanyak 1,228 orang.

Sementara itu, Ngeh yang juga Adun Sitiawan berkata jawatankuasa baru yang dipilih itu bersetuju menubuhkan enam biro baru bagi meningkatkan perkhidmatan parti kepada masyarakat.

Enam biro itu ialah Perkhidmatan Perubatan, Pendaftaran Air, Biro Guaman, Pembangunan Ekonomi, Hal Ehwal Pengguna dan Kebajikan Sosial. - BERNAMA

Timbalan Pengurus Yayasan Selangor diarah cuti




























SHAH ALAM, 14 Nov. : Kerajaan Negeri telah mengarahkan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Mohd Sharifuldin Sulaiman mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuat-kuasa serta merta.

Ianya bagi membolehkan siasatan selesai berhubung majlis makan tengahari yayasan itu terlalu membazir sehingga Sultan Selangor membatalkan penyertaan baginda ke majlis itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar Yayasan itu.

Bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, beliau telah diminta bercuti dengan gaji penuh selama sebulan.

"Berhubung Yayasan Selangor, Kerajaan Negeri telah mengarahkan siasatan awal dilakukan terhadap keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor," kata Khalid.

Kerajaan Selangor juga memutuskan membekukan sementara semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS sehingga laporan penuh audit siap yang dijangka akhir bulan ini.

Ini berikutan kritikan yang dibuat terhadap PKNS yang didakwa menaja majlis perkahwinan seorang kenamaan baru-baru ini.

"Dengan keputusan ini, Jabatan Perhubungan Awam PKNS diarah supaya melaporkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang aktiviti termasuk membuat keputusan-keputusan penting.

"Langkah ini untuk memastikan setiap aktiviti akan dipertimbangkan secara teliti dari aspek kepentingan, keperluan dan belanjawan sebelum dilaksanakan.

"Jabatan Perhubungan Awam PKNS dijangka berjalan seperti biasa sebaik laporan audit diterima dan keputusan mengenainya diumumkan," kata Khalid dalam kenyataannya.

Kerajaan Selangor, kata Khalid, mengambil kira semua pandangan dalam memastikan pentadbiran Negeri, agensi kerajaan dan anak-anak syarikatnya diuruskan dengan baik dan setiap wang yang dibelanjakan digunakan untuk kepentingan dan kebaikan rakyat.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, katanya, Kerajaan Negeri telah mengarahkan juru audit bebas untuk menyiasat semua dakwaan yang dibangkitkan berhubung dengan urustadbir Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, katanya, menghargai setiap maklumat salahlaku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat di uruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

" Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salahguna kuasa ke muka pengadilan," katanya.

Zambry kena bertaubat






























IPOH, 14 Nov.:
Dewan Pemuda PAS Perak tetap mahu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bertaubat biarpun Mufti negeri itu berpendapat beliau tidak syirik dalam isu meletakkan ancak ke tiang seri rumah baru-baru ini.


Kesempatan bertaubat itu wajar diambil sempena menteri besar Perak itu sedang menunaikan haji di Mekah di hadapan Kaabah.

Timbalan Ketuanya, Mohd Munir Ali dalam satu kenyataan, yakin bahawa itu sudah menginsafi perbuatan tersebut yang bakal mengundang kekeliruan kepada umat Islam yang lain.

"Kita mengharapkan sekembalinya Datuk Seri Zambry ke tanah air nanti, beliau akan menjelaskan tindakannya tersebut bagi memastikan perbuatan seumpamanya tidak lagi terus menjadi amalan masyarakat Melayu Islam.

" Kita merasakan dengan terdorongnya Datuk Seri Zambry untuk mengerjakan ibadah Haji ini akan cuba membersihkan amalan-amalan yang tidak diterima oleh agama Islam itu sendiri," katanya.

Tindakan Zambry melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu mengundang persoalan banyak pihak.

Tindakan tersebut didakwa tergolong dalam perkara khurafat dan boleh mengundang syirik sehingga menjejaskan aqidah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bagaimanapun berpendapat perlakuan Zambry itu tidak syirik atas alasan menteri besar itu melakukannya tanpa niat.

"Proses pembersihan yang kini dilalui oleh Datuk Seri Zambry jua diharapkan akan mendorongnya untuk terus meninggalkan semua amalan khurafat berunsur syirik yang jelas akan menjejaskan akidah.

"Kita percaya hati kecil Datuk Seri Zambry ingin tetap memperbetulkan masyarakat Melayu Islam yang masih meneruskan amalan khurafat tersebut," katanya.

Sultan kecewa pihak tidak hargai sumbangan kerajaan negeri



















ALOR SETAR, 14 Nov. : Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kecewa dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri membantu mangsa banjir besar baru-baru ini.

"Namun, beta dukacita kerana ada suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan beta serta semua pihak yang terlibat di dalam membantu mangsa banjir," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Penggal Ketiga, dekat sini, pagi tadi.

Sementara itu, baginda juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dana, saling membantu dan bekerjasama memberi bantuan tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan fahaman politik semasa negeri menghadapi bencana banjir terburuk itu.

"Beta merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membantu mangsa banjir dan keadaan ini jelas menggambarkan semangat persaudaraan dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat beta yang berbilang kaum dalam menghadapi bencana, titah baginda lagi.

Ucapan tahniah turut dirakamkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) yang berjaya menerajui kerajaan negeri secara adil, beramanah dan proaktif.

"Rakyat di negeri ini telah diberi layanan yang adil, hubungan antara kaum semakin erat melalui pelbagai aktiviti yang telah dijalankan. Beta dapati kerajaan negeri telah memberikan sepenuh daya usaha dan kerjasama dengan semua pihak bagi memajukan negeri ini," titah baginda.
hrkh

Penduduk bantah tanah dirampas


TELUK INTAN , 14 Nov. : Kira-kira 200 penduduk di Kampung Pasir Bedamar, di sini, berang selepas tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian diambil oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak bagi membina penempatan baru kepada mangsa kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Salah seorang penduduk, Chong Lai Hock, 51, berkata, dia cukup tertekan dengan keadaan itu kerana tanah berkenaan telah lama diusahakan untuk tujuan pertanian sejak mendiang bapanya kira-kira 30 tahun lalu.


Menurutnya, dia sedang mengusahakan untuk tanaman limau tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana projek pembinaan rumah sedang dilaksanakan.

“Semasa bapa saya masih hidup, memang Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dikeluarkan tetapi setelah dia meninggal dunia, saya tidak boleh meneruskan pemilikan LPS itu.

“Saya kecewa dengan tindakan ini dan ia tidak adil kepada penduduk yang telah lama tinggal di sini,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui membuat demonstrasi secara aman membantah pembinaan penempatan baru bersama penduduk lain di Kampung Pasir Bedamar, di sini, semalam.

Lai Hock berkata, penduduk tidak berpuas hati dengan pembinaan rumah itu disebabkan ia dilaksanakan tanpa perbincangan dengan penduduk.

Katanya, penduduk tidak pernah setuju dengan pembinaan rumah berkenaan kerana kawasan itu tidak sesuai untuk dijadikan penempatan.

“Tiada sebarang perbincangan mahupun notis dikeluarkan bagi mengosongkan tanah itu dan disebabkan itu saya terpaksa menanggung kerugian.

“Pernah saya kemukakan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5,000 tetapi ia dipandang sepi oleh pihak berkenaan,” katanya.


Seorang lagi penduduk, Chan Cheng Yau, 74, berkata, kebanyakan penduduk di kawasan itu adalah warga emas dan tinggal di situ sejak lahir lagi.

Menurutnya, pekerjaan dan pendapatan utama mereka hanya bersumberkan pertanian.

“Kami di sini bukan orang kaya dan berpendapatan tinggi, hanya petani biasa yang bergantung kepada tanaman yang diusahakan.

“Kita minta supaya Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak mempertimbangkan permintaan kami dan rasanya tidak wajar kami diperlakukan seperti ini,” katanya.

Penduduk, Chan Hui, 77, berkata, jika rumah yang dibina itu untuk penduduk miskin dan kurang berkemampuan di situ tidak mengapa� tetapi ia dibina untuk orang lain.

Katanya, jika rumah itu untuk orang lain, bagaimana pula nasib penduduk sedia ada yang telah lama tinggal di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen, ADUN mahu penyelesaian segera

Sementara itu Ahli Parlimen, M Manogaran yang ditemui di tempat kejadian berkata, beliau kesal dengan tindakan pembinaan itu kerana dibuat tanpa perbincangan dan persetujuan penduduk.

Menurutnya, seharusnya pihak berkenaan mengeluarkan notis atau meletakkan papan tanda pembinaan supaya penduduk maklum dengan apa yang berlaku.

“Sebarang keputusan yang dibuat biarlah adil untuk semua dan bukan bermotifkan sesuatu yang tidak jelas.

“Bukannya tanah itu baru diteroka, tetapi sudah begitu lama mereka tinggal di sini dan mengusahakannya, sepatutnya mereka berhak diberikan hak milik,” katanya.

Manogaran berkata, beliau akan membawa masalah itu ke peringkat yang lebih tinggi untuk memastikan hak rakyat terus dipertahankan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Seah Leong Peng yang ditemui juga berkata, penduduk bukan tidak pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan tanah itu tetapi pelbagai alasan diberikan.

Menurutnya, jika kawasan tanah itu tidak boleh diberikan kepada penduduk, pembinaan rumah itu juga tidak boleh diteruskan.

"Masalah ini akan cuba dibincangkan bersama Pegawai Daerah Hilir Perak bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Katanya, satu memorandum akan dihantar ke Pejabat Menteri Besar bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Saya juga akan bawa isu ini semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang pada hujung bulan ini untuk mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Sinar Harian difahamkan seramai lapan keluarga yang juga mangsa kebakaran di Kampung Esso, Jalan Maharaja Lela akan mendiami rumah yang dibina itu.

Tempoh sidang DUN Perak perlu dipanjangkan


BOTA, 14 Nov. : Tempoh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dipanjangkan untuk jangka waktu tertentu bagi memberi peluang kepada wakil rakyat membahaskan segala permasalahan rakyat yang lama tergendala.

Demikian saranan Ketua Cabang Parti Keadilan Parit, Kapten (B) Usaili Alias berhubung sidang DUN penggal ketiga yang akan berlangsung pada 30 November ini.


Usaili berkata, tempoh yang diberikan untuk sidang DUN amat pendek dan tidak berkesempatan untuk menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku dibincangkan sepenuhnya.

“Tempoh sidang DUN perlu dilanjutkan masa bagi memberi peluang setiap wakil rakyat membahaskan segala permasalahan yang berlaku dengan sebaik mungkin untuk dicari jalan penyelesaian.

“Waktu yang diberi sebelum ini agak terbatas dan pihak berkenaan perlu memikirkan perkara ini sebaik mungkin supaya segala masalah rakyat yang lama tergendala dapat dibahaskan,” katanya yang juga bekas ADUN ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, pada hujung tahun juga banyak perkara yang perlu dibincangkan untuk tujuan pembangunan negeri Perak.

“Waktu hujung tahun adalah saat penting kerana pada waktu inilah audit akan dibahaskan untuk melihat perkembangan kemajuan negeri Perak.

“Bagi sesi membentangkan dan membahaskan audit sahaja sudah mengambil masa yang agak panjang dan sudah tentulah perkara ini perlu dibahaskan dengan teliti untuk melihat apa perbelanjaan dan juga keuntungan yang diterima kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengalamannya dahulu sebagai wakil rakyat, banyak perkara yang tidak dapat dibangkitkan kerana kekangan waktu yang terbatas.

“Kita sebagai wakil rakyat membawa harapan dan masalah rakyat untuk dibincangkan dalam DUN dan dicari jalan penyelesaian tetapi jika waktu yang diberikan tidak mencukupi sudah tentulah rakyat kecewa.

“Hak rakyat perlu dibincangkan supaya hasrat mereka tercapai kerana sebab itu jugalah seseorang wakil rakyat itu dipilih.

“Wakil rakyat sendiri juga jangan hanya mengikut kehendak diri sahaja termasuklah berlaku pergaduhan dan sebagainya kerana sepatutnya mereka bersidang secara aman dan mencapai matlamat untuk pembangunan negeri,” katanya.SH

Larangan hanya kepada media penipu


ALOR SETAR , 14 Nov. : Larangan beberapa media elektronik dan arus perdana membuat liputan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan membentangkan bajet 2011, bermula hari ini hingga 16 November adalah atas bidang kuasa Speaker DUN, Datuk Dr Abd Isa Ismail.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, larangan itu dibuat setelah Speaker memutuskan laporan oleh media tertentu ketika liputan banjir di Kedah diputar belit selain fakta tidak tepat.


“Speaker mahu menjaga kemuliaan Dewan, beliau tidak mahu liputan di Dewan dicemari insiden yang sama. Itu hak Speaker sebagai ketua dalam Dewan. Saya difahamkan agensi berita Bernama dibenarkan di saat akhir, bermakna media lain yang dihalang masuk ke Dewan boleh mendapatkan berita daripada Bernama,” katanya kepada media, selepas majlis penyerahan lembu korban oleh Kerajaan Negeri kepada DUN, agensi kerajaan dan jabatan berkaitan di pekarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, semalam.

Ditanya sama ada media terbabit turut tidak dibenarkan membuat liputan bagi acara rasmi Kerajaan Negeri, Azizan berkata, perkara itu belum diputuskan.

“Kita akan lihat dari semasa ke semasa, sejauh mana media terbabit menghormati etika penulisan dalam akhbar masing-masing. Buat masa ini ia hanya berkuat kuasa bagi Sidang DUN sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah, Badrol Hisham Hashim mendakwa tindakan menghalang beberapa media membuat liputan di DUN sebagai menyekat kebebasan media, Azizan berkata, pihaknya terpaksa membuat sekatan itu kerana kebebasan yang diberikan selama ini disalahguna.

“Sebelum ini kita dah bagi kebebasan namun sesetengah media terlajak (melampau) dalam laporan mereka. Sebab itu kita buat sekatan sedikit supaya mereka hormat pada Kerajaan Negeri,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini Kerajaan Negeri tidak berhasrat mengambil apa-apa tindakan terhadap media terbabit yang secara terang-terangan membuat laporan berat sebelah.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah membawa usul berkenaan untuk dibahaskan dalam Sidang DUN sekiranya larangan itu tidak ditarik balik, Azizan berkata, hanya Speaker berhak membuat keputusan itu.

“Biar mereka nak buat usul, hanya Speaker berhak putuskan perkara itu. Saya hairan kenapa UMNO beria-ia bantah, sedangkan media itu bukan milik mereka. Sebelum ini, saya baik dengan semua media, tapi jika buat laporan tidak betul, memanglah saya marah,” katanya
.

Ekspo Cheng Ho jadi tumpuan



KOTA BHARU , 14 Nov. : Ekspo Perdagangan Cheng Ho 2010 yang berlangsung di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu pada 21 hingga 26 November ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan memandangkan ianya merupakan ekspo terbesar bakal diadakan di negeri ini.

Pengarah Urusan Green Dynasty Management, Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya menjangkakan ekspo yang berlangsung selama enam hari itu dijangka menarik minat ratusan ribu pengunjung dari seluruh pelosok negara ini.


Green Dynasty Management merupakan salah satu rakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam penganjuran ekspo ini.

“Tujuan ekspo ini dianjurkan ialah untuk merintih hubungan dua hala antara Kelantan dengan negara China yang kini merupakan antara negara kuasa ekonomi dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Dalam konteks bidang ekonomi, Kelantan mendahului setapak di hadapan apabila menjalinkan kerjasama yang cukup strategi dengan negara China yang boleh dianggap sebagai salah satu negara kuasa ekonomi di dunia pada masa sekarang.

“Sebanyak 412 gerai terlibat dalam ekspo tersebut dan para pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat pelbagai produk serta makanan daripada negara tersebut. Para pedagang dari China akan berkampung selama enam hari di Kota Bharu dan saya percaya inilah peluang terbaik bagi masyarakat negeri ini untuk mendapatkan produk daripada negara tersebut,” katanya.

Mohd Fared berkata, ekspo tersebut menelan belanja sebanyak RM2 juta dan merupakan yang terbesar dianjurkan di negeri Pantai Timur setakat ini.

“Selain daripada itu, kita juga turut mengadakan pameran khazanah selama sebulan di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) sebagai salah satu kesinambungan daripada penganjuran ekspo ini.

“Pelbagai khazanah dari negara China dan Muzium Melaka didatangkan khas ke sini untuk tontonan masyarakat di negeri ini. Selain itu, orang ramai turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai khazanah serta warisan Islam termasuk al-Quran daripada emas yang berusia 600 tahun dan Al-Quran yang terpanjang di dunia yang dijangka menjadi tarikan pengunjung ke pameran tersebut.

Mohd Fared berkata, kunjungannya bersama delegasi Kerajaan Negeri Kelantan ke negara China pada awal Julai lalu disifatkan berjaya bagi membolehkan ekspo yang julung-julung kali diadakan ini dilangsungkan di negeri ini.

“Sudah dua kali wartawan dari negara China datang ke negeri ini bagi membuat tinjauan untuk membuat pelaburan di negeri ini dan yang paling menarik sekali kita memfokuskan kepada pemilik syarikat korporat yang beragama Islam di sana di dalam menjalinkan hubungan ekonomi ini.

“Dari satu sudut, kita sudah berjaya menjalinkan hubungan dalam bidang ekonomi dengan negara tersebut dan ianya sudah pun dimulakan dengan kejayaan penganjuran ekspo ini,” katanya.SH

Berlumba dengan Umno


SHAH ALAM, 14 Nov. : Ahli PAS perlu berlumba dengan UMNO dan berusaha mengaktifkan semula cawangan supaya menjadi kukuh demi mencapai matlamat menggantikan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, untuk menggantikan UMNO, setiap ahli dituntut bergabung tenaga untuk menggiatkan usaha memberikan pemahaman yang lebih terperinci tentang konsep politik Islam yang dibawa PAS.


Ia bukan sahaja perlu disampaikan kepada mereka yang beragama Islam, malah kepada yang bukan beragama Islam.


“Dengan pendekatan baru, kita sudah sampai kepada peringkat masuk ke tempat-tempat yang kita tidak fikir. Contohnya di Sibu, majlis yang dianjurkan menerima kehadiran lebih kurang 5,000 orang yang terdiri daripada bukan Islam.


“Kita kena berlumba dengan UMNO dalam memberi pemahaman perjuangan PAS. Sebagai parti Islam, tentulah rujukan kita sunnah Nabi.


”Jadikan perlumbaan itu sebagai kunci kejayaan," katanya dalam ucapan penutup seminar :PAS Sedia Ganti UMNO di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini, semalam.


Katanya, PAS tahu UMNO mempunyai keupayaan yang lebih baik daripada PAS.


"Tetapi kita sendiri nak berlumba dengan UMNO, itu tandanya kita ingin menjadi lebih baik daripada dia (UMNO),” katanya.
SH