Sunday, January 16, 2011

Nasib pelajar Malaysia di Queensland , tapi kerajaan 'sejuk'



Queensland: Bapa pelajar kecewa kerajaan ‘sejuk’

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Bapa kepada seorang mahasiswa di Queensland University of Technology (QUT) melahirkan rasa kecewa dengan sikap ‘sejuk’ Kerajaan Malaysia terhadap mangsa kemelut banjir yang berlaku di sana, baru-baru ini.

“Saya ingin merakam ketidakpuasan hati dan rasa terkilan di atas ‘sambutan sejuk’ atau cold response yang diberikan oleh kerajaan kita ke atas mangsa banjir terutama pelajar kita di sana.

“Walaupun di dada akhbar di Malaysia ada dipaparkan berita bahawa tidak ada pelajar malaysia yang terkorban di sana (itu memang benar) namun ramai juga yang rumah mereka ditenggelami air termasuk anak saya di St Lucia,” ujarnya dalam emel yang dihantar kepada Harakahdaily..

Beliau yang mahu dikenali sebagai Suhaimi difahamkan terdapat 2,000 pelajar malaysia yang menuntut di sana dan bermacam cerita yang didengar mempunyai masalah ‘post-banjir’ seperti kewangan yang tidak mencukupi, bantuan tempat tinggal sementara, tenaga pencucian untuk kembali kehidupan yang asal.

“Yang menjadikan rasa terkilan saya adalah respons dari pihak kita Malaysia yang belum tiba hingga ke saat ini. Tidak ada pegawai dari konsulat Malaysia baik dari Canberra, Sydney atau Melbourne yang datang melawat mereka dan memberi pertolongan,” katanya.

Menurutnya, mangsa banjir mengurus sesama mereka, tetapi tenaga mereka terhad dan sesetengahnya tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

Beliau telah dua kali menelefon Kementerian Luar untuk mengetahui situasi yang sebenar namun jawapan yang terbaik adalah ‘pelajar di sana mesti melaporkan perkara tersebut kepada pegawai kita di Konsulat Canberra untuk tindakan selanjutnya’.

“Saya pun boleh bagi jawapan yang standard seperti tersebut tak perlu berfikir panjang. Takkan Canberra tak tau yang mangsa banjir di Brisbane tu ada termasuk pelajar Malaysia. Tapi sikap acuh tak acuh pegawai kita mengecewakan.

“Saya berpendapat Wisma Putra telah mendapat gambaran yang tidak tepat mengenai keadaan banjir dan kemelut pelajar kita di sana,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, gambaran yang beliau dapat dari sana ada pelajar yang rumah mereka dinaiki air sepenuhnya, ada yang keputusan makanan semasa kemelut tersebut kerana mereka duduk di apartment yang di sekeliling mereka penuh dengar air banjir dan ada yang rumah mereka dimasuki air sementara mereka pulang bercuti di Malaysia.

“Jadi trauma selepas banjir berlalu itu tetap dirasakan oleh mereka sapertimana kita rakyat Malaysia menghadapinya di Malaysia terutama mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

“Kalau di sini ada mak bapa yang dapat menolong, bantuan berupakan moral support sekurang-kurangnya tapi mereka di sana terpaksa melaluinya sendirian, mencuci rumah, mencari makanan dan yang terutama sekali mengawal minda mereka,” tambahnya.

Perlu diingat, katanya yang mereka adalah pelajar dan sebagai pelajar tumpuan mereka kepada pelajaran tidak dapat dipermudahkan dan apa yang berlaku adalah di luar jangkaan mereka.

Mereka, katanya harus berdiri semula untuk mengikuti kuliah dan di masa yang sama terpaksa bergelut dengan mengemaskini rumah yang berlumpur pula, ia adalah satu stress yang tidak diundang.

“Saya tak tahu bagaimana hendak mendapat perhatian dari kerajaan kita dan saluran mana yang saya patut salurkan informasi ini supaya tindakan segera dapat diambil kerana mereka memerlukan bantuan segera,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau meminta pihak kementerian atau sesiapa saja atau mana-mana badan-badan bukan kerajaan yang dapat menghulur bantuan segera untuk mereka.

Pada 13 Januari lalu, Harakahdaily menyiarkan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Queensland, Australia.

“Saya mengucapkan takziah dan menyatakan rasa simpati bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan kepada warga Malaysia yang terlibat dengan bencana banjir di Queensland, Australia,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.

Justeru, beliau yang juga Mursyidul Am PAS, berharap semoga mereka bersabar dengan ketentuan Allah Taala.

“Insya allah, kita akan mempertimbangkan kaedah-kaedah yang sesuai untuk menyampaikan bantuan setakat termampu kepada warga Malaysia di sana,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment