Wednesday, December 29, 2010
Tiada kuil ditutup , Mike bidas fitnah Gobala
SHAH ALAM 30 Dis.: Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat(PKR) semakin “liar” hari ini apabila mengadakan sidang akhbar bersama pemimpin MIC dan penyokong Barisan Nasional(BN) untuk melontar fitnah berbentuk rasis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gobala memperhebatkan serangannya terhadap Ketua Umum PKR itu setelah beliau tidak dilantik menjadi naib presiden PKR susulan pemilihan parti bulan lalu.
Ahli Parlimen itu mengecam keputusan PKR melantik peguam dan aktivis masyarakat N.Surendran dan sebagai naib presiden PKR.
Beliau mendakwa Surendran dilantik walaupun beliau bukan ahli PKR, malah membuat tuduhan sebelum ini bahawa peguam muda itu tidak berjasa kepada kaum India.
Hari ini Gobala sekali lagi mensasarkan Anwar pada sidang akhbar yang dihadiri bersama oleh wakil Pemuda MIC S. Subramaniam dan wakil Gerakan Anti Samy Vellu K.P. Samy di sebuah restoran di Petaling Jaya.
Kehadiran Gobala bersama penyokong-penyokong Barisan Nasional itu dilihat petanda jelas beliau mencabar PKR untuk mengenakan tindakan displin terhadap beliau.
Beliau diuar-uarkan akan menyertai parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim pada bulan depan.
Pada sidang akhbar pagi tadi, Gobala sekali lagi menuduh Anwar sebagai anti-Hindu dan mendakwa Ketua Pembangkang itu kononnya menutup sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya pada tahun 2008.
Dalam membuat tuduhan itu, Gobala tidak menjawab kenapa beliau membuat tuduhan itu hanya sekarang, setelah gagal dilantik menjadi Naib Presiden PKR.
Hakikat ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya membekukan kerja-kerja mengubah suai kuil itu setelah tapak berkenaan di landa masalah hakisan tanah dan tanah runtuh.
Ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam menolak tuduhan-tuduhan Gobala dan menegaskan tidak ada sebarang campurtangan politik bersabit kuil Sivan di Petaling Jaya.
"Tidak pernah Anwar tutup mana-mana kuil. Ini tidak benar dan fitnah. Bagi saya Anwar tidak pernah tutup kuil. Kuil Bukit Gasing memang ada masalah tanah runtuh. Kita khuatir jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, mereka semua akan salahkan kerajaan Pakatan Rakyat," beliau memberitahu Tv Selangor.
Manikavasagam berkata orang ramai masih dibenar menunaikan ibadat di kuil itu cuma kerja-kerja pengubahsuaian dibekukan sehingga MBPJ mengemukakan hasil siasatanya.
"Jadi kita mahu tunggu laporan daripada Majlis, kalau tiada masalah kita buka. Kalau satu kuil ditutup, saya orang pertama yang akan bising. Tapi dalam isu ini saya tahu kenapa kuil ini ditutup kerana takut kejadian tanah runtuh. Kita selalu fikir pasal keselamatan. Dalam isu ini, Anwar tidak tutup kuil," tambah beliau.
Manikavasagam berkata Gobala tidak berpegang kepada kebenaran apabila menuduh anwar anti-Hindu.
"Siapa cakap Anwar anti-Hindu? Saya diberi bertanding di Kapar, kalau Anwar anti Hindu tidak akan beliau namakan saya calon untuk pilihanraya 2008. Sivarasa (Rasiah) bertanding juga. Kalau dia anti India, tidak ada seorang pun yang akan bertanding. Gobala pun tidak akan bertanding. Saya rasa tidak benar. Saya pun tidak tahu apa YB Gobala fikir,"kata beliau.
Manikavasagam menggesa Gobala supaya menerima keputusan parti melantik Surendran sebagai naib presiden dan memberi tumpuan kepada perjuangan parti.
Kuasa Allah lebih tinggi dari kuasa manusia
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Ekoran beberapa kes yang melanda pentadbiran negeri Selangor, kerajaan negeri itu akan mengadakan solat hajat malam ini.
Majlis solat hajat berkenaan akan diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam.
Dimaklumkan, program tersebut akan bermula jam 6.30 petang sebelum solat maghrib.
Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Arfa'eza A. Aziz, program malam ini adalah bertujuan memohon kesejahteraan, kebenaran dan keadillan kepada kerajaan dan rakyat negeri itu.
"Solat hajat untuk kesejahteraan, kebenaran dan keadilan Selangor malam ini di kediaman rasmi menteri besar di Shah Alam," katanya melalui khidmat pesanan ringkas SMS.
Sehubungan itu, semua rakyat negeri Selangor dijemput menghadiri majlis tersebut yang turut akan diisi dengan ucapan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa pemimpin pakatan rakyat yang lain.
Majlis itu dipercayaai ada kaitan dengan isu terbaru melanda kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu berhubung perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (Suk) yang baru iaitu Datuk Khusrin Munawi oleh pusat berkuat kuasa 1 Januari ini.
Perlantikan Khusrin itu bagaimanapun dipertikai kerajaan negeri kerana mendakwa tidak dimaklumkan kepada pihak Menteri Besar.
Isu tersebut terus menjadi polemik pada masa ini apatah lagi turut melibatkan pihak istana negeri Selangor.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin dalam satu kenyataan semalam tidak menolak kemungkinan ianya didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik pihak tertentu.
Kerajaan negeri juga menurut beliau memohon rakyat Selangor bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan provokasi yang tidak akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik.
Mereka turut menggalakkan persatuan dan pertubuhan masyarakat mengadakan solat hajat di seluruh negeri bagi memberi kekuatan dan kebijaksanaan kepada DYMM Sultan Selangor dan pemimpin Negeri dalam menangani salah faham ini.
Umno tidak kira perlembagaan, yang penting kuasa
Kit Siang : Lantikan SUK Langgar Semangat Perlembagaan Selangor
SHAH ALAM 30 Dis.: Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebenarnya telah melanggar semangat perlembagaan Selangor, dakwa Lim Kit Siang.
Lim Kit Siang berkata demikian dalam blognya hari ini.
"Walaupun tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Tubuh Negeri Selangor di mana Menteri Besar perlu diberitahu ataupun kebenarannya diperlukan, ini merupakan hujah tipis dan tidak boleh diterima.
"Putrajaya juga sepatutnya tidak melibatkan Sultan Selangor dalam isu perlantikan SUK kerana di dalam perlembagaan tersebut, ianya juga tidak menyebut bahawa Sultan harus diberitahu pelantikan tersebut," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.
Ujarnya, apa yang paling penting di dalam konvensyen berperlembagaan adalah perundingan antara Menteri Besar dan Sultan berhubung pelantikan pemimpin utama negeri bagi menjunjung integriti perlembagaan negeri dan memenuhi mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor ketika mereka memilih kerajaan pada pilihanraya umum lalu.
"Walaupun perlembagaan Negeri Selangor tidak menyatakan dengan jelas peranan Menteri Besar berhubung pelantikan setiausaha negeri, ia juga turut tidak menyatakan dengan jelas peranan Sultan pada hal yang sama.
"KSN yang diberikan tugas dalam membuat pelantikan itu seharusnya sedar akan pakatan politik yang berbeza antara persekutuan dan kerajaan negeri Selangor dan yang paling penting bagi memastikan pelantikan itu menjadi jambatan penghubung atau sekurang-kurangnya tidak dilihat sebagai bertentangan antara kepentingan kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan," tegas beliau.
Menurutnya lagi, Perkara 55 di dalam Perlembagaan Negeri Selangor di mana "Sultan harus bertindak atas nasihat" menyatakan bahawa Sultan harus bertindak bersesuaian dengan nasihat daripada anggota Exco negeri kecuali untuk kes-kes tertentu - (dan pelantikan SUK bukan merupakan kes yang luar biasa di mana Sultan boleh bertindak dalam kebijaksanaannya).
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut meminta Sidek menghentikan pelanggaran semangat dan kandungan perlembagaan negeri dalam isu perlantikan SUK Selangor dengan melakukan proses perundingan dengan Menteri Besar berhubung pelantikan tersebut bagi mengelakkan negara dan rakyat dari terjerumus dalam krisis Perlembagaan.
Seluruh dunia bercakap tentang kecekapan Khairul Fahmi menjaga gawang Malaysia
Kehebatan Penjaga Gol Malaysia,Rangking Kelima Tertinggi Twitter
KUALA LUMPUR 30 Dis. : Persembahan cemerlang penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bukan sekadar mampu menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.
Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan 'Support Timnas', yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.
Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.
Laman Facebook beliau mendapat hit sebanyak 57,000 daripada peminat, ketikaa rtikel ini ditulis kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada5 0,000 peminat sebelum perlawanan bermula.
Khairul Fahmi, 21, berupaya menyelamatkan lebih daripada 10 percubaanmendebarkan oleh pasukan Indonesia yang menyerang secara agresif sejurus selepaswisel perlawanan dibunyikan.
"Terima kasih kerana mengembalikan 'keseksian' dalam bola sepak Malaysia,"kata seorang peminat dalam laman bola sepak pemain itu.
Lima daripada 10 trend teratas Twitter seluruh dunia didominasi perlawanan bola sepak yang berlangsung selama 90 minit pada pertandingan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno.
Sebelum ini, Twitter juga menjadi platform kepada penyokong bola sepak Indonesia yang berang dan mendakwa Malaysia memenangi perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur secara tidak adil, manakala penyokong Malaysia lebih gemar menunjukkan sokongan dan kecintaan mereka menerusi Facebook.
Seorang lagi pemain cemerlang, Mohd Safee Mohd Sali, hampir mendapat hit 17,000 "Like" dalam Facebook dari 15,000 pada separuh masa perlawanan.
Mohd Safee yang menjaring gol pertama pada perlawanan akhir kedua, turut merangkul gelaran sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah lima gol.
Apa yang paling menarik ialah pemain Manchester United iaitu Rio Ferdinand turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dalam akaun twitternya,@rioferdy5.
"Tahniah kepada Malaysia yang menewaskan Indonesia pada final Piala Suzuki. Saya pernah bermain menentang pasukan bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lepas.Memang satu pasukan yang bagus," katanya.
Dilaporkan bahawa penduduk Asia Tenggara merupakan pengguna terbesar Twitter dan Facebook dengan Indonesia mempunyai 15 juta 'tweeters', ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Brazil, manakala rakyat Malaysia mempunyai'friends' Facebook paling ramai dengan purata 230 setiap pengguna.
BERNAMASkuad muda Malaysia mampu cipta sejarah lebih cemerlang
JAKARTA, 30 Dis. : Skuad "Harimau Malaya" akhirnya merangkul Piala AFF Suzuki 2010 setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 meskipun diawal pertandingan, ia tumbang 5-1 dengan pasukan tuan rumah menjadi pasukan pilihan bagi menjuarai pertandingan itu.
"Kami datang ke sini dengan berbekal tiga gol dari pertandingan di Bukit Jalil, sehingga di sini, kami penuh berkeyakinan dan optimis," kata jurulatih pasukan bola sepak Malaysia K. Rajagobal selepas perlawanan akhir kedua di sini Rabu malam.
Malaysia bangkit dari kekalahan awal pada peringkat kumpulan A, yang disifatkan Rajagobal akibat kesilapan anak buahnya.
Jurulatih yang sentiasa tersenyum itu berkata, beliau sentiasa yakin pasukan muda bimbingan mampu menjuarai pertandingan kali ini selepas menumbangkan juara bertahan Vietnam 2-0 pada peringkat separuh akhir pertama yang berlangsung diMalaysia.
Beliau memuji anak buahnya, terutama pemain barisan pertahanan yang mampu menghadapi serangan pasukan Indonesia yang disifatkan mempamer permainan baik malam tadi.
Rajagobal juga bangga dengan gol "canggih" Mohd Safee Mohd Sali yang membakar semangat pasukan Malaysia dan sekaligus menyebabkan kekuatan mental pemain Indonesia terjejas.
"Saya puji para pemain, mereka memang berhak menjadi juara Suzuki AFF Cup ini," katanya.
Mengenai strategi permainan, jurulatih itu berkata beliau dapat membaca corak permainan pasukan Indonesia yang perlu menjaringkan empat gol tanpa balasan bagi merangkul kemenangan.
"Saya tahu Indonesia akan bermula dengan agresif dan serangan bertubi-tubi untuk menjaringkan gol, sehingga saya memberikan perhatian yangl ebih agar pemain tidak memberi ruang kepada pemain Indonesia," katanya.
Di babak kedua, Malaysia tampil lebih agresif, walaupun Indonesia menjaringkan lebih banyak gol.
Sementara itu, jurulatih Indonesia Alfred Riedl turut memuji permainan anak didiknya, bahkan menurut beliau, babak pertama perlawanan akhir malam ini merupakan 45 minit terbaik yang pernah dipamerkan pasukan Garuda.
Pasukan "Garuda" memulakan pertandingan ini dengan persembahan yang sangatmeyakinkan sehingga menjadi pilihan sebagai juara pada tahun ini. Riedl berkata pemainnya tidak bernasib baik kerana mereka telah berusahadengan baik selepas mempamerkan aksi buruk di Stadium Nasional Bukit Jalil padaperlawanan akhir pertama. "Tahniah untuk Malaysia," kata Riedl.
Mohd Safee, penjaring gol terbanyak pula berkata beliau amat gembira dengan kejayaan Malaysia.
"Saya tak jangka menang pada kejohanan ini, dan syukur Alhamdulillah, saya dapat bantu menjaringkan gol pada malam ini," kata pemain yang dikhabarkan mendapat tawaran dari beberapa kelab bola sepak di Indonesia itu.
BERNAMA
PAS akan pertahan Kedah
ALOR SETAR 30 Dis. : PAS sesekali tidak akan memberi peluang kepada Umno-Barisan Nasional untuk merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat, tegas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Memetik laporan Harakah Daily Online, biarpun adanya perubahan pada pucuk kepimpinan Umno negeri di Kedah, ia tidak akan memberi apa-apa impak terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui oleh PAS selama ini.
"Walau apa pun aspirasi mereka, PAS tidak akan sekali-kali memberi peluang kepada Umno untuk meneruskan hasrat mereka untuk mencapainya dengan jalan yang mudah. Siapa saja yang menjadi pesaing kepada parti lawan, kita akan terus berjuang tanpa menyerah kalah kepada mereka," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Bashah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata menggantikan Datuk Seri Shafie Afdal sebagai Pengerusi Umno Kedah.
Rombakan yang dibuat itu juga sebagai salah satu alternatif Umno bagi menguatkan barisan kepimpinan negeri yang terdiri dari pemimpin tempatan menjelang pilihan raya umum yang dijangka akan bermula tidak lama lagi.
Sandiwara Umno : Ahli Umno masuk Umno masuk paper
IPOH, 29 Dis. : UMNO Bahagian Parit dikatakan cuba menutup isu utama yang akan menggugat sokongan rakyat terhadap mereka dengan menyatakan 50 ahli PKR cabang Parit menyertai parti itu.
Ketuanya, Kapten (B) Usaili Alias berkata, pimpinan UMNO Bahagian Parit cuba mengalih perhatian penduduk mengenai isu lebih besar melibatkan penyelewengan tanah seluas 40 hektar di Seri Iskandar.
Menurut beliau, kenyataan kononnya kira-kira 50 ahli PKR keluar parti itu adalah fitnah dan sengaja diada-adakan untuk memburuk-burukkan PKR.
“Saya cabar mereka untuk berdebat mengenai isu yang mereka timbulkan ini, iaitu kononnya ada ahli PKR yang keluar parti dan isu penyelewengan tanah di Seri Iskandar yang telah digadai kepada pihak lain.
“Semua yang dilaporkan itu telah mencabar kewibawaan saya sebagai Ketua Cabang dan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika mereka gagal mengemukakan bukti kukuh berkenaan dakwaan itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.
Sinar Harian semalam menyiarkan berita mengenai tindakan 50 ahli PKR Cabang Parit menyertai UMNO kerana muak dengan kepimpinan tertinggi parti itu.
Menurut Usaili, isu penyelewengan tanah di Seri Iskandar itu cukup serius kerana ia melibatkan kepentingan penduduk di Parit.
Beliau berkata, tanah itu sebenarnya milik Yayasan Parit yang diwujudkan bagi membantu masyarakat yang kurang bernasib baik membaiki kehidupan mereka.
Menurut beliau, bukan sahaja isu penyelewengan tanah itu akan didedahkan selepas ini, lebih banyak lagi penyelewengan lain yang dilakukan oleh pemimpin UMNO akan didedah.
Usaili berkata, Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faizal Effendi Hashim dipercayai orang penting di sebalik dakwaan keluar parti itu.
“Mereka (Mohd Zaim dan Faizal Effendi) ini adalah petualang kepada politik Melayu. Pemimpin seperti mereka inilah yang menghancurkan kekuatan politik Melayu,” katanya.
Menurut beliau, semua 50 ahli PKR yang dikatakan keluar parti itu sebenarnya orang-orang UMNO yang cuba berlakon untuk menunjukkan kononnya PKR sudah hilang sokongan.
“Saya bagi masa sehingga 31 Disember ini kepada mereka untuk menyahut pelawaan saya berdebat. Jika tiada sebarang jawapan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.SH
Tahun baru, harga pun baru
PETALING JAYA, 30 Dis. : Rakyat negara ini dijangka akan menyambut kedatangan tahun baru 2011 dengan perasaan yang kelat berikutan wujudnya tanda-tanda awal berlakunya kenaikan harga barangan pengguna pada awal tahun nanti.
Spekulasi kenaikan harga susu sejat dan susu krim di antara 20 sen hingga 30 sen pada permulaan tahun baru juga semakin bertiup kencang pada masa ini.
Sebelum ini sebuah syarikat pengeluar susu sejat dan krim mendakwa kenaikan harga gula akan turut memberi implikasi kenaikan harga produk keluaran mereka berikutan gula sebagai salah satu bahan utama produk mereka.
Kesan berantai kenaikan harga daripada langkah rasionalisasi subsidi yang diumumkan kerajaan itu dijangka turut memberi kesan terhadap harga makanan dan minuman oleh pengusaha restoran.
Manakala tinjauan di beberapa kedai runcit sekitar negeri Selangor pula mendapati bekalan minyak masak dalam paket 1kg semakin berkurangan, keadaan yang sama sebelum berlakunya kenaikan harga gula pasir sebelum ini.
Ketika beberapa peniaga yang memberitahu mereka telah kehabisan bekalan minyak masak, beberapa peniaga lain pula terpaksa menghadkan pembelian kepada satu paket sahaja untuk setiap pelanggan.
Minyak masak juga merupakan antara barangan yang tersenarai dalam pelaksanaan langkah rasionalisasi subsidi yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
Memetik berita yang disiarkan oleh sebuah stesen tv swasta malam tadi, bekalan kelapa turut mengalami kekurangan yang ketara di beberapa tempat di Semenanjung khususnya di sebelah Pantai Timur dan mengakibatkan kenaikan harga santan.
Harga bahan api dijangka naik lagi
Sementara itu, Gabenor OPEC Iran, Mohammad Ali Khatibi dalam satu kenyataannya dalam laman sesawang Shana, Kementerian Minyak semalam, menjangkakan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa akan mencecah US$100 setong.
Harga komoditi utama dunia itu telah mencecah paras tertingginya semenjak 2008 dengan US$95 setong pada Jumaat lalu, sebelum ditutup pada harga US$93 pada hari yang sama.
Berdasarkan formula apungan harga minyak yang diguna pakai oleh kerajaan, kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia ini akan mempengaruhi harga pengguna bahan api itu di pasaran tempatan.
Pada masa ini harga bahan api terbabit pada setiap liter ialah RM1.90 bagi petrol Ron 95, RON97-RM2.30, diesel-RM1.80 dan gas petroleum cecair (LPG)-RM1.90 bagi setiap kilo gram.
Rasionalisasi subsidi beri kesan kenaikan inflasi 2011
Sementara itu, dalam satu laporan yang diterbitkan oleh CIMB Research sebelum ini, Pemotongan subsidi akan memberi tekanan kepada indeks harga pengguna (CPI).
Menurut Ketua Ekonomi CIMB, Lee Heng Guie langkah kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi akan menyebabkan kenaikan inflasi yang lebih tinggi pada tahun 2011 dan pengguna akan menerima kesannya.
"Rasionalisasi subsidi yang berterusan akan meningkat kadar inflasi untuk 2011 dan kesannya akan lebih dirasai pada tahun itu.
"Oleh yang demikian, kami meningkatkan ramalan kenaikan CPI lebih tinggi kepada 3% dari 2.5% sebelumnya," kata laporan itu.
Malaysia perlu pergi lebih jauh
JAKARTA 29 Dis. : Sebelas anak muda Malaysia mengecewakan jutaan rakyat Indonesia apabila berjaya menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam sejarah.
Persembahan mantap pasukan Malaysia berjaya menenggelamkan sorakan dan bunyian ribuan vuvuzela serta menahan serangan 'laser' penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF edisi 2010.
Biarpun tewas 2-1, persembahan bertenaga Malaysia berjaya mempertahankan kelebihan 3-0 yang dibawa dari Stadium Bukit Jalil dua hari lalu dengan agregat 4-2
Walau diasak bertubi-tubi Indonesia gagal meroboh benteng Malaysia apabila persembahan cemerlang Khairul Fahmi Che Mat berjaya menahan setiap serangan Indonesia termasuk satu sepakan penalti pada separuh masa pertama.
Penyerang sensasi Malaysia, Safee Sali memecah kebuntuan menerusi larian menarik ala 'Wayne Rooney' pada minit ke 54 menewaskan penjaga gol Indonesia, Markus Harus Maulana dan menghentikan seketika sorakan puluhan ribu penyokong Indonesia.
Malaysia terus bertahan apabila Indonesia menggandakan asakan sehingga Mohamed Nasuha dan Mohammad Ridwan yang menjaringkan gol pada minit ke 71 dan 88.
Piala AFF Suzuki merupakan kejohanan paling berprestij dalam rantau ASEAN ini dulunya dikenali sebagai Piala Tiger.
Kali terakhir Malaysia layak ke Final adalah pada edisi pertama tahun 1996 namun tewas 1-0 kepada Thailand.
Jangan ada 'gunting dalam lipatan' dalam pentadbiran Selangor
SHAH ALAM 29 Dis. : Pegawai-pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor menggesa kerajaan mengadakan sidang mesyuarat tergempar di Majlis Undangan Negeri bagi menolak Ketua Setiausaha Negeri lantikan Kerajaan Pusat.
Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail, berkata langkah ini perlu bagi melindungi kepentingan rakyat Selangor.
Razak berkata demikian mengulas laporan media yang melaporkan pihak Istana telah meluluskan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Khusrin Munawi ke jawatan kanan itu bermula 1 Januari depan.
"Saya mencadangkan persidangan tergempar menolak perlantikan Khusrin. Kita tidak mahu Khusrin menjadi gunting dalam lipatan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat ," kata Abdul Razak Ismail.
Razak menegaskan peristiwa ini adalah bukti manipulasi istana oleh Barisan Nasional.
"Istana digunakan untuk menghalalkan cara oleh Umno dan BN yang mahu merampas Selangor," katanya.
Syed Sahir gagal pertahankan jawatan Presiden MTUC
SHAH ALAM 29 Dis. : Pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia(MTUC) yang berlangsung hari ini menyaksikan kemenangan Khalid Atan sebagai Presiden dengan undi 255 kalahkan Syed Shahir Syed Mohamod yang hanya meraih 213 undi.
Bagi jawatan timbalan presiden Mohd Jaafar Majid menang 170 undi kalahkan dua calon, P Maniam 157 dan Abd Razak Mohd Hassan 140 undi.
Manakala jawatan Setiausaha Agung disandang oleh Abd Halim Mansor dengan undi 188 undi mengalahkan J Solomon 117 undi dan Abdullah Sani Abdul Hamid 165 undi.
Timbalan Setiausaha Agung Samuel Devadason meraih 291 undi kalahkan R Jeyakumar 175 undi.
Setiausaha Kewangan dimenangi Awang Ibrahim dengan 244 undi kalahkan Abdullah Abu Bakar 225 undi
Pemilihan MTUC berakhir hari ini dengan lancar dimana ratusan delegasi mewakili kesatuan-kesatuan pekerja membuang undi bagi memilih pucuk pimpinan MTUC untuk tiga tahun akan datang.
Pengundian bermula jam 9 pagi tadi dan berakhir pada 1.30 petang dengan 479 delegasi membuang undi, daripada 552 yang hadir untuk persidangan dua hari bermula semalam.
MTUC merupakan kesatuan pekerja kedua terbesar di malaysia selepas Cuepacs dengan keahlian kira-kira empat juta ahli.
Bilangan delegasi pula ditentukan berdasarkan jumlah keahlian sesuatu kesatuan pekerja di mana ditentukan satu delegasi untuk setiap 500 ahli.
Pemilihan kali ini dijangkakan sengit di mana pengerusi MTUC untuk dua penggal, Syed Shahir akan mempertahankan kerusinya menentang seorang veteran aktivis pekerja, Khalid Atan.
Mana Umno, mana Perkasa dah seminggu dah ni
Selasa, 28 Disember 2010, genaplah seminggu tersiarnya laporan mengenai cadangan Kerajaan Negeri Melaka menukar kereta rasmi bagi kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)nya pada tahun depan.
Malangnya, impak penyiaran berita itu sama sekali berbeza dengan laporan serupa yang pernah tersiar di media kira-kira dua tahun lalu. Berita yang melibatkan perkara sebegitu penting bagi sebuah kerajaan hanya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang ulasan atau laporan susulan mana-mana media arus perdana.
Ia hanya muncul sekali itu dan terus menghilang dari paparan media. Bahkan, tidak mustahil jika dikatakan sebahagian besar rakyat negara ini langsung terlepas pandang akan perkara itu.
Sedangkan berita disiarkan minggu lalu itu bukan berasaskan kenyataan atau maklumat tidak rasmi dari sumber tertentu. Ia sebaliknya dipetik secara bertanggungjawab dari kenyataan dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sendiri.
Sebuah akhbar arus perdana pada 21 Disember memetik beliau sebagai berkata, kerajaan negeri pimpinannya mencadangkan penggunaan kereta baru jenis Honda Accord atau Nissan Teana V6 bagi kegunaan Exco, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pegawai undang-undang dan pegawai kewangan. Ia bagi menggantikan kereta jenis Proton Perdana Eksekutif yang digunapakai kini.
Sebetulnya cadangan sedemikian bukan lah suatu yang pelik atau layak diperbesarkan. Menukar kereta baru tidak lebih suatu rutin kerajaan, terutama apabila sampai tempoh tertentu penggunaan kenderaan rasmi sedia ada.
Di atas berbagai sebab, termasuk kos penyelenggaraan, keselesaan penggunaan dan seumpamanya, keperluan menukar kepada kereta baru tidak sukar dirasionalkan. Alasan diberikan Mohd Ali juga melibatkan rasional sama.
“Sejak 10 tahun lalu kenderaan rasmi jenis Proton Perdana Eksekutif digunakan Exco, tetapi kita terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi akibat pelbagai kerosakan,” katanya.
Sebelum ini pun rakyat tidak begitu mengambil pusing tindakan mana-mana kerajaan menukar kereta rasmi, walau seberapa kerap mereka berbuat demikian atau melibatkan apa juga jenama pembuatan kenderaan terbabit.
Namun itu cerita sebelum 2008, atau lebih tepat lagi sebelum berlakunya tindakan menukar kereta rasmi oleh kerajaan negeri Perak yang ketika itu diperintah Pakatan Rakyat (PR). Apabila langkah kerajaan negeri itu menukar kereta rasmi dimanipulasi para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan diseret secara negatif oleh media-media talibarut parti itu, maka ia seakan menjadi kes pemula kepada pertikaian rakyat terhadap tindakan sedemikian.
Dalam ertikata lain, jika tidak kerana kerakusan BN dan kegelojohan media dikuasainya memperbesarkan langkah kerajaan Perak itu, maka isu penukaran kereta rasmi kerajaan tidak sepatutnya menjadi isu.
Malangnya, agenda biasa pemerintahan yang telah sekian lama dilakukan BN sendiri itu telah dimanipulasi secara tidak bertanggungjawab. Tanpa tangguh kerajaan PR Perak menjadi sasaran kecaman para pemimpin BN sebaik sahaja Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan kerajaannya telah memesan 16 buah kereta jenis Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Perdana V6 yang digunakan ketika itu.
Keadaan diburukkan menerusi perlumbaan media-media talibarut BN yang sengaja menyorot dan membuat tinjauan susulan isu berkenaan secara negatif. Komen dan ulasan pelbagai pihak sengaja ditonjol dari perspektif memburukkan kerajaan PR.
Alasan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi diberikan Nizar turut dipertikaikan. Bahkan, kenyataan pihak pengurusan Proton turut dipetik semata-mata untuk menafikan produk keluarannya berisiko mengalami kerosakan agak kerap seperti didakwa.
Ia sekaligus bagai menafikan fakta perbelanjaan RM1.3 juta bagi kos penyelenggaraan ditanggung kerajaan Perak antara 2004 hingga 2008 sepertimana dimaklumkan Nizar.
Kini, kita tertunggu-tunggu bila lagi pihak pengurusan tertinggi pengeluar kereta nasional itu akan menafikan dakwaan Mohd Ali pula. Jika benar bagai didakwa mereka ketika menyangkal kenyataan Nizar dua tahun lalu, tempoh seminggu yang telah berlalu kini sepatutnya lebih dari cukup untuk mereka tampil dengan penafian sama.
Tidak cukup setakat itu, pertikaian terhadap tindakan kerajaan PR Perak dulu turut diseret sehingga membabitkan isu patriotisme terhadap negara. Telah menjadi dasar kerajaan sejak beberapa tahun lalu untuk menjadikan kereta Proton sebagai kenderaan rasmi pembesar kerajaan.
Justeru, tindakan Perak menukarkannya dengan kereta import dianggap tidak patriotik. Pelbagai pihak tampil mengecam kerajaan negeri itu kononnya membelakangkan kereta nasional.
Malah isu itu secara tersirat semacam sengaja diseret bagi memberikan gambaran menakutkan tentang kemungkinan identiti negara tergugat sekiranya PR mengambil alih kuasa di peringkat Pusat.
Kini, sekali lagi kita tertunggu-tunggu bila lagi penilaian dan label sama dilontarkan kepada Mohd Ali dan kerajaan Melaka pula. Bukankah kereta baru pilihan mereka juga bukan model buatan tempatan?
Ke mana pula hilangnya nilai patriotisme yang kononnya amat dipertahankan para pemimpin dan penjuak BN dua tahun lalu? Ataukah dalam perkiraan mereka, asal saja sesuatu itu dibuat BN, semuanya dikira okay, walau pun dianggap amat negatif sekiranya perkara sama dibuat parti lawan.
Jika begitu halnya, dan setakat ini memang pun itulah hakikatnya, maka BN jangan salahkan orang jika dinilai sebagai bersikap dwi-piawai, hipokrit, lidah bercabang, talam dua muka dan berbagai label seumpamanya.
Umno heret istana, takut berhadapan dengan rakyat
KUALA LUMPUR 29 Dis.: Pengarah Penerangan Kerajaan Selangor Dr Badrul Amin Baharom mendedahkan cubaan licik Umno-Barisan Nasional(BN) untuk sekali lagi mengheret istana negeri bersabit perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.
Putrajaya menamakan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS, Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK baru semata-mata untuk memenuhi agenda politik pemerintah, kata Badrul.
"Siapa yang mulakan isu Sultan? Mereka (Umno-BN). Kalau ikut undang-undang, tidak perlu pun perkenan dari Sultan. Tetapi siapa yang mula mainkan (nama) Sultan ini? Bukan kah mereka?
"Apa tujuannya? Untuk memainkan sentimen rakyat supaya rakyat kata jangan lawan Sultan. Jadi isu ini digunakan untuk perangkap kita. Jadi seolah-olah ada cara atau usaha untuk melagakan kita dengan pihak istana," jelas Badrul.
Beliau menegaskan pelantikan Khusrin sekadar untuk memenuhi agenda politik Umno, justeru Putrajaya meminggirkan kerajaan negeri dalam pelantikan jawatan penting itu.
" Apa yang kita faham, tindakan ini adalah tindakan jahat, berniat jahat untuk melaksanakan agenda jahat Umno-Barisan Nasional ke atas negeri Selangor," katanya lagi.
Nama Khusrin disyorkan oleh Putrajaya manakala kerajaan negeri pula telah mencalonkan tiga nama lain hasil temuduga khas yang diadakan bagi memastikan proses pelantikan dijalankan secara telus dan berwibawa.
Bagaimanapun ketika Khalid berada di luar negeri, Putrajaya mengambil kesempatan untuk menobatkan Khusrin sebagai SUK baru.
"Alangkah baiknya kalau perlantikan itu rujuk kepada kerajaan negeri. (Yang berlaku sekarang) ialah orang yang akan melakukan pentadbiran kerajaan negeri adalah orang yang bukan dicadangkan oleh kerajaan negeri," tambah Badrul lagi.
Analisa undi pos, talian hayat Umno
PERSOALAN sekarang mengapa pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beriya-iya benar mempertahankan sistem pengundian pos.
Mereka seolah-olah bermati-matian bagi memastikan sistem itu terus relevan, biar pun negara sudah lama keluar dari status darurat. Komunis yang pernah menggugat negara sudah lama meletak senjata.
Contoh mudah dapat dilihat berlaku di Galas pada 4 November lalu. Undi pos yang diterima PAS hanya 26 undi (17.68 peratus) berbanding dengan BN (82 peratus).
Begitu juga di mana-mana sahaja pilihan raya undi pos menjadi penyelamat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kecuali pilihan raya umum 1999.
Di Jeli undi pos di kalangan askar wataniah di Kem 301 dan Kem 302 berjaya menyelamatkan karier politik Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi mempertahankan kerusi parlimen Jeli masuk penggal kedua.
Begitu juga Datuk Mohd Alwi Che Ahmad diselamatkan undi pos di Kem Desa Pahlawan untuk meneruskan penguasaan Umno di Dun Kok Lanas.
Ramai menyebut undi pos menjadi penyambung hayat kerajaan BN dan menyelamatkan maruah Umno.
Maka bagi memastikan kubu tersebut tidak dirobek Pakatan Rakyat dalam misi melangkah ke Putrajaya, kerajaan BN merancang mewujudkan satu kompeni askar wataniah di semua 222 kawasan Parlimen.
Malah kerajaan BN tanpa berselindung menyebut hampir mencapai sasaran apabila 172 kawasan parlimen telah diisi dengan pasukan itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Ismail Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian itu menjangka askar wataniah akan ditempatkan di 50 kawasan lagi menjelang tahun hadapan.
Malah kementerian itu mensasarkan seramai 66,600 anggota dalam tempoh lima tahun akan datang, di mana kini difokus di Sarawak dan Perak.
Tahun lepas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan satu kompeni askar wataniah di 222 kawasan Parlimen bagi memantapkan sistem pertahanan negara.
Difahamkan satu kompeni mengandungi sekurang-kurang tiga plakton atau 105 anggota. Jumlah itu tidak termasuk isteri setiap askar wataniah yang turut didaftar sebagai pengundi pos.
Ini bermakna seramai 210 pengundi pos dari kalangan askar wataniah terdapat di setiap kawasan parlimen. Kalau didarab 222 bermakna terdapat 46,620 pengundi pos baru di seluruh negara.
Sedangkan sasaran kerajaan mempunyai 66,600 askar wataniah di seluruh negara. Dan jumlah itu kalau didarab isteri setiap anggota menjadikan jumlah undi pos seramai 133,200 orang.
Bermotif politik
Seorang bekas pegawai tentera ketika ditemui berkata, penubuhan satu kompeni askar wataniah di setiap kawasan parlimen sebenarnya lebih bermotif politik dan bukan semata-mata bagi memantapkan pertahanan negara.
Katanya, setiap anggota wataniah akan didaftar di bawah undi pos sebagai strategi bagi menyelamatkan Umno dan BN.
”Itu belum lagi dicampur dengan isteri setiap anggota askar wataniah. Kewujudan kem askar wataniah merupakan pakej penyelamat kerajaan BN,” katanya di sini.
Difahamkan bilangan anggota tentera termasuk unit infantri, Askar Melayu Diraja dan renjer sebelum ini berjumlah lebih 130,000 orang.
Bagaimanapun daripada jumlah tersebut anggota tentera yang benar-benar berkhidmat di luar kem termasuk di sempadan hanya dalam jumlah agak kecil.
Selebihnya anggota bahagian sajian dan perkhidmatan yang bertugas di unit gaji dan perbekalan. Mereka tidak dikerah berkhidmat di luar kem untuk melayakkan disenarai sebagai pengundi pos.
Namun kerajaan BN tetap menyenaraikan setiap anggota tentera dan polis sebagai pengundi pos biar pun mereka tidak berkhidmat di tempat yang kritikal.
”Malah pegawai tentera yang berpangkat Jeneral tidak pernah bertugas di perbatasan untuk disenaraikan sebagai pengundi pos.
”Mengapa mereka dibolehkan keluar bermain golf, sedangkan untuk keluar mengundi sebagai pengundi biasa tidak boleh,” kata bekas pegawai tentera terbabit.
Seorang lagi bekas pegawai tentera, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman turut mempersoalkan mengapa kerajaan BN beriya-iya benar mahu mempertahankan undi pos kalau tidak bermesej politik.
Katanya, undi pos sudah tidak sesuai lagi digunakan sekarang memandangkan keadaan negara sudah aman dan bukan kacau bilau seperti zaman darurat.
Menurut beliau anggota tentera yang hanya berkhidmat di kem boleh keluar mengundi seperti pengundi awam.
”Lebih menghairankan lagi mengapa isteri anggota tentera juga disenarai sebagai pengundi pos. Ini sesuatu yang tidak masuk akal sama sekali.
”Tengok sedikit masa lagi setiap kawasan parlimen akan mempunyai kompeni askar wataniah. Tidakkah itu semua memberi undi percuma kepada Umno dan BN,” katanya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.
Persempadanan baru
Persempadanan baru kawasan pilihan raya memerlukan undian dua pertiga anggota Dewan sebelum diluluskan.
BN tidak memiliki dua pertiga daripada 141 anggota parlimennya. Biar pun dibantu lima anggota parlimen Keadilan yang belot, BN belum mempunyai kekuatan untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan persempadanan pilihan raya diadakan.
Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Wee Chong Keong (Wansa Maju) yang menggelarkan diri mereka sebagai blok Bebas belum mampu membantu BN memiliki kuasa dua pertiga.
Kalau mengikut ayunan sejarah pilihan raya di negara ini sejak merdeka, BN akan bangkit semula selepas lemah. Misalnya pada PRU-8 (1990) BN kehilangan Kelantan.
Namun pada PRU-9, BN bangkit semula biar pun gagal dalam misi merampas semula Kelantan. Kemudian pada PRU-10 (1999) menyaksikan BN merosot ekoran gelombang reformasi.
Namun pada PRU-11 (2004) BN bingkas semula dengan kedudukan paling selesa dalam sejarah pilihan raya. BN mendapat undi popular sehingga 90 peratus. Ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengetuai jentera BN.
Apakah sebenarnya faktor menyebabkan kedudukan BN paling selesa pada pilihan raya tersebut. Selain momokan ’Mr Clean’ yang disinonimkan dengan Pak Lah, namun faktor persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003 turut menjadi penyumbang penting.
Di bawah Perkara 113(2), Perlembagaan Persekutuan tanggungjawab bagi menjalankan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri diberikan kepada SPR.
Persempadanan hanya boleh dibuat setelah tamat tempoh lapan tahun selepas selesai kajian semula persempadanan sebelum itu.
Prinsip mengagihkan wajaran di kawasan luar bandar dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957, di mana variasi saiz (jumlah pemilih) di antara mana-mana dua kawasan haruslah tidak melebihi 15 peratus.
Sejak 1952 persempadanan semula dilakukan sebanyak lapan kali. Malangnya wajaran 15 peratus yang dipersetujui tidak digunakan selepas beberapa pindaan kepada Perlembagaan sejak 1973.
Persempadanan semula perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun. Kali terakhir dibuat pada Mei 2003. Dan sepatutnya persempadanan dilaksanakan pada tahun 2011.
Dan sekiranya persempadanan menjadi kenyataan, kalau mengikut teori ayunan, BN akan bangkit semula pada PRU-13.
Namun, dengan kekurangan majoriti dua pertiga proses ke arah persempadanan semula kawasan pilihan raya masih tidak kedengaran.
Undi pos selamatkan Najib
Tanpa faktor itu BN tentunya lebih gundah bagi menghadapi PRU-13. Ini kerana faktor persempadananlah yang pernah memenangkan Dato’ Seri Najib Razak di parlimen Pekan Dalam pilihan raya 1999.
Ketika itu beliau menang dengan majoriti hanya 241 undi. Sedangkan di Pekan ada 2,400 undi pos.
Kemudian pada persempadanan semula 2003, Kem Batu 10, Kuantan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Pekan.
Maka tidak salah kalau dikatakan undi pos menjadi penyelamat karier politik Najib di Pekan, Mustapa di Jeli dan Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang.
Bagi mendepani isu berkenaan, Pakatan Rakyat seperti tidak banyak pilihan. Kalau dalam isu saman ekor ada NGO yang dikenali sebagai KASE, manakala bagi menentang ISA atau GMI.
Isu undi pos perlu ditangani secara berterusan. Gerakan kesedaran bagi mendedahkan keburukan sistem pengundian tersebut perlu dijaja dari mulut ke mulut. Natijahnya bagi memastikan mereka yang mengundi akhirnya menjadi malu, kerana tanpa sedar mereka merosakkan demokrasi.
Biar pun ada sedikit ruang membolehkan wakil calon yang bertanding memasuki kawasan kem, namun mereka hanya mampu memerhati dari jarak jauh. Alasan pegawai tentera bertugas, kem merupakan kawasan keselamatan.
Calon PAS di Dun Bukit Bunga, Jeli, Sufely Abdul Razak pernah mendakwa peti undi pos disimpan di dalam kem tanpa ada jaminan kawalan keselamatan selepas pengundian dijalankan.
Sekarang apa yang mampu diharapkan dengan sistem demokrasi alaMalaysia. Undi pos boleh menjadi penghalang impian Pakatan Rakyat menghayung langkah ke Putrajaya.
Sejak merdeka sehingga sekarang gelanggang pilihan raya dibina di lantai yang senget. Mangsanya pembangkang yang kini bernama Pakatan Rakyat. Akhirnya impian Pakatan hanya sekadar retorik sekiranya gelombang kesedaran rakyat masih di tahap lama. M Faqih
Perlantikan Khusrin, perancangan banyak pihak diketuai Umno
SHAH ALAM 29 Dis. : Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyangkal dakwaan kenyataan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Datuk Munir Bani yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin menegaskan bahawa tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh atau masa tertentu.
Tambahan pula katanya, jawatan Datuk Ramli Mahmud selaku Setiausaha Kerajaan Negeri sepatutnya hanya tamat pada 20 Mac 2011.
"Perlu ditegaskan di sini, Kerajaan Negeri telah menjalankan proses pemilihan pada 27 November 2010 dengan menubuhkan Panel Pemilihan yang sejajar dengan Nota Amalan Perkhidmatan Awam.
"Panel yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim serta dianggotai oleh dua Ahli Majlis Kerajaan Negeri iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Xavier Jayakumar, telah menemuramah enam calon dari lapan nama yang telah dicadangkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri dan Pejabat Sumber Manusia.
Ujar Faekah, panel pemilihan tersebut telah menyenarai pendek calon-calon dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pada 17 Disember 2010 telah mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan bagi mengisi jawatan tersebut.
"Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab.
"Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan.
"Pakatan Rakyat Selangor kesal dengan perkembangan mutakhir ini dan merasakan ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka," katanya.
Menurutnya lagi, isu perlantikan Datuk Khusrin Munawi ini timbul sejurus sebelum Umno mengumumkan Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai Ketua Perhubungan Umno Selangor.
Justeru, Pakatan Rakyat Selangor memohon rakyat Selangor bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan provokasi yang tidak akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik.
"Pentadbiran ini menggalakkan persatuan dan pertubuhan masyarakat mengadakan solat hajat di seluruh negeri bagi memberi kekuatan dan kebijaksanaan kepada Sultan dan pemimpin negeri dalam menangani salah faham ini (miscommunication).
"Begitu juga kepada masyarakat bukan Islam digalakkan menjalankan upacara keagamaan menurut kepercayaan masing-masing," katanya lagi.
1Malaysia tetap haram
SHAH ALAM 29 Dis.: Kerajaan Pakatan Selangor tidak membekukan arahan agar logo '1Malaysia' dipaparkan di papan iklan dan arahan tersebut masih berkuatkuasa, ujar Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.
Katanya, beliau hanya mengarahkan agar tidak menurunkan papan iklan tersebut sehingga mesyuarat Exco seterusnya, bukan seperti yang dilaporkan dalam media baru-baru ini bahawa arahan tersebut telah dibekukan.
Ronnie menegaskan bahawa undang-undang kerajaan negeri hanya membenarkan papan iklan politik sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menggangapnya sebagai propoganda politik.
"Mereka masih tidak boleh meletakkan papan iklan tanpa permit," kata beliau, seperti dilaporkan dalam The Malaysian Insider hari ini.
Katanya lagi, sekiranya PBT merasakan sesuatu papan iklan itu berunsurkan politik maka PBT tersebut boleh menolak pemberian permit.
Sebelum ini, bekas Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Khir Toyo mendakwa Ronnie sebagai 'tidak berpendidikan' dan menyatakan undang-undang negeri Selangor membenarkan premis perniagaan untuk menayangkan logo berunsurkan politik.
Khir Toyo juga menekankan bahawa halangan menaikkan papan iklan berunsurkan politik hanya tertakluk kepada kawasan dibawah bidang kuasa PBT seperti lampu jalan dan jalanraya.
Ronie bagaimanapun menyatakan undang-undang kerajaan negeri membenarkan parti politik menaikkan kain rentang dan papan iklan semasa mengadakan majlis keramaian berunsurkan politik.
"Kita membenarkan parti politik mengadakan ceramah dan menaikkan kain rentang. Apa yang kita cuba sampaikan ialah papan iklan dan papan tanda tidak boleh digunakan untuk propoganda politik," tegas beliau.
Ronnie menyifatkan logo 1Malaysia sebagai mesej politik Barisan Nasional (BN) kerana logo tersebut selalu digunapakai bersama simbol BN dan mendakwa Khir Toyo tidak faham undang-undang kerajaan negeri.
"Khir Toyo tidak tahu maka lebih baik sekiranya beliau mendiamkan diri," kata beliau.
Beliau juga menyangkal dakwaan Khir Toyo bahawa arahan menghalang logo '1Malaysia' dipamerkan adalah satu langkah bersifat politik oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor.
"Ini bukanlah kerana PR mahu mencari kesalahan pada BN. Halangan ini termaktub dalam kesemua 154 PBT di negara ini, bukan sahaja di Selangor," jelas Ronnie lagi.
Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada menyatakan '1Malaysia' adalah satu 'alat' untuk menggalakkan perpaduan antara kaum tetapi Ronnie menegaskan bahawa undang-undang kerajaan negeri jelas menghalang apa-apa bentuk iklan yang berunsurkan politik.
"Di bawah Klausa 17, ada senarai bentuk pengiklanan yang tidak dibenarkan dan salah satunya adalah pengiklanan berunsurkan politik," tambah beliau.
Calon PAS mungkin bukan tempatan tapi orang Johor
BN seakan sudah pasti akan meletakkan calon tempatan bagi pilihan raya kecil DUN Tenang manakala PAS pula nampak yakin dengan keputusan untuk meletakkan calon luar.
Menurut timbalan ketua bahagian Umno Labis Hashim Daud, kesemua tujuh nama yang dicadangkan itu merupakan anggota jawatankuasa bahagian berkenaan.
Kesemua nama berkenaan terdiri daripada anggota yang aktif dalam Umno bahagian Labis dan telah menawarkan diri sebagai calon, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Tambahnya, senarai calon yang panjang itu juga mencerminkan "keterbukaan" di kalangan anggota bahagian tersebut.
Kesemua yang menawarkan diri mereka telah disenaraikan, katanya lagi yang enggan mendedahkan nama-nama berkenaan.
Namun, beliau sendiri yang merupakan seorang bekas pengetua di sebuah sekolah di Labis dipercayai turut tersenarai.
Seorang lagi yang dikatakan turut tersenarai ialah bekas ketua penerangan bahagian tersebut, Jaim Yunus, 54.
Jaim yang juga seorang bekas pengetua sekolah sebelum ini kalah tipis ketika menentang Allahyarham Sulaiman Taha bagi merebut jawatan ketua bahagian dalam pemilihan pada tahun 2008.
Ketua wanitanya Haslinda Salleh, 38, dan ketua pemudanya Mansor Birat juga dikatakan turut menawarkan diri bagi pencalonan berkenaan.
Mazlan Aliman calon popular
Sementara itu, timbalan pesuruhjaya PAS negeri yang juga pengarah pilihan raya Dzulkefly Ahmad berkata parti itu tidak akan meletakkan calon tempatan.
Sebaliknya, beberapa nama calon yang disenaraikan itu merupakan pemimpin PAS dari kawasan sekitar Labis, katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dzulkefly berkata, isu calon tempatan tidak timbul memandangkan kesemua nama calon yang dikemukakan itu tahu benar dengan keadaan di Labis.
"Ada banyak kawasan yang dekat dengan Labis. Calon itu boleh jadi dari Segamat atau dari Pagoh, kawasan pesuruhjaya negeri kita," katanya yang menambah, jentera pilihan raya parti itu telahpun membuat persiapan sejak 25 Disember.
Pesuruhjaya PAS negeri Mahfodz Mohamed merupakan personaliti yang terkenal di Johor namun seorang lagi pemimpin PAS yang turut meraih populariti di negeri itu ialah seorang anggota jawatankuasa PAS pusat Mazlan Aliman turut tersenarai.
Mazlan dikenali melalui usahanya bersama masyarakat Felda sebagai pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (ANAK) dan pencalonannya mungkin akan memberi kelebihan kepada PAS.
Ini memandangkan DUN Tenang meliputi tiga kawasan rancangan Felda - Chemplak, Chemplak Barat dan Tenang - di mana PAS meraih kurang daripada 20 peratus undi pada Mac 2008.
Khusrin jika bermaruah, tolak jawatan SUK sebab orang tak suka
Khusrin: Umno pentingkan politik, ketepi rakyat
KUALA LUMPUR, 29 Dis:Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) ketika diminta mengulas isu perlantikan itu berkata, semua orang yakin dan percaya bahawa kemasukan Khusrin tidak ada maksud lain melainkan untuk menggagalkan segala usaha yang dirancang oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.
Menurutnya, selain membelakangi semangat faderalisme, perlantikan itu juga merupakan percubaan Umno mensabotaj kerajaan negeri dalam usaha merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang disebut-sebut akan berlaku awal tahun hadapan.
"Perlantikan itu bukan sahaja tidak menghormati rakyat Selangor, malah nak sabotaj usaha kerajaan Pakatan Rakyat.
"Ini menunjukkan betapa tidak demokrasinya kerajaan BN yang telah mengancam faderalisme," katanya ketika ditemubual Harakahdaily.
Khusrin yang kini Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.
Beliau menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.
Perlantikan itu bagaimanapun dipertikai pihak kerajaan negeri yang mendakwa tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam pada itu, Khalid Samad yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam secara peribadi menasihatkan Khusrin agar menolak perlantikan tersebut jika beliau bermaruah.
Menerima jawatan itu katanya, hanya akan menjadikan diri beliau sebagai musuh rakyat negeri itu yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri.
"Islam ajar kita, macam kenduri lah, kalau orang tak jemput, tak payah la nak datang.
"Jadi kalau orang tak nak kat kita, tak payah la nak kedepan juga seperti, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong," katanya sinis.
Khalid sebelum ini antara yang sering mempertikai tindakan Khusrin sebagai pengarah Jais khususnya dalam isu orang bukan Islam memasuki masjid yang pernah menghangatkan politik tanah air baru-baru ini.
Khusrin dakwanya dilihat berpihak kepada Umno BN dalam banyak tindakannya khususnya berkaitan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama di negeri itu.
Dalam isu orang bukan Islam memasuki masjid, Khalid mendakwa Khusrin bermati-matian mendakwa tindakan pemimpin Pakatan Rakyat itu salah, namun berdiam diri bila perkara sama berlaku kepada Umno BN.
"Saya rasa itulah sebab kenapa dia dilantik oleh Umno sebagai SUK walaupun dari segi kelayakan, dia tidak penuhi kreteria," katanya.
Tindakan kerajaan pusat melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor membuktikan bahawa Umno lebih pentingkan politik mereka dari menjaga kepentingan rakyat negeri itu.