|
IPOH, 12 Jan: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan sedang menyiasat kes seorang Adun di negeri ini berikutan dakwaan penipuan tanah seluas 300 ekar di Kerian. Menurut sumber Harakahdaily yang turut menjadi salah seorang saksi kes itu, beliau telah dua kali dipanggil oleh pegawai SPRM untuk memberikan keterangan dalam kes itu. "Mereka (pegawai SPRM) kata, kalau tidak ada apa-apa masalah, dakwaan akan dibuat tahun ini juga terhadap YB itu," kata beliau. Adun berkenaan yang merupakan seorang kakitangan kerajaan sebelum menjadi calon BN dalam pilihan raya umum 2008 didakwa memperalatkan 30 orang lain untuk mendapatkan tanah yang terletak di Jalan Selamat, berhampiran dengan kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kerian. Permohonan tanah ini dibuat ketika Adun berkenaan masih kakitangan kerajaan iaitu pada tahun 2002 lalu. SPRM mula menyiasat kes ini pada tahun 2010 selepas mendapat laporan mengenainya. Ia berupakan tanah untuk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang dipohon oleh kira-kira 30 orang tetapi berakhir dengan dimilki oleh syarikat milik Adun ini. Modus operandinya adalah setiap orang akan menandatangani borang permohonan tanah kerajaan itu tetapi ia kemudiannya diserahkan kepada satu syarikat untuk dimajukan. Yang peliknya, pada setiap borang itu, ia mempunyai cap jari pihak lain, tandatangan orang lain dan gambar juga orang lain. Sepatutnya, setiap pemohon yang terdiri dari 30 orang itu akan mendapat 3 ekar tanah setiap peserta. Namun, apabila telah diluluskan, tanah itu sudah menjadi milik syarikat yang dikuasai oleh Adun berkenaan. "Saya diminta menandatangani permohonan tanah itu secara tidak sedar ketika bekerja di sana. Rupanya, ia adalah permohonan tanah dari kerajaan dan diserahkan kembali kepada syarikat milik YB berkenaan," beritahu saksi berkenaan kepada Harakahdaily. |
Wednesday, January 12, 2011
Adun dari Daerah Kerian Perak disiasat SPRM
SPRM siasat Adun kerana penipuan tanah.
No comments:
Post a Comment