Gamis sedia jadi penganjur debat
KUALA LUMPUR, 12 Jan: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersedia menjadi perunding dan penganjur kepada debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana tawaran yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, semalam.
Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, mahasiswa melihat ia merupakan suatu ruang yang sihat bagi pihak kerajaan dan pembangkang menyatakan iltizam dan inspirasi dalam memacu program ekonomi negara pada masa akan datang.
Katanya, anak muda memerlukan komitmen yang jelas daripada pihak parti politik supaya mereka khususnya mahasiswa boleh menimbangtara program terbaik yang ditawarkan.
“Gamis mengambil perhatian kepada tawaran yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagi suatu usaha yang baik dalam pengamalan demokrasi negara.
“Debat ini perlu dilaksanakan atas garisan akademik dan intelektual tanpa pengaruh emosi kepolitikan daripada kedua-dua pihak. Maka kami syorkan untuk debat ini diadakan dalam universiti yang menjadi medan pertempuran ilmu dan intelek dan bebas dari pengaruh politik berbanding di luar,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahnya, isu yang ingin dibincangkan ialah berkait soal ekonomi negara yang menjadi nadi utama kepada pembangunan negara, maka kepentingan percambahan idea dan pandangan dalam memajukan negara sangat diperlukan.
Menurutnya, debat itu bakal menjadi pentas meraikan demokrasi dalam negara dan rakyat boleh menilai hujah dan pandangan yang bakal dilontarkan oleh kedua-dua pihak.
Mahasiswa, katanya sudah muak dengan hanya mendengar kenyataan balas melalui media tanpa ada suatu pertentangan idea secara terus dan berdepan.
Beliau berkata, permainan isu yang menjadi tanda tanya kepada rakyat khususnya berkaitan hutang negara, ketirisan dalam perbelanjaan, penarikan subsidi barangan asas, pembinaan menara 100 tingkat, FDI yang berkurangan dan banyak lagi isu yang akan pasti menjadi perkara yang perlu dibahaskan melalui debat itersebut.
“Maka besar harapan mahasiswa agar debat ini dapat dijalankan supaya pihak kerajaan boleh menjelaskan isu yang bermain disekitar dan dalam masa yang sama kita boleh menilai kerelevanan manifesto yang dibawa oleh pihak Pakatan Rakyat,” katanya lagi.
Menurutnya, debat bukan semata-mata untuk mencari siapa menang dan kalah, tetapi menilai kepada keberanian dan kekuatan hujah yang disampaikan oleh kedua-dua pihak.
“Gamis merasakan ini adalah suatu permulaan kepada politik baru yang dicanangkan bersama untuk melihat masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya. - Hrkh
No comments:
Post a Comment