Monday, January 17, 2011

Nasib generasi ke 2 Felda yang terpinggir

LABIS, 18 Jan: Walaupun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan Felda, Datuk Ahmad Maslan sentiasa mewar-warkan bahawa tiada generasi ke 2 Felda yang dipinggirkan, namun realitinya tidak begitu.

Di Felda Tenang, ramai generasi kedua Felda yang terus terpinggir bahkan dipinggirkan oleh ajensi di bawah Felda sendiri.

Zanariah binti Jaffar, 43, adalah generasi ke 2 Felda, namun beliau hanya mampu menghuni rumah usang di Felda Tenang bersama suaminya, Hasson bin Susik, 52 di samping anak mereka yang berusia sembilan tahun.

(Gambar: Rumah Zanariah di Felda Tenang. Kanan papan tanda rumah Zanariah yang dibekalkan Felda)

Suami beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat GLC, dengan pendapatan sekitar RM800.00 sebulan agak sukar menyara keluarga dengan keadaan harga barang yang semakin mahal.

Tiga tahun yang lalu, mereka pernah didatangi pegawai untuk mengambil gambar rumah mereka bagi diberikan bantuan, tetapi malangnya sehingga kini belum ada satu pun bantuan diberikan atau tindakan susulan, ujarnya.

Perkara ini boleh dirujuk kepada Tabung Pinjaman Perumahan Peneroka (TPPP) dengan kadar pinjaman bagi seorang peneroka yang layak adalah minimum RM10,000 dan maksimum RM40,000.00.

(Gambar: Zanariah merenung masa depannya yang tidak menentu)

Antara syarat-syarat yang mesti dipenuhi :

i) Terbuka pada peneroka yang berumur tidak melebihi 70 tahun semasa permohonan dibuat. Perlu mempunyai 2 orang penjamin yang berpendapatan tetap (salah seorang mestilah terdiri daripada anak atau waris kadim pemohon).

Bagi pinjaman yang tidak melebihi RM15,000.00, gaji penjamin mestilah tidak kurang RM500.00 sebulan.Manakala pinjaman yang melebihi RM15,000.00, gaji penjamin mestilah tidak kurang dari RM800 sebulan.

ii) Tidak mempunyai rekod tatatertib dengan Felda

iii) Peneroka mesti menghantar semua hasil ke kilang Felda atau melaksanakan tanam semula bersama Felda.

Berdasarkan temubual kami, beliau adalah peminjam yang layak dan memenuhi syarat-syarat tersebut, tetapi sehingga kini rumah beliau masih ditahap yang sedia ada, sejak dari kehadiran pegawai yang mengambil gambar 3 tahun yang lalu hinggalah kini.

Di samping generasi ke 2 Felda yang tidak terbela di sini, Felda Tenang jauh terkebelakang berbanding kawasan-kawasan Felda yang lain hatta di Johor sendiri.

(Gambar: Suami Zanariah, Hasson bin Susik bersama anak tunggal mereka di dalam rumah mereka di Felda Tenang)

"Cuba bandingkan Felda Tenang dengan Felda Taib Andak misalnya. Felda Tenang, Chempelak dan Chempelak Barat jauh tertinggal ke belakang, " kata Pengerusi Anak (Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan), Mazlan Aliman.

Beliau yakin, jika dibiarkan begini berterusan, nescaya mereka akan terus terpinggir.

"Saya yakin, jika penduduk Tenang memberi peluang kepada Cikgu Mala untuk mewakili mereka melalui pilihan raya kecil ini, nasib mereka akan berubah. Ini kerana, kerajaan negeri dan pusat akan berebut-rebut untuk membantu mereka kerana bimbang jatuh ke tangan Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Namun jika BN kekal di sini, jangan harap kerajaan negeri dan pusat memberi perhatian," kata Mazlan yang juga anak seorang peneroka Felda.

No comments:

Post a Comment