PUTRAJAYA 17 Jan.: Bilangan bahagian Parlimen yang menyaksikan bantahan terhadap pemilih-pemilih baru didaftarkan bertambah pada suku ketiga 2010 berbanding enam bulan pertama tahun lepas, dipercayai dipengaruhi "demam spekulasi" pilihan raya umum ke-13.
Spekulasi yang bertiup kencang akhir tahun lalu menyebut pilihan raya umum akan diadakan pada separuh pertama tahun ini lapor The Malaysian Insider.
Bagaimanapun spekulasi terbaru mengatakan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada suku akhir tahun ini, mengambil kira pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan 105 ahli Parlimen Barisan Nasional 8 Januari lalu dan pemimpin komponen perikatan itu bulan lalu.
Daftar suku keempat 2010 adalah penting dan kemungkinan besar akan digunakan jika pilihan raya umum ke-13 diadakan pada April atau Mei depan.
Mengikut sistem semasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memproses dan mewartakan permohonan baru setiap suku tahun, yang lazimnya akan dilakukan dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas tempoh pendaftaran setiap suku tahun berakhir.
Kemudian diikuti dengan pameran selama tujuh hari di hampir 1,000 tempat pameran di seluruh negara untuk disemak oleh orang ramai bagi tujuan tuntutan dan bantahan.
Rekod SPR menunjukkan tiada bahagian menerima bantahan pada suku pertama 2010 iaitu antara Januari dan Mac 2010 tetapi agensi itu menerima bantahan melibatkan bahagian Tanah Merah dan Hulu Terengganu bagi tempoh pendaftaran April dan Jun.
Jumlah itu meningkat kepada 37 bahagian di seluruh negara ketika pameran melibatkan pendaftaran pemilih sepanjang suku ketiga Julai hingga September lalu.
"Bilangan itu meningkat dengan banyak pada suku ketiga (tahun lalu), kami merasakan ia petanda baik... lebih baik mereka menunjukkan bantahan (semasa pameran) daripada membuat dakwaan (wujud pengundi hantu) ketika pilihan raya diadakan," kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika ditemui di pejabatnya.
Abdul Aziz berkata, berdasarkan pengalaman SPR lazimnya trend bantahan berhubung permohonan baru akan meningkat menjelang pilihan raya umum.
"Selepas satu pilihan raya umum berakhir, bilangan bantahan adalah rendah tetapi meningkat apabila dekat dengan musim pilihan raya umum," kata beliau.
Bahagian Parlimen Tanah Merah dan Hulu Terengganu menerima 515 bantahan manakala 37 bahagian ketika suku ketiga pula merekodkan 617 bantahan.
Ekoran 617 bantahan melibatkan 37 bahagian yang diterima sepanjang pameran 27 Oktober hingga 2 November lalu, sebanyak 50,206 permohonan baru dan 6,094 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi tidak dapat disahkan dan ditangguh sehingga semua bantahan diselesaikan.
Bagaimanapun sebahagian besar bantahan suku ketiga telah diselesaikan setakat ini.
Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 157,327 permohonan termasuk 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.
Daripada 191,970 permohonan itu, 164,821 adalah permohonan baru dan 27,149 melibatkan pemilih yang memohon mahu menukar alamat tempat mengundi.
Jumlah permohonan meningkat kepada 205,183 pada suku ketiga Julai hingga September.
The Malaysian Insider difahamkan jumlah permohonan dan bantahan melibatkan suku akhir Oktober hingga Disember lalu juga mengalami kenaikan.
Bagaimanapun Abdul Aziz tidak dapat memberikan jumlah permohonan kasar melibatkan suku terakhir meskipun beliau mengharapkan ia akan mencecah paras 250,000.
"Bagi suku keempat 2010 iaitu pendaftaran yang dibuat pada bulan Oktober, November dan Disember, semua permohonan tersebut sedang diproses dan proses penetapan lokaliti berakir kelmarin (12 Januari).
"Rang daftar pemilih tambahan suku tahun keempat 2010 akan dipamer pada bulan ini, Januari 2011 untuk semakan oleh orang ramai," kata beliau.
"Selepas itu, barulah daftar pemilih berkenaan disahkan dan diwartakan," katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai pendaftaran pemilih setiap bulan, Abdul Aziz berkata, buat masa ini SPR belum lagi berhasrat untuk mewartakan pendaftaran pemilih setiap bulan.
"Kajian terpaksa dibuat sebelum cadangan tersebut dapat dilaksanakan dan sekiranya cadangan tersebut hendak dilaksanakan, maka pindaan undang-undang yang sewajarnya perlu dibuat," kata beliau lagi.
Mengenai pendaftaran pemilih baru di Sarawak, Abdul Aziz berkata, rakyat negeri itu perlu menggunakan tempoh sehingga akhir Mac ini jika tidak mahu keciciran peluang mengundi dalam pilihan raya negeri akan datang.
Kata beliau, peluang itu masih ada jika pilihan raya negeri Sarawak diadakan selepas Mei tetapi jika adakan sebelum awal Mei, mereka yang mendaftar sebelum 31 Disember lalu sahaja berpeluang mengundi.
Mandat semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir Julai ini dan ia akan bubar secara automatik selepas itu jika tidak dibubarkan awal.
No comments:
Post a Comment