Saturday, January 15, 2011

Najib, Khairy jangan ego, beritahu saja takut berdebat

KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya mengenepikan ego masing-masing dalam isu debat 100 Hari Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kedua-duanya diminta supaya melihat isu debat itu demi kepentingan rakyat yang mahu melihat Najib sendiri tampil berdepan dengan cabaran Anwar.


“Saya harap sangat biar lah perdebatan ini berlaku kerana rakyat mempunyai hak untuk menilai sendiri tentang isu ekonomi yang dibangkitkan.


Kalau Najib dan Khairy boleh menerima cabaran ini, tolak lah ketepi ego demi kepentingan rakyat, kita berbahas demi kebaikan rakyat itu yang sepatutnya,” katanya kepada keadilandaily.com.


Menurut Rafizi, Najib Razak sepatutnya tidak melarikan diri dari isu debat itu memandangkan beliau yang mula mempertikaikan agenda yang terkandung dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat.


“Najib sebelum ini hanya mengeluarkan kenyataan tetapi tidak serius dari segi angka dan bagaimana Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang kita kemukakan, boleh menjejaskan negara.


Tetapi Datuk Seri Anwar telah jelaskan satu persatu tentang dasar ekonomi yang kita kemukakan dan isu-isu ekonomi negara yang dibangkitkan.


“Kalau Najib ada maruah, dia terima jemputan debat itu,” kata beliau.


Mengulas keputusan KEADILAN semalam yang mahu beliau berdepan dengan cabaran Khairy terhadap Anwar, Rafizi berkata beliau bersedia dengan tawaran berkenaan dan sedang menunggu keputusan Ahli Parlimen Rembau itu.


“Parti dah buat keputusan, saya terima tetapi terpulang kepada Khairy sendiri, jika dia ambil pendekatan dan kaji debat untuk kebaikan rakyat, dia akan terima. Sepatutnya dalam isu debat ini. Tidak perlu lah Najib atau Khairy berkata orang lain tidak setaraf dengan mereka,” ujarnya.


Datuk Seri Anwar minggu lalu menawarkan debat kepada Datuk Seri Najib selepas Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan mengatakan Program 100 Hari Pakatan sebagai tidak bertanggungjawab, menggadai masa depan dan akan menyebabkan negara mengalami muflis seperti di Greece.


Bagaimanapun, Najib yang mula menimbulkan isu 100 Hari Pakatan itu, kemudian menolak tawaran debat Anwar dengan mengatakan ia sebagai tidak perlu dan hanya membuang masa. Jesteru Khairy tampil mencabar Ketua Umum Keadilan itu untuk berdepan dengannya.

No comments:

Post a Comment