Badrul dilarang hadir Sidang DUN Isnin ini
SHAH ALAM, 22 Jan. : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dilarang menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Isnin ini selepas kerusinya diisytiharkan kosong, Rabu lalu.
Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim berkata, hanya Ahli Dewan sahaja dibenarkan menghadiri sidang berkenaan.
“Notis pengosongan kerusi DUN tersebut sudah dibuat dan beliau bukan lagi ADUN Pelabuhan Klang yang sah. Hanya Ahli Dewan sahaja dibenarkan hadir dan berhujah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Kelmarin, Badrul Hisham mengesahkan akan menghadiri sidang DUN tersebut.
DUN Selangor akan bersidang Isnin ini bagi meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang ada kaitan dengan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), baru-baru ini.
Rabu lalu, Teng mengumumkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong selepas Badrul Hisham gagal menghadiri Sidang DUN selama enam bulan tanpa sebab munasabah, tetapi kemudian dinafikan Badrul Hisham.
Sementara itu ditanya mengenai kenyataan ADUN Barisan Nasional (BN) yang mendakwa Kerajaan Negeri tidak telus meminda perlembagaan negeri kerana sehingga kini tiada sebarang draf pindaan itu diberikan kepada ADUN Barisan Nasional (BN), Chang Khim menolak dakwaan tersebut.
Sebaliknya, Chang Khim mengakui pihaknya kesuntukan masa untuk mengedarkan draf tersebut kepada pihak berkenaan.
“Kita minta semua ADUN untuk datang ke pejabat untuk mendapatkannya (draf). Namun, ikut peraturan ia boleh disampaikan sebelum mesyuarat atau pada hari mesyuarat tersebut.
“Jangan jadi ia isu kerana kita telah sampaikan maklumat ini. Tidak ada agenda tersembunyi seperti didakwa oleh pihak berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment