Blog persoal apakah Khairy terlibat dengan Alcatel?
KUALA LUMPUR, 5 Jan: Selepas mendedahkan dokumen laporan Migrant Care berkaitan penyiasatan mereka terhadap mangsa rogol oleh seorang menteri kabinet, sebuah blog pro Umno mempersoalkan pula apakah Khairy Jamaludin terlibat dalam skandal rasuah Alcatel.
Blog Bigdogdotcom yang banyak memburukkan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini mencadangkan, Khairy sebagai pihak yang berpengaruh dalam kumpulan "budak-budak tingkat 4" pentadbiran Abdullah terlibat dalam skandal ini.
Bagi penulis blog ini, apa yang berlaku baru-baru ini, Khairy bukannya merajuk tetapi bimbang diambil tindakan selepas kes ini terdedah.
(Gambar: Khairy dari blog pro Umno Bigdogdotcom)
"Ada yang kata, dia akan bertanding kerusi negeri. Harapannya adalah untuk dia jadi MB Negeri Sembilan akan datang. Ada yang kata dia akan bertanding di kerusi lebih selamat iaitu kerusi bapa mertuanya di Kepala Batas.
"Kami fikir ia lebih besar dari itu," tulis penulis blog yang sebelum ini mendedahkan dokumen yang mengaitkan seorang menteri kabinet merogol pembantu rumahnya.
Khairy baru-baru ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang diwakilinya sekarang.
Langkah ini disifatkan sebagai Khairy merajuk kerana tidak diberikan jawatan yang sesuai kepadanya selaku Ketua Pemuda Umno.
Ekoran itu, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi mempelawa beliau menyertai PAS, namun ditolak oleh Khairy.
"Baru-baru ini, pihak berkuasa telah memulakan tindakan ke atas pemimpin yang terlibat dengan kesalahan rasuah...." tulis Bigdogdotcom.
Media melaporkan, Alcatel melalui Alcatel Lucent SA telah membayar wang rasuah sebanyak USD700,000 kepada seorang rakyat Malaysia yang membantunya mendapat kontrak bernilai USD85 juta dari Telekom Malaysia antara tahun 2004 dan 2006.
Dokumen itu telah didedahkan oleh Securities and Exchange Commission (SEC) Amerika dan Department of Justice Amerika.
Pada tahun 2004-2006 itulah, tulis Bigdogdotcom, negara ini ditadbir oleh 'budak-budak tingkat 4'.
"Semuanya diputuskan di Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri," tulisnya lagi.
No comments:
Post a Comment