Tuesday, November 23, 2010
Umno guna masjid untuk politik : Jabatan Agama Islam Perak ' tutup mata '
PARIT BUNTAR, 24 Nov. : Kepimpinan Umno seringkali menyatakan PAS menggunakan masjid untuk menyebarkan dakyah mereka, malah mereka menggunakan Jabatan Agama Islam bagi menghalang sebarang program agama di masjid yang dianjurkan oleh wakil rakyat yang diwakili oleh Pakatan Rakyat. Namun sekiranya Umno menggunakan masjid tidak menjadi kesalahan walaupun membawa mesej politik di dalam masjid.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar Hairul Nizam Ishak berkata, Umno telah menggunakan institusi masjid untuk menyebarluaskan pengaruh mereka .
" Apa yang menghairankan tiada pula tindakan diambil oleh pihak Jabatan Agama Islam dalam membanteras isu politik yang digunakan dalam masjid.
" Baru-baru ini Umno Bahagian Parit Buntar telah menggunakan Masjid Parit Tok Kip, Kuala Kurau untuk mengadakan majlis korban sebanyak 20 ekor lembu." katanya
Hairul Nizam berkata, ADUN Bagan Pinang, Tan Sri Isa Abdul Samad telah dijemput untuk hadir merasmikan majlis tersebut.
" Apakah tujuan ADUN dari luar Perak ini dijemput?
" Beliau bukannya mewakili kerajaan negeri Perak dalam program ini. Apa yang pasti sudah tentulah ADUN Umno yang pernah tercalit dengan isu rasuah ini mempunyai agenda politik yang tertentu."katanya
"Ramadan lepas, Umno mengganjur program bubur lambuk Masjid Bagan Tiang . Terbukti Jabatan Agama Islam Perak sememangnya tidak mampu menghalang Umno berpolitik di masjid.
" Sebaliknya PAS tidak menggunakan masjid untuk program korban. PAS mempunyai bangunan dan kawasannya sendiri untuk melakukan aktiviti korban. " katanya
Menurutnya, PAS Parit Buntar tidak menggunakan majlis korban untuk berbicara mengenai politik melainkan menggunakan agenda korban semata-mata untuk diagihkan daging korban tersebut kepada mereka yang layak.
" Sesungguhnya rakyat boleh lihat dan menilai sendiri siapakah yang sebenarnya yang menggunakan institusi masjid untuk kepentingan politik mereka.
" Pemimpin Umno sebelum ini membuat kenyataan bahawa PAS menggunakan masjid untuk menyebarkan dakyah mereka, akan tetapi Umno seolah-olah ketam mengajar anaknya berjalan ke hadapan" katanya
Polis tembak lagi
“Ini salah guna kuasa dan menembak sesuka hati,” kata peguam Keppy Wong, yang bercakap bagi pihak keluarga mangsa di pejabatnya di Pandan Indah hari ini.
Wong percaya tindakan polis berkenaan adalah tidak wajar kerana tiada senjata api mahupun sebarang jenis dadah yang dijumpai di kereta mangsa.
Peguam itu juga mendakwa Ho tidak diberikan sebarang amaran ketika anggota polis yang tidak berseragam dan mengenalkan diri mereka melepaskan tembakan. Mereka juga dikatakan tidak melepaskan tembakan amaran mahupun cuba menghalang kereta yang dipandu oleh mangsa.
Ho kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur di mana beliau sedang di unit rawatan rapi, Hospital Kuala Lumpur selepas empat butir peluru dikeluarkan dari tubuhnya.
Hadir sama pada sidang media hari ini adalah isteri dan ibu bapa Ho.
PAC 'cuci tangan'
KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) "menyuci tangannya" dari kemelut kerugian RM2.1 bilion Sime Darby kerana ia menganggap pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sebagai urusan sektor swasta.
Kenyataan yang memeranjatkan ini berikutan janji PAC sebelum ini yang mahu menyiasat kerugian besar yang dialami Sime Darby.
"Sime Darby ialah anak syarikat PNB (Permodalan Nasional Berhad) dan pemegang saham utamanya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kedua-duanya tidak boleh diklasifikasikan sebagai badan kerajaan kerana sumber kewangannya datang dari pelabur individu, kata Pengerusi PAC Azmi Khalid.
"Dana KWSP datang dari para pemegang saham manakala dana PNB datang dari para pelabur swasta.
"Oleh itu, PAC tidak layak menyiasat kerugian besar yang ditanggung Sime Darby," katanya, menambah PAC mencapai keputusan ini pada mesyuaratnya pada 27 Oktober lalu.
Keputusan ini mengejutkan, terutama selepas PAC pada Jun lalu berkata pihaknya akan menyiasat para pegawai Sime Darby, menyebutnya sebagai kepentingan awam.
Sime Darby menanggung kerugian sehingga RM2.1 bilion, dari unit tenaga dan utilitinya tahun ini. Sime Darby berkata pihaknya akan menyaman di mahkamah untuk menuntut kerugian ini.
Bagaimanapun, syarikat gergasi perladangan dunia itu tidak menyebut siapakah yang akan disaman. Sime Darby juga sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.
Umno hadapi krisis kepercayaan
KUALA LUMPUR, 24 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa tindakan BN membuka keahlian langsung dan bersekutu membuktikan parti itu berdepan krisis kepercayaan rakyat yang serius.
Mengulas 'perubahan' baru dalam BN itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga yakin ianya tidak membantu BN memulihkan semula imej mereka.
"Itu bermakna bahawa BN telah mengaku parti-parti komponen mereka termasuk Umno, berdepan dengan krisis kepercayaan dari pelbagai kaum khususnya generasi muda," katanya kepada Harakahdaily semalam.
Beliau mengulas demikian berdasarkan pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, yang mendakwa perubahan itu bagi membolehkan pertubuhan atau individu yang tidak suka kepada parti komponen BN, menyertai BN sebagai ahli bersekutu.
Namun katanya, adalah mustahil jika satu pihak itu tidak menyukai mana-mana komponen BN, akan menjadi ahli bersekutu BN.
"Sebab dia tak suka pemimpin Umno, bagaimana dia nak sertai BN yang Umno sendiri terajui.
"Kalau dia tak suka Chua Soi Lek, macam mana dia nak masuk BN sedangkan dia tahu Chua ada dalam tu," katanya.
Selain itu, beliau juga tidak melihat perkara tersebut satu ancaman kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PAS.
Ini kerana, NGO atau individu yang mahu menyertai BN sememangnya menyokong parti itu dari asal, dan bukan pertambahan sokongan baru kepada BN.
"Kita tengok Tan Sri Rozali Ismail bila dia menyertai BN, dia tu Umno dah, bukan pertambahan baru pada BN," tambahnya mengulas pengumuman Rozali membawa Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menyertai BN.
"Ini tidak tambah kekuatan BN, dan tidak mengurangkan kekuatan Pakatan," katanya.
Siasatan Scorpene menggangu tidur Najib
KUALA LUMPUR, 24 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mula bimbang sekarang ekoran siasatan yang lebih meluaskan terhadap skandal rasuah dalam pembelian kapal selam buatan Perancis, Scorpène.
Selain Najib, turut mula bimbang adalah pemimpin dari India, China dan Brazil serta pemimpin Perancis termasuklah bekas Presiden, Jacques Chirac, bekas Menteri, Dominique de Villipin dan Edouard Balladur di samping Presiden Perancis sekarang, Nicholas Sarkozy.
Demikian menurut laporan Asian Sentinel semalam dalam laporan yang ditulis oleh Gavin M. Greenwood, seorang konsultan keselamatan yang berpejabat di Hong Kong John Berthelsen, editor Asia Sentinel.
Mungkin persiapan ke arah itulah, pejabat kedutaan Malaysia di Perancis penuh dengan bekas pegawai tentera termasuk dutanya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, 58, yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera. Dr Abdul Aziz menerima watikah perlantikan itu awal Mei 2010 lalu.
Seorang penceramah agama dalam kuliahnya di sebuah surau dekat Rawang berkata, beliau telah berkunjung ke pejabat kedutaan Malaysia di Perancis baru-baru ini dalam urusan kerjanya dan yang mengejutkan beliau adalah ramainya bekas tentera yang menjadi kakitangan di pejabat kedutaan itu termasuk dutanya.
"Saya tertanya-tanya, kenapa ramai sangat bekas tentera di situ, lalu saya teringat kes kapal selam yang tidak boleh menyelam kat Malaysia dan wanita Monggolia yang mati kerana dibom dengan C4," kata penceramah itu dalam kuliah dhuhanya di surau itu.
Menurut Asian Sentinel, para peguam kepada keluarga 11 jurutera Perancis yang mati dalam serangan bom di Karazchi tahun 2002 lalu, akan memfailkan dakwaan pembunuhan terhadap Chirac dengan mendakwa kejadian itu berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class untuk tentera laut negara itu.
Sarkozy adalah Menteri Bajet Perancis ketika kerajaan negara itu menjual kapal selam yang dibina oleh gergasi pertahanan Perancis, DCN ( yang kemudiannya dikenali sebagai DCNS) kepada Pakistan dengan nilai USD950 juta.
Pendakwaraya mendakwa, ahli poltik, pegawai tentera dan orang tengah Pakistan menerima jumlah komisyen sehingga Euro2 juta yang kembali semula ke Paris untuk membantu kempen Balladur yang tidak berjaya mengalahkan Chirac itu.
Menteri Bajet, Sarkozy didakwa meluluskan elemen kewangan dalam penjualan kapal selam itu. Ketika itu, beliau adalah jurucakap pasukan kempen presiden Balladur dan menurut media Perancis, mereka telah membuka dua syarikat di Luxembrg untuk menguruskan wang rasuah itu, lapor Sentinel.
Adalah didakwa, apabila Chirac dipilih semula, beliau telah membatalkan pembayaran rasuah itu kepada Pakistan, menyebabkan tindakan serangan membalas dendam ke atas kenderaan yang dinaiki oleh para jurutera Perancis dan tiga rakyat Pakistan itu. Beberapa tahun lamanya, Pakistan menyalahkan serangan itu kepada militan Islam termasuk Al Qaeda.
Salah seorang peguam itu berkata, pihaknya akan menyiasat bagaimana keputusan memghentikan komisyen itu dicapai. Beliau juga mahu memanggil Sarkozy untuk memberikan keterangan namun Presiden Perancis itu dengan marahnya menafikan dakwaan itu.
Sebagai Presiden beliau mempunyai umuniti dan berhak untuk menolak dari dipanggil memberikan keterangan.
DCNS telah menjual Scorpènes kepada Pakistan pada tahun 1994. Malaysia melalui usaha Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membayar USD1 bilion kepada DCNS untuk memesan kapal selam itu dan pada tahun yang sama, iaitu 2002, ketika para jurutera Perancis itu dibunuh, lapor Sentinel.
Sebagai timbal balas, syarikat yang dimiliki rakan Najib, Abdul Razak Baginda telah dibayar Euro114 juta sebagai 'komisyen'. Ia disahkan dalam satu jawapan di Parlimen Malaysia.
Isu ini menjadi semakin panas apabila Altantuya Shaariibuu, wanita Monggolia yang mendakwa teman wanita Abdul Razak dibunuh dan diletupkan badannya sehingga berkecai dengan C4, peledak yang selalu digunakan oleh tentera.
Altantunya datang ke Malaysia untuk menuntut hak yang dijanjikan kepadanya iaitu USD500,000 dari komisyen yang mereka perolehi ekoran peranannya dalam urusan jual beli kapal selam ini.
Abdul Razak bersama dua pengawal peribadi Najib telah didakwa ekoran kejadian itu namun Abdul Razak telah dibebaskan manakala dua lagi pegawai polis yang menjadi pengawal peribadi itu dijatuhkan hukuman bunuh.
Zambry bentang bajet pilihan raya?
Timbalan ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, pihaknya melihat perbentangan bajet nanti bakal memfokuskan bentuk perkhidmatan dengan memastikan semua peruntukan akan sampai kepada rakyat demi mendapatkan undi mereka.
“Sudah tentu segala bentuk peruntukan tersebut akan melibatkan banyak perkara termasuklah projek-projek mega bagi menunjukkan kemampuan sesebuah kerajaan mengurus tadbir negeri dengan baik,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Namun DPPN Pk, katanya menganggap apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Baginya, kerajaan negeri Umno BN Perak pada hakikatnya gagal dalam pengurusan negeri dengan efisyen dan jelas hanya menggunakan persidangan Dun nanti semata-mata untuk memenuhi agenda politik mereka yang ingin mengekalkan kuasa pemerintahan yang telah dirampas daripada Pakatan Rakyat (PR).
Persidangan Dun, ujarnya bukan hanya untuk meluluskan bajet, tetapi lebih dari itu untuk menzahirkan permasalah dan pandangan rakyat serta proses pembaikpulihan sistem pemerintahan yang secara jelas gagal dipenuhi oleh kerajaan Umno BN sekarang.
DPPN Pk juga, tambahnya melihat bagi persediaan menghadapi PRU 13 nanti, bajet kali ini bakal memberi perhatian kepada kebajikan dan kepentingan rakyat, terutama dari kalangan orang muda, bagi memastikan sokongan kepada Umno BN akan terus diterima.
Justeru, beliau menjangkakan peruntukan yang lebih besar akan diberikan kepada golongan itu yang akan disalurkan melalui pelbagai kemudahan atau program khas.
Ini, katanya kerana Umno BN sedar sokongan orang muda adalah garis penentu kepada kemenangan mana-mana parti politik dalam PRU.
Bagi DPPN Pk, katanya kuasa orang muda sekarang ini boleh menentukan jatuh bangun mana-mana parti politik dan yang paling penting adalah kuasa orang muda sebagai suara keramat yang perlu diberikan perhatian.
“DPPN Pk amat yakin orang muda sekarang ini sudah mampu untuk menilai dengan baik dan membaca apa yang tersirat di sebalik bajet yang bakal dibentang nanti lantas menzahirkan respons mereka terhadap pengkhianatan yang dilakukan melalui undi mereka di dalam PRU 13 nanti,” katanya lagi.
Umno semakin kemaruk kuasa
SHAH ALAM, 23 Nov. : Kebelakangan ini kita melihat bangaimana UMNO melepaskan serangan demi serangan dalam usahanya untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat. Walaubagaimanapun, sebahagian besar dari isu-isu yang mereka timbulkan hanya menunjukkan betapa terdesaknya mereka untuk menyerang PR sehingga menjadi bahan gurau di kalangan mereka yang bermaklumat. Sebagai contoh, isu duit judi di Pulau Pinang.
Manakala, isu-isu yang ditonjolkan sekarang pula adalah seperti berikut:
1. Isu pemilihan PKR dan Dato’ Zaid
Gambaran yang ingin diberi ialah PKR berada dalam keadaan huru-hara dan tunggang-terbalik. Oleh yang demikian, sekiranya benar dakwaan ini, maka tiada apa-apa yang perlu di takutkan oleh pihak BN. Tetapi dengan liputan meluas dan tumpuan yang diberi, maka jelas bahawa PKR tetap dilihat sebagai satu ancaman yang perlu ditangani. Yang akan menjadi jawapan muktamad bagi PKR terhadap dakwaan BN itu ialah kesatuan yang akan terhasil selepas selesainya proses pemilihan ini. ‘After the dust settles’ bak kata orang putih, sekiranya selesai dengan baik dan semua bersatu kembali, maka segala dakwaan BN akan terjawab dengan sendirinya.
Berhubung dengan Dato’ Zaid, saya secara peribadi berasa agak terkilan. Beliau merupakan harapan masyarakat Malaysia dan hakikat bahawa beliau mendapat pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden walaupun hanya setahun menjadi ahli PKR adalah bukti betapa beliau disanjung dikalangan ahli. Kesanggupan beliau mengorbankan jawatan Menteri demi prinsipnya diketahui dan diiktiraf semua. Malangnya beliau tidak sabar menangani cabaran.
Bagi saya, inilah bezanya di antara mereka yang datang untuk membawa perubahan dan mencorakkan sebuah gerakan dan mereka yang datang dengan tujuan mengepalai gerakan yang telah sedia dicorak. Kategori pertama menjangkakan akan adanya kekurangan dan perlunya melalui proses perubahan. Kekurangan dan kelemahan dilihat sebagai satu cabaran tetapi sanggup diharungi kerana pada dasarnya, wawasan tertentu telahpun diterima semua.
Manakala kategori kedua tidak mempunyai perasaan yang sama terhadap gerakan yang sedang dibangunkan. Dia sebagai ‘orang luar’ yang menuntut wujudnya suasana tertentu dengan kaedah yang tertentu. Sekiranya ianya belum lagi wujud, maka dia kesal dan berasa kecewa.
Pada awalnya saya mengharapkan Dato’ Zaid memilikki ciri-ciri kategori pertama dan bukan kategori kedua. Namun, kelihatan seolah-olah sebaliknya sejak kebelakangan ini.
2. Isu Banjir di Kedah
Isu banjir di Kedah pun ingin BN politikkan. Kononnya kerajaan Kedah tidak membantu dan lambat bertindak. Dakwaan ini tidak perlu saya respon. Hakikatnya, bukan sekadar kerajaan Kedah bertindak cepat dan berkesan, PAS Shah Alam pun, sepertimana PAS kawasan dan negeri yang lain, telah turun membantu. Selesai sahaja bergalas di Galas, sekumpulan petugas telah terus turun ke Kedah membawa bantuan.
Dalam pada itu misi bantuan disertai pula beberapa badan NGO, pihak kerajaan dan swasta seperti Muslim Care, MBSA, Bidara Flour, Angkatan Edaran dan banyak lagi. Mengikut laporan yang diterima, sejumlah 8 tan bantuan telah dihantar bernilai lebih kurang RM 20,000. Itu baru dari Shah Alam, apatah lagi dari kerajaan Negeri Kedah. Sudah pasti jauh lebih banyak.
Kenderaan Pacuan 4 Roda Skuad Bantuan PAS Selangor |
Misi Bantuan Banjir |
3. Isu ‘penyelewengan’ di Selangor – PKNS dan Yayasan Selangor
Akhir akhir ini timbul pula isu ‘penyelewengan’ di Selangor. Perbelanjaan yang dikeluarkan oleh PKNS dan Yayasan Selangor untuk beberapa program yang tidak munasabah dan terlalu mewah dan boros ditonjolkan. Ya, mungkin benar. Jumlah perbelanjaan yang didedahkan dibawa oleh ADUN dari kedua-dua belah pihak mungkin dianggap tidak wajar dan tidak boleh diterima. Namun, perlu disiasat dan dibuat perbandingan dengan apa yang pernah dibelanjakan dahulu. Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada yang mendedahkan perkara ini.
Pada masa yang sama saya ucapkan tahniah juga kepada kerajaan Negeri Selangor atas tindakan segera mereka mengarahkan pegawai yang disyaki terlibat bercuti supaya siasatan dapat dilakukan dengan tepat, berkesan dan segera. Yang terlibat perlu dikenakan tindakan, sekiranya didapati bersalah dan tidak dilindungi. Mengarahkan mereka bercuti juga merupakan satu tindakan yang wajar sambil peranan mereka dalam kes berkenaan disiasat.
Jangan buat macam kerajaan BN. Walaupun dikemukakan bermacam-macam aduan dan laporan penyelewengan, ianya ‘business as usual’ atau semuanya berjalan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa masalah. Kalau siasat pun, pegawai berkenaan masih di situ, mengepalai siasatan tersebut! Hendak siasat Ketua Polis Negara, KPN masih bertugas sebagai KPN!
Peristiwa sebegini perlu dimanfaatkan oleh PR untuk menunjukkan perbezaan di antara PR dan BN dan betapa PR telus dan tidak membela mana-mana pihak. Yang terbukti bersalah akan tetap dihukum.
4. Kembalinya Politik Samseng UMNO
Baru-baru ini kita turut digemparkan dengan berita seorang ADUN, YB Ng Sekinchan, dipukul samseng UMNO. YB berkenaan terpaksa dibawa ke Hospital untuk mendapat rawatan. Aneh dan ajaib, ada pula YB UMNO, Menteri pula itu, membela golongan samseng ini!
Inilah bukti sahih betapa kemaruknya UMNO dewasa ini. Sehingga hilang punca dalam usaha menangani cabaran kebangkitan PR. Samseng pun dibela dan dilindungi. Mungkin BN melihat budaya samseng sahajalah yang merupakan penyelamat mereka dewasa ini. Sepertimana dalam isu 'kepala lembu' di Shah Alam. Saya difahamkan UMNO Selangor yang bayarkan denda/saman golongan kepala lembu tersebut.
Semasa korban minggu lepas, ada yang siap pesan, “Hati-hati, jaga kepala lembu, supaya tidak jatuh ke tangan puak-puak kemaruk ini!”
Exco Kanan Perak : Hamidah atau Zainol Fadzi
IPOH. 23 Nov. : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) berandaian sejak ketiadaan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir manunaikan Ibadah Haji baru-baru ini siapakah sebenarnya EXCO paling kanan di dalam kerajaan negeri, antara Datuk Hamidah Osman atau Datuk Zainol Fadzi Paharudin dengan beberapa andaian.
Setiausaha Pemuda PAS Perak Dr. Raja Ahmad Al-Hiss berkata, DPPN Pk ingin menjelaskan keadaan masa yang terdekat baru-baru ini semasa Datuk Seri Zambry menunaikan Ibadah Umrahnya pada bulan Ramadhan yang lalu.
"Semasa Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Negeri Perak mengadakan Majlis Santapan Berbuka Puasa di Istana Iskandariah.
" DPPN Pk yang turut dijemput hadir terkejut apabila yang menggantikan Datuk Seri Zambry ialah Datuk Zainol sedangkan dalam masa yang sama Datuk Hamidah turut hadir cuma duduk di tempat biasa sahaja" katanya
Dr. Raja Ahmad berkata, DPPN Pk ragu akan keadaan tersebut kerana difahamkan Datuk Hamidah ialah yang paling kanan sekali, tetapi keadaan tersebut memberikan gambaran disebaliknya.
" Dilihat juga sekarang ini kedua-dua tokoh tersebut sering keluar di dalam media arus perdana seperti menunjukkan mereka yang sedang mengemudi kerajaan negeri.
" Nampaknya kerusi panas EXCO Kanan juga memberikan persaingan di dalam memastikan kedudukan mereka terjamin di masa hadapan kelak" katanya
Janji pemimpin BN kepada mangsa banjir tidak masuk akal
ALOR SETAR, 22 Nov. : Exco Kanan Kerajaan Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi menyuarakan rasa terkejut dengan sikap pemimpin Barisan Nasional(BN) yang berlumba-lumba menabur janji untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir besar baru-baru ini.
Ir Phahrolrazi berkata, pelbagai janji berupa bantuan kewangan dan pembinaan infrastruktur yang ditawarkan oleh pemimpin BN berlainan yang disiarkan media hampir setiap hari mengejutkannya kerana ada janji disifatkannya tidak masuk akal dan memerlukan peruntukan yang teramat banyak.
Menurutnya, inisiatif Kerajaan Pusat memberi bantuan kepada mangsa banjir tidak salah, bagaimanapun beliau meminta Kerajaan Pusat melantik seorang pemimpin khusus untuk mengumumkan segala bentuk bantuan diberikan bagi mengelakkan rakyat terpedaya dengan janji palsu pemimpin tidak berkenaan.
“Kerajaan Negeri bukan cemburu dengan keupayaan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan banyak kepada mangsa banjir, malah kami mengalu-alukannya memandangkan rakyat Kedah juga rakyat Kerajaan Pusat.
“Bagaimanapun, kami berharap segala janji yang ditaburkan akan ditunaikan Kerajaan Pusat bagi mengelakkan tindakan itu memakan diri mereka sendiri ekoran kekecewaan mangsa banjir menagih janji,”katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.
Ir Phahrolrazi berkata, di pihak Kerajaan Negeri, janji bantuan yang akan diberikan adalah berdasarkan pembentangan Bajet Kerajaan Negeri 2011 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang Dewan Undangan Negeri(DUN) terdahulu.
Menurutnya, tiada peruntukan tambahan yang disalurkan kerana fokus Kerajaan Negeri memberi bantuan kepada mangsa banjir sewaktu banjir semata-mata.
“Kini, giliran Kerajaan Pusat untuk menunaikan tanggungjawab mereka membantu mangsa selepas bencana banjir selesai dan saya harap bantuan disampaikan tanpa ada sikap pilih kasih,”katanya.
Ir Phahrolrazi berkata, Kerajaan Negeri masih belum menerima seberang penjelasan mengenai mekanisme yang akan digunakan Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir.
Beliau berharap, bancian bantuan dibuat secara adil dan diagihkan mengikut keutamaan.SH
PAS Parit Buntar minta Zambry kaji semula projek ikan arowana
PARIT BUNTAR, 23 Nov. : PAS Parit Buntar meminta kerajaan negeri Perak mengkaji semula projek ternakan ikan arowana di Bukit Merah kerana laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menunjukkan projek berkenaan menjejaskan kawasan sawah padi di Daerah Kerian.
Pengerusi Lujnah Petani dan Nelayan PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa (Gambar) berkata, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati projek berkenaan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk malah dilakukan tanpa mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan
“ projek ini menjejaskan matlamat utama bekalan air tasik Bukit Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di Daerah Kerian.
“ CAP menyatakan projek ini juga tidak dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan sama ada kajian kesan kepada alam sekitar (EIA) perlu dilakukan atau tidak “ katanya
Bahrain berkata, sekiranya projek ini diteruskan masalah bekalan air sawah di kawasan ini akan menjadi lebih meruncing lagi pada masa akan datang.
“ Takungan air di Tasik Bukit Merah akan sentiasa menurun kesan daripada perlaksanaan projek ini.
“ Pesawah dan petani akan menerima kesan kekurangan bekalan air terutama pada musim kemarau jika paras air di Tasik Bukit Merah berada pada tahap yang kritikal” katanya
Menurutnya, PAS Parit Buntar berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri Perak mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kesan buruk kekurangan bekalan air kepada pesawah dan penduduk di Daerah Kerian.
“ Air Tasik Bukit Merah bukan saja digunakan oleh pesawah di Bagan Serai tetapi juga pesawah di Parit Buntar dan Seberang Perai Selatan.
“ Malah, menjadi kegunaan harian penduduk yang tinggal di Parit Buntar, Tanjong Piandang dan Kuala Kurau” katanya
Penulis blog pro-Umno suka melaga-laga pemimpin PR
ALOR SETAR, 22 Nov. : Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah menafikan dakwaan penulis blog bahawa hubungannya dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak bermasalah sehingga wujud puak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit itu berkata, sehingga kini, beliau tidak menghadapi masalah untuk berbincang dengan Azizan dalam apa jua isu, sama ada isu Kerajaan Negeri mahupun isu parti.
Menurutnya, beliau menyedari terdapat pelbagai spekulasi negatif ditimbulkan beberapa penulis blog kononnya mendakwa beliau kini sedang merancang konspirasi untuk menjatuhkan Azizan bagi merebut jawatan Menteri Besar.
“Saya menyedari terdapat pelbagai dakwaan yang cuba ditimbulkan penulis blog pro-UMNO ini bagi melaga-lagakan saya dengan Menteri Besar, walhal sebenarnya kami bekerja dalam satu pasukan.
“Sehingga kini, saya menganggap hubungan saya dengan beliau (Azizan) tiada masalah, tidak tahulah kalau Menteri Besar memikirkan sebaliknya,”katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.
Sebelum ini, ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail pada sidang DUN minggu lalu, turut menyindir Azizan ‘berseorangan’ dalam insiden pertikaman lidah dengan media baru-baru ini berikutan ketiadaan Exco Kerajaan Negeri dan pemimpin Pas lain mengeluarkan kenyataan menyokongnya.
Ir Amiruddin berkata, ketiadaan Exco Kerajaan Negeri yang mengeluarkan kenyataan menyokong Azizan berhubungan isu kenaikan tarif air dan kelewatan pemberian bantuan mangsa banjir tempoh hari disebabkan keengganan media tempatan melaporkan berita melibatkan Kerajaan Negeri sekalipun kenyataan dikeluarkan.
Menurutnya, Azizan juga tidak pernah mengeluarkan sekatan melarang mana-mana Exco Kerajaan Negeri daripada mengeluarkan kenyataan media sebagaimana digembar-gemburkan sesetengah pihak.
“Cuma, kenyataan media hanya akan kami lakukan untuk mengumumkan sesuatu yang penting sahaja memandangkan kita tidak mahu dilabel sebagai ‘pemimpin yang banyak cakap, tetapi tidak buat kerja’.
“Manakala, bagi isu-isu yang lebih besar, lebih baik Menteri Besar sendiri yang mengadakan sidang media untuk mengelakkan sebarang pertindihan maklumat yang boleh mengelirukan rakyat,”katanya.
Ir Amiruddin juga mengajak rakyat untuk menolak sebarang dakwaan yang cuba menjejaskan keutuhan Kerajaan Negeri di bawah Azizan memandangkan ianya merupakan agenda politik UMNO dan BN yang sentiasa mencari jalan mewujudkan masalah dalam kalangan pemimpin Kerajaan Negeri.
“Rakyat harus merujuk maklumat yang betul daripada pemimpin Kerajaan Negeri dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai dakyah disampaikan menerusi blog dan buletin kerana ianya sudah jelas agenda jahat parti pembangkang yang bertujuan merosakkan keharmonian Pakatan Rakyat,”katanya.
Saksi terdesak rujuk nota laporan semasa rehat
KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siew Sheue Feng didakwa menyegarkan ingatannya dengan merujuk kepada nota laporannya semasa perbicaraan kes Fitnah II ditangguhkan pada waktu rehat walaupun sebelum ini beliau berkali-kali enggan merujuk kepada dokumen tersebut apabila diminta oleh ketua peguambela Karpal Singh. Karpal berkata Dr Siew enggan merujuk kepada laporan proforma iaitu satu senarai yang dilengkapkan sebelum menjalankan pemeriksaan ke atas seseorang pesakit tetapi pada masa yang sama sempat membuat rujukan ke atas dokumen ketika mahkamah berehat. “Ketika mahkamah berehat, saksi memilih untuk menyegarkan memorinya dengan melihat pada laporan. Dia telah mengakuinya. Dia boleh didakwa. Yang Arif harus mengambil masa untuk memutuskan perkara ini,” kata Karpal. Dengan berbuat demikian hujah beliau, doktor tersebut telah melakukan dua kesalahan - menghina mahkamah dan mencampuri pentadbiran kehakiman Jelas Karpal seorang saksi itu terus kekal dalam keadaan mengangkat sumpah walaupun ketika waktu rehat, dan tindakan Dr Siew menyegarkan ingatannya dengan melihat pada nota-nota klinikal menjurus kepada kesalahan menghina mahkamah. Sehubungan itu Karpal mahu mahkamah menyerahkan kepada pihak pembelaan apa sahaja bahan atau dokumen yang telah digunakan oleh Dr Siew untuk mengingat kembali memori beliau. Bagaimanapun Peguam Cara Negara II Datuk Yusof Zainal Abiden membantah dengan mangatakan tiada peruntukan perundangan yang menyekat had masa seseorang saksi menyegarkan ingatannya. |
Dua menteri akan 'mengadap' Gani Patail
KUALA LUMPUR, 24 Nov .: Pentadbiran Najib telah mengarahkan dua menteri Kabinet agar menyoal Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung dakwaan peranan beliau dalam insiden mata lebam melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengejutkan negara 12 tahun lalu. The Malaysian Insider difahamkan Kabinet memutuskan langkah itu selepas seorang bekas pegawai polis Datuk Mat Zain Ibrahim mendakwa mempunyai maklumat terbaru berkaitan insiden itu, yang menurutnya turut melibatkan peranan Gani.
“Sekarang saya telah diarahkan (oleh Kabinet), Datuk Rais dan saya sendiri agar bercakap dengan Peguam Negara. Kami menunggu beliau pulang dari Mekah,” kata Nazri kepada The Malaysian Insider.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu The Malaysian Insider, Kabinet mahu mendengar sendiri daripada Gani sendiri mengenai dakwaan terbaru Mat Zain dalam satu lagi surat terbukanya kelmarin sebelum mengambil tindakan susulan.
“Kami mahu mendengar daripada Peguam Negara sendiri (mengenai surat terbuka).
“Ini perkara yang serius. Jika beliau (Mat Zain) bercakap benar, kita kena mendapatkan maklumat lanjut... tetapi sehingga itu, tiada apa-apa keputusan,” kata Nazri.
Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kelmarin, Mat Zain, yang merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim Kit Siang di Parlimen pada 9 November lalu, mengesahkan telah menghantar e-mel kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur itu pada 14 April lalu.
“Sebagai membalas komen beliau terhadap PDRM berkaitan siasatan kes mata lebam, yang sedikit tersasar. Saya turut megesahkan bahawa kenyataan-kenyataan yang beliau petik daripada surat saya bertarikh 15 April 2009 kepada Lembaga Penasihat SPRM dan surat terbuka kepada YBhg Datin Kalsom Taib bertarikh 8 Oktober 2010 (surat terbuka pertama), yang salinannya saya e-mel kepada Tan Sri, adalah betul setakat yang terkandung dalam salinan-salinan asal surat-surat berkenaan.
“Saya akan merujuk kepada kandungan surat-surat tersebut apabila, atau jika berkenaan,” kata Mat Zain.
Ekoran isu dibangkitkan oleh Lim di Parlimen, Nazri telah memaklumkan bahawa akan membawa isu itu ke Kabinet yang bermesyuarat 12 November lalu.
Beliau turut mengumumkan penjelasan akan diminta daripada Gani bagi memberinya peluang untuk menjelaskan diri beliau yang merupakan hak beliau kepada pendengaran yang adil.
“Saya menyokong sepenuhnya Tan Sri Gani diberikan hak sedemikian oleh kerana hak kesamarataan dari sudut undang-undang dan hak pendengaran yang adil adalah merupakan hak asasi individu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan wajar dihormati oleh semua pihak.
“Bagaimanapun apa yang menjadi kemusykilan saya kini ialah apabila penjelasan diberi oleh Tan Sri Gani, seorang Peguam Negara, dalam bentuk apa sekalipun, sama ada secara lisan atau kenyataan akhbar atau representasi dan lain-lainnya, pihak berkuasa manakah yang layak dan berhak serta mempunyai kuasa untuk memberikan pendengaran adil kepada semua pihak terlibat dalam persoalan ini.
“Dan, tidak hanya adil kepada Tan Sri Gani seorang sahaja. Sesuai untuk saya nyatakan di sini bahawa pihak-pihak yang terlibat, bukan setakat empat individu yang dinamakan dalam laporan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tan Sri Gani, Tan Sri Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara), Dr Abdul Rahman Yusof dan saya sendiri,” katanya,
Mat Zain juga berkata, Jabatan Peguam Negara, polis dan Kementerian Kesihatan juga merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dalam perkara ini.
Malah dalam surat terbuka itu, Mat Zain menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci insiden itu bagi mempertahankan imej dan kredibiliti pasukan polis.
Dalam kenyatannya semalam, Lim yang juga Penasihat DAP berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Nazri berhubung isu yang dibangkitkan oleh bekas pegawai kanan polis itu.
Pada Julai 2008, Anwar membuat laporan polis mendakwa Gani, Mat Zain, Musa yang ketika itu pegawai penyiasat dan Dr Abdul Rahman telah memalsukan satu laporan perubatan mengenai kejadian mata lebam itu.
Tan Sri Rahim Nor, ketika kejadian merupakan Ketua Polis Negara, telah mengaku kepada suruhanjaya diraja siasatan bahawa telah memukul Anwar ketika ditahan di Bukit Aman.
Kejadian itu berlaku selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.
Laungan takbir sambut Tok Guru
KOTA BAHARU 24 NOV : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak umat Islam negara ini mencontohi semangat dan nilai keagamaan sebagaimana diamalkan jemaah haji semasa di tanah suci Mekah.
SPR jadi jurucakap Umno
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, bajet untuk mengadakan pilihan raya-pilihan raya berkenaan perlu ditanggung sendiri oleh kerajaan negeri terbabit kerana sebarang peruntukan terletak di bawah Perbendaharaan Pusat.
Lebih daripada itu, kata beliau, meskipun Menteri Besar atau Ketua Menteri berhak mengisytiharkan pembubaran Dewan Undangan Negeri namun kuasa mutlak dan pemutus akhirnya terletak di tangan Sultan dan Yang Dipertua Negeri.
“Sebab itu kita lihat kerajaan negeri (Pas) Kelantan selama 20 tahun memerintah tidak pernah terfikir pun hendak mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan tarikh yang diumumkan Kerajaan Pusat.
“Jika semata-mata keputusan ini dibuat atas kepentingan politik, ia hanya mengakibatkan pembaziran wang rakyat. Ini termasuk penglibatan jentera-jentera keselamatan dan tambahan lagi masyarakat akan berada dalam keadaan tegang sentiasa sebab tidak habis- habis berkempen dan berpolitik.
“Jangan ingat pula peruntukan hendak adakan pilihan raya negeri ini boleh dapat secara automatik, kalau Perbendaharaan tidak luluskan, bagaimana?” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Ketika spekulasi kemungkinan PRU ke-13 akan diadakan tahun depan, pelbagai pihak dalam pakatan pembangkang pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya bersama dalam PRU berkenaan.
Khir Toyo boleh bercakap dengan cermin
SHAH ALAM, 22 Nov. : Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan tindakan mantan Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa pentadbiran pakatan rakyat Selangor mengamalkan budaya kronisme dalam pengagihan bantuan kebajikan kepada rakyatnya di ibaratkan 'Umpama berdialog dengan cermin'.
Faekah berkata, tiada gunanya kerajaan negeri mengunapakai dasar "Merakyatkan Ekonomi Selangor" atau MES dan menetapkan tema belanjawan 2011 dengan "Hasil Negeri Untuk Rakyat" jika mengamalkan budaya kronisme.
"Kalau kita mengamalkan budaya kronisme dalam agihan bantuan kepada rakyat miskin dan mengutamakan ahli PKR dan PAS, kita tidak akan menamakan ia sebagai 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' dan 'Hasil Negeri Untuk Rakyat'."
Menurut Faekah, dakwaan itu juga sebenarnya mencerminkan dirinya sendiri ketika beliau memerintah Negeri Selangor.
"Kita memberi bantuan dengan melihat kepada keperluan dan keutamaan kepada rakyat dan saya tidak mahu mencabar Khir Toyo untuk membuktikannya, kerana rakyat semua sudah tahu," katanya.
Sebelum ini, Khir mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat bersikap memilih bulu dalam melaksanakan pengagihan bantuan dengan memberi keutamaan kepada ahli PKR dan sekutu mereka iaitu PAS dan DAP.
Faekah berkata, dengan mandat yang diberikan rakyat, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan sistem pentadbiran kerajaan terdahulu dengan menamatkan episod pemberian bantuan 'memilih bulu'.
"Sepanjang perjuangan kita, kita berazam mahu menamatkan politik sempit dan bantuan mengikut bulu, kaum dan kronisme," jelasnya.
Tambah Faekah, sebaliknya kerajaan negeri tidak pernah membeza-bezakan fahaman politik ketika mengagihkan bantuan kepada setiap penerima yang layak mendapatkan pertolongan dan ini sekaligus menafikan dakwaan Khir bahawa kepimpinan Khalid pilih bulu.
Malah ada antara orang umno yang saya jumpa di kampung malu menerima bantuan dan saya katakan makcik layak menerima bantuan ini, ujarnya.
Noh masih berlagak samseng
KUALA LUMPUR, 23 Nov. : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata beliau akan bersemuka dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim untuk menyelesaikan isu pukul di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang pada 4 Nov lepas.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor berkata beliau telahpun menulis surat rasmi kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membolehkannya menemui semua ADUN Selangor termasuk Ng bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Yang Berhormat tidak ada di sana, saya juga tidak ada di sana. Jadi biar dia (Ng) berdepan dengan saya. Yang Berhormat tidak payah campur tangan... saya sedang menunggu bila Menteri Besar Selangor ini hendak jawab surat saya,” kata Noh di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau memberi penjelasan mengenai isu itu kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011.
Dalam kejadian itu, Ng dan pemandunya dipukul kira-kira 30 individu di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang setelah didakwa cuba membuat demonstrasi haram di kawasan berkenaan.
Penjelasan Noh menimbulkan kekecohan di dewan apabila beberapa anggota Parlimen pembangkang termasuk Fong, Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai) bangkit mempertikaikan tindakan Noh yang disifatkan tidak wajar kerana mempertahankan tindakan penduduk kawasan berkenaan.
Serangan bertalu-talu daripada anggota Parlimen pembangkang terhadap Noh itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah yang berterusan hampir lima minit manakala cubaan Noh untuk memberi penjelasan lanjut berhubung isu itu tidak diendahkan oleh pembangkang.
Melihat keadaan semakin tidak terkawal, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandie segera masuk campur dan meminta anggota Parlimen berkenaan menghentikan kekecohan itu.
“Yang Berhormat... Yang Berhormat... cukuplah... isu ini tidak termasuk dalam kementerian,” katanya sekaligus menamatkan kekecohan berkenaan.
Terdahulu, semas menjawab isu kelewatan pemberian pinjaman Tekun Nasional yang dibangkitkan beberapa Anggota Parlimen, Noh berkata beliau telahpun mengarahkan supaya Tekun mengurangkan kerenah birokrasi dan menepati sasaran untuk memberi kelulusan pinjaman dalam tempoh dua bulan.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada berlakunya kelewatan dalam pemberian pinjaman atas pelbagai faktor termasuk kecuaian dalam pengurusan borang pinjaman oleh pegawai.
Sama ada pinjaman Tekun dibuka kepada kaum lain, Noh berkata selain kaum Bumiputera, pinjaman Tekun juga dibuka untuk usahawan kecil dari kaum India manakala setakat ini sekurang-kurangnya 50 usahawan kecil daripada kaum Cina menerima pinjaman daripada tabung berkenaan.
Persidangan dewan bersambung esok. — Bernama