SHAH ALAM 30 Jan: Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan sama ada meletakkan calon PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan pada pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat.
Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS.
"Insya Allah akan adakan perbincangan dengan Pakatan Rakyat.
"Kita bincang di peringkat Pakatan Rakyat kerana kita bergerak secara kolektif dan bukan bersendiri," jelas Hadi kepada pemberita.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.
Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.
No comments:
Post a Comment