LABIS 21 Jan. : Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N5 Tenang Normala Samsudin berazam mahu memerdekakan jiwa serta minda masyarakat di Tenang sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat di situ.
Dalam temubual eksklusif dengan Tv Selangor, Normala berazam untuk menggunakan kedudukan sebagai ADUN jika diberi peluang oleh penduduk Tenang dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) ini bagi menyelesaikan masalah asas penduduk kampung selain meningkatkan kemudahan asas di Pekan Labis.
"Pendekatan yang saya buat selain isu wanita, saya juga beriltizam jika diberi amanah dan peluang untuk mendepani isu-isu khususnya di Felda. Untuk dibawa ke DUN. Selain itu isu tiga kampung tradisi di sini, seperti Kampung Sawah Padi, Redong dan Air Panas, banyak lagi masalah dari soal kebajikan yang belum terbela. Itu salah satu fokus utama saya," katanya.
Normala ,38, merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Labis serta Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat tetap setia dengan profesion perguruan yang menjadi darah dagingnya sejak 13 tahun lalu.
Normala tetap komited dengan iltizam beliau untuk mendidik anak-anak dan masyarakat di situ selaras dengan matlamat masa depan.
Beliau turut melahirkan rasa terharu dan berbangga dengan kepercayaan kepimpinan PAS meletakkan beliau sebagai calon.
"Selain iltizam saya mendidik anak-anak di situ sebagai modal insan dan pewaris kepimpinan akan datang, saya juga mengenali dan memperjuang masalah ibubapa.
"Ini saya rasa sebagai satu pengkiktirafan kepada golongan wanita di seluruh Malaysia dan juga satu pengiktirafan daripada kepimpinan untuk mendepani cabaran semasa dengan menampilkan anak muda.
"Kita sedang menuju ke arah satu masa depan politik baru iaitu ke arah mendidik minda masyarakat agar berjiwa merdeka dan berminda merdeka," katanya.
Normala dijangka berdepan dengan cabaran getir menghadapi Calon Barisan Nasional Penolong Pegawai Daerah Rengit Azahar Ismail yang mendapat dokongan penuh Umno namun beliau menghadapinya dengan sabar.
Normala telahpun diuji apabila suaminya, Makrof Abdul Mutalib ditukar dalam tempoh 24 jam ke Johor Bharu namun ditarik kembali.
"Ujian yang dilalui oleh kami sekeluarga apabila suami ditukarkan 24 jam tidak akan melemahkan semangat perjuangan saya kerana dalam dunia perjuangan ini kita biasa ujian fitnah dan tribulasi," katanya.
No comments:
Post a Comment