Tuesday, January 11, 2011

Najib tidak akan berani berdebat, Rosmah mungkin berani

Debat Program 100 Hari, Najib Diminta Terima Cabaran Anwar


SHAH ALAM 11 Jan. : Perdana Menteri dicadang agar segera menerima cabaran yang diutarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat berhubung Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang dipertikaikannya, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

"Kita kemukakan masing-masing. Pembangkang beri cadangan, kerajaan berikan cadangan. Ini sepatutnya telah diamalkan lama di negara kita. Tetapi itu tidak dibuat.

"Kenapa kalau realisitik (program transformasi) tetapi tidak mahu berdepan dengan awam? Terangkanlah kepada orang awam tetapi kalau sebaliknya, kalau Najib kata Pakatan Rakyat atau Anwar berikan perkara yang tidak realistik, kenapa Anwar pula yang hendak berdepan dengan orang ramai untuk beritahu pelan kita yang pada pandangan mereka tidak realisitk," selar Azan.

Menurut Azan cadangan Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang menelan belanja sebanyak RM19.2 bilion sudah mengambil kira perkara di luar jangka.

"Mereka kena sedar orang yang membuat anggaran itu adalah bekas seorang Menteri Kewangan yang tahu formula-formula, yang sudah tentu tahu sangat kaedah-kaedah merumuskan belanjawan untuk pentadbiran negara.

"Perkara itu sangat-sangat realisitik sebab kos sebenar 100 hari untuk pengubahsuaian memang rendah daripada itu. Itupun setelah mengambil kira faktor sekiranya berlaku perkara luar jangka. Itu sudah diambil kira," katanya lagi.

Menurutnya, akibat gagal menyakinkan rakyat menyebabkan Perdana Menteri akhirnya terpaksa memburuk-burukkan dasar dan rancangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengaburi kelemahan mereka.

Dalam keadaan terdesak itu, Najib tampil membuat kenyataan bahawa program 100 Pakatan Rakyat bersifat populis dan tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, walaupun mengumumkan pelbagai program transformasi diselang-seli dengan kritikan pentadbiran Pakatan Rakyat, Najib bagaimanapun masih gagal meraih kepercayaan rakyat.

Sehingga kini dakwa Azan kira-kira 35 peratus golongan yang menjadi agen sebenar dalam sektor-sektor di negara kita, baik ekonomi, kewangan, sosial, agama, budaya, pendidikan gagal diyakinkan oleh kerajaan.

Kegagalan Najib menyampaikan mesej perubahan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dibawanya itulah yang menyebabkan beliau mula hilang arah dan gementar dengan Program 100 Pakatan Rakyat yang dicadangkan pada konvensyen yang lalu, tambah Azan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata Najib nyata bukan hanya tidak memahami program itu tetapi nyata tidak memahami juga dari sudut angka dan kos perkara seperti yang Pakatan Rakyat sebutkan.

Mengambil contoh pengiktirafan yang bakal diberikan kepada tenaga pengajar dan kakitangan awam dalam sektor pendidikan dengan imbuhan RM500 sebulan kepada 537,221 penjawat, masih belum mampu menyaingi jumlah subsidi yang diberikan kerajaan kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP)

"Itu telah kami hitung tidak akan membelanjakan lebih dari RM3.2 bilion setahun. Sementara kalau kami mahu ambil dari bayaran subsidi kepada Tenaga Penjana Bebas (IPP) yang hari ini menelan belanja RM9 bilion, dari situ sahaja kita boleh membiayai cadangan kami untuk memberi imbuhan kepada tenaga pengajar di seluruh negara kita," jelas Dr Dzul lagi.

Menurut Dr Dzul lagi, sudah sampai masanya rakyat didedahkan dengan maklumat dari pelbagai sumber dan media menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara dua parti.

Maka katanya, cadangan Anwar untuk berdebat dengan Najib tidak harus dipandang dari sudut politik semata namun ia atas dasar kebertanggungjawaban untukmemberikan yang terbaik kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment