Tuesday, December 21, 2010
Baca amaran tu dah dapat agak kerja puak-puak nak tuduh kerajaan negeri
AYER ITAM, 22 Dis. : Selepas menerima panggilan ugutan, pintu rumah disimbah cat hijau, dipukul sehingga menerima lebih 10 jahitan di muka, semalam nyawa Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM), Liew Yeow Hooi sekali lagi diancam.
Bukan itu sahaja, keretanya yang diletakkan berhampiran rumah, disimbah cat merah, dipercayai angkara orang sama yang mengugutnya sebelum ini.
Yeow Hooi berkata, ini kali kelima beliau diugut dan diancam selepas pekarangan rumah keluarganya di Padang Tembak, disimbah cat hijau Disember tahun lalu.
Mengenai kejadian pagi semalam, Yeow Hooi berkata, beliau hanya menyedarinya kira-kira jam 7.50 pagi ketika mahu mengambil kereta yang diletakkan di hujung jalan.
Beliau terkejut apabila melihat adanya percikan cat merah pada kereta selain dan tujuh kertas bersaiz A4 yang bertulis:
“Amaran Terakhir! Jangan buat bantahan tentang Kerajaan Negeri Pulau Pinang lagi! Jika tidak kita akan bunuh U dan keluarga U! Kali ini kita ajar sikit sama U sahaja kena kereta U tak kena orang. kita bagi U Parti Cinta Malaysia semua habis”
“Saya percaya perbuatan khianat ini angkara orang yang sama dan dipercayai ada kaitan dengan demonstrasi di pekarangan Dewan Undangan Negeri 2 November lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Sebelum ini, Yeow Hooi turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri menaikkan tarif air 27 peratus dan caj letak kereta yang dikenakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sehingga larut malam.
“Dua bulan lalu, saya terima ugutan panggilan telefon daripada seseorang yang melarang saya mengganggu atau membantah apa-apa arahan Kerajaan Negeri.
“Saya anggap mereka tidak profesional. Kita manusia, bukan binatang. Kalau saya ada buat salah, datang berjumpa dan bercakap sendiri,” katanya.
Yeow Hoi bagaimanapun enggan menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi percaya perbuatan itu ada kaitan dengan pihak tertentu yang pernah berselisih faham dengannya.
“Saya tidak takut dengan ugutan ini dan akan teruskan tanggungjawab saya. Tetapi saya minta sesiapa yang terlibat jangan ganggu keluarga saya,” katanya.
Sehubungan itu, Yeow Hoi minta agar polis menyiasat segera semua laporan yang dibuat sejak tahun lalu dan bertindak pantas untuk mengenal pasti dalang di sebalik semua ancaman itu.SH
Projek mega jika gagal kroni Umno tetap untung
SHAH ALAM 22 Dis. : Usaha kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi negara tidak seharusnya meletakkan risiko besar kepada negara dan rakyat jika projek mega itu berhadapan kegagalan.
Ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan kerajaan meluluskan projek aliran transit massa (MRT) berjumlah RM36 bilion, bakal membelit negara dengan hutang apabila syarikat swasta yang bertanggungjawab gagal untuk menguruskannya.
" Pertamanya kerajaan sekarang ini memang dalam fasa menggembar-gemburkan pembangunan dan program-program seperti sembilan projek dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) setiap hari. Menjadi mainan media untuk menyuntik 'feel good factor'
" Tetapi orang bertanya apa sumber pembiayaan, apa cara mereka membiayai projek-projek mega besar ini?,"ujar Dr Dzul ketika dihubungi Tv Selangor.
Sejarah membuktikan projek mega berbilion ringgit yang diberikan kepada syarikat kroni akhirnya memaksa kerajaan menggalas tanggungjawab menjamin keluar projek berkenaan.
Keadaan ini sekaligus menambah bon yang masih belum terlunas terhadap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
" Sebab itu kami cukup khuatir tentang apa yang akan berlaku sekali lagi dalam projek-projek besar kerajaan yang akan berakhir dengan kerajaan sendiri yang akan kembali membiayai dan memiliki yang sepatutnya dimiliki oleh syarikat swasta ini," tambah Dr Dzul lagi.
Terdahulu ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua Kiam Wee berkata, syarikat Prasarana Negara Bhd yang berada di belakang projek ini adalah syarikat sama yang masih belum menutup kos pembinaan pengangkutan kereta api ringan (LRT), walaupun projek berkenaan telah selesai sedekat yang lalu.
Projek MRT ini turut dikaitkan dengan syarikat Gamuda-MMC.
Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2011 antara lain mengumumkan projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Lembah Klang ini akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.
Projek berkenaan dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.
Difahamkan projek ini merupakan projek infrastruktur terbesar di Malaysia dan ia dilakukan secara rundingan terus.
Membidas tindakan kerajaan yang terus-terusan menganugerahkan projek-projek mega negara kepada syarikat milik kroni, Dr Dzul berkata, ia tidak ubah seperti
Zaman pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengayakan kroninya sahaja.
" Pendekatan siapa datang dahulu, dia dapat dahulu. Mana boleh. Itu zaman Tun Dr Mahathir boleh lah begitu," tambah Dr Dzul lagi.
Lebih 25 tahanan ISA masih di Kem Kamunting.
KUALA LUMPUR 22 Dis. : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) terus mendesak kerajaan supaya akta itu dimansuhkan dan meneruskan kempen bagi membebaskan lebih 25 tahanan ISA yang masih di Kem Kamunting.
Antara tuntutan lain termasuk memansuhkan Emergency Ordinanca, Dangerous Drug Acts dan RRA atas alasan melanggar semangat Perlembagaan Negara dan Perkara 9, 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948.
Bercakap ketika sidang media di ibu negara pagi tadi, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak seolah-olah mengenakan corak pemerintahan diktator tanpa mengambil kira desakan umum.
Seterusnya penganiayaan terhadap tahanan tanpa bicara berterusan.
"Lebih setahun, tiada sedikit pun perubahan yang dibuat. Di mana janji Perdana Menteri untuk kaji semula akta ISA?
"Kita telah lakukan dahulu pada tahun 2008 sehingga mengakibatkan BN kalah teruk dan kita tidak teragak untuk melakukannya sekali lagi," jelas beliau.
Syed menambah GMI akan bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Rakyat secara lebih komprehensif dalam isu ini.
"Jika Pakatan Rakyat berjaya memerintah, kita akan sedaya upaya menggunakan suara majoriti menghapuskan akta tersebut," ujar beliau kepada media.
Tambahnya lagi, sebanyak empat blok baru sedang dibina di kem tahanan ISA Kamunting.
Kerajaan PR pertahan rumah rakyat dari diroboh Kerajaan BN
SHAH ALAM 21 Dis. : Kerajaan Negeri Selangor membantah sebarang cadangan untuk merobohkan kira- kira 80 buah rumah di Taman Bakti, Ampang bagi memberi laluan kepada Lembaga Lebuh Raya Malaysia atau LLM bagi membina lebuhraya Besraya dari Sungai Besi ke Pandan Indah.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan, Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad dalam kenyataan medianya berkata LLM sebelum ini membentangkan cadangan alternatif yang tidak melibatkan perobohan rumah di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 25 November lalu.
Namun kini, LLM seolah - olah mahu melanggar persetujuan yang telah dicapai dengan kerajaan negeri apabila menukar pendirian mahu merobohkan rumah - rumah tersebut.
"Mesyuarat MTES ketika itu mengarahkan supaya mengadakan pendengaran awam pada 2006, tetapi saya telah menyemak perkara ini dengan penduduk dan mendapati tiada sebarang gerak kerja untuk pendengaran awam," katanya.
"Saya mengambil tindakan dengan berbincangkan dengan pihak Besraya (LLM) dan saya telah mengutarakan hal ini kepada mesyuarat Exco dan hasilnya Exco meminta Besraya membentangkan semula dalam mesyuarat MTES" katanya lagi.
Iskandar berkata, semasa umno barisan nasional memerintah negeri itu, LLM telah diberi ruang yang luas untuk menjalankan pembinaan lebuh raya itu dengan meroboh rumah penduduk.
Namun, sebaik sahaja pakatan rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan, LLM diarahkan menyediakan alternatif baru tanpa mengorbankan aset rakyat.
"Setelah berbincang dengan pihak Besraya mereka membentangkan 3 alternatif dan akhirnya 1 alternatif dipilih yang mana tidak melibatkan perobohan, alternatif ini telah pun dibincangkan dalam MTES dan telah diterima untuk digunakan,"katanya.
Kerajaan negeri menegaskan, pihaknya tidak akan membenarkan LLM meneruskan pembinaaan itu jika LLM tetap berdegil dengan cadangan perobohan itu.
Asal bukan Umno
Tumbangkan Rejim Rosmah Demi Ketuanan Rakyat Malaysia!
Ketika saya menuntut di sekolah menengah sedekad lampau, saya berada di kelas tingkatan 3 Burhanuddin Helmi. Memandangkan akronimnya BH kami sering menggelarnya BraveHeart. Ini kerana kami terpengaruh dengan semangat juang William Wallace lakonan Mel Gibson dalam filem BraveHeart.
1. 4,428 rakyat berpendapatan kurang 700 ringgit diberi bekalan air percuma sebanyak RM10.00 sebulan.
:: ASAL BUKAN UMNO / ANYTHING BUT UMNO (ABU) ::Bekas pelajar SMDB
Lawyers for Liberty cabar keputusan Mahkamah Tinggi
Peguam Selvach cabar penahanan tidak sah selama dua tahun
Lawyers for Liberty akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusannya menerima bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan yang mendakwa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa mendengar permohonan habeas corpus K Selvach.Habeas corpus adalah perintah mahkamah untuk membebaskan seseorang yang ditahan tidak menurut undang-undang yang sah.
Sebelum ini, K Selvach memberi keterangan dalam kes R Gunasegaran yang mati selepas berada dalam tahanan polis selama dua jam.
Beliau ditahan secara ganas oleh sepuluh polis berpakaian preman dan dipukul di hadapan rumahnya pada 25 Oktober setelah memberi keterangan dalam inkues terbuka mengaitkan pihak polis dengan kematian Gunasegaran.
Dalam inkues terbuka kematian Gunasegaran, koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan keputusan bahawa ‘bukti tidak mencukupi untuk menentukan punca kematian Gunasegaran’.
Mahkamah Tinggi dalam keputusan mereka menerima bantahan awal tersebut, memberikan alasan penahanan Selvach di luar bidang kuasa mahkamah kerana Menteri Dalam Negeri sudah mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun di bawah Seksyen 6(1) akta yang sama.
Lawyers for Liberty berpendapat mahkamah mengabaikan prinsip yang menetapkan permohonan habeas corpus perlu didengari secepat mungkin kerana ia menghalang kebebasan invidu.
“Mahkamah mengabaikan prinsip sedia ada yang menetapkan permohonan habeas corpus perlu disegerakan kerana ia dianggap satu perlindungan tertinggi dari sisi Perlembagaan kepada inidividu yang dicabuli hak mereka oleh undang-undang pencegahan drakonian yang membenarkan penahanan tanpa bicara,” kata Lawyers of Liberty dalam kenyataan mereka.
Namun, apabila permohonan K Selvach difailkan pada 10 November 2010, mahkamah mengambil masa dua minggu untuk menetapkan tarikh pendengaran walaupun pihak peguam bela berulang kali meminta kes tersebut dipercepatkan.
Lebih teruk lagi, pada hari pendengaran, Peguam Kanan Persekutuan memohon untuk menangguhkan tarikh pendengaran kes.
Penangguhan kes tersebut memberikan kesempatan kepada Menteri Dalam Negeri dengan niat jahat mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun untuk melemahkan usaha permohonan habeas corpus.
Lawyers for Liberty berpendapat, keputusan mahkamah yang menerima bantahan Peguam Cara Negara seolah-olah merestui tindakan Menteri Dalam Negeri menahan K Selvach tanpa bicara selama dua tahun.
Nasib si 'kambing hitam'
Mazhazmi Dakwa Dibogelkan Dan Dipaksa Berdiri Sebelah Kaki Oleh Pegawai SPRM
KUALA LUMPUR, 22 Dis. : Bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin, Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Mazhazmi Jamaludin, yang mendakwa didera dan dibogelkan oleh pasukan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM200,000, dua tahun lalu.
Mazhazmi, 36, yang diwakili peguam Shamsul Sulaiman mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di depan Hakim Rozilah Salleh dan memohon untuk dibicarakan.
Dalam prosiding semalam, Shamsul memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya didera ketika disoal oleh anggota SPRM.
“Anak guam saya yang pada awalnya dipanggil memberi keterangan sebagai saksi dibogelkan dan dipaksa berdiri dengan sebelah kaki saja ketika di soal.
“Mazhazmi juga turut dilontar dengan kata-kata kesat sehingga beliau tertekan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Anthony Kevin Morais memberitahu mahkamah jika penderaan itu benar berlaku, tertuduh sepatutnya melaporkan kejadian kepada pihak polis sebelum prosiding semalam kerana penyiasatan terhadapnya selesai pada Jun lalu.
“Tertuduh dilepaskan di bawah jaminan oleh SPRM pada Jun lalu. Dia ada enam bulan jika ingin buat laporan. Kenapa ketika dia dituduh (hari ini) baru isu ini dibangkitkan. Ini perkara mustahil,” katanya.
Mazhazmi dituduh melakukan kesalahan itu sebagai upah untuk mencadangkan MLC Shipbuilding Sdn Bhd mendapat kontrak ‘Construction and Sale of one Derrick Lay Barge (Hull No MLC 12888), Constructution and Sale one (1) unit 75M (Wartsila 8000bhp) Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull No 75083 dan Construction and Sale of one (1) unit 75M (Wartsila 8000bhp) Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull No 75084’' yang bernilai AS$134.2 juta RM422.75 juta).
Dia dituduh menerima wang itu bagi mengesahkan bayaran tertentu pembinaan satu unit Derrick Lay Barge Hull No MLC 12888 dan dua unit Anchor Handling Tug/Supply Vessels Hull No 75083 dan 75084.
Mazhazmi didakwa menerima wang itu daripada pemilik syarikat MLC Shipbuilding, Redzuan Goh Mohammed Karian.
Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rozilah Salleh membenarkan Mazhazmi dijamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari ini sebutan kes.
Sementara itu, SPRM menafikan dakwaan, kononnya tertuduh didera oleh pegawai penyiasat SPRM ketika dalam tahanan reman.
Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, berkata ketika permohonan menyambung reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada 20 Jun lalu, tiada sebarang aduan dibuat oleh, Mazhazmi, berhubung deraan mahupun kecederaan dimaklumkan di hadapan Majistret Mahkamah Kajang.
Pengundi muda Felda DUN Tenang boleh berubah
KUALA LUMPUR 22 Dis.: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) sudah bersedia menghadapi taktik Umno BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang khususnya di kawasan gugusan Felda.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya yakin Umno BN akan mempengaruhi peneroka Felda agar menolak perjuangan Pakatan Rakyat yang sedang membela nasib mereka lapor portal Harakah Daily Online.
"Tapi saya yakin pengundi muda tak sama dengan pengundi terdahulu. Sekiranya mereka kekal dengan cara lama dengan menipu dan menggunakan propaganda mereka untuk memperdayakan generasi muda, mereka tak akan berjaya.
"Jentera pilihan raya kita bersedia menghadapi corak kempen mereka," katanya.
Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS turut menegaskan, Anak masih menanti untuk bersemuka dengan Ahmad Maslan dalam debat terbuka bagi membincangkan isu Felda.
"Bila dia baru-baru ini keluarkan kenyataan pihak yang tuduh Felda bankrap sebagai pengkhianat bangsa, saya telah mengulangi cabaran saya untuk berdebat.
"Saya kata tidak selesai kita terus menuduh dalam keadaan kita dituduh dan tidak boleh membela diri.
"Saya sentiasa bersedia kalau Ahmad Maslan menjadikan medan pilihan raya kecil sebagai medan intelektual untuk mencari satu titik formula tentang isu yang berlaku di tanah rancangan felda.
"Saya tak menjadi masalah tapi yang menjadi masalah ialah mereka hanya pandai tembak kita dari luar tapi sampai masanya bila kita ajak mereka berdebat mereka tak mahu," katanya.
Tiga Felda terletak di Dun Tenang iaitu Felda Cempelak, Felda Cempelak Barat and Felda Tenang.
Tiga kawasan Felda ini mempunyai 4,000 pengundi daripada 14,511 yang berdaftar.
Laman web diserang, webmaster diancam bunuh
SARAWAK 22 Dis. : Lamanweb Sarawak Report, yang sering menerbitkan dokumen-dokumen yang didakwanya bukti kekayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud, nampaknya telah digodam.
Menurut satu kenyataan akhbar, yang dikeluarkan melalui seorang ahli politik pembangkang yang tidak mahu namanya disebut, lamanweb itu kini "offline" untuk sementara.
Menurutnya, ini ekoran beberapa ancaman bunuh yang dihantar melalui emel mereka.
Lamanweb ini mendakwa mereka menjadi mangsa serangan 'edaran penolakan perkhidmatan (DDOS), yang mengarahkan laluan besar ke lamanweb tersebut supaya tidak dapat diakses.
Kenyataan itu berkata, tindakan mematikan lamanweb itu dengan menggunakan berjuta-juta hits adalah proses yang sangat mahal, bahkan lebih mahal daripada mendapat khidmat peguam terbaik.
"Jadi ini mengecilkan senarai suspek dalam kes ini terhadap mereka yang sangat kaya dan mempunyai kepentingan langsung untuk menutup (lawanweb) kami, tetapi tidak suka dihadapkan di mahkamah terbuka," katanya.
Kenyataan itu juga melampirkan sebuah foto "eksklusif" isteri baru Taib, yang dilaporkan berketurunan Lebanon, yang identitinya masih lagi misteri.
Berasaskan kepada barang kemas yang dipakai pengantin tersebut di majlis perkahwinannya, Report Sarawak mendakwa permata itu "tak ternilai harganya pada saiz berkenaan".
Perkahwinan itu dikatakan berlangsung pada hari Ahad di kediaman mewah peribadi Taib di Demak Laut, Kuching.
Majlis itu dilaporkan dihadiri 200 tetamu eksklusif, yang terdiri daripada tokoh politik Sarawak.
Isteri pertama Taib, Laila, yang berketurunan Polish-Australia, meninggal dunia pada April 2009 kerana kanser.-Malaysiakini
Kerah orang pertahan surau, rupanya pemimpin Umno yang jual tanah surau
UMNO/Zainal Sakom Jual Tanah Surau pada Taukeh Cina
Dulu Tulang Besi pernah dedah Majlis Agama Islam Melaka pernah menjual bangunan ada "tauke cina". .
Di Selangor, satu-satunya tanah milik orang Melayu di Rawang rupa-rupanya telah dijual oleh UMNO. Dalam penjualan ini, tokoh UMNO Selangor, Dato Zainal Abidin SAkom terlibat sama.
Tanah tersebut asalnya milik bersama Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB)
melalui SAP Holdings. Pada waktu itu, SAP Holdings adalah ANAK SYARIKAT KDEB.
Namun, pada tahun 2002, KDEB telah menjual saham mereka di dalam SAP HOLDINGS. Pada waktu sekarang, pemegang-pemegang saham SAP Holdings adalah:
Chew Ting Teck, Hung Te Hsin @ Ang Teck Thieng, Siaw Kwee Mow @ Sia Hock Chai, Sip Kew Yin, Tan Kok Yee, Tan Pang Kuan, Chow Soon Tat @ Chew Soon Tat, Chew Teng Meng @ Francis Chew, Chew Siew Ying and Dhew Teng Fook @ Chow Teng Fook.Maka, secara otomatik tanah tersebut jatuh ke tangan SAP Holdings yang dimiliki oleh orang-orang di atas.
Di sinilah kita lihat contoh KETUANAN MELAYU UMNO. Mereka ambil tanah orang Melayu dan jual pada orang lain.
Lepas dah gadai tanah Melayu, mereka cuba tuduh Kerajaan Negeri PR pula yang gadai. Mereka ini benar-benar pendusta dan pembohong.Malaysia Waves
Busuknya perangai Umno : Bila ahli keluar parti, ugut tarik bantuan
Beberapa jam selepas 40 ahli Umno dan MCA Kampung Telok Pelanduk, Port Dickson menyertai KEADILAN baru-baru ini, sekumpulan ahli parti itu khususnya dari Umno mengugut akan menyekat bantuan untuk mereka yang keluar parti.
Jurucakap kumpulan itu, Isa Othman berkata, ugutan itu berlaku kerana pimpinan Umno BN cukup terkejut dengan tindakan drastik masyarakat di kampung itu yang mula berani memperjuangkan hak mereka.
“Umum mengetahui Telok Pelanduk merupakan kubu kuat Umno BN sejak sekian lama dan apabila kami secara beramai-ramai keluar parti, pastinya ia sesuatu yang mengejutkan pihak Umno BN.
“Sebab itu, mereka melakukan ugutan bahawa bantuan kami akan disekat kepada penduduk yang keluar parti walhal berpuluh-puluh tahun kami diabaikan,” katanya kepada Keadilan Daily.
Isa yang juga anggota Umno sejak lebih 30 tahun lalu turut memberitahu bahawa sesuatu yang menghairankan apabila banyak bantuan yang sepatutnya mereka terima selama ini langsung tiada terutamanya kepada warga miskin dan ibu tunggal.
“Berpuluh-puluh tahun hak kami diabaikan dan apabila kami siasat, hanya kroni tertentu sahaja yang menerimanya sedangkan banyak lagi ibu tunggal dan warga emas di kawasan ini dinafikan hak mereka,” jelasnya.
Kumpulan itu meninggalkan Umno pada pertengahan Disember lalu dan menyertai KEADILAN dengan borang mereka diterima sendiri oleh Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Bahrain.
“Itu hanya permulaan dan ratusan lagi ahli Umno BN akar keluar parti secara senyap-senyap selepas ini kerana beberapa penduduk terus diugut jika mengisytihar keluar Umno secara terbuka,” katanya.
Menurut Isa, Telok Pelanduk turut meliputi lima buah kampung dengan jumlah penduduk kira-kira 3,000 dengan lebih 75 peratus daripadanya bersedia menolak Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Berpuluh-puluh tahun kami bersabar dan menderita dan sudah tiba masanya kami bangkit untuk mempertahankan hak kami sebagai mana yang dijamin dalam perlembagaan.
“Merupakan hak kami selaku warga Malaysia untuk memilih parti yang kami sukai dan yakin mampu memperjuangkan hak kami lagipun demokrasi membenarkan ia berlaku,” kata Isa.
Menurut rekod, Telok Pelanduk diasaskan oleh Abdullah Tir yang juga merupakan Datuk kepada Isa.SharpShooter
PR perintah untung, BN perintah tak pernah untung
SHAH ALAM 21 Dis.: EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew mendedahkan hari ini bahawa dana simpanan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah meningkat lebih dua kali ganda sejak di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.
Dalam satu sidang media di I-City, Shah Alam petang tadi, beliau berkata kerajaan negeri juga menyarankan MBPJ dan juga pihak berkuasa tempatan lain di Selangor yang mempunyai dana tambahan agar membelanjakan lebihan dana tersebut untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan masing-masing.
"Sebagai contoh, MBPJ semasa kita ambil alih pada tahun 2008, ia mempunyai dana simpanan sebanyak kira-kira RM80 juta, dan kini setelah dua setengah tahun, dana simpanan MBPJ telah meningkat kepada RM170 - RM180 juta," jelas beliau.
Katanya lagi, peningkatan dari RM80 juta ke RM180 juta merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi kerajaan Pakatan Selangor, dan kerajaan negeri juga telah mencadangkan agar lebihan dana ini digunakan untuk projek tingkat taraf hidup penduduk Petaling Jaya.
Beliau berkata, selain MBPJ, sepuluh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain daripada jumlah 12 PBT di Selangor juga menikmati peningkatan dana yang memberangsangkan.
"Ini satu perkembangan yang sihat, saya harap semua PBT terus majukan, terus perkukuhkan lagi kedudukan kewangan dan bagi PBT yang ada banyak reserve, kita galakkan untuk gunakan dana tersebut bagi memenuhi keperluan para penduduk PBT masing-masing," kata beliau lagi.
Ronnie seterusnya berkata, cara terbaik untuk menggunakan lebihan dana di kesemua PBT di Selangor adalah dengan membelanjakan semula untuk rakyat.
"Jadi PBT yang ada dana lebihan seperti Kajang, Ampang dan sebagainya jangan simpan banyak sangatlah, kita bagi kepada rakyat. Itu caranya," tegas beliau lagi.
Beri peluang PR memerintah
10 perkara asas 100 hari Pakatan Rakyat
KUALA LUMPUR, 21 Dis: Rakyat negara ini tidak perlu teragak-agak untuk memberikan undi kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang kerana jika peluang itu diberikan, semua pihak boleh melihat sendiri perubahan yang akan dilakukan hanya dalam masa 100 hari pemerintahannya dengan perubahan awalnya tertumpu kepada 10 perkara asas bagi kepentingan semua pihak.
Sebaik sahaja Pakatan Rakyat diberikan peluang memerintah negara, perkara pertama yang akan dilakukan dengan mengheret perasuah-perasuah negara ke muka pengadilan, bagi membersihkan negara dari amalan rasuah yang akan merosakkan masyarakat dalam pelbagai aspek.
Setelah itu, ia akan disusuli dengan langkah kedua iaitu menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ternyata merupakan akta zalim dan tidak menepati kehendak Islam, manakala langkah ketiganya pula menstrukturkan semula pinjaman PTPTN bagi memudahkan para pelajar meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan terus menyusun langkah keempat yang melibatkan dasar media dengan memperkenalkan akta kebebasan maklumat iaitu dengan melonggarkan proses permohonan akhbar, majalah atau media yang kini ternyata amat ketat.
Menurut beliau, sekiaranya rakyat negara ini memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah negara, setiap pihak turut berpeluang melihat kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negara dengan lebih baik berbanding Kerajaan BN dalam pelbagai perkara lain termasuk yang melibatkan kebajikan kepada warga emas.
"Kita tidak akan cakap kosong. Sesiapa pun boleh melihatnya. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara, langkah kelima yang akan kita lakukan dengan memberikan keutamaan kepada kebajikan kepada warga emas, iaitu dengan menaikkan kadar bantuan kepada golongan warga emas kepada kadar yang boleh melegakan kehidupan mereka berbanding kadar sekarang yang tidak seberapa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain itu, katanya, langkah keenam yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dengan memperkenalkan dasar kemudahan kebajikan WiFi kepada seluruh rakyat negara ini secara percuma, bagi membolehkan orang ramai mengakses internet dengan lebih mudah.
"Langkah ketujuh pula yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang boleh dilihat oleh orang ramai dalam tempoh 100 hari pemerintahannya berupa janji kita kepada orang ramai untuk mempertingkatkan pendapatan seisi rumah sebanyak RM4,000 sebulan.
"Manakala langkah kelapan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pula ialah dengan memperkukuhkan institusi agama selaras dengan artikel 3 Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.
Tidak sudah dengan itu, Karajaan Pakatan Rakyat turut berjanji akan melaksanakan langkahnya yang kesembilan dengan memperbanyakkan dialog-dialog agama bagi mewujudkan persefahaman dan mengelakkan ketegangan agama di antara pelbagai penganut agama di negara ini.
"Langkah kesepuluh yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dengan menjadikan polis, SPRM dan SPR sebagai badan yang betul-betul bebas dan tidak berpihak kepada sebarang pihak," tegasnya.
Menurut beliau, kesemua perkara yang digariskan itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat jika diberi peluang memerintah negara kerana ia sememangnya berada di bawah kerajaan pusat.
"Lebih jauh dari itu, sebahagian daripadanya sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat, sejajar dengan bidang kuasa kerajaan negeri.
"Antaranya termasuklah kebajikan kepada warga emas yang sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat termasuk Pulau Pinang, Kedah, Selangor, manakala Kelantan pula yang berada di bawah pemerintahan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lama melaksanakannya.
"Begitu juga dengan langkah-langkah membasmikan kemiskinan. Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang berada di bawah Lim Guan Eng kini sudah pun berjaya menghapuskan kemiskinan tegar dengan program-program yang diadakan selaraskan dengan manifestonya.
"Hal yang sama turut giat dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan sejak dulu. Begitu juga dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Kedah yang sedang berusaha keras ke arah itu yang juga boleh dilihat hasilnya oleh orang ramai dari semasa ke semasa, menerusi program-program yang diadakan secara berterusan," katanya.
Menjelaskan perkara itu, beliau mengambil contoh dasar telus, kompitensi dan bertanggungjawab yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat dalam usaha menjimatkan perbelanjaan awam sehingga tertubuhnya C.A.T. (Competency, Accountability, Transparency) di Pulau Pinang, Selcat di Selangor, dasar penjimatan oleh Kerajaan Kelantan yang berada di bawah pemerintahan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga berkemampuan membayar hutang kepada Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, beliau turut memberikan contoh bagaimana bijaknya Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang berada di bawah pemerintahan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam perkara itu dengan mengemukakan bajet yang cukup membanggakan orang ramai bagi tahun ini.
"Hasilnya, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah menerusi dasar berjimatnya, berhemahnya berjaya menyelamatkan pendapatan balak bagi kepentingan rakyat negeri itu sendiri," jelasnya.
Selain itu, beliau turut memberikan contoh tentang kemampuan dan usaha-usaha yang telah dilakukan kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat dalam mengukuhkan institusi agama, dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah memperuntukkan RM36 juta dalam bajetnya tahun ini.
Manakala Kerajaan Pakatan Rakyat Kelantan, Kedah dan Selangor, juga turut memberikan peruntukan yang besar dalam hal itu dan ia pasti akan terus diperkemaskan dari semasa ke semasa.
Mengenai dialog-dialog agama, walaupun kini belum berjaya memerintah negara, tetapi kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat, selaras dengan bidang kuasanya, telah pun mengadakannya dari semasa ke semasa termasuk di Kelantan dan ia ternyata berjaya mengelakkan berlakunya ketegangan agama dan memberikan persefahaman yang baik di kalangan penganut-penganut pelbagai agama di negara ini.
"Tentang dasar media, menghapuskan ISA dan perkara-perkara lain yang berada di bawah kerajaan pusat, kerajaan negeri tak bolehlah buat. Jadi kalau Pakatan Rakyat yang diberikan peluang oleh rakyat negara ini untuk memerintah negara, bolehlah kita buat dan orang ramai bolehlah melihat perubahan yang akan kita lakukan itu," tegasnya.