Demikian dinyatakan penganalisis politik, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang juga pengasas Zentrum Future Studies, sebuah badan bebas yang menjalankan kajian berhubung krisis masa depan.
Menurutnya, perkara itu tidak mustahil sekiranya Pakatan bekerja lebih keras untuk menarik sokongan kelompok berkenaan meskipun di saat-saat akhir menjelang hari pengundian.
“Pakatan boleh menang dengan cukup dramatik jika mendapat undi Cina sebanyak 82 peratus dan pengundi muda 82 peratus yang berusia 31 hingga 40 tahun. Jika momentum ini digembar-gemburkan tidak mustahil Pakatan akan menang di Tenang,” katanya kepada Keadilandaily.
Menurutnya lagi, berdasarkan pemerhatiannya pada masa ini, peratus sokongan kedua-dua kumpulan berkenaan terhadap Pakatan Rakyat, masing-masing mewakili 42 peratus.
“Sepanjang pemerhatian saya, pada masa ini komposisi sokongan keseluruhan adalah 60 peratus memihak kepada BN dan 40 peratus lagi Pakatan Rakyat. Jika berlaku perubahan pada 27 dan 28 haribulan ini apabila pengundi muda ini pulang mengundi, pemerhatian kasar kami menjangkakan Pakatan mampu bergerak sehingga ke tahap 48 peratus,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu juga mengejutkan berdasarkan lokasi Tenang yang terletak di Johor iaitu negeri yang dikatakan merupakan kubu kuat Umno-Barisan Nasional.
“Keadaan ini juga agak ganjil di sebelah selatan kerana kebiasaannya komposisi adalah 80-20 iaitu situasi yang lazim berlaku pada pilihan raya di selatan. Situasi ini juga menunjukkan trend yang sama berlaku seperti mana pilihan raya di Kelantan pada 1990,” katanya.
Menurut Abu Hassan, terdapat tiga isu utama yang boleh menentukan arah sokongan pengundi di Tenang iaitu isu Felda, polarisasi kaum dan faktor kemiskinan yang menghimpit masyarakat di kawasan itu.
“Tenang adalah kawasan yang paling miskin di Johor secara purata. Kalau kedai-kedai yang menjual tomyam dijadikan sebagai kayu ukur, jumlahnya jauh berbeza berbanding di Kelantan,” ujarnya.
Ketika ditanya samada isu perkauman boleh mempengaruhi pengundi, Hassan berkata beliau percaya parti-parti yang bertanding yang membawa isu perkauman sebagai modal kempen mereka, akan ditolak majoriti pengundi kawasan itu.
“Sesiapapun yang memainkan isu perkauman di Tenang akan gagal. Mana-mana parti yang menjadikan isu kaum seperti sarung tangan umpamanya sebagai modal kempen akan jadi bahan ketawa kerana isu kaum tidak relevan di sini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment