SHAH ALAM 26 Jan.: Tuduhan Datuk Seri Noh Omar bahawa cadangan pindaan undang-undang yang dibawa Pakatan Rakyat Isnin lalu merupakan satu usaha pembohongan terhadap rakyat Selangor disifatkan sebagai cakap politik oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Semalam, Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu mendakwa pindaan perlembagaan itu bertujuan agar Sultan dikehendaki bertindak atas nasihat seorang menteri besar.
"Saya rasa ini adalah cakap politik kerana dalam perlembagaan Malaysia juga ayat yang saya masukkan dalam pindaan enakmen itu adalah serupa dengan ayat yang ada dalam perlembagaan Malaysia, kalau dia (Noh) rasa ayat tu tak sesuai untuk perlembagaan Malaysia, saya harap dia nyatakan dalam kabinet, katakan dia tak setuju dan katakan rakyat telah ditipu oleh kabinet Malaysia," katanya.
Dalam ucapan usulnya di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor itu, Khalid menjelaskan secara teliti dan berfakta mengapa pindaan itu perlu dikembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar setelah Umno-Barisan Nasional pada tahun 1993 meminda perlembagaan dengan memperalatkan institusi raja.
"Sebab kita mahu mengembalikan kuasa Sultan dia (Noh) patut tahu sebab Barisan Nasional yang mengeluarkan klausa undang-undang yang menidakkan kuasa sultan pada tahun 1993, kenapa mereka keluarkan?
"Sebab tak mahu memberi kuasa kepada sultan dan saya sebagai Menteri Besar mahu mengembalikannya, adakah dia sekarang mahu menidakkan apa yang BN lakukan pada 1993? Rakyat mesti tahu, dulu dia (BN) marah-marah kepada Sultan tetapi sekarang mereka mahu cium tangan, mana boleh," katanya.
Dalam sidang media itu juga Khalid memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan melakukan penerangan kepada seluruh rakyat Selangor.
Tambahnya, sidang dewan itu adalah satu usaha mencari kebenaran supaya ada keikhlasan kedua-dua pihak(Pakatan Rakyat dan Umno-BN) untuk mencari jalan supaya pengurusan negeri diurus dengan mantap.
"Saya percaya rakyat akan mengenali kebenaran, sebab itu saya bercadang untuk turun ke padang, kita mengambil masa 3 bulan bermula Februari, Mac dan April," katanya.
Isnin lalu usul itu ditolak apabila tidak mendapat majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Artikel 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada sidang khas Dewan Undangan Negeri yang diadakan kelmarin.
Pindaan itu antara lainnya bertujuan mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.
Pindaan itu dicadangkan ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang mendapat bantahan kerajaan negeri dengan alasannya ianya tidak dirujuk kepada Menteri Besar.
No comments:
Post a Comment