Sunday, January 2, 2011

Jentera Pemuda Pakatan sudah bersedia berjuang di Tenang

Tenang: Jangan gentar hadapi Umno BN

LABIS, 2 Jan: Jentera Pemuda PAS diseru tidak gentar berhadapan dengan Umno BN di Dun Tenang meskipun dikatakan kawasan tersebut merupakan kubu kuat Umno.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda seharusnya menanamkan keyakinan bahawa Pakatan Rakyat khususnya PAS mampu menawan kerusi Tenang.

"Orang kata di sini kubu kuat Umno tapi saya nak bagitahu sifir pilihan raya,sekarang ini tiada lagi istilah kubu kuat bagi Umno BN.

"Di seluruh negara, kita pernah menawan kerusi-kerusi mereka dan di Dun Tenang ini pilihan raya kecil ke 14. Dari 13 pilihan raya kita telah menang dengan agregat 8-5.

“Dalam orang tak percaya kita boleh menang, kita mampu melakukannya.

"Ini bermaksud kita ada keupayaan untuk menang.Inilah yang harus kita yakin. Saya tak mahu pemuda-pemuda kita tak yakin dengan kekuatan yang kita miliki," katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera pemuda Pakatan Rakyat dekat sini, semalam.

Justeru Nasrudin berkata, jentera pemuda harus bersiap sedia dari sekarang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

"Saya harap jentera yang turun hari ini mampu menggunakan segala kekuatan untuk memenangi Dun Tenang ini," katanya disambut laungan takbir oleh kira-kira 500 pemuda yang hadir.

Sementara itu, ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, pemuda Pakatan akan membuat agihan tugas secara tepat dan tersusun dalam gerak kerja PRK kali ini.

"Rupa-rupanya di Tenang ini satu kebangkitan rakyat akan berlaku. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Pekan Tenang jangan disangka tak akan mengamuk.

"Kita berhadapan realiti, iaitu kawasan Felda yang dikatakan kubu kuat Umno.

"Pemuda PAS, Dapsy dan AMK akan agih tugas dengan betul kali ini. Kalau kita tengok pengalaman di Sibu, semua orang kata kita susah nak menang. Tapi oleh kerana kita bekerja secara tersusun, kita mampu menawan Sibu," katanya.

Bukan Islam yakin dengan PAS


Penolong setiausaha Dapsy Kebangsaan, Tey Kok Siew pula berkata, orang Melayu Islam harus meninggalkan Umno BN yang ternyata tidak mampu membela nasib mereka.

"Saya tahu Islam itu satu sahaja. Tapi kalau orang tanya saya, saya boleh terima Islam cara PAS atau Islam cara Umno,saya akan jawab saya terima Islam cara PAS.

"Saya dan kawan-kawan saya orang Cina yang bukan Islam boleh terima PAS, saya nak tanya orang-orang Melayu Islam terutamanya di Tenang, kamu tunggu apa lagi? Nak tunggu Umno berubah? Bila Umno akan berubah? Tunggu kucing bertanduk dulu.

"MCA boleh berubah tak? Boleh...tunggu pisang berbuah dua kali. Jadi kita tidak boleh percaya lagi pembohong-pembohong besar ini.

"Kita nak tanya orang Umno,kalau betul Umno jaga Melayu,kenapa sampai sekarang semakin ramai orang Melayu yang miskin?"soalnya yang juga Adun Bandar Hilir Melaka.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan DHPP Johor, Subramaniam memberi jaminan bahawa mereka akan membantu PAS sedaya mungkin untuk menawan Tenang.

"Saya berjanji Dewan Himpunan Penyokong PAS dengan rombongannya akan bertungkus lumus menggegarkan Tenang terutamanya kaum India.

Tambahnya, orang India sudah yakin bahawa hanya Islam yang dibawa PAS mampu memberikan kesejahteraan kepada negara.

"Saya seorang Hindu, dilahirkan sebagai seorang Hindu, hari ini pun saya masih Hindu, esok belum tahu...di hati saya, di dalam tanah yang bertuah ini, hanya Islam akan menjamin kesejahteraan semua.

"Sekarang masyarakat India tidak bimbang dengan parti PAS. Dulu mereka khuatir kerana mungkin mereka nampak PAS itu parti hanya untuk Islam dan mereka tidak faham kerana tidak terlibat dalam PAS.

"Tapi hari ini mereka faham hanya Islam sahaja boleh membanteras gejala sosial termasuk rasuah dan akan membawa Malaysia menyelamatkan maruah Malaysia," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub,setiausaha DPPP, Ahmad Sabki Yusuf, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi DHPP Johor,Nadarajan.

No comments:

Post a Comment