Washington yang dulunya penyokong utama Mubarak dan sanggup menghabiskan berbilion dolar memberi bantuan, sedangkan hutang AS sendiri mencecah hampir AS$14 trilion (RM43 trilion), kini mula menekan pemimpin kuku besi itu supaya mendengar tuntutan rakyat yang mahukan kebebasan politik.
Dalam masa sama, AS juga dilihat semakin was-was sama ada sekutu kuat mereka itu akan berjaya bertahan selepas kebangkitan rakyatnya, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun pemerintahan kuasa mutlak Mubarak.
Tetapi AS yang bijak bermain kata-kata, dilihat belum mahu meninggalkan Mubarak secara terbuka kerana Washington gentar tindakan itu akan meresahkan diktator Arab lain yang menjadi sekutu AS.
AS tidak mampu lagi menyelamatkan rejim Mubarak dan bagi menjaga kepentingan sendiri, Washington memilih untuk berada di pihak yang benar apabila revolusi ini dicatatkan dalam sejarah kelak.
Tidak cukup ditinggalkan AS, Mubarak juga tidak mendapat sokongan daripada sekutu utamanya di Timur Tengah, iaitu rejim Israel.
Tel Aviv mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keadaan di Mesir, malah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan semua menteri negara itu supaya tidak memberi sebarang komen mengenai isu itu secara terbuka.
Israel dilaporkan hanya meminta negara lain menekankan kepada dunia mengenai kepentingan kestabilan politik di Mesir, itu pun hanya kerana Zionis mula bimbang keselamatan mereka sendiri akan terancam jika tiada lagi orang suruhan yang boleh mengikut kata.
Tentunya Netanyahu tidak boleh tidur malam memikirkan kemungkinan parti pembangkang Mesir, yang juga sekutu kuat pejuang Hamas di Gaza, Ikhwan Islam, mentadbir negara itu jika Mubarak digulingkan.
Kawan-kawan yang dahulunya angkuh dan lantang bersuara menentang dunia kini sunyi sepi, meninggalkan Mubarak keseorangan mengutip sisa-sisa pemerintahan diktatornya yang sudah dipecahkan rakyat Mesir.
Mungkin kini Mubarak sedang berfikir, sia-sialah pengorbanan dan kesetiaan tidak berbelah bagi beliau terhadap AS dan Israel selama ini.
Dan mungkin beliau mula sedar, satu-satunya golongan yang patut dicurahkan segala pengorbanan dan perhatian adalah rakyatnya sendiri.
Bagaimanapun, seperti kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.SH
No comments:
Post a Comment