Saturday, January 15, 2011

Brazil dilanda banjir dan tanah runtuh

Banjir Dan Tanah Runtuh Di Brazil Ragut Lebih 610 Orang


RIO DE JANEIRO 16 Jan.: Banjir buruk dan tanah runtuh di kawasan pergunungan di Rio de Janeiro setakat ini sudah mengorbankan 610 orang, menurut laporan terkini dikeluarkan pegawai Jabatan Pertahanan Awam Brazil, hari ini.

Dianggarkan lebih 14,000 lagi penduduk terpaksa diselamatkan anggota penyelamat selepas rumah mereka dibawa arus dan ditenggelami tanah runtuh, terutama di Bandar Serrana, kira-kira 100 kilometer dari bandar persisir pantai, Rio.

Bandar kedua dilanda bencana terburuk negara itu ialah Nova Friburgo, dengan 274 penduduk dilaporkan terbunuh. Jirannya, Teresopolis pula mencatat 263 kematian, Petropolis (55) dan Sumidouro (18).

Pekerja penyelamat khuatir angka korban meningkat lebih sekali ganda lagi selepas mereka mengesan lebih banyak sisa runtuhan.

Sementara itu Kerajaan Brazil hari ini mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara selepas lebih 600 penduduk terkorban akibat banjir dan tanah runtuh terburuk di Rio de Janeiro sejak seminggu lalu.

Pekerja kecemasan di zon bencana di Wilayah Serrana, di utara Rio kini bertungkus-lumus bagi mengira mayat dengan lori digunakan untuk mengangkut untuk pengkebumian.

Pekerja pengangkutan berkata, mereka bimbang jumlah mayat dijangka bertambah selepas pekerja penyelamat masih meneruskan kerja mencari mangsa di kawasan runtuhan.

President Brazil, Dilma Rousseff mengumumkan tiga hari berkabung.

Pihak berkuasa Rio de Janeiro berkata, negeri itu akan mengadakan seminggu penuh untuk berkabung bermula esok. - AFP

No comments:

Post a Comment