Pemimpin BN risau kemampuan PR: Mohd Firdaus
ALOR SETAR , 19 Jan. : Pemimpin Barisan Nasional (BN) risau apabila Pakatan Rakyat (PR) mendedahkan resolusi yang dicapai dalam Pelan 100 Hari PR kerana apa yang disyorkan itu mengatasi pencapaian BN selama 53 tahun mentadbir negara.
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, apa yang terkandung dalam Buku Jingga PR itu adalah di luar jangkauan BN sendiri, sebaliknya menjadi realiti sekiranya PR menawan Putrajaya.
“Setelah 53 tahun memerintah pun BN tidak mampu memberi apa yang tercatat dalam Program 100 Hari PR itu. Contohnya, imbuhan khas pendidikan kepada guru dan pegawai pendidikan tidak dilakukan oleh BN,” katanya.
Mohd Firdaus yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Pusat berkata, imbuhan ini akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion setahun, namun lebih baik berbanding menyalah guna wang dengan penyelewengan, korupsi dan pembaziran melalui projek tidak berfaedah.
Beliau berkata demikian apabila mengulas serangan bertali arus pemimpin BN terhadap janji-janji PR sejak PR mengumumkan Pelan 100 Hari bulan lalu.
Sebelum ini PR mengeluarkan Buku Jingga yang menggariskan rancangan jangka pendek dan jangka panjang mentadbir negara sekiranya diberi peluang mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.
Antara 10 perkara yang akan dilakukan oleh PR dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, ialah mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan untuk menghapuskan tol.
Seterusnya, menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyediakan perkhidmatan Internet Wi-Fi percuma kepada rakyat serta menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.SH
No comments:
Post a Comment