Artikel : Kes jenayah mutakhir cukup mengejutkan dan tidak terjangkau dek akal. Perlakuan di luar batas undang-undang itu bukan saja semakin berleluasa, malah membingungkan. Cuba selak lembaran akhbar harian, pasti terbaca berita-berita menyayat hati. Misalnya, tergamak seorang cucu lelaki bersekongkol dengan tiga rakannya, termasuk seorang remaja perempuan merompak dan membunuh datuknya di sebuah rancangan Felda.
Dalam perkembangan lain, di Raub, seorang ibu, 46 tahun, yang mahu mengejutkan anak perempuan tirinya, 16, pelajar tingkatan empat, untuk bersiap ke sekolah dilaporkan hampir pitam, apabila mendapati seorang remaja lelaki berusia 18 tahun tidur bersama pelajar terbabit. Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, si ibu naik ke tingkat atas rumah terperanjat apabila melihat remaja lelaki itu tidur berpelukan bersama anaknya. Remaja lelaki itu mengaku kepada wanita itu dia sudah meniduri anak perempuannya.
Manakala di Ampang, seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat ditahan polis selepas disyaki merogol rakan sekolahnya, pelajar perempuan berusia 13 tahun di rumah mangsa. Suspek sedang melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah pelajar perempuan apabila diserbu bapa dan bapa saudara mangsa, pada jam 1 tengah hari. "Pasangan itu mengaku sering menjalinkan hubungan haram di rumah pelajar perempuan itu ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah,” kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya.
Ada guru disiplin di sebuah sekolah di ibu kota, melaporkan banyak kes sumbang mahram melibatkan pelajar perempuan dengan abang ipar yang tinggal serumah. Akhbar juga pernah melaporkan seorang budak perempuan berusia 12 tahun maut selepas terjatuh dari pangsapuri 6 tingkat kerana mengelak dicekup buat maksiat dengan tiga remaja lelaki.
Tanpa perlu menyenaraikan lebih panjang kes-kes lain yang tidak kurang tragisnya, ia sudah cukup menyesakkan dada dan pemikiran kita. Ramai melihatnya sebagai satu petaka serius. Solusinya harus pelbagai dimensi dan bersifat holistik. Ia turut menuntut pembabitan semua pihak agar turun padang dan saling membahu menangani krisis sosial yang cukup parah ini.
Ibu bapa semakin cemas dan sebahagiannya buntu. Dengan tekanan hidup menyara keluarga yang kian menghimpit, mereka terpaksa menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada institusi formal. Anak-anak pula begitu terdedah dan terpengaruh dengan "persekitaran ganas", malah rumah sendiri bukan lagi tempat selamat. Perwatakan dan akhlak anak-anak diceroboh sewenang-wenangnya.
Justeru, tidak hairanlah apabila sekolah-sekolah agama, terutama di peringkat menengah, mendapat perhatian luar biasa. Difahamkan untuk sesi persekolahan 2011, di Lembah Klang sahaja, permohonan memasuki sekolah agama ini meningkat berkali ganda. Sekolah-sekolah agama terkemuka, misalnya di Kelantan, turut menerima limpahan permohonan dari Kuala Lumpur. Sedangkan jumlah yang ditawarkan cukup kecil dan mengakibatkan ramai ibu bapa kecewa serta marah.
Mereka mendesak agar sekolah-sekolah agama menengah ini diperbanyakkan lagi dalam kadar segera. Senarai menunggu begitu panjang termasuk membabitkan pelajar paling cemerlang. Sekolah-sekolah swasta juga tidak mampu menampung permintaan yang mendesak. Biarpun yuran bulanan hampir mencecah RM400, ia langsung tidak membantut hasrat murni ibu bapa menyediakan asas pendidikan agama secukupnya. Sekolah tahfiz juga bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Banyak masjid menyediakan ruang dan peruntukan khusus untuknya.
Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat wajar melihat keterbatasan peluang melanjutkan pelajaran di sekolah agama ini sebagai cabaran utama yang perlu ditangani. Kalau dahulu sekolah agama mungkin menjadi pilihan terakhir untuk pelajar yang agak lembab tetapi kini ia tersenarai sebagai pilihan utama di kalangan anak-anak yang cerdas dan terbaik pencapaian akademiknya.
Dengan itu, bukan lagi Kelantan yang terus dikenali sebagai Serambi Makkah, atau juga Kedah dengan pondok-pondok pengajian dan sekolah agamanya, malah saya yakin Selangor lebih berkeupayaan untuk membangunkan institusi pendidikan Islamnya secara lebih tersusun. Sekurang-kurangnya daripada segi kemudahan kewangan dan sokongan ibu bapa di bandar-bandar besar. Lagipun sekolah agama menengah (SAM) di bawah Iabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah makin popular dan menjadi rebutan.
II.
Berbeda dengan dua pilihan raya kecil (PRK) terakhir yang disertai PAS di Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan Galas, Kelantan, nampaknya suasana di Tenang lebih menarik dan panas. Biarpun diadakan di kubu kuat Umno -- di negeri Johor pula -- tumpuan masyarakat luar untuk mengikuti perkembangan secara langsung di sana cukup tinggi. Ada-ada saja berita kontroversi yang dikutip dan menjadi bualan hangat.
Agak ramai yang menelefon saya untuk mendapatkan situasi terkini meskipun mereka mengetahui keadaan kesihatan tidak memungkinkan saya membuat liputan dari Labis.Memang personaliti calon PAS, Cikgu Normala Sudirman lebih menonjol dan sentiasa menjadi buruan media, terutama untuk mendapatkan sudut menarik rakaman foto. Mungkin ada benarnya tanggapan bahawa tangan Cikgu Mala yang menghayun buaian bisa menggoncang persada politik Malaysia.
Berdepan Umno dalam PRK cukup memeritkan. Segala kekuatan dan kemudahan kerajaan BN dihadapkan untuk melumpuhkan potensi saingannya. Proses pilihan raya di Malaysia tidak pernah berubah. Etika, malah undang-undang berkempen, langsung tidak dipedulikan, atau hanya ditafsirkan daripada sudut kepentingan BN semata-mata.
Namun, ia tidaklah bermakna BN akan menang mudah. Dalam beberapa kes tertentu, seperti dalam PRK di Telok Pasu, Terengganu dan Arau, Perlis, juga yang terbaru di KualaTerengganu, calon PAS memahat sejarah menewaskan penyandang BN. KeADILan turut mengejutkan BN di Lunas, Kedah. Semuanya didahului oleh suasana kempen yang agak istimewa dan sensasi, apabila BN terpaksa lebih banyak bertahan dan PAS kelihatan selesa dalam posisi menyerang, baik dari segi calon mahupun isu-isu semasa.
Soalnya, apakah sebenarnya yang berlaku semasa kempen di Tenang? Apakah gelora yang dibangkitkan media, terutama dalam dunia maya, memang dirasai segenap pelosok kawasan PRK itu? Apakah majoriti pengundi di kawasan Felda umpamanya, yang khabarnya disekat daripada ditemui petugas Pakatan Rakyat, dapat akses kepada segala informasi yang diperlukan sebelum mereka memangkah? Bagaimana dengan keupayaan saluran maklumat alternatif seperti laman web, blog mahupun laman-laman sosial seperti Facebook, di kawasan Felda dan pinggir bandar, untuk menyanggah momokan media tradisi yang dikawal ketat BN?
Saya lebih melihat bekalan pengalaman dalam PRK yang hampir diadakan di semua negeri itu, termasuk di Merlimau, Melaka tidak lama lagi, amat bermanfaat untuk mengesan kelemahan, selain membantu untuk "membaca realiti" dengan lebih tepat. Ia lebih penting daripada mencatatkan kemenangan. Bukankah begitu banyak kawasan Felda yang menjadi "simpanan tetap" BN demi mengekalkan kuasanya? PRK Tenang ini dapat menjadi peta panduan lebih terperinci buat mengatur strategi. Trend kecenderungan pengundi Cina di kawasan pinggir bandar juga boleh dianalisis.
III.
Abdullah Ahmad Badawi mempunyai jasa tersendiri terutama dalam proses pendemokrasian di negara ini. Menghadapi keputusan PRU 1999 yang menyaksikan kekalahan ramai calon Umno dan tersungkurnya Terengganu membuatkan Dr Mahathir Mohamad bertindak garang mengurangkan penerbitan Harakah daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Selain itu, banyak lagi tindakan represif Mahathir ke atas pembangkang dan NGO yang tidak selari dengannya.
Sedangkan Abdullah, meskipun diasak kepedihan lebih dahsyat apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang empat negeri dalam PRU12, namun bersedia mengembalikan kekerapan Harakah. Malah, tempoh kempen pilihan raya, Mac 2004 dilanjutkan sehingga dua minggu.
Di hujung pemerintahan Abdullah juga, ditengah-tengah desakan dalaman Umno agar beliau berundur daripada jawatan Perdana Menteri, beliau masih sempat membenarkan debat secara langsung melalui televisyen, membabitkan Anwar Ibrahim dan Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan. Debat yang dianjurkan portal berita, Agendadaily, disiarkan terus-menerus oleh TV9, Astro Awani dan Bernama TV, manakala siaran tertunda oleh TV3, pada malam 15 Julai 2008.
Tajuknya pula cukup sensasi, "Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak". Dari awal lagi, sebelum debat berlangsung, ramai menjangkakan ia memberi kelebihan besar buat Anwar, tokoh yang dianggap penggerak utama pembangkang.
Sengaja saya imbas peristiwa bersejarah itu sebelum mengulas sikap berdolak-dalik Najib Razak ke atas cabaran debat Anwar mengenai Buku Jingga. Mulanya Najib menyifatkan pelan 100 hari Pakatan Rakyat memerintah itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan negara muflis.
Di Tenang, Najib sekali lagi menegaskan, Anwar tidak perlu mendesaknya untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu 'demam' jika dibongkarkan ketika berdebat. Katanya, beliau tidak gentar berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berkenaan hanya membuang masa kerana pembohongan Ketua Umum KeADILan itu dan kegagalannya menunaikan janji.
Anwar segera memberi reaksi: "Ok Najib kita debat soal peribadi. Awak nak aibkan saya boleh aibkan dah banyak kali (kena aib). Tapi saya nak ingatkan kalau serang peribadi dan saya dizalimi saya berhak pertahankannya. Jadi saya nak bagi ingatan kepada Najib kalau sekali lagi ulang soal peribadi. Saya cabar kamu debat soal peribadi dengan saya."
Bagaimanapun, Anwar berkata sebagai pemimpin politik yang bertanggungjawab beliau tidak mahu meneruskan debat isu peribadi kerana soal ekonomi adalah perkara utama demi memastikan kesejahteraan rakyat.
Mengulas sindiran Najib bahawa beliau akan demam, Anwar membidas bahawa beliau akan tetap hadir walaupun diserang penyakit itu. "Tak apa, saya telan Panadol, kita debat. Tak apa, demam pun saya akan hadir. Demam pun saya mampu debat. Insya-Allah," tegasnya semasa berkempen di Tenang.
"Oh Anwar ini, akhlak rendah, peliwat, ya, tak mengapa tapi bawa bukti. Saya nak sebut cerita rampas bini orang, saya nak sebut pasal rasuah RM500 juta, saya nak sebut pasal pembunuhan Altantuya, jawab," tambah Anwar.
Bagi saya, isu debat ini perlu dibangkitkan terus. Politik baru menuntut ketelusan dan keterbukaan. Najib akan terus tertinggal sekiranya didedahkan gentar menjawab pertuduhan yang dimulakannya sendiri. Perdana Menteri mesti digasak terus sehingga bersedia bersemuka di pentas debat.Ahmad Lutfi Othman
No comments:
Post a Comment